Keluarga memainkan peranan penting
dalam mencorakkan sahsiah atau keperibadian anak-anak.
Berikan pendapat anda tentang peranan
keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Profesor Di raja Ungku Aziz
pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak
dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Kata-kata ini
jelas menunjukkan bahawa ibu bapa dan setiap ahli keluarga memainkan peranan
yang sangat penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak merupakan
anugerah dan amanah Tuhan yang tidak ternilai. Ibu bapa bertanggungjawab untuk
mewujudkan rumah tangga yang aman dan damai kerana anak-anak akan berasa
bahagia apabila ibu bapa memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi diri
anak-anak mereka. Anak-anak ibarat
sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Persoalannya, apakah peranan keluarga
khususnya ibu bapa dalam pembentukan sahsiah anak-anak ?
Ibu bapa memainkan peranan
penting bagi memastikan pembentukan sahsiah anak-anak dengan memberikan didikan
agama yang sempurna dalam diri anak-anak. Pepatah sering menyatakan bahawa melentur
buluh biarlah dari rebungnya. Peribahasa ini jelas menunjukkan bahawa
pendidikan agama perlu diterapkan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi agar
anak-anak dapat membuka minda serta mengelakkan diri daripada terjebak dalam
perlakuan negatif. Penerapan nilai agama dapat membantu anak-anak untuk
membezakan antara baik dan buruk perlakuan yang akan dilakukan. Selain itu,
anak-anak juga akan membesar dengan berpandukan ajaran agama. Didikan agama
yang sempurna merupakan benteng yang ampuh untuk mengelakkan anak-anak terjebak
dalam kancah gejala sosial. Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga yang
mementingkan didikan agama akan menjadi anak yang baik sahsiah dan akhlaknya.
Sebagai contoh, jika sesebuah keluarga mempunyai pegangan agama yang kuat,
anak-anak mereka akan mempunyai tingkah laku yang baik kerana madu satu tong
dirembes, rembesnya madu juga. Jelaslah bahawa pendidikan agama yang
secukupnya sangat penting untuk membentuk sahsiah anak-anak.
Selain itu, ahli keluarga
khususnya ibu bapa berperanan sebagai suri teladan kepada anak-anak bagi
memastikan anak-anak mempunyai sahsiah yang baik. Hal ini demikian kerana
anak-anak yang berusia setahun jagung memang mudah mencontohi sebarang
bentuk perlakuan orang yang lebih dewasa daripadanya. Dengan erti kata lain,
sekiranya ahli keluarga yang lebih tua memiliki sahsiah yang baik, sudah tentu perbuatan ini dapat dicontohi oleh
anak-anak kerana pepatah Melayu ada mengatakan bahawa ke mana tumpahnya kuah
kalau tidak ke nasi. Sebagai contohnya, jika ahli keluarga yang lebih
dewasa rajin membaca, sudah pasti anak-anak yang terdidik dalam suasana
demikian akan mencontohi perbuatan ahli keluarga yang gemar membaca. Tokoh-tokoh pujangga pernah menukilkan bahawa
kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke
udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar. Pernyataan di atas jelas menunjukkan betapa besarnya peranan
yang dimainkan oleh sesebuah keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Ibu
bapa perlulah menjadi suri teladan yang boleh dicontohi anak-anak. Ibu bapalah
yang akan mencorakkan kehidupan anak-anak di peringkat awal. Sekiranya corak
yang dilakar menarik dan cantik, maka akan baik dan eloklah pembentukan akhlak
anak-anak. Anak–anak yang sering mencontohi perbuatan ibu bapa yang baik ,
tidak akan sesekali cuba melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang
atau menjatuhkan maruah keluarga. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting
dalam pembentukan sahsiah anak-anak.
Di
samping itu, ibu bapa juga perlulah melatih anak-anak agar saling bekerjasama
dan berkasih sayang bagi melahirkan anak-anak yang bersahsiah mulia. Dalam hal
ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh kasih sayang kepada diri anak-anak bagai
menatang minyak yang penuh agar anak-anak tahu menghargai hidup untuk
saling berkasih sayang. Ibu bapa perlu meletakkan panggilan manja untuk
anak-anak seperti panggilan Kak Long atau Abang Long bagi anak sulung dan Kak
Ngah atau Abang Ngah bagi anak kedua supaya kemesraan dan kasih sayang sesama
ahli keluarga tidak luput. Budaya terima
kasih juga perlu diajarkan kepada anak-anak supaya wujud rasa penghargaan
terhadap orang lain setiap kali menerima bantuan. Ibu bapa juga hendaklah melatih anak-anak
bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara dan kerja rumah agar anak-anak
membesar dalam suasana yang saling bekerjasama. Perbuatan seperti ini akan
terbawa-bawa apabila anak-anak sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri.
Jelasnya, ibu bapa yang berperanan untuk mewujudkan kerjasama dan kasih sayang
dalam kalangan ahli keluarga akan dapat melahirkan warga yang bersatu-padu dan
saling menghormati.
Seterusnya,
ibu bapa perlulah mendidik anak-anak cara hidup sederhana dan bertanggungjawab.
Ibu bapa harus menyediakan jadual tugasan di rumah supaya anak-anak lebih
bertanggungjawab. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan diri seperti
membasuh baju, menggosok pakaian dan
menyimpan baju dalam almari. Anak-anak juga perlu diajar supaya bersifat
sederhana dan bersyukur dengan apa-apa sahaja yang ada di rumah mereka. Hal ini
amat penting untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa bersyukur dengan apa yang
dimiliki. Ibu bapa juga perlu menerapkan nilai kesederhanaan diri anak-anak di
rumah agar anak-anak dapat menjadi insan yang sentiasa berjimat cermat dan
tidak boros dalam berbelanja. Anak-anak yang sudah diterapkan dengan hidup yang
sederhana akan membesar sebagai seorang yang sederhana sikapnya, tidak sombong
dan tidak berlebihan dalam sesuatu perkara. Anak-anak juga melakukan sesuatu
dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Hal ini penting
bagi melahirkan generasi masa depan yang berpandangan jauh. Tegasnya,
pembentukan sahsiah anak-anak yang baik dapat dilahirkan sekiranya ibu
bapa mendidik anak-anak tentang cara hidup yang sederhana dan bertanggungjawab.
Akhir sekali, ibu bapa perlulah
memantau serta mengawasi gerak geri anak-anak khususnya anak-anak yang sudah
meningkat remaja. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui aktiviti yang
dilakukan oleh anak-anak mereka serta mengetahui latar belakang rakan sebaya
anak-anak. Pergaulan anak-anak dengan
rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar terhadap masa depan anak-anak
kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala
tindakan atau kelakuannya kerana mereka mempunyai prinsip, nilai dan identiti
yang hampir sama. Ibu bapa tidak wajar memberi kebebasan yang sepenuhnya kepada
anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak yang diberi kebebasan penuh oleh
ibu bapa dibimbangi akan terjebak dengan perbuatan tidak bermoral yang boleh
menconteng arang di muka keluarga. Oleh itu , ibu bapa perlulah mengenal pasti
perubahan yang berlaku terhadap anak-anak pada setiap masa agar ibu bapa boleh
bertindak lebih awal, bak kata pepatah, beringat sebelum kena , berjimat
sebelum habis. Ibu bapa perlulah
mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan atau bersahabat dan
mengetahui tujuan anak keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Sekiranya ibu
bapa bertindak awal, sudah pasti masa hadapan anak-anak dapat diselamatkan.
Jelasnya , ibu bapa perlulah memantau serta mengawasi gerak-geri anak-anak agar
dapat melahirkan anak yang berperibadi mulia.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam
pembentukan sahsiah anak-anak. Untuk melahirkan anak-anak yang bersahsiah baik,
ibu bapa perlulah menyedari akan
tanggungjawab untuk mendidik anak-anak menjadi insan yang mulia. Setiap
ahli keluarga perlulah melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan ilmu
keibubapaan. Hal ini penting kerana pembentukan sahsiah anak-anak harus bermula
dengan diri keluarga itu sendiri. Ibu bapa harus membetulkan diri mereka
terlebih dahulu agar anak-anak dapat mencontohi segala perlakuan dan
keperibadian mereka. Tegasnya, rumah tangga merupakan kebun yang subur untuk
melahirkan insan yang berjiwa luhur dan bersahsiah mulia.
* sekiranya soalan meminta peranan ahli keluarga, sila nyatakan peranan setiap ahli keluarga [adik-beradik, datuk dsbnya]
1 comment:
Karangan yang terbaikπππππππ
Post a Comment