Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi
muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi
memartabatkan permainan tradisional di
negara kita.
Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus
modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan
tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita
daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan
budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang
tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis
permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara
jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah
panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan
sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh
generasi muda. Hal ini membayangkan
bahawa permainan tradisional berkenaan
akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya
dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah
peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan
tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk
memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri
terhadap permainan tradisional. Remaja
pada masa ini banyak terdedah dengan
pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan
tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai generasi muda, saya harus sedar bahawa saya berperanan
memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas
kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan
permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan
tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional
yang ada di negara kita. Terdapat banyak
laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan
tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran
dalam diri sendiri untuk memartabatkan
permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang
semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan
tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan
rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi
menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan
yang lebih tua tentang cara-cara permainan tradisional tersebut bagi
membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif
ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk
semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan
diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif
akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi
diri saya lebih baik mengisi masa dengan
bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak
berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan
permainan tradisional, saya sebagai pelajar
sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan
tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya
akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan
permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di
sekolah. Hal ini secara tidak langsung
akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan
menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat
sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara
aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan
bermain congkaka dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih
berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja
terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan
tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta
amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai
permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara
semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah
memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya
sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan
tradisional. Hal ini adalah kerana, permainan tradisional merupakan budaya
masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar
dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan
ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini
tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional.
Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah
dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan
terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan
sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan
tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya
kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap
negara
Kesimpulannya, remaja hendaklah
berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus
terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan
generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta
bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan
dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh
saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara
dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai
dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
8 comments:
tq for who create the damn copy and paste
wow
Wowwwwwwwww...😢
power!!!!
TQ always membantu
Wow saya sangat kagum
saya suka isi isi dia, kesemuanya lengkap 😍 mudah difahami lerr 🤗🤞🏼
Post a Comment