Tuesday, 20 October 2015

TUDINGAN AKHIR KARANGAN SPM (1)

Soalan 1
Malaysia memiliki potensi semula jadi yang boleh dijadikan aset penting memajukan indsutri pelancongan. Anda ingin menulis rencana berkaitan dengan peranan pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

Pelancongan di Malaysia, Potensi dan Tanggungjawab Semua Pihak
Dayan Asytar Bin Dayan Asyhar

Sudah acap kali penganjuran tarikan pelancong ke luar negara oleh pelbagai agensi sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan. Penganjuran tersebut turut disokong oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia. Kini, Malaysia mula dikenali di saentero dunia sebagai destinasi pelancongan yang menarik, murah, dan eksotik. Malaysia telah menduduki tempat kesembilan dari sepuluh negara yang paling popular dikunjungi pelancong. Kerajaan Malaysia telah menyasarkan, pada tahun 2016, jumlah kemasukan pelancong kepada 27.5 juta orang dengan anggaran tukaran asing sebanyak RM58 bilion. Sejajar dengan hasrat negara untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, maka semua pihak di Malaysia patut memainkan peranan aktif masing-masing.
Memandangkan industri pelancongan merupakan satu daripada matlamat dalam NKRA negara, justeru gemblengannya hendaklah diterajukan oleh pihak kerajaan melalui agensi-agensinya. Agensi-agensi yang berkaitan dengan industri pelancongan seperti Kementerian Pelancongan, Jabatan-jabatan Pelancongan negeri, Kementerian Luar Negeri, dan Kementerian Kebudayaan dan Komunikasi hendaklah memainkan peranan yang aktif. Pihak yang terbabit perlu mengambil tanggungjawab untuk merancangkan pelbagai program promosi dan ‘menjualkan’ nama Malaysia di persada dunia. Kementerian Pelancongan hendaklah mempunyai KPI yang jelas untuk menentukan sasaran kemasukan pelancong. Oleh itu, usaha yang terbaik, kementerian perlualah merancangkan pelbagai aktiviti untuk menarik minat pelancong ke Malaysia. Sepatutnya pihak berkenaan perlu mengambil kesempatan daripada kedudukan strategik Malaysia untuk laluan ke Singapura, Indonesia, dan Thailand.
Inisiatif seterusnya hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga. Memandangkan kegiatan pelancongan merupakan salah satu daripada cabang ‘membuat duit’, justeru pihak swasta tidak boleh terlepas pandang dalam menyokong matlamat negara untuk menjadi destinasi pelancongan yang paling dikunjungi. Langkah paling strategik pihak swasta hendaklah menyokong dan mengambil bahagian dalam program galakan pelancongan di luar negara. Pihak swasta terutama konglomerat utama seperti YTL, Kumpulan Genting, FELDA, Perbadanan Kemajuan Negeri hendaklah lebih gigih membangunkan prasarana pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan. Walaupun rangkaian hotel mewah dan hotel bajet tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan ternyata jumlahnya adalah terlalu kecil. Hal demikian sering terjadi di pusat-pusat pelancongan ternama seperti Pulau Langkawi yang sering menghadapi masalah tempat penginapan apabila terdapat penganjuran bertaraf antarabangsa seperti pameran LIMA. Selain penginapan, kemudahan pengangkutan yang lebih cekap dan mesra pelancong perlu disediakan. Pendek kata, kemudahan infrastruktur dan prasarana hendaklah disediakan bermula dari pelancong menjejaki kaki hinggalah mereka pulang dengan senyuman puas.
Manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar negara hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing. Semua pihak sudah maklum, kunjungan pelancong asing ke sini adalah dengan matlamat untuk menghirup udara dan persekitaran yang nyaman dan indah. Dengan hal demikian, pihak terbabit wajar mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan landskap alam. Semua potensi bumi seperti sungai, laut dan gunung perlu dikekalkan lestarinya. Pihak berkenaan perlu mengambil inisiatif mewartakan tempat-tempat tersebut seperti yang dilakukan oleh Thailand yang mewartakan semua pulau sebagai taman laut. Pulau-pulau seperti Phuket, Koh Adang, Koh Lanta, Koh Samui dan banyak lagi kini menjadi syurga pelancong dan lombong emas kepada negara Thai. Malaysia juga bukan kurang dengan potensi tersebut kerana beberapa destinasi utama seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Redang, dan Gunung Kinabalu semakin mendapat tempat di hati pelancong. Tegasnya, sudah tiba masa kita belajar daripada kejayaan negara jiran tersebut dalam usaha memanipulasikan sumber alam sebagai dana kekayaan negara.
Pada era milenium ini, minda masyarakat hendaklah lebih terbuka dan positif terhadap industri pelancongan. Seandainya dalam tiga dekad yang silam orang selalu menuduh sektor pelancongan sebagai industri yang mengumpankan gejala negatif tetapi kini tuduhan seumpama itu adalah meleset sama sekali. Kita hendaklah lebih positif dengan menyokong semua usaha pihak kerajaan untuk menjanakan ekonomi melalui sektor palancongan.  Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk memaparkan identiti rakyat Malaysia yang tinggi tamadunnya, terbuka fikirannya dan berbudaya sopan seperti, peramah, dan berbudi bahasa. Sebagai sebuah negara Islam, kita hendaklah lebih pragmatik kerana dalam Islam sendiri amat menggalakkan umatnya bermujahadah dan melancong seperti dalam konteks ibadah Haji, Umrah dan Ziarah. Seperkara lagi, apabila lebih ramai pelancong nescaya akan berlakulah rentas komunikasi global yang boleh membentuk suatu dimensi baru rakyat Malaysia yang berfikiran positif dan bertaraf dunia.
Langkah yang tidak kurang penting juga ialah penglibatan aktif duta-duta di luar negara. Semua rakyat Malaysia yang berada di luar negara sama secara rasmi atau individu hendaklah mengambil peluang menarik minat lebih ramai pelancong. Di peringkat kerajaan, duta-duta dan  kuasa usaha di luar negara hendaklah mengadakan program menjelajah ke merata pelosok untuk turut sama dalam program tarikan pelancong. Selain itu, kumpulan terbesar iaitu pelajar Malaysia di seberang laut hendaklah bijak berkomunikasi dengan strategi sambil menyelam minum air untuk menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia. Sebagai generasi muda yang mempunyai ilmu pengetahuan, mereka sewajarnya boleh menjadi misi negara untuk menerangkan pelbagai keistimewaan negara sama ada dalam aspek rumpun bangsa rakyatnya, pola budayanya, pelbagai cita rasa makananya dan tentang indahnya permata yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Semenanjung Emas’ dalam kalangan padagang dari Eropah dan Arab. Pendek kata, jikalau semua pihak dapat melaksanakan komitmen masing-masing, agenda pelancongan negara sudah pasti berjaya.
Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi oleh pelancong-pelancong sama ada dari Timur atau Barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki jangan ditolak, aral jangan diraih.

