Thursday, 6 April 2017

PAKEJ CUTI BERJADUAL 1 : LATIHAN KERTAS 2 BAHASA MELAYU

Soalan 1 : Rumusan
[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan kaunselor dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid mendapatkan khidmat kaunselor. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

       Murid-murid pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah pengetahuan mereka tentang fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang fungsi sebenar kaunselor dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya. Sebagai orang yang terlatih, kaunselor melaksanakan tugas berlandaskan pengetahuannya dalam bimbingan dan kaunseling yang mampu menangani sebahagian masalah di sekolah. Antara masalah yang dialami oleh murid ialah tekanan emosi. Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid mengenal pasti punca tekanan emosi tersebut, di samping memberikan bimbingan tentang cara menangani masalah yang dihadapi.
       Walau bagaimanapun, kaunselor bukanlah berperanan untuk menyelesaikan masalah seperti tanggapan sesetengah pihak. Perkara ini perlu difahami oleh setiap murid yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor. Kaunselor sebenarnya berperanan untuk memandu murid memahami serta menerima keadaan diri sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang baik dan mengurangkan perlakuan yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, murid tidak seharusnya menganggap bahawa mereka yang berjumpa dengan kaunselor merupakan individu yang bermasalah semata-mata. Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Hakikatnya, apabila bertemu dengan kaunselor, murid akan dibantu untuk menguruskan perkara-perkara yang berkaitan dengan kehidupannya seperti panduan memilih jurusan atau kerjaya yang sesuai dan bukan memberikan tumpuan terhadap masalah tertentu sahaja.
       Kaunselor juga dapat membantu murid mengesan dan mengembangkan bakat dan minatnya. Hal ini penting supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid selaras dengan apa-apa yang diingini agar mereka berpeluang membuat perancangan masa depan untuk mencapai matlamat hidup. Pada masa yang sama, kaunselor bertanggungjawab untuk membimbing murid memanfaatkan peluang bagi penyempurnaan kendiri. Pelaksanaan pelbagai program bimbingan dan kaunseling seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan membolehkan kaunselor memahamkan murid tentang hubungan mereka dengan masyarakat sekitar. Dalam hal ini, mereka akan dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan jiran-jiran. Selain itu, kaunselor juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam diri murid melalui sesi kaunseling yang dijalankan. Penyemaian nilai-nilai ini akan meningkatkan mutu disiplin murid-murid di sekolah.
       Sesungguhnya, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan kauseling wajar dilaksanakan agar khidmat yang diberikan oleh kaunselor mendapat kepercayaan murid. Sikap profesional kaunselor dalam melaksanakan tugas hendaklah menjadi keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.
(Dipetik dan diubah suai daripada,
“Memanfaatkan Khidmat Kaunselor” oleh Nadiah Naufal,
Dewan Siswa, April 2012)



Soalan 2 : Pemahaman
[35 markah]


Soalan 2 (a) - Petikan Umum
Berdasarkan petikan soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
i
Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan.
[2 markah]

ii
Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan yang salah tentang khidmat kaunselor di sekolah.
Nyatakan tanggapan-tanggapan yang salah tersebut.


[3 markah]

iii
Pada pendapat anda, selain mendapatkan khidmat kaunselor, apakah tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid untuk menangani masalah yang dihadapi oleh mereka?


[4 markah]
                                                                       


