07/09/2015

Jiran, Berjiran dan Kejiranan

 Kejiranan - Enam cara kekalkan hubungan baik

KEMAKMURAN sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya. Hubungan yang erat antara sesama anggota masyarakat merupakan antara ciri-ciri masyarakat yang berkualiti, iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesama mereka, bahkan menjadi aset paling penting kepada negara.
Menyedari hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan masyarakatnya. Suruhan tersebut tidak hanya terhad kepada sesama masyarakat Islam sahaja, malahan melepasi batas agama, bangsa, keturunan, warna kulit, bahasa dan sebagainya.
Mengapa kita perlu berjiran? Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks kejiranan, umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Hal ini demikian kerana, ia memainkan peranan yang amat penting dalam menjana satu kehidupan setempat yang aman dan harmoni yang boleh memberi kemudahan, kelapangan dan jalan keluar bagi satu-satu kesulitan atau masalah.
Tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran dijelaskan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.'' (An-Nisa : 36)

Bagi memantapkan hubungan kejiranan dalam masyarakat, maka semestinya terlebih dahulu kita menyedari keperluan dan kelebihan hidup berjiran. Antaranya:
1.    Bantuan ketika kecemasan
Jiran adalah orang yang paling hampir dengan tempat tinggal kita. Segala perkara yang berlaku ke atas diri kita, ahli keluarga, harta benda dan sebagainya terlebih dahulu diketahui oleh jiran.
Justeru, jiran adalah orang yang paling dekat untuk memohon pertolongan pada saat kita ditimpa bencana atau musibah seperti kebakaran, kecurian, kemalangan, kematian dan lain-lain. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai jiran yang sedia menolong pada bila-bila masa. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan, sementara menunggu bantuan pihak-pihak berwajib atau sanak saudara. Hanya jalinan dan kemesraan yang kuat antara jiran akan dapat melahirkan suasana seperti ini.

2.    Menambah kenalan
Mempunyai jiran yang berbeza latar belakang seperti pekerjaan, pendidikan, agama, bangsa, keturunan, budaya, adat resam dan sebagainya akan menambahkan lagi pengetahuan dan kenalan kita. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.'' (Al-Hujurat : 13)
Mempunyai kenalan yang ramai dan rapat lebih-lebih lagi hidup berjiran banyak memberi manfaat kepada kita. Di antaranya mendapat tunjuk ajar dan nasihat dalam sesuatu bidang ilmu atau kepakaran lain yang dimiliki oleh jiran kita.

3.    Menjamin keselamatan setempat
Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada sebarang ancaman kecurian, pecah rumah, penyalahgunaan dadah, penculikan, samseng dan sebagainya. Hal ini dapat dilakukan sama ada melalui Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan Kawasan atau kempen-kempen kesedaran. Budaya bantu membantu seperti inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Bertolong-tolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.'' (Al-Maidah : 2)

4.    Menjaga keharmonian masyarakat
     Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak, dan banyak lagi kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Adakah kita perlu menunggu sehingga gejala tersebut menimpa ke atas ahli keluarga kita, barulah kita hendak memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya kita beringat sebelum terjadi, bak kata pepatah Melayu sediakan payung sebelum hujan. Oleh itu, membina ikatan yang kuat sesama jiran adalah syarat utama bagi menjamin keharmonian masyarakat dan kawasan yang kita diami.

5.    Menjaga kebajikan penduduk setempat
Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain, sudah semestinya dapat menjana satu program atau aktiviti yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat. Pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti jawatankuasa kemajuan pembelajaran anak-anak, jawatankuasa pembangunan insan dan lain-lain bagi tujuan menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti kem motivasi, program jati diri dan sebagainya. Kesemuanya ini menjadikan kebajikan masyarakat setempat sama ada anak-anak, para remaja, ibu bapa dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara.
Sudah semestinya, rahsia kejayaan program ini terletak kepada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran sebagaimana yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan urusan mereka dijalankan secara bermusyawarah sesama mereka”. (Al-Syura : 38)

6.    Memupuk perpaduan

Perpaduan antara kaum adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara kita. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam aman dan damai. Bagi memastikan perpaduan dan kemakmuran ini kekal, ia perlu dimulai dengan hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik adalah jiran yang berjaya memupuk semangat toleransi, percaya mempercayai dan perkongsian bijak antara mereka. Sekiranya ini diabaikan, maka lambat-laun ia akan mencetuskan bibit-bibit permusuhan dan perkauman yang akhirnya merebak kepada huru-hara, perpecahan dan perbalahan.
Maka kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Impian mempunyai jiran yang baik tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi seorang jiran yang baik terlebih dahulu.

Kehidupan yang mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. juga adalah kehidupan yang sentiasa dikelilingi dengan kebaikan dan kesejahteraan serta jauh daripada anasir kerosakan dan kebinasaan.

- Ahmad Tarmizi Zakaria, Pensyarah Kolej Industri Pendidikan Negeri Selangor (Kolej INPENS), Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

No comments: