Teks : Ucapan Pengerusi PIBG sempena Majlis Anugerah Cemerlang 2013
Selamat
datang saya ucapkan kepada tetamu kehormat, para jemputan dan ibu bapa ke
Majlis Anugerah Cemerlang SMK Satria 2013. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada
semua murid yang mendapat anugerah cemerlang, juga kepada Tuan Pengetua dan
para guru yang telah bertungkus lumus berusaha demi kejayaan anak-anak kita.
Alhamdulillah,
setelah mengharungi segala rintangan dan cabaran, akhirnya kejayaan dapat
dicapai oleh anak-anak kita yang cemerlang pada hari ini. Hari
ini merupakan hari yang bersejarah kerana ibu bapa menyaksikan kejayaan
anak-anak dalam bidang akademik. Segala kejayaan ini tidak akan
terlakar tanpa komitmen dan kesungguhan para guru dalam melaksanakan tugas
dengan penuh amanah dan dedikasi, dengan penuh rasa tanggungjawab untuk
berbakti kepada pertiwi. Tuan-tuan dan puan-puan merupakan ibu bapa dan penjaga
yang berdedikasi dalam memastikan kebajikan dan potensi diri anak-anak menjadi
agenda utama tuan-tuan dan puan-puan. Terima kasih saya ucapkan. Semoga
kejayaan ini menjadi pemangkin untuk meraih kejayaan yang lebih besar pada masa
akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Agenda
pendidikan negara untuk mencapai taraf dan kualiti tinggi setanding negara maju
tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian oleh kerajaan. Peranan ibu bapa
dalam membantu pembelajaran anak tidak dapat dinafikan. Menurut Olsen
& Fuller (2008) apabila ibu bapa terlibat sama, sekolah akan
mendapat manfaat seperti, keyakinan guru meningkat, pencapaian murid meningkat,
ibu bapa merasakan mereka sebahagian dari sekolah dan lebih menyokong program
sekolah, kes disiplin dalam kalangan murid berkurangan dan hubungan menjadi
lebih baik antara pentadbir, guru dan ibu bapa. Dengan
kata lain, ibu bapa perlu mengikis tanggapan murid menjadi tanggungjawab
sekolah sahaja kerana sekolah perlu dilihat sebagai tempat persefahaman dan
muafakat.
Kita
sebagai ibu bapa perlu mengambil cakna program Kementerian
Pelajaran contohnya program Sarana Ibu Bapa yang
terletak di bawah Inisiatif Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Inisiatif ini akan
membolehkan semua pihak yang berkepentingan terlibat sama dalam melonjakkan
kualiti pendidikan negara. Hal ini demikian kerana, adalah sukar untuk mencapai
matlamat itu sekiranya hanya pihak sekolah dan guru sahaja bertungkus-lumus.
Sarana Ibu Bapa bermatlamat meningkatkan interaksi ibu bapa dengan anak-anak
bagi menggalakkan kecemerlangan akademik di samping memberi peluang kepada
golongan itu menyumbang idea, tenaga, pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada
sekolah.
Sarana
Ibu Bapa merupakan suatu inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan pelibatan ibu
bapa dalam pembelajaran anak-anak di dalam dan di luar sekolah demi
kecemerlangan masa depan negara Malaysia yang tercinta. Kita perlu menolak
tanggapan yang menjadi halangan seperti tidak mempunyai masa, kekangan ilmu
yang kita miliki, pihak sekolah tidak mengalu-alukan kehadiran ibu bapa, tiada
apa-apa yang dapat disumbangkan malah ada ibu bapa yang tidak mahu terlibat
kerana mendidik murid ialah tanggungjawab sekolah. Sedarlah, dorongan
dan semangat yang dipupuk oleh ibu bapa akan melahirkan anak-anak yang bersedia
untuk bekerjasama dengan pihak guru dan sekolah. Justeru, bimbingan guru akan
melengkapkan persediaan seseorang pelajar bagi mencapai kecemerlangan dalam
meneroka liku-liku hidup yang penuh cabaran ini.
"Akal tidak sekali datang, fikir tidak sekali tiba"
menerangkan kepada kita bahawa ikhtiar dan usaha tidak membunuh hasrat.
Peribahasa yang menyatakan, "tiada harimau yang membaham anak sendiri"
menunjukkan bahawa sifat tegas adalah penting untuk membentuk akhlak anak-anak.
Tegas bukan bererti garang. Sebagai pemimpin dalam rumah tangga, si bapa
hendaklah menetapkan doktrin yang jelas untuk dipatuhi oleh anak-anak.
Penegasan doktrin dan peraturan pula hendaklah disesuaikan dengan usia dan
kemampuan anak-anak menerima segala peraturan yang ditetapkan. Peraturan yang
diberi mestilah jelas, tidak menekan, dan wujud hubungan kasih sayang. Dengan
kata lain, tegas yang dimaksudkan ialah menunjukkan teladan kepada anak-anak
agar ibu bapa dihormati bukan ditakuti.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada seluruh warga
pendidik dan pelajar yang telah bekerja keras untuk memastikan kejayaan dan
kecemerlangan SMK Satria Kepada ibu bapa murid dan AJK PIBG yang
telah menyumbang dan memberi sokongan secara langsung mahu pun secara tidak
langsung diucapkan ribuan terima kasih. Semoga mendapat keberkatan daripada
Allah S.W.T.
Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
* Ucapan
perasmi, insya-Allah akan menyusul.
1 comment:
terima kasih.. :-) sgt membantu...bolehjd saham akhirat...sy pinjam ye...
Post a Comment