24/10/2015

TUDINGAN AKHIR KARANGAN SPM (5)

Soalan 13
Kebersihan diri merupakan kebersihan tubuh badan yang perlu dijaga oleh setiap individu bagi menjamin kesejahteraan hidup.
Sebagai remaja yang mengutamakan kesihatan, cadangkan cara-cara anda menjaga kebersihan diri.

Pendahuluan : Bagi memulakan arena perbincangan dalam isu ini, saya tergerak hati untuk memetik pepatah dalam bahasa Arab yang bermaksud, “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Mendalami kandungan tersirat pepatah tersebut, jelaslah bahawa kebersihan merupakan rukun utama untuk menentukan tahap tinggi atau rendah keyakinan seseorang terhadap Khaliq. Kebersihan juga menjadi lambang ketamadunan dan taraf berfikir sesuatu bangsa sama ada bertaraf maju atau primitif. Oleh hal yang demikian, kebersihan sering menjadi kayu ukur akan kesejahteraan hidup berdasarkan slogan, “Rakyat Bersih Negara Sejahtera”. Oleh itu, sebagai remaja pascamilenium ini, saya amat beriltizam untuk mengamalkan gaya hidup bersih dan sihat sejajar dengan matlamat melahirkan generasi sihat, cerdas, pintar dan berdaya saing menjelang Wawasan 2020.
Kebersihan yang nyata adalah yang tampak pada zahirnya. Walau bagaimanapun, kebersihan yang hakiki hendaklah bermula daripada kebersihan batiniah. Oleh itu, saya amat cakna dalam urusan kebersihan sama ada zahir mahupun batin. Aura yang terpancar pada wajah menjadi bacaan hati dalam diri seseorang. Dalam hal ini Imam Al Ghazali dalam nukilannya pernah menyatakan, “Mahu melihat kecantikan diri bercerminlah, sebaliknya mahu melihat kecantikan batin bercerminlah pada wajah. Oleh itu, sebelum zahir dilihat cantik, saya perlu menghiasi jiwa dan rohani. Mengamalkan sifat-sifat seperti takwa, bersyukur dan amanah merupakan santapan jiwa yang akhirnya akan terpancar pada peroman. Hal demikian amatlah tepat dengan kata-kata dalam lirik ‘Wajah Cerminan Hati’ dendangan penyanyi tersohor 1960-an, iaitu A Ramlie, yang berbunyi;
Andai hati tak sayang wajahmu lain sekali
Andai hatimu jujur, wajah cerminan hati.
Disiplin dan amalan secara rutin ialah anak kunci kepada kebersihan diri. Dalam hal ini, saya amat sedar bahawa tanpa disiplin tiada apa-apapun yang kita lakukan boleh berjaya. Sehubungan dengan pengurusan penjagaan diri, rutin harian hendaklah saya susun bermula dari bangun tidur hinggalah tidur semula. Perkara-perkara penting seperti mandi, bersiap, makan, belajar, beriadah dan berehat hendaklah dilakukan secara berjadual dan berlangsung selagi hayat dikandung badan. Sikap melakukan sesuatu kerja secara sambalewa amat mudah menjadi virus untuk menyerang minda dan habit kita supaya mengabaikan pengurusan diri. Kesudahannya, diri kita menjadi tidak terurus, kurang bersedia dan yang lebih malang lagi mudah diserang penyakit sama ada penyakit fizikal mahupun penyakit emosi seperti kemurungan. Benarlah seperti yang pernah difatwakan oleh tokoh bijaksana bahawa, “Apabila kita gagal merancang, justeru kita merancang untuk gagal”.
