FORMULA
TERMODINAMIK
(Obasiah Haji
Usman)
Sinopsis
Keseluruhan
Cerita Formula Termodinamik digambarkan dengan latar kampung yang
dikelilingi sawah. Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak
mereka yang selalu bermain di sawah bersama-sama Usama, Adnin dan Zaid. Asma
anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajarannya di maktab
perguruan manakala Amir dan Usama ke Politeknik. Usamah di Perak dan Amir di
Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti
semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma.
Amir dan Usama telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya
berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah. Amir menggunakan
formula Termodinamik bagi memprogramkan mesin rumput terpakai dan projek ini
dibantu oleh Profesor Othman dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan
kejayaan. Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam
1, Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Aswan bercadang untuk
mencipta model yang sama, menggunakan mesin rumput yang panjang dan stor minyak
petrolnya digantung di belakang dan di hujung pemotong rumput itu diwujudkan
tangan robot. Namun begitu, semua nota telah hilang dan perkara tentang Formula
Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Amir sangat risau akan
kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik dan tiba-tiba sahaja storan
formulanya hilang.
Selain itu, Amir terkejut juga
apabila didapati pencerobohan berlaku pada data syarikat ayahnya. Amir cuba
menerangkan perkara yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepunyaan ayahnya
tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Amir telah mengatur strategi untuk
menangkap penjenayah. Akhirnya Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usama
kerana dialah yang mencuri Formula Termodinamik tersebut. Projek mesin 2 dalam
1 ciptaan Amir dan Usama telah memenangi Anugerah Saintis Muda dan mereka turut
mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.
Sinopsis Bab demi
Bab
Bab 1
Amir dan Asma mengimbau kenangan manis zaman kanak-kanak mereka yang selalu
bermain di sawah bersama-sama Usamah, Adnin dan Zaid. Asma adalah dua pupu Amir
dan Usamah. Asma anak kacukan Dusun dan Brunei, berjaya melanjutkan pelajaran
di maktab perguruan manakala Amir dan Usamah ke Politeknik. Usamah di Perak dan
Amir di Putatan. Mereka bertemu semula ketika Amir dan Usamah menghabiskan cuti
semester di rumah nenek mereka yang tinggal bersebelahan dengan rumah Asma.
Amir mula berasa ada perasaan indah yang terbit di hatinya terhadap Asma tetapi
Asma pula seperti menyimpan cerita yang sukar diungkapkan. Dalam masa yang sama
Amir dan Usamah telah merancang satu projek pengubahsuaian mesin rumput supaya
berfungsi sebagai pemotong rumput dan mencangkul tanah. Amir menggunakan formula Termodinamik bagi
memprogramkan mesin rumput yang terpakai dan dibantu oleh Profesor Othman
dengan Formula Dua Hukum Popular bagi memastikan kejayaan projek tersebut.
Bab 2
Sejak tersebar berita Amir dan rakan-rakannya mencipta mesin 2 dalam 1,
Aswan berasa kurang senang dan ingin menyaingi mereka. Dia juga mahu menebus
kekecewaannya ketika di Politeknik dulu walaupun dia tahu dia tidak sehebat
Amir dan Usamah. Dia mahu membuktikan yang dia tidak lemah, dia bijak dan
handal serta mampu menyaingi Amir dan Usamah. Aswan bertekad akan menentang
Amir dan Usamah. Dia tidak akan membiarkan kedua-dua sepupu itu menempa nama di
Kampung Warisan. Aswan menyuarakan hasrat tersebut kepada kawan-kawan baiknya,
Fikri dan Majibon. Aswan bercadang untuk mencipta model yang sama, menggunakan
mesin rumput yang panjang dan stor minyak petrolnya digantung di belakang dan
di hujung pemotong rumput itu diwujudkan tangan robot. Fikri dan Majibon agak
kurang senang dengan hasrat dan tujuan Aswan yang ingin menyaingi Amir dan
Usamah sehingga berlaku sedikit percanggahan prinsip di antara mereka dengan
Aswan. Bagi Fikri dan Majibon persaingan
biarlah sihat dan tidak bermusuhan.
Namun begitu, Fikri dan Majibon
tidak sampai hati untuk menghampakan Aswan.
Projek tersebut akan dijalankan dengan bantuan Fikri dan Majibon namun
yang menjadi masalah ialah mereka tidak mempunyai formula. Fikri dan Majibon
tidak pernah belajar bidang kejuruteraan, hanya Aswan seorang pernah belajar
teori kejuruteraan waktu di Politeknik.
Namun begitu, semua nota-notanya telah hilang dan banyak perkara tentang
Formula Dua Hukum Popular Termodinamik tidak diketahuinya. Walaupun dengan
sedikit pengetahuan, Aswan tetap yakin
mampu menyaingi Amir dan Usamah kerana dia tidak mahu meminta bantu daripada
Amir, Usamah dan Profesor Othman seperti yang disarankan oleh Fikri dan
Majibon.
Bab 3
Amir dan Usamah bertungkus lumus membuat pengubahsuaian bagi memastikan projek mesin 2 dalam 1 mereka berjalan
lancar. Mesin tersebut menggunakan kuasa 6 kw, kincir angin model SAMA, iaitu
singkatan Sabah, Malaysia. Mana-mana
komponen yang tidak boleh dibuat sendiri kerana kekurangan kelengkapan seperti
membentuk mata pisau cangkul dihantar ke kedai besi untuk dibentuk. Aswan, Fikri dan Majibon telah datang melihat
projek mesin 2 dalam 1 yang diusahakan oleh pasangan sepupu itu. Fikri dan Majibon sangat berminat dengan
projek tersebut. Mereka telah diberi
penerangan terperinci tentang proses pengubahsuaian dan pengendalian mesin 2
dalam 1 oleh Amir , penuntut tahun akhir Diploma Kejuruteraan Am. Aswan lebih
berminat melihat bilik operasi.
Bab 4
Setelah kerja-kerja pengubahsuaian mesin 2 dalam 1 siap, Zaid dan Adnin mengajak
Amir dan Usamah pergi memancing di sawah untuk menenangkan fikiran. Semasa memancing itulah Zaid dan Adnin telah
bercerita tentang kecurian baja subsidi orang Kampung Warisan dari stor dewan.
Zaid yakin bahawa Aswan dan rakan- rakannya yang telah mencuri baja
tersebut.
Bab 5
Aswan sangat gembira kerana telah berjaya memperoleh formula yang
diperlukan untuk melaksanakan projek impiannya, mencipta mesin menanam padi.
Mesin ini amat relevan untuk masa depan
yang dapat mengurangkan risiko generasi menjadi bongkok. Lakaran grafik yang
telah disediakan oleh Aswan diperlihatkan kepada Fikri dan Majibon. Aswan
secara terperinci menerangkan cara projek itu akan dimulakan sehinggalah ke
peringkat operasi.
Bab 6
Amir sangat risau akan kehilangan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.
Tiba-tiba sahaja storan data formulanya hilang. Dia berasa kesal kerana cuai
dan tidak menyimpan storan dengan baik. Bertahun-tahun dia mengumpul data untuk
menyiapkan formula tersebut dan dibantu oleh Profesor Othman. Dia tidak tahu
orang yang telah menceroboh masuk ke bilik operasi mereka. Bukan mudah untuk
dia mengingati formula tersebut. Amir risau tidak dapat menunaikan janjinya
kepada nenek untuk membajak tapak
semaian dengan mesin 2 dalam 1 tersebut.
Bab 7
Amir dan Usamah pulang ke Putatan. Sampai sahaja di rumahnya, Amir terus ke
pejabat persendirian ayahnya untuk mencari Formula Termodinamik dan melayari
data Syarikat Bahagia. Amir amat terkejut mendapati ada pencerobohan sedang
berlaku pada data syarikat ayahnya. Amir
dan Usamah berusaha untuk menyekat pencerobohan tersebut dengan menerbit kod
baru Adang Keselamatan Rahsia.
Bab 8
Intan, ibu Amir amat terkejut apabila diberitahu oleh Amir tentang
pencerobohan data Syarikat Bahagia.
Tetapi Amir tidak berpeluang untuk menceritakan peristiwa itu kepada
ayahnya kerana dia berada di Manila atas urusan perniagaan. Amir dan Usamah
pulang semula ke Kampung Warisan. Mereka sangat gembira melihat Asma, Zaid dan
Adnin sedang menolong neneknya di tapak semaian. Adnin sedang menolak mesin 2
dalam 1 untuk menyediakan tapak semaian. Neneknya tersenyum bangga. Amir mewarisi kepintaran anaknya, Damit.
Bab 9
Amir bangga melihat semangat bergotong royong masih menjadi amalan penduduk
Kampung Warisan. Ramai penduduk kampung
datang menolong menanam padi di sawah neneknya. Usamah bersungut tentang mesin
ciptaan Aswan yang belum disiapkan lagi, jika tidak bolehlah digunakan oleh
orang kampung pada musim menanam kali ini. Tiba-tiba mereka dikejutkan dengan
suasana hingar-bingar. Amir dan Usamah terperanjat melihat nenek jatuh ke dalam
air paya. Pak Cik Suib, ayah Asma mengangkat nenek ke batas sawah. Nenek tidak
bersuara. Amir dan Usamah berusaha memberi pertolongan kepada nenek. Setelah
sedar nenek dibawa pulang ke rumah. Atas desakan Asma nenek kemudiannya
dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Bab 10
Nenek menjalani pembedahan kecil pada buku lalinya untuk memastikan tidak
ada pendarahan dan bagi mengelakkan jangkitan kuman ke anggota lain. Semua ahli
keluarga Amir, ayah, ibu dan adik-adiknya serta Usamah turut berada di hospital
menemani nenek. Nenek sangat terharu dengan layanan dan kasih sayang daripada
anak cucunya.
Bab 11
Aswan tidak lagi memberi fokus kepada projek mesin menanam padinya tetapi
banyak masanya dihabiskan di hadapan komputer. Dia tidak berpuas hati selagi
pencariannya belum berhasil. Aswan mencuba meramal beberapa nombor digital
sehinggalah dapat ditembusi. Maklumat yang ditemui beberapa hari lalu muncul
semula. Pengaliran data itu tidak dapat disekat lagi. Aswan terpukau melihat jumlah aset syarikat
tersebut. Dia sangat teruja dan memperlihatkan data tersebut kepada Fikri dan
Majibon. Aswan bercadang memindahkan wang sejumlah RM1.3 juta itu ke dalam
akaunnya. Majibon membantah keras hasrat
Aswan itu atas prinsip agama melarang mengambil hak orang lain.
Aswan kemudiannya bercadang
untuk mengambil RM10,000.00 sahaja sebagai modal menjalankan projek mereka.
Fikri pula menentang hasrat Aswan dan mengingatkan mereka perlu berpegang teguh
pada etika kerja serta bersaing secara sihat. Dalam masa yang sama, Amir dapat
mengesan pencerobohan dan data syarikat ayahnya dibocori lagi. Usamah berusaha
keras mengesan kebocoran data tersebut dan cuba menyekatnya. Akhirnya mereka
bersepakat untuk menyiasat perkara tersebut.
Bab 12
Amir cuba menerangkan peristiwa yang berlaku kepada Syarikat Bahagia kepada
ayahnya tetapi gagal kerana ayahnya terlalu sibuk. Intan, ibu Amir telah
menceritakan pencerobohan dan kebocoran maklumat syarikat mereka. Pada masa
yang sama Amir dan Usamah telah kembali semula ke Kampung Warisan. Nenek
mereka telah beransur sihat dan akan keluar dari hospital. Amir berasa bangga
melihat mesin 2 dalam 1 ciptaan mereka digunakan oleh bapa Zaid dan orang-orang
kampung untuk membajak tanah. Hasil ciptaan mereka telah dapat berbakti kepada
orang kampung. Zaid dan Adnin pula telah melaporkan peristiwa yang telah dapat
menjejak penjenayah Kampung Warisan yang
menyimpan barang-barang curi di sebuah pondok tidak jauh dari pangkalan. Amir
telah mengatur strategi untuk memerangkap penjenayah itu.
Bab 13
Dua hari membuat persiapan dan mengatur strategi, Amir dan rakan-rakannya
bergerak selepas Isyak menuju ke pondok yang dinyatakan oleh Zaid. Setengah jam
perjalanan mereka sampai di pangkalan.
Dari situ mereka bergerak ke sebuah pondok dan bersembunyi di tempat
yang sukar dikesan oleh penjenayah. Dari situ mereka mengatur strategi untuk
memerangkap penjenanyah tersebut. Akhirnya Lahop dan Oyong pemuda Kampung
Warisan yang diupah menjaga pondok tersebut dapat diberkas dan dihantar ke
balai polis. Amir menemui CD yang menyimpan seribu rahsia yang sukar
ditafsir.
Bab 14
Semalaman Amir tidak dapat tidur memikirkan CD yang ditemukan semasa
operasi penangkapan dua orang pemuda di pondok berhampiran dengan pangkalan.
Amir dan Usamah berasa kehilangan Formula Termodinamik ada kaitan dengan CD
tersebut. Tiba-tiba ada e-mel masuk. Orang yang tidak dikenali menghantar mesej
meminta maaf.
Mereka kehairanan dan
mengesyaki itulah orang yang telah mencuri formula mereka. Mereka cuba bertanya
tentang penghantar e-mel itu tetapi tiada jawapan. Kemudian Zaid datang membawa
berita bahawa Asma akan berkahwin. Adnin pula menyusul dalam keadaan basah
kuyup dan mengajak mereka membantu memindahkan orang kampung kerana air telah
naik melepasi satu meter.
Bab 15
Aswan, Fikri dan Majibon dibawa arus deras. Mereka hanya berpaut pada
sebatang kayu untuk menyelamatkan diri. Aswan rasa menyesal tidak mendengar
nasihat ibunya supaya tidak menghadiri majlis sambutan Krismas di rumah Majibon
kerana cuaca buruk. Dia juga mulai sedar mungkin itu adalah balasan Allah
terhadap dosa-dosa yang telah dilakukannya. Dalam suasana gelap malam mereka
bertiga terus berpaut pada sebatang kayu sehinggalah diselamatkan oleh Amir dan
rakan-rakannya. Aswan telah meminta maaf kepada Amir dan Usamah serta mengaku
dialah yang mencuri Formula Termodinamik dan penghantar e-mel.
Bab 16
Projek mesin 2 dalam 1 ciptaan Amir dan Usamah telah membolehkan mereka memenangi Anugerah Saintis
Muda dan mereka turut mendapat biasiswa kerajaan bagi melanjutkan pelajaran di
luar negara. Pada hari keberangkatan,
semua ahli keluarga berada di lapangan terbang.
Aswan, Fikri dan Majibon turut sama. Asma datang mengucapkan tahniah
kepada mereka berdua dengan menghulurkan sejambak mawar putih buat Usamah dan
mawar merah buat Amir.
Tema
Tema novel ini ialah
cabaran hidup remaja dalam usaha mengubah suai mesin terpakai yang boleh
dimanfaatkan oleh penduduk kampung. Hal ini dibuktikan menerusi watak Amir dan
Usamah yang yang berwawasan tinggi ingin mengubah suai mesin rumput terpakai
menjadi mesin mencangkul tanah dengan bantuan Profesor Othman yang meminjamkan
Formula Dua Hukum Popular Termodinamik. Inovasi tersebut dinamakan mesin 2
dalam 1 yang berfungsi sebagai pemotong rumput dan boleh membajak tanah. Mesin
2 dalam 1 ini akhirnya telah digunakan secara meluas oleh penduduk Kampung
Warisan. Apabila usaha tersebut
diketahui oleh Aswan, lelaki tersebut ingin menyaingi rakannya itu dengan
mencipta model yang sama tetapi berbeza fungsinya. Aswan melakukan jalan pintas
dengan mencuri Formula Dua Hukum Popular Termodinamik. Amir dan Usamah pula
telah menerima Anugerah Saintis Muda.
Persoalan
Terdapat beberapa persoalan dalam novel ini, antaranya :
i. Persoalan
tentang tanggungjawab melakukan inovasi untuk
kepentingan masyarakat.
Contoh: Amir dan Usamah berusaha melakukan
pengubahsuaian terhadap mesin rumput terpakai bagi memudahkan neneknya dan
orang kampung membajak tanah untuk pertanian.
ii. Persoalan
mengamalkan etika
Contoh: Fikri sangat berpegang teguh
kepada etika kerja yang bersih iaitu
bersaing secara sihat
dan tidak menganggap Amir dan
Usamah sebagai musuh dalam melaksanakan projek masing-masing.
iii. Persoalan taat kepada ajaran agama.