Isi tambahan : Potensi : Pelancongan kesihatan
[Pelancongan kesihatan didefinisikan sebagai lawatan atau melancong ke sesebuah negara sambil menjalani rawatan atau untuk mendapatkan rawatan. Di samping itu, pelancongan kesihatan atau Health Tourism telah memberikan beberapa definisi oleh pakar bidang pelancongan. Menurut World Tourism Organization (WTO) pelancongan kesihatan adalah memasukkan golongan pelancong yang mengadakan health treatment (Theobald, 1994). Menurut Mantan Menteri Pelancongan Datuk Dr. Leo Michael Toyad telah menyatakan bahawa kerajaan telah menjadikan Malaysia sebagai pusat pelancongan kesihatan sejak tahun 1998 lagi. Hal ini terbukti berdasarkan Laporan Ekonomi dan Belanjawan 2003, pada tahun 2001 sahaja, seramai 75 ribu pelancongan telah mendapat kemudahan rawatan di negara ini. Konsep Pelancongan Kesihatan di Malaysia semakin mendapat perhatian kerana kemudahan pusat perubatan yang canggih, peralatan yang berteknologi tinggi, kadar yuran perubatan yang rendah dan doktor yang mahir. 
Pelancongan kesihatan terbahagi kepada dua iaitu yang pertama Pelancongan perubatan hospital dan rawatan yang diperlukan untuk mengubati sesuatu penyakit dan yang kedua adalah pelancongan penjagaan kesihatan spa (Solus Per Aqua) dan sauna. Pelancongan kesihatan di Malaysia telah bermula sejak tahun 1998 lagi. Sasaran utama pelancongan perubatan ialah negara Asean terutama Indonesia, Vietnam, Kemboja, Brunei dan juga Singapura. Terdapat 35 hospital swasta berdaftar sebagai Ahli Lembaga Persatuan Hospital Swasta (APHM) yang terbabit dalam pelancongan kesihatan.]

Soalan 2
Sikap prihatin,  bekerjasama, dan bertolak ansur penting dalam kehidupan bermasyarakat.
Huraikan langkah-langkah untuk melahirkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni.

Pendahuluan : Beberapa sumber daripada peribahasa Melayu boleh dipetik sebagai menandakan masyarakat Melayu amat mementingkan nilai-nilai murni bekerjasama dan bertolak ansur. Antara peribahasa yang boleh dipetik adalah seperti ke gunung sama didaki, ke lurah sama dituruni; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah; bagai aur dengan tebing hidup serumpun bak serai sejunjung bak sirih dan hidup ibarat suatu anggota, jangan memiat daging, sakit di orang sakitlah di awak. Demikianlah begitu banyak sarana agar masyarakat perlu hidup secara bertoleransi dan bermasyarakat agar terbentuk kekuatan ummah sama ada dalam aspek ekonomi, sosial dan budaya. Namun demikian, impian untuk membentuk sebuah institusi masyarakat yang ampuh mungkin muluk dalam kata-kata, tetapi bukan mudah untuk direalisasikan. Oleh hal yang demikian, semua entiti dalam masyarakat perlulah beriltizam untuk membina sebuah masyarakat yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni sebagai anak kunci masyarakat madani.

Isi-isi penting :

Isi 1 : Zahirkan kesedaran dalam jiwa setiap anggota masyarakat akan nilai bersyukur – bersyukur kerana ditakdirkan hidup dalam sebuah negara yang aman -  mensyukuri nikmat Allah dan menghargai sumber alam – berpada-pada dan reda (redha) dengan nikmat yang ada

Isi 2 : Para pemimpin perlu menzahirkan daya kepemimpinan berteladan, hemah dan bijaksana – pemimpin sebagai cerminan kepada rakyat – tunjuk tauladan dan pekerti yang mulia perlu diserlahkan untuk ikutan masyarakat

Isi 3 : Guru dan ibu bapa perlu menjadi agen terpenting untuk membimbing anak-anak mengamalkan pekerti mulia – anak-anak dan remaja akan tumbuh membesar dalam persekitaran yang paling awal iaitu di rumah dan sekolah (hakikat peribahasa, air perabung mengalir ke cucur atap dan guru kencing berdiri murid kencing berlari)

Isi 4 : Mengutamakan teras pendidikan, agama dan moral merentas ilmu pengetahuan – anak-anak dididik menerima ilmu secara berhikmah – mengamalkan ilmu dengan jalan yang betul – ilmu untuk kesejahteraan insan dan mensyukuri nikmat Tuhan

Isi 5 : Mendidik masyarakat yang berdisiplin, patuhi undang-undang dan menyayangi alam sekitar – masyarakat yang bijak, dinamik dan faham akan nilai murni dalam masyarakat – masyarakat yang menghargai alam sebagai komponen penting – masyarakat yang bertanggungjawab

Kesimpulan : Peribahasa yang menyatakan, terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku celaka padahnya hendaklah dijadikan panduan dan sempadan agar dalam semua tingkah laku tidak menyalahi pertaturan dan tataetika. Justeru, perihal kehidupan dengan amalan nilai murni hendaklah diperkasakan. Baik negara mahupun masyarakat pasti memperoleh impak yang cukup signifikan apabila masyarakat mula mengamalkan nilai-nilai murni seperti prihatin,  bekerjasama, dan bertolak ansur. Sesungguhnya, inilah impian untuk membentuk negara maju dalam acuan kita menjelang Wawasan 2020.