Aspek penampilan diri juga wajar saya ambil kira dalam hal menjaga kebersihan diri. Penampilan diri yang tampan, segak dan bergaya boleh memberi saya keyakinan diri dan yakin pula untuk berkomunikasi dengan khalayak. Saya seharusnya menjaga kebersihan pakaian, cara berpakaian dan cara bercakap apabila berkomunikasi. Inilah beberapa sifat yang boleh menonjolkan diri kita agar dilihat harmoni hati nurani, tajam minda dan mata hati serta matang akal budi. Pokok pangkalnya, kebersihan hendaklah meliputi segala perkara sama ada badaniah, rohaniah, insaniah dan alamiah.
Kesihatan ialah aset besar yang membolehkan seseorang itu tampil sebagai individu seimbang dan harmonis sama ada dalam aspek fizikal mahupun rohani. Oleh hal yang demikian, saya sangat mengutamakan perihal kesihatan dalam memastikan diri dilihat bersih, kemas, berkeyakinan dan terampil. Kecaknaan terhadap kebersihan tubuh badan memberi impak yang besar terhadap penjagaan kesihatan. Oleh itu pemilihan makanan, berehat dan riadah hendaklah diberi perhatian yang teliti. Selain itu, kesihatan mental dan emosi boleh membuka dimensi yang luas dalam persahabatan. Di sinilah terminologi utama yang boleh membentuk insan seimbang dalam aspek jasmani, emosi dan rohani. Sesungguhnya, amatlah kontradiksi untuk merealisasikan kebersihan diri sama ada zahir atau batin seandainya kesihatan diri kita tidak terurus.
Kebersihan diri turut terpancar apabila kebersihan persekitaran tempat tinggal kita turut terjaga. Hal ini amatlah penting kerana kehidupan yang mesra alam itu merupakan teras utama untuk hidup sihat dan selamat. Hal-hal yang berkaitan dengan kebersihan rumah tangga seperti tempat tidur, bilik mandi dan tempat makan hendaklah saya jaga. Semua elemen ini menjadi persekitaran tetap kepada diri kita. Seandainya tidak diuruskan dengan baik, justeru banyak anasir yang boleh mengancam kebersihan dan kesihatan. Pelbagai penyakit seperti penyakit berjangkit, serangan kuman dan udara yang tidak bersih boleh membawa musibah penyakit. Sewajarnya, kawasan sekitar hendaklah dibersihkan dan dihiaskan dengan pokok-pokok bunga serta landskap yang menarik. Sebenarnya, semua perkara tersebut menjadi aset untuk jiwa, minda dan emosi saya menjadi tenang dan stabil.
Kesimpulannya, kebersihan diri menjadi perhiasan zahir dan batin seseorang insan. Insan yang bersih ialah insan yang kenal tentang dirinya dan tahu tentang matlamat dirinya dijadikan Tuhan. Dalam Islam, Allah amat mementingkan perihal kebersihan dan keindahan sejajar dengan firman yang bermaksud, “Allah itu cantik dan amat suka akan kecantikan”. Berpandukan petunjuk tersebut, selaku anak muda harapan bangsa dan negara saya harus memperlengkap diri dengan pakej penampilan diri yang segak, kemas dan sihat. Saya juga perlu menyempurnakan sahsiah dengan ilmu pengetahuan dan pekerti yang baik. Demikian pakej anak muda yang bakal menggalas tanggungjawab untuk merealisasikan hasrat Negara Berpendapatan Tinggi yang diidam-idamkan.