Contoh: Fikri menentang keras
hasrat Aswan yang ingin memindahkan wang RM 1.3 juta milik syarikat yang telah
diceroboh ke dalam akaunnya. Dia mengingatkan Aswan bahawa agama melarang kita
mengambil hak orang lain, perbuatan yang tidak bermoral.
iv. Persoalan
perniagaan dan keusahawanan
Contoh: Bapa Aswan seorang
usahawan import eksport.
v.
Persoalan kasih sayang nenek
terhadap anak cucunya.
Contoh: Nenek
sentiasa menyokong usaha Amir dan Usamah dalam menjayakan Projek mesin 2 dalam
1 dan nenek juga banyak mengajar serta mendidik mereka. Walaupun baru saja
menjalani pembedahan, nenek sudah teringat hendak membuat kuih bahulu kegemaran
bapa Usamah. Nenek juga berjanji untuk membuat kuih jala untuk Amir.
vi. Persoalan tanggungjawab
terhadap seorang sahabat.
Contoh: Zaid, Amir, Usamah dan
Adnin telah menyelamatkan Aswan, Fikri dan Majibon daripada mati lemas dalam
kejadian banjir di kampung mereka.
vii. Persoalan mengamalkan budaya
ilmu.
Contoh: Amir dan
Usamah telah mempraktikkan ilmu yang dipelajari di politeknik untuk
menghasilkan projek mesin 2 dalam 1 bagi membajak tanah pertanian untuk
kegunaan orang kampung dan tidak lokek berkongsi ilmu dengan orang lain (ingin
membantu Aswan dalam projek mesin menanam padi).
viii. Persoalan tentang kerjasama
untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah
Usamah bekerjasama dengan Amir mengubah suai
mesin rumput terpakai untuk dijadikan mesin 2 dalam 1 bagi membantu
petani-petani di kampung mereka.
Penduduk bekerjasama menjalankan kerja di
sawah nenek.
Golongan remaja bekerjasama untuk menangkap
pencuri yang menimbulkan masalah kepada penduduk kampung.
ix. Persoalan tentang kegigihan untuk
berjaya
Apabila Formula Dua Hukum Termodinamik hilang, Amir dan Usamah
berusaha dengan gigih untuk mendapatkan formula tersebut bagi memastikan projek
mereka itu dapat dihasilkan.
x. Persoalan tentang kemahiran
menggunakan komputer dan teknologi maklumat
Usamah yang mahir dalam komputer
telah mencipta kod keselamatan untuk Syarikat Bahagia.
Aswan melukis grafik mesin
ciptaannya dengan menggunakan komputer.
Watak dan Perwatakan
1. Amir (Watak Utama)
·
Seorang yang pemaaf
dan tidak berdendam.
Sebagai
contoh, Amir memaafkan Aswan walaupun banyak kesalahan yang dilakukan oleh
Aswan terhadap dirinya.
·
Seorang yang
kreatif dan inovatif.
Sebagai
contoh, Amir mencipta mesin 2 dalam 1 berpandukan Formula Dua Hukum Popular
Termodinamik dan menggunakan kreativiti dan inovasi.
·
Seorang yang
bijaksana.
Sebagai
contoh, Amir membuat rancangan untuk memberkas penjenayah yang mencuri baja
subsidi penduduk kampung dengan bijaksana.
Dia dapat
menerangkan cara-cara pengoperasian mesin yang diubah suainya secara terperinci
kepada Fikri.
Seorang
yang mahir dalam teknologi komputer
Dia dapat
mengesan bahawa ada orang berusaha untuk memindahkan storan data Syarikat
Bahagia.
·
Seorang yang
penyayang.
Sebagai
contoh, Amir menyayangi neneknya.
·
Seorang yang
bersungguh-sungguh.
Sebagai
contoh, Amir mencipta mesin 2 dalam 1 dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya,
mesin tersebut mendapat sambutan penduduk kampung.
·
Seorang yang gigih
berusaha
Dia
mencipta model ciptaannya berdasarkan data Formula Termodinamik yang sudah
bertahun-tahun dikumpulnya dengan bantuan Prof.Othman.
