Dimensi
Diri
Latihan 1:
Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial
yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajaran.
Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk
membantu rakan anda itu.
Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya
telah terlibat dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya itu kerap memonteng
kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya
rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.
Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan
saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya
bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya dia insaf bak kata pepatah sesat di hujung
jalan, balik ke pangkal jalan. Saya
berharap, usaha-usaha yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang
tanggungjawabnya sebagai seorang remaja dan sebagai seorang pelajar.
Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu rakan
saya itu?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk
membantu rakan saya itu ialah saya akan menasihatinya supaya tidak
menjerumuskan diri dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan sahabat
saya itu tentang akibat sekiranya rakan saya itu terlibat dengan gejala sosial.
Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak
agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia
pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah menerima anugerah
pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan
rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang
dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Saya tidak mahu rakan saya berasa
menyesal pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian
tidak berguna.
Selain itu, saya juga akan berjumpa
dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu dan memberitahu mereka tentang pembabitan rakan saya dalam
gejala sosial. Saya berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu
tidak tahu tentang penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di
sekolah. Saya berharap, ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang
masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan, faktor kekurangan
kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan rakan saya terjebak
dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui masalah anak
mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian
dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu bapa rakan saya mungkin akan
lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan dengan anaknya untuk mengetahui masalah-masalah yang
dihadapi. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya
itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.
Di samping itu, saya akan mengajak
rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi
bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang
penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat
membantu dan membimbing rakan saya dengan menasihatinya supaya berubah sikap.
Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling, diharapkan
rakan saya itu akan sedar dan insaf
tentang perbuatannya yang salah selama ini. Rakan saya juga dapat
mengenali identiti diri dan bermotivasi untuk berubah apabila guru kaunseling
memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya juga berharap, rakan
saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa pentingnya pembinaan
sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan remaja sebagai benteng supaya tidak
mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi
kaunseling ini, rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari
peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara pada masa
hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya ’Ihya’ Ulumuddin’
mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan negara maka lihatlah
pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan
negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara.
Seterusnya, saya juga akan mengajak
rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah. Saya akan membawa
rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama
dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri
ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan
Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan
saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah
dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula,
rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah
terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Hasil daripada pergaulan
dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu dapat
membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik.
Jelasnya, rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya
yang tidak baik dan dia juga tahu menghargai masa kerana masa itu emas.
Akhir sekali, saya juga akan sentiasa
membantu rakan saya dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri
kumpulan perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya menerangkan
tajuk-tajuk bagi memahami topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini.
Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dan
mencari rujukan serta berbincang tentang
topik-topik yang kurang difahami. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri
kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Saya akan
menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa
pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya akan
mengajak rakan-rakan yang lain untuk membantu dan sudi mengadakan perbincangan
dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk memastikan rakan saya benar-benar insaf dan
tidak mengabaikan pelajaran.
Berdasarkan perbincangan di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala
sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap, usaha
yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri
dalam gejala sosial. Saya juga berharap, rakan saya benar-benar insaf dan
bertanggungjawab terhadap masa hadapannya kerana ’sesal dahulu pendapatan,
sesal kemudian tidak berguna’. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya dia
tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah.
Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah
dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu
berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan
usaha tangga kejayaan dan yang bulat
tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
No comments:
Post a Comment