Monday, 22 July 2013

Latihan Rumusan : Cendawan

*  Latihan ini diambil daripada soalan Bahasa Melayu 1103/2 (SPM Ulangan)

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang khasiat cendawan terhadap kesihatan manusia dan usaha-usaha memajukan perusahaan cendawan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Cendawan ialah organisma yang unik dan tidak tergolong dalam alam haiwan atau alam tumbuhan. Cendawan sebenarnya membina kumpulannya sendiri yang dikenali sebagai alam kulat yang tidak berupaya menghasilkan makanan sendiri disebabkan kekurangan klorofil. Di kebanyakan negara, cendawan ditanam sebagai sumber makanan penduduk kerana mengandungi nilai gizi atau zat makanan yang tinggi. Spesies cendawan seperti tiram kelabu, tiram putih dan tiram raja adalah antara spesies yang popular dalam kalangan penggemar cendawan.
Dalam perubatan tradisional, cendawan digunakan secara meluas untuk mengubati pelbagai jenis jangkitan bakteria. Cendawan juga dikatakan dapat menghentikan masalah pendarahan. Selain itu, seseorang yang mempunyai tekanan darah tinggi digalakkan supaya mengambil ekstrak cendawan yang diproses kerana dipercayai mampu menjadi penawar untuk mengurangkan tekanan darah tinggi. Namun, tidak semua cendawan selamat demikian oleh manusia. Hai ini demikian disebabkan terdapat juga cendawan yang beracun dan dapat memudaratkan kesihatan kerana mengandungi kadar toksik yang tinggi. Seseorang yang termakan cendawan yang beracun ini akan terdedah kepada masalah kerosakan hati. Selain itu, pengambilan cendawan yang beracun juga  akan memusnahkan sintesis protein dalam tubuh badan manusia.
Kajian menunjukkan bahawa cendawan merupakan sumber yang kaya dengan antibiotik untuk melawan bakteria yang menjadi punca penyakit. Di samping itu, cendawan juga dapat meningkatkan sistem imunisasi dalam tubuh manusia. Satu penemuan penting tentang keistimewaan cendawan ialah kemampuannya dalam merawat penyakit kanser. Kajian juga menunjukkan bahawa cendawan mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai polisakarida yang menjadi penawar kepada penyakit kanser. Mereka yang mempunyai kadar kolesterol yang tinggi disarankan supaya menjadikan cendawan sebagai makanan harian kerana mampu mengurangkan kadar kolesterol dalam tubuh badan. Selain memberi kebaikan kepada tubuh manusia, cendawan juga berfungsi sebagai penggubah utama bahan organik kepada bentuk baja. Cendawan berperanan sebagai salah satu elemen utama kitar semua hutan.
Perusahaan cendawan yang berkembang pesat, seperti cendawan tumbuh selepas hujan sebaik-baiknya hendaklah seiring dengan kesedaran tentang manfaat pemakanan cendawan. Walau bagaimanapun, penggemar cendawan dinasihati supaya mempunyai pengetahuan untuk mengenali jenis-jenis cendawan liar yang selamat dimakan supaya tidak termakan cendawan yang beracun yang boleh memudaratkan kesihatan. Begitu juga, individu yang hendak mengambil makanan tambahan berasaskan cendawan perlu mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil keputusan untuk menggunakannya.

Dipetik dan diubah suai daripada ‘Cendawan Kaya dengan Antibiotik’ oleh Wardah Abdul Rahman, Dewan Kosmik,  April 2011.

Soalan 2(a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

i. Berikan maksud elemen utama.
[2 markah]
ii. Pengarang ada menyatakan bahawa cendawan yang beracun memberi kesan buruk kepada manusia.
Nyatakan kesan-kesan tersebut.
[3 markah]
iii. Sekiranya anda ingin menjadi usahawan cendawan, apakah perkara-perkara yang diperlukan untuk memulakan perusahaan cendawan tersebut?
[4 markah]

No comments:

Post a Comment