02/04/2013

Bukan Senang Nak Senang



Bukan Senang Nak Senang

Seorang budak ditemui sedang menangis sambil berlegar-legar di tepi sebuah tiang lampu di tepi sebatang jalan raya. Habis dikais-kaisnya rumput dan kertas di bawah naungan lampu itu. Walaupun hari sudah larut senja, tetapi budak itu tetap tercari-cari akan sesuatu di bawah sinaran lampu itu.
Sikap budak itu menarik perhatian seorang lelaki tua yang kebetulan lalu di situ dan bertanya “Kenapa kamu berlegar-legar di bawah lampu ini?”.
“Duit saya pakcik, duit saya hilang.”
Pakcik tadi kasihan dan turut sama-sama membantu mencari duit itu. Namun, duit itu tidak juga ditemui. Lalu Pakcik itu bertanya, “Betulkah duit kamu itu hilang di sini?”
“Siapa pula kata duit tu hilang di sini…Tak lah.”
“Habis, duit tu jatuh di mana?”
“Di sana…..di tempat gelap tu,” ujar budak tu menunjukkan satu kawasan gelap agak jauh dari situ.
“Laa..Tapi mengapa kamu mencarinya di sini? Pakcik itu kehairanan.
“Yalah pakcik…saya carilah di tempat yang terang. Di sini mudah. Kalau cari kat sana tu susah. Gelap pulak,” jawabnya selamba.
Pakcik tu sekadar menggeleng-gelengkan kepala.

Pengajaran : Manusia kerap memilih jalan pintas untuk senang dan berjaya. Mereka cenderung memilih jalan senang untuk senang walaupun tahu kesenangan itu tidak akan ditemui dengan cara itu. Anak-anak didikku, sesungguhnya tidak ada jalan mudah untuk mencapai sesuatu hajat atau cita-cita. Ramai manusia yang inginkan jalan singkat tanpa perlu banyak berusaha. Ingatlah anak-anakku, TIDAK ADA JALAN MUDAH UNTUK BEROLEH KEJAYAAN, melainkan dengan kesusahan iaitu usaha yang gigih dan berterusan.

No comments: