03/03/2017

CHOT



Sinopsis : CHOT

Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Chot sangat rapat kerana Alias amat mengharapkan Chot untuk membantunya menyara kehidupannya dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.
Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.
Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.
Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.
Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Beliau telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.
Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot". Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

TEMA
Kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan

PERSOALAN
·         Hubungan manusia dengan makhluk Tuhan.
·         Kasih sayang antara manusia dan haiwan.
·         Kesempitan hidup masyarakat luar bandar.
·         Kemiskinan menjadi penghalang dalam mengejar impian.
·         Kepentingan pendidikan dalam hidup.
·         Sikap anggota masyarakat yang bertindak melulu.

WATAK DAN PERWATAKAN
Alias
Murid tahun lima yang kehilangan bapanya kerana terjatuh dari pokok kelapa.

pintar dalam mata pelajaran
Alias menjadi rujukan Som untuk membuat latihan Matematik.
taat akan nasihat ibunya
patuh akan suruhan dan teguran ibunya supaya menunaikan solat dan membaca al-Quran.
bertanggungjawab
Alias mengambil alih peranan bapanya. Dia membeli barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.
Berjiwa lembut
berkecil hati dengan sikap Som yang menegur bau telinga yang busuk.
Gigih
Alias membawa buku latihan ke mana-mana sahaja dia pergi walaupun ketika memetik kelapa.
Tidak berdendam
melayan Cikgu Alias dengan ramah ketika kunjungan guru kelas itu ke rumahnya sekalipun Cikgu Alias menengkingnya sehingga dia jatuh terlentang di dalam kelas sehingga telinganya terkena bucu meja murid.

Chot
·         Beruk peninggalan arwah bapa Alias.
·         Sangat sayang akan tuannya, Alias.
·         Patuh akan arahan tuannya.

Cikgu Sunan
·         Tinggi dan berbadan sederhana besar.
·         Guru kelas tahun lima.
·         Guru mata pelajaran Matematik.
·         Garang - Cikgu Sunan cepat melenting apabila murid-murid tahun lima tidakdapat menjawab soalan Matematik dan kerja rumah pelajaran Matematik tidak siap.
·         Benci akan Alias.
·         Menyesal atas perlakuannya yang tidak memberi layanan sebaiknya kepada Alias.

Leha
·         Ibu Alias.
·         Ibu yang menitikberatkan pendidikan agama - menegur Alias apabila terdapat kesalahan membaca doa qunut dan kesalahan dalam solat-solat lain. Malahan, selalu mengingatkan Alias tentang kewajipan menunaikan solat.
·         Ibu yang menitikberatkan pendidikan sekular - mengingatkan Alias tentang kepentingan ilmu pengetahuan apabila Alias ponteng sekolah terlalu lama.

Som
·         Murid tahun lima.
·         Sahabat baik Alias.
·         Takut akan Cikgu Sunan.
·         Lemah dalam mata pelajaran Matematik.
·         Suka bergurau.
·         Prihatin akan nasib Alias.
·         Baik hati.

Mak Su Kiah
·         Berbadan sedikit gempal dan berambut panjang.
·         Baik hati - memberi makanan tengah hari untuk Alias dan ibunya.

Pak Din
·         Bapa Som
·         Kematian isteri
·         Baik hati - banyak membantu ketika Alias dalam kesusahan.




LATAR


Latar Masa
Pagi
·         Ada perhimpunan sekolah.
·         Cikgu Sunan mengajar Matematik.
·         Alias dan Chot memetik kelapa.
Tengah hari
·         Mak Su Kiah menghantar nasi bersama gulai kepada Alias dan ibunya serta bertanya khabar sebelum pulang ke rumah.
Petang
·         Alias memandikan Chot di sungai di belakang rumah Som.
·         Alias dan Som belajar membaca al-Quran daripada emak Alias.
·         Som belajar membuat latihan Matematik daripada Alias.


Latar Masyarakat
Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup - Alias tidak pernah merungut hidup dalam kemiskinan.

Masyarakat yang berdikari - Alias berusaha menyara yuran persekolahannya dengan mengambil upah memetik buah kelapa.

Masyarakat ibu bapa yang mengimpikan kejayaan anak-anak - Leha ingin melihat kejayaan Alias. Oleh hal demikian, Leha mengingatkan kepentingan pendidikan agama dan pendidikan sekular.

Masyarakat kampung yang hidup dalam kemiskinan - Hidup Alias dan ibunya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Alias mencari wang untuk menampung keperluan harian dengan mengambil upah memetik kelapa di kebun Pak Din.

Masyarakat yang mementingkan pendidikan agama - Ibu Alias, Leha mengajar anaknya membaca al-Quran dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh Alias dalam bacaan solat.

Masyarakat yang mementingkan pendidikan sekular - Ibu Alias menegur Alias yang tidak ke sekolah terlalu lama.

Masyarakat yang bertanggungjawab - Alias mengambil alih tugas arwah bapanya yang meninggal lima tahun lalu kerana jatuh pokok kelapa. Dia membeli barang keperluan dapur seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.

Masyarakat yang jujur - Alias memberitahu perihal sebenar kelewatan ke sekolah berpunca daripada mencari beruk kesayangannya yang hilang.

Masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan - Alias membawa sahaja ke mana-mana buku latihan.

Masyarakat yang berprasangka - Miah menuduh Chot merosakkan kebun pisang miliknya.

Masyarakat yang gigih berusaha mencapai kejayaan - Som berusaha belajar Matematik daripada Alias.

Masyarakat yang baik hati - Mak Su Kiah mengambil tahu kebajikan Alias dan Leha.




PLOT

Permulaan
Beruk Alias, Chot hilang. Alias menangis. Dia tidak pergi ke sekolah. Usaha ibunya dan Som memujuknya supaya mencari Chot selepas waktu persekolahan gagal.

Perkembangan
Alias mengambil keputusan pergi ke sekolah selepas gagal mencari Chot. Di sekolah, Alias telah diherdik dan ditengking oleh Cikgu Sunan. 

Perumitan
Cikgu Sunan bertempik sehingga Alias terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena meja murid. Rentetan peristiwa itu, Alias tidak pergi ke sekolah lebih daripada seminggu kerana telinganya bernanah. Alias malu dan takut diejek oleh kawan-kawannya. Alias tidak menceritakan hal sebenar yang berlaku kepada ibunya di sekolah.

Kemuncak
Cikgu Sunan pergi ke rumah Alias. Kedatangannya ke situ tidak disenangi oleh beruk Chot. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot melompat dan melonjat kuat sehingga rantai di lehernya terputus. Chot menerkam Cikgu Sunan dan menokak lengan guru itu. Chot tidak mahu melepaskan gigitannya walaupun Cikgu Sunan memukul-mukulnya. Keadaan menjadi kelam-kabut. Alias tidak tahu tindakan yang perlu diambil kerana Chot ialah beruk kesayangannya.

Peleraian
Alias mengambil lembing berkarat yang berada di bawah rumah lalu merodok mata lembing itu ke perut Chot. Chot mati di tangan Alias. Cikgu Sunan serba salah dengan Alias. Cikgu Sunan berjanji akan membiayai pendidikan Alias sampai ke universiti.  


No comments:

Post a Comment