·
Seorang yang
berjiwa besar
Dia menasihati Zahid agar
tidak buruk sangka terhadap Aswan yang mengheboh-hebohkan mesin ciptaannya.
2. Usamah (Watak Sampingan)
·
Seorang yang
kreatif dan inovatif.
Sebagai
contoh, Usamah mencipta mesin 2 dalam 1 berpandukan Formula Dua Hukum Popular
Termodinamik dan menggunakan kreativiti dan inovasi.
·
Seorang yang
penyayang.
Sebagai contoh, Usamah menyayangi
neneknya.
·
Seorang yang
bersungguh-sungguh.
Sebagai contoh, Usamah mencipta mesin
2 dalam 1 dengan bersungguh-sungguh dan hasilnya, mesin tersebut mendapat
sambutan penduduk kampung.
·
Seorang yang kurang
sabar.
Sebagai
contoh, Usamah berasa sangat marah apabila seorang pengguna Internet yang
menghantar e-mel kepada Amir untuk meminta maaf tidak menjawab pertanyaan
mereka.
3. Aswan
Dua pupu Amir dan Usamah
Anak kepada usahawan import dan
eksport
Berkawan baik dengan Majibon
dan Fikri
Iri hati dengan pencapaian Amir
dan Usamah
Mencuri pena pemacu dan
maklumat Syarikat Bahagia
Insaf dan meminta maaf kepada
Amir
4. Asma
Gadis berdarah kacukan Dusun
dan Brunei
Berkulit putih
Tinggi sederhana dan raut wajah
lembut serta menawan
Mempunyai hubungan dua pupu Amir
dan Usamah
LATAR TEMPAT :
1. Di Pejabat Persendirian Damit
Syarikat Bahagia – Putatan - tempat Amir menyiasat penjenayah siber yang cuba
membocorkan maklumat Syarikat Bahagia.
2. Kampung Warisan, Papar
iaitu tempat
kelahiran Amir dan Usaniah dan di kampung itulah proses mengubah suai mesin
dilakukan berdasarkan Formula Dua Hukum Popular Termodinamik, sehingga
terhasilnya mesin 2 dalanm 1 untuk dimanfaatkan oleh para petani.
3. Tapak semaian, di Kampung
Warisan,
iaitu tempat mesin 2 dalam 1 digunakan
untuk menggantikan cangkul.
4. Lapangan terbang
iaitu tempat Amir
dan Usamah dihantar oleh ahli keluarga mereka sebelum berlepas ke luar negara
untuk melanjutkan pelajaran.
5. Di bilik pembedahan - tempat
nenek Amir menjalani pembedahan kecil di buku lalinya.
6. Di Kampung Pimping - tempat
rombongan bapa Aswan untuk membincangkan persiapan majlis perkahwinan Asma dan
Asman.
7. Di sawah padi - tempat Amir,
Usamah, dan Asma berlari-lari.
8. Di dalam bilik - tempat Amir
menghadap komputer dan berkomunikasi dengan Profesor Othman di skrin komputer.
9. Di tepi sungai - tempat Amir,
Usamah, dan Asma memancing ikan.
10. Di atas tangga, rumah Amir -
tempat Amir termenung dan memikirkan kehilangan Formula Dua Hukum Popular
Termodinamik.
11. Di rumah Majibon- tempat
sambutan majlis Hari Krismas diadakan.
LATAR MASA :
Malam sambutan Hari Krismas,
·
semasa berlakunya
kejadian air bah yang sangat dasyat sehingga hampir meragut nyawa Aswan,
Majibon, dan Fikri.
Selepas waktu isyak,
·
Amir dan
rakan-rakannya bersiap-siap untuk memulakan misi memerangkap dan menangkap penjenayah
siber.
Pada pukul 12.00 tengah malam,
·
Amir dan Usamah
tiba di rumah dan terus ke pejabat persendirian Damit. Mereka meneliti komputer
ayah Amir dan mendapati ada orang yang berusaha untuk memindahkan storan data
Syarikat Bahagia.
Pada suatu pagi,
·
hujan lebat
mencurah-curah, air naik sehingga satu meter, dan semua penduduk kampung
dipindahkan ke balai raya.
LATAR MASYARAKAT
1.
Masyarakat yang
berpendidikan tinggi.
Sebagai contoh,
Asma menuntut maktab perguruan, manakala Amir dan Usamah pula merupakan
penuntut politeknik serta bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara.
2.
Masyarakat yang
masih mengamalkan sikap bergotong-royong.
Sebagai contoh, orang kampung bergotong-royong untuk menyiapkan
sawah milik nenek Amir.
3.
Masyarakat yang
masih mempunyai sifat iri hati dan hasad
dengki apabila melihat kejayaan orang lain.
Sebagai contoh, Aswan iri hati terhadap Amir dan Usamah
yang mengubah suai mesin rumput. Aswanmelakukan jalan pintas
dengan mencuri Formula Dua Hukum Popular Termodinamik.
4.
Masyarakat golongan
muda yang mengamalkan semangat kerjasama.
Sebagai contoh, Adin yang sedang menunggu keputusan SPM
mengajak Amir dan Usamah untuk membantu mangsa banjir yang telah pindah di
kampung mereka.
5.
Masyarakat yang
suka mengambil kesempatan dan mementingkan diri sendiri.
Sebagai contoh, Aswan telah mencuri pemacu pena [pen
drive] milik Amir yang mengandungi Formula Termodinamik demi kepentingan.
6. Masyarakat yang penyayang
Sebagai contoh, Amir,
Usamah dan Asma sayang akan nenek. Apabila nenek lemas, Amir memberikan rawatan
kecemasan kepada nenek. Usamah pula menjaga nenek semasa sakit dan Asma
bertegas supaya nenek dihantar ke hospital.
7. Masyarakat yang insaf atas
kesilapan yang dilakukan
Sebagai contoh, Aswan
meminta maaf daripada A8mir atas kesalahannya mencuri pemacu pena dan mencuba
memindahkan asset bapa Amir ke dalam akaun bapanya.
8. Masyarakat yang berkemahiran
menggunakan komputer dan teknologi maklumat
Sebagai contoh, Usamah yang mahir dalam komputer telah
mencipta kod keselamatan untuk Syarikat Bahagia. Aswan melukis grafik mesin
ciptaannya dengan menggunakan komputer.
9. Masyarakat yang gigih untuk
berjaya
Sebagai contoh, apabila
Formula Dua Hukum Termodinamik hilang, Amir dan Usamah berusaha dengan gigih
untuk mendapatkan formula tersebut bagi memastikan projek mereka itu dapat
dihasilkan.
NILAI MURNI :
1. Kerjasama
Sebagai contoh, penduduk Kampung Warisan, Papar bergotong-royong mengusahakan padi untuk
memastikan kerja-kerja pertanian dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Sebagai contoh, kerjasama Amir dan
Usamah untuk mengubah suai mesin rumput terpakai menjadi mesin 2 dalam 1 berpandukan
Formula Termodinamik berserta kreativiti dan inovasi.
2. Kasih sayang
Sebagai contoh, Intan berasa risau dan amat bimbang akan keselamatan Amir apabila anaknya
itu meninggalkan rumah tanpa memberi sebarang pesan.
Sebagai contoh, Amir dan Usamah sangat
menyayangi nenek mereka. Hal ini terbukti apabila mereka melawat nenek mereka
yang dimasukkan ke hospital kerana perlu menjalani pembedahan buku lali.
3. Kejujuran
Sebagai contoh, Fikri menentang hasrat Aswan memindahkan wang Syarikat Bahagia sebayak
RM1.3 juta kerana menganggap perbuatan itu tidak bermoral.
4. Keberanian
Sebagai contoh, Amir berani menyerbu masuk ke dalam pondok untuk menangkap penjenayah yang
mencuri harta benda penduduk Kampung Warisan.
5. Keinsafan.
Sebagai contoh, Aswan berasa
sangat menyesal kerana bersikap dengki akan Amir yang mencipta mesin 2 dalam 1.
Oleh itu, Aswan meminta maaf kepada Amir.
6. Kegigihan.
Sebagai contoh, Amir dan Usamah berusaha
dengan gigih untuk menyiapkan mesin 2 dalam 1 kerana ingin membantu penduduk
kampung dalam penanaman padi. Mesin ciptaan mereka mendapat sambutan orang
ramai kerana memerlukan kos yang rendah dan mudah dikendalikan.