Soalan 3
Membaca karya-karya sastera boleh membentuk jati diri seseorang.
Bincangkan faedah-faedah yang diperoleh daripada pembacaan karya-karya tersebut.

Karya kreatif merupakan cetusan idea yang bersandarkan minda yang kreatif dan tajam serta diasosiasikan dengan emosi yang sentimental. Wadah yang ingin disampaikan adalah berdasarkan kepekaan terhadap segala isu dan konflik dalam kehidupan. Gabungan antara minda dan emosi itu diketengahkan kepada masyarakat pembaca melalui medium bahasa yang indah, berseni dan tinggi kreativitinya. Oleh hal yang demikian, karya-karya kreatif berupaya menggerakkan daya berfikir pembaca melalui pemikiran yang kritis dan analitikal. Berbeza daripada sumber-sumber maklumat deskriptif, genre sastera memuatkan pelbagai sumber seperti persoalan, gaya bahasa, teknik penyampaian, dan nilai-nilai estetika yang tinggi. Oleh itu, tidak syak lagi kita bakal memperoleh pelbagai faedah apabila mengkaji pelbagai genre sastera.

Isi-isi penting :
Isi 1 :   Dapat menyelami daya berfikir orang-orang yang bijaksana - menggali segala khazanah ilmu melalui perkongsian pemikiran kreatif - mengenali gaya berfikir dan cetusan ilmu yang diketengahkan melalui isu, persoalan, dan tema yang digarapkan - mewujudkan interaksi tidak langsung dengan para ilmuwan, seniman, dan budayawan

Isi 2 :   Memperoleh idea-idea dan pemikiran besar melalui tema dan persoalan yang telah digarapkan - menggerakkan minda untuk berfikir berdasarkan gagasan idea penulis - berfikir secara realistik dan pragmatik melalui buah fikiran dan persoalan yang dikemukakan - menjana minda agar mampu menjadi insan bijaksana melalui perkongsian dan percambahan idea yang kreatif dan inovatif

Isi 3 :   Menggali khazanah budaya dan cara berfikir masyarakat -  penerapan melalui latar tempat dan latar masyarakat - secara tidak langsung dapat meninjau tentang sesuatu lokasi walaupun tidak pernah menjejakkan kaki - mendalami corak hidup, corak pemikiran, dan pelbagai aktiviti sosioekonomi

Isi 4 :   Memperkaya perbendaharaan ilmu dan kosa kata - teks kreatif memang kaya dengan variasi bahasa - mempelajari pelbagai bentuk bahasa - menikmati pengucapan seni yang indah seperti dalam pengucapan falsafah, bahasa tinggi, puisi, bidalan, dan peribahasa

Isi 5 :   Menganjak paradigma minda, sikap, dan gaya bertindak - penerapan unsur nilai yang amat kaya dalam setiap karya kreatif - menajamkan minda melalui penghayatan dan berfikir secara hikmah daripada pelbagai konflik dan episod yang dipaparkan - mendidik diri untuk lebih positif berpandukan amanat yang disampaikan sama ada secara langsung atau tidak langsung

Kesimpulan :  Sesungguhnya, ilmu itu luas bak lautan yang tidak bertepian seperti yang diungkapkan dalam serangkap syair,

Ilmu alat yang sangat berguna
Idaman orang yang bijaksana
Hamparnya luas amat saujana
Tepinya ajal sempadannya fana


Apabila mengkaji sesebuah karya kreatif sudah pasti pelbagai limpahan ilmu yang bakal diperoleh. Yakinlah bahawa, dengan mengkaji genre sastera adalah amat menguntungkan selain sangat menghiburkan.




No comments:

Post a Comment