Soalan 2 (b) - Petikan Prosa Moden
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Sejak kembali, Tuan Booth jauh berubah. Dia tak bagi terperap di estet. Pada setiap petang, biasanya selepas solat asar, dia akan menjengah ke surau. Dia akan duduk berbual-bual, bercerita itu ini, terutama dengan Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap. Ada sekali, sewaktu Ahmad Mutawakkil balik ke kampung, Tuan Booth mengundang kami ke banglonya.
“Dia pelawa kita minum teh di banglonya,” kata Ahmad Mutawakkil. “Saya fikir, Tuan Booth ikhlas nak berbaik-baik.”
Kami berdiam, tak berani bersuara, menantikan kata putus daripada Imam Ngah Deraman dan Penghulu Ibrahim Sigap.
Akhirnya, setelah agak lama buntu, Ahmad Mutawakkil meluahkan pandangan. “Selama Tuan Booth di sini, sejak dulu lagi, tak pernah dia memusuhi kita. Jadi, saya fikir atas sifat hati Melayu, orang berbudi kita berbahasa. Hati Melayu tak reti bermusuh, hati Melayu penuh dengan persahabatan.”
Dengan kata-kata hikmat itu, runtuhlah segala tembok penghalang antara kampung kami dengan estet Tuan Booth. Sekalipun tanpa Ahmad Mutawakkil, kami sudah biasa bertandang ke banglo mewah itu. Malahan, ada ketikanya, majlis yang diadakan di estet itu turut disertai orang perempuan. Isteri Tuan Booth yang terkenal dengan masakannya yang sedap-sedap itu kerap menghidangi kami dengan menu Orang Putih. Lebih istimewa, pada setiap kali ada majlis perkahwinan, Tuan Booth sekeluarga pasti akan meraikan pasangan pengantin di estetnya. Ada antara kami yang agak ragu-ragu dengan perkara itu.

(Dipetik daripada cerpen ‘Cinta Ahmad Mutawakkil’ oleh Zainal Rashid Ahmad
dalam antologi Sejadah Rindu, Dewan Bahasa dan Pustaka)

i
Berdasarkan petikan di atas, apakah perubahan sikap Tuan Booth semenjak dia kembali ke estetnya?

[2 markah]

ii
Pada pendapat anda, mengapakah Tuan Booth dan isterinya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat kampung penulis?
Berikan tiga sebab anda.



[3 markah]

iii
Jelaskan satu latar masyarakat yang terkandung dalam petikan dan satu latar masyarakat lain daripada keseluruhan cerpen tersebut yang tidak terdapat dalam petikan.


[4 markah]



Soalan 2 (c) - Petikan Prosa Tradisional
Baca petikan prosa tradisional di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu, “Tahukah tuan hamba sekalian bahawa ia ini anak hamba?”
       Maka sembah segala orang banyak itu, “Sahaya semua tahu juga; oleh tuanku tiada mengaku, sahaya semua takut mengatakan dia anak tuanku.”
       Maka Seri Nara Diraja pun tersenyum. Maka Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dua orang itu menjadi orang besar, maka anak Melayu pun berbelah, setengah pada Paduka Raja, setengah pada Seri Nara Diraja, kerana kedua-duanya sama orang berasal. Maka Seri Nara Diraja tidak muafakat dengan Paduka Raja, senantiasa beringgit juga; beberapa kali lain Paduka Raja kedapatan dengan Paduka Raja dalam kampung Seri Nara Diraja. Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu maka terlalulah dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir di dalam hati baginda, “Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besarnya tidak muafakat sama orang besar.”
       Hatta, maka baginda fikir berbicara hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia hadirlah. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”
(Dipetik daripada
“Burung Terbang dipipiskan Lada”
dalam antologi Sejadah Rindu,
Dewan Bahasa dan Pustaka)

i
Apakah maksud rangkai kata terlalu dukacita ?   
[2 markah]

ii
Nyatakan sebab-sebab Sultan Muzaffar Syah risau akan hubungan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja.

[3 markah]

iii
Sekiranya anda Sultan Muzaffar Syah, apakah tindakan yang akan lakukan untuk memulihkan hubungan antara para pembesar tersebut?

[3 markah]




Soalan 2 (d) - Sajak
Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
SEJADAH RINDU
Terkedu aku
di sejadah rindu
mengungkap kalimah syahdu
bait bicara tersentuh kalbu
merekah keinsafan di hati yang beku
mengenang dosaku yang terdahulu.
Berbekal pancaindera anugerah Tuhan
kupohon kembali nafas kehidupan
dalam keterhadan dan keterbatasan insan
moga terbuka ruang keampunan
sebelum saat aku dinisankan
di masa yang Kautetapkan.
Air mata menjadi saksi
keikhlasan menjadi bukti
akhirnya
aku sujud menghadap Ilahi
di keheningan yang sepi
lafaz taubat mengiringi
nafas sebak kian mengikuti.
Hati ini luluh 
jiwa yang kaku tersentuh
ayat-ayat cinta disusun kukuh
di sejadah rindu yang lusuh
kemaafan yang kupohon sungguh
dari Pencipta dalam gemuruh.
Ungkapan doa pada Yang Esa
izinkan aku menjadi manusia
yang taat sentiasa
pada perintah Maha Kuasa
agar aku tidak lupa
dunia ini hanya bersifat sementara.

Mohd. Haikal Aminuddin
Antologi Sejadah Rindu
Dewan Bahasa dan Pustaka.

i
Gambarkan keadaan penyajak semasa mengabadikan dirinya kepada Ilahi.


[2 markah]
ii
Bagaimanakah caranya untuk meningkatkan keinsafan diri seseorang?
Berikan tiga cadangan anda.

[3 markah]

iii
Huraikan dua perwatakan penyajak berdasarkan sajak tersebut.     
[4 markah]







Soalan 3 : Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa
[30 markah]
Jawab semua soalan.
Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.


i.
ii.
iii.
iv.
v.
vi.
kecil-kecilan
terang-terangan
kenang-kenangan
bermati-matian
bertolak-tolakan
bermaaf-maafan
[6 markah]





b.
Tukarkan cakap ajuk di bawah kepada cakap pindah tanpa mengubah maksud asalnya.

i.



ii.


iii.

“Saya tidak mahu kamu terus berasa rendah diri. Kamu perlu yakin pada diri sendiri jika ingin berjaya dalam hidup,” kata Cikgu Ismail kepada murid-muridnya.

“Wah, ramai sungguh ibu bapa yang hadir dalam mesyuarat agung PIBG sekolah kita pada kali ini!” kata Yang Dipetua PIBG kepada Pengetua.

“Nama saya Imran. Bolehkah saya berjumpa dengan Encik Harun?” tanya Imran kepada penyambut tetamu di pejabat itu.
[6 markah]



c.
Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
i.


ii.


iii.

Dalam pesidangan tersebut, pelbagai cadangan telah dikemukakan oleh para cendikiawan untuk menyelesaikan masalah pengangguran.

Syarikat pengangkutan bas awam perlu dikemaskinikan jadual perjalanan supaya para penumpang mendapat manafaat.

Encik Hamid yang menerima penganugerahan pekerja terbaik bagi bulan Mac merupakan kaki tangan bahagian penyelidikan di Agensi Nuklear Malaysia.
[6 markah]




d.
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
i.


ii.


iii.

Timbalan Perdana Menteri merupakan di antara tetamu kehormat yang hadir dalam mesyuarat jubli perak sekolah tersebut.

Pengerusi majlis menghulurkan ucapan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh pihak penaja.

Pihak berkuasa akan menggubal undang-undang sedia ada supaya lebih sesuai akan keperluan zaman sekarang.
 [6 markah]



e.
Tulis satu peribahasa yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama dengan peribahasa di bawah.
i.

ii.

iii.

Genggam bara api, biar sampai jadi arang.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga. 
[6 markah]



Soalan 4 : Novel
[15 markah]
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut :
i.
ii.
iii.
iv.
Songket Berbenang Emas karya Khairuddin Ayip
Tirani karya Beb Sabariah    
Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop
Silir Daksina karya Nizar Parman


(a)



(b)


Berdasarkan sebuah novel yang telah anda pelajari, huraikan perwatakan watak utama dalam novel tersebut.
[7 markah]

Setiap novel mengandungi nilai kemanusiaan yang dapat dicontohi oleh pembaca.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, jelaskan tiga nilai kemanusiaan yang terdapat dalam novel tersebut.
[8 markah]





No comments:

Post a Comment