PENGAJARAN :
1. Kita hendaklah mengamalkan sikap
bekerjasama
Sebagai contoh,
penduduk Kampung Warisan, Papar bergotong-royong mengusahakan padi untuk
memastikan kerja-kerja pertanian dapat dilakukan dengan lebih cepat.
Kita hendaklah mengamalkan
sikap bekerjasama [antara satu sama lain] untuk menyiapkan sesuatu perkara
supaya perkara itu menjadi lebih mudah. Sebagai contoh, Amir dan Usamah Amir
dan Usamah bekerjasama antara satu sama lain untuk mengubah suai mesin rumput
terpakai menjadi mesin 2 dalam 1 berpandukan Formula Termodinamik berserta
kreativiti dan inovasi.
2. Kita semestinya memiliki sikap
kasih sayang
Sebagai contoh, Intan berasa risau dan amat bimbang akan
keselamatan Amir apabila anaknya itu meninggalkan rumah tanpa memberi sebarang
pesan.
Sebagai contoh, Amir dan Usamah sangat menyayangi nenek mereka. Hal ini
terbukti apabila mereka melawat nenek mereka yang dimasukkan ke hospital kerana
perlu menjalani pembedahan buku lali.
3. Kita sewajarnya memiliki sikap
jujur
Sebagai contoh, Fikri menentang hasrat Aswan memindahkan wang
Syarikat Bahagia sebayak RM1.3 juta kerana menganggap perbuatan itu tidak
bermoral.
4. Kita hendaklah memiliki sikap
berani
Sebagai contoh, Amir berani menyerbu masuk ke dalam pondok
untuk menangkap penjenayah yang mencuri harta benda penduduk Kampung Warisan.
5. Kita mestilah berusaha dengan
gigih semasa melakukan sesuatu perkara agar kita mendapat kejayaan.
Sebagai contoh, Amir dan Usamah
berusaha dengan gigih untuk menyiapkan mesin 2 dalam 1 kerana ingin membantu
penduduk kampung dalam penanaman padi. Mesin ciptaan mereka mendapat sambutan
orang ramai kerana memerlukan kos yang rendah dan mudah dikendalikan.
6. Kita sepatutnya segera insaf
akan kesalahan kita dengan meminta maaf agar hidup kita bahagia. Sebagai
contoh, Aswan berasa sangat menyesal kerana bersikap dengki akan Amir yang
mencipta mesin 2 dalam 1. Oleh itu, Aswan meminta maaf kepada Amir.
PLOT / BINAAN PLOT
·
Permulaan
– Permulaan
novel Formula Termodinamik ialah Amir, Usamah dan dibantu oleh Asma, Zaid dan
Adnin bertungkus lumus mengubah suai mesin rumput agar menjadi mesin yang
mempunyai dua fungsi iaitu berfungsi sebagai pemotong rumput dan membajak
(menggembur) tanah. Mereka meminta bantuan Profesor Othman menggunakan Formula
Dua Hukum Termodinamik.
§
Perkembangan
– Peringkat
perkembangan cerita apabila terdapat pelbagai halangan di mana Amir kehilangan
pena pemacu dan sikap iri hati Aswan. Di samping formula pengubahsuaian dicuri,
Aswan juga berusaha mencuri maklumat Syarikat Bahagia kepunyaan ayah Amir.
§
Klimaks
– Peringkat Klimaks novel Formula Termodinamik
ialah Amir, Usamah, Zaid, dan Adnin berjaya memerangkap pencuri di Kampung
Warisan dan penemuan semula pena pemacu serta berjaya menyekat pengaliran
maklumat Syarikat Bahagia.
§
Peleraian
– Peringkat peleraian novel Formula
Termodinamik apabila Aswan dan rakan-rakannya dihanyutkan oleh arus deras
ketika hujan lebat di kampung mereka dan mereka diselamatkan oleh Amir dan
rakan-rakannya. Aswan telah menyesali perbuatannya dan meminta maaf kepada
Amir. Amir dan Aswan menerima Anugerah Saintis Muda kerana berjaya mencipta
mesin 2 dalam 1 dan ditawarkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran mereka.
3 comments:
kenape tk de gaya bahasa susah nk buat kerja skola :/
Kalau latar masyarakat Yang setia dlm persahabatan dlm watak utama Amir apap yer?
(-_-)
Post a Comment