Soalan 14
Remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran untuk mendepani pelbagai cabaran pada masa hadapan.
Huraikan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh remaja sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran era globalisasi.

Pendahuluan : Di Malaysia, memasuki alam pekerjaan adalah menjadi destinasi terakhir kepada kebanyakan pelajar. Sama ada di peringkat sijil, diploma atau ijazah mereka mula mencongak-congak akan peluang pekerjaan yang bakal diceburi. Walau bagaimanapun, dalam persaingan untuk memasuki pasaran pekerjaan, kelulusan akademik sahaja belum tentu menjanjikan seseorang itu boleh menjawat jawatan yang dicita-citakan. Sebaliknya, individu yang memiliki pelbagai kemahiran di samping akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Oleh hal yang demikian, seseorang pelajar itu wajarlah memperlengkap dirinya dengan pelbagai kemahiran yang diperlukan sebelum melamar sebarang pekerjaan.
Antara kemahiran terpenting yang harus dikuasai ialah kemahiran berkomunikasi. Kemahiran berkomunikasi ialah kebolehan istimewa yang menggabungkan kecekapan seperti petah berbicara, matang dalam melontarkan idea dan pendapat serta berani lagi yakin apabila berhadapan dengan pelbagai peringkat klien. Hal tersebut amatlah penting memandangkan dunia terbuka pada hari ini memerlukan seseorang itu berkebolehan untuk mengeluarkan hujah yang bernas serta pendapat yang matang. Kebolehan dalam berkomunikasi juga memberi ruang kepada individu tersebut memperluas rangkaian klien dan tetamu. Melalui interaksi yang baik di pelbagai peringkat pasti memberi impak besar apabila pelbagai peluang kerjaya mudah diperoleh. Di peringkat nasional, tokoh-tokoh istimewa seperti Dato Dr Fadhillah Kamsah, Mahathir Lokman, Dr Fatimah Al Zahra serta ramai lagi telah berjaya membina kerjaya yang lumayan hasil kebijaksanaan berkomunikasi yang dimiliki oleh mereka. Demikianlah yang dimaksudkan oleh peribahasa, budi menunjukkan hati, bahasa menunjukkan bangsa.
Di Malaysia, bahasa-bahasa utama seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Arab, Perancis dan Jepun mula mendapat tempat di hati masyarakat. Signifikan menguasai pelbagai bahasa memang tidak dapat dielakkan lagi dalam era globalisasi tanpa sempadan seperti sekarang. Keupayaan seseorang menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya. Dalam konteks negara perindustrian seperti Malaysia, keupayaan menguasai pelbagai bahasa menjadikan bonus seseorang itu menjawat pelbagai jawatan penting seperti penterjemah, pegawai perhubungan awam, agen perdagangan antarabangsa dan pegawai utama di mana-mana kedutaan. Dengan hal yang demikian, seyogialah rakyat negara ini mengambil peluang mempelajari pelbagai bahasa agar peluang kerjaya yang terbuka menjadi milik kita. Tanpa penguasaan bahasa yang sesuai dengan tuntutan globalisasi, nescaya kita akan terus tertinggal dan terperap bagaikan katak di bawah tempurung. Oleh itu, atas dasar tuntutan globalisasi dan massa kita hendaklah mampu menguasai kemahiran pelbagai bahasa.
Pembawaan dengan sifat sederhana, kemas dan berperawakan yang yakin adalah antara faktor seseorang itu mudah diterima dalam mana-mana agensi atau organisasi. Demikian pula apabila dalam alam pekerjaan, kebolehan menyesuaikan diri dalam khalayak menjadi sumber terpenting untuk seseorang itu berjaya. Sewajarnya, sebelum melangkah ke alam kerjaya, pastikan diri kita memperoleh suatu kemahiran yang paling penting iaitu, kemahiran membuat penampilan diri. Penampilan diri adalah berhubung kait dengan cara berpakaian, gaya bertutur dan bijak menyesuaikan diri dalam pelbagai lantai khalayak.  Kemahiran ini perlu dipelajari semasa pelajar masih di peringkat sekolah dan lebih-lebih lagi di institusi pengajian tinggi. Penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum dan koakademik  membolehkan individu belajar  cara-cara bergaul, kebolehan membuat keputusan  dan sentiasa mesra khalayak. Oleh sebab itu, remaja hendaklah tampil dengan perawakan yang baik, berfikiran positif dan menjauhi sikap menyendiri ibarat kera sumbang.
Kemahiran teknologi adalah antara cabaran terbesar yang mesti dikuasai oleh setiap remaja. Pada hari ini dianggarkan lebih 200 ribu graduan yang menganggur akibat kesukaran untuk memasuki pasaran kerja