Saturday, 4 March 2017

PENULISAN 1 : Perancangan untuk Mencapai Kecemerlangan dalam Peperiksaan

Soalan 1
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Jelaskan perancangan-perancangan anda untuk mencapai matlamat tersebut.

Memulakan kalimah bicara ini, saya ingin meminjam kata-kata hikmat daripada mantan Presiden Indonesia, Seokarno iaitu, “Gantunglah cita-citamu di langit yang tinggi walaupun kakimu menjejaki perlimbahan”. Demikianlah betapa besarnya cita-cita dan wawasan kepada kehidupan seseorang insan yang normal. Hidup tanpa cita-cita, ibarat subur sepohon yang rendang tetapi tidak berbuah. Justeru, cita-cita besar yang sedang saya impikan sekarang adalah untuk menjadi pelajar cemerlang dalam SPM 2015. Demikianlah hasrat yang turut dikongsi bersama oleh ibu bapa serta guru-guru saya juga.  Sungguhpun begitu, cita-cita amatlah ideal untuk diucapkan, sebaliknya terlalu perit untuk diterjemahkan menjadi realiti. Oleh itu, demi memenuhi hasrat murni tersebut, saya hendaklah bersedia dari sekarang dan banyak prakarsa yang harus saya lakukan.
Langkah pertama ialah saya perlulah menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahi Allah SWT kepada saya. Nikmat kesihatan merupakan aset peribadi yang tidak boleh dijual beli. Saya amat bersyukur kerana dilahirkan sempurna dengan wajah dan paras rupa yang baik. Allah mentakdirkan kepada saya kesihatan yang baik, pemikiran yang waras, dan emosi yang stabil. Alangkah bernilainya anugerah tersebut. Benarlah bak kata orang tua-tua, “nikmat sihat itu hanya berada pada seseorang yang sakit”. Dalam usia remaja ini, saya perlu peka terhadap pemilihan makanan dengan memilih makanan yang baik lagi halal dan menjauhi diri daripada mendekati makanan yang berbahaya. Saya amat serius tentang bahaya dadah, arak, dan rokok yang dengan jelas membawa mudarat kepada fizikal dan minda. Pertumbuhan fizikal pun hendaklah saya kawal dengan memastikan rutin harian dan latihan jasmani serta riadah dijalankan mengikut jadual. Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan pesan Nabi SAW dalam sebahagian daripada Hadithnya, “Jagalah nikmat sihat sebelum datang sakit”.
     Sebagai anak muda yang sedang meniti arus perubahan milenium, saya perlu memiliki visi dan hala tuju yang jelas. Hidup tanpa visi ibarat bahtera di tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Hidup akan terumbang-ambing dan tiada masa depan. Visi saya adalah menjadi insan cemerlang merangkumi dunia dan akhirat. Resepinya, saya perlu belajar ketika usia remaja dan mengenal pasti bidang kemahiran yang cocok dengan jiwa saya. Andai dimakbulkan Tuhan, saya berazam untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya dan kompeten dan mampu menggenggam ijazah sihingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D). Walaupun impian itu masih jauh ibarat di seberang lautan, namun kejayaan cemerlang pada peringkat SPM amatlah penting. Sememangnya, semua pihak sudah maklum bahawa SPM menjadi pananda aras untuk seseorang itu menentukan hala tujunya. Insya-Allah sekiranya saya gigih dan digarapi semangat juang, sesungguhnya di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
     Asas utama yang tidak kurang pentingnya untuk mencapai kejayaan ialah strategi belajar yang berkesan. Dalam masa yang sangat suntuk ini, saya perlu lebih bijak merancang strategi pembelajaran agar dapat mengimpakkan hasil. Oleh itu, saya perlu melipatgandakan latihan daripada koleksi soalan tahun-tahun sebelum. Saya perlu memperkukuh daya ingatan yang kadang-kadang memerlukan saya menghafal atau membuat latih tubi. Prakarsa yang efektif yang mampu saya lakukan adalah dengan membuat beberapa nota kecil yang bersaiz poket dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Konsep belajar secara berkumpulan juga hendaklah saya amalkan sebagai salah satu daripada strategi belajar secara berkesan. Percambahan idea dan sikap saling memberi dan menerima dengan rakan-rakan hendaklah saya utamakan. Pendapat rakan harus diraikan dan tidak pula lokek untuk menyumbangkan idea. Sesungguhnya, inilah sikap saling membantu bak aur dengan tebing.
Meminjamkan sepotong firman dalam al-Quran yang bermaksud, “Bertanyalah kepada yang bijak seandainya kamu tidak tahu” jelas menuntut supaya saya sentiasa berdampingan dengan tokoh-tokoh ilmuwan. Mereka itu pastilah para guru, ikon-ikon yang berjaya dan golongan profesional dalam bidang yang ingin saya ceburi. Sekiranya ingin menjadi tokoh korporat maka golongan peniaga yang harus didekati atau jikalau mahu menjadi pemimpin nescaya tokoh-tokoh politik, pemimpin masyarakat, dan NGO yang wajar saya dekati. Daripada merekalah akan terbina motivasi untuk saya merancang masa depan. Sikap malas belajar dan malu bertanya harus dikikis daripada jiwa dan sanubari, bak kata peribahasa minta pada yang ada, mengaji pada yang tahu dan sentiasa berwaspada sikap malu bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu hanyut.
Kendatipun, sebagai hamba-Nya, sebanyak manapun perancangan yang disusun, Allah SWT tidak boleh saya lupakan sama sekali dalam segala urusan. Allah tahu akan apa-apa yang tersurat dan tersirat di dalam benak sanubari kita. Saya yakin kepada qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Namun, atas sifat pemurah-Nya, doa dan kegigihan tidak pernah menghalang untuk kita berjaya. Saya cukup yakin, hasil ramuan usaha yang gigih dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah pasti segala yang dihajati akan menjadi kenyataan. Ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain akan saya implementasikan dengan istiqamah. Saya sangat pasti selangkah kita ke hadapan mahupun selangkah surut ke belakang, Allah pasti bersama-sama kita. Oleh itu, dalam menggapai impian dan wawasan, Allah jangan sama sekali dijauhi.

    Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
       Bagai bunga kembang tak jadi.

Serangkap pantun di atas mengajari saya bahawa dalam melengkapkan cita-cita, justeru usaha, ilmu, dan keiltizaman hendaklah diolah dengan sebaik mungkin. Adat muda memikul tugas dan muda juga tidak berulang datang, justeru untuk memastikan segala hajat dan impian terlaksana maka usia muda hendaklah saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya, saya amat yakin apabila segala persediaan diri berada di atas trek yang betul, insya-Allah segala impian pasti menjadi kenyataan.



No comments:

Post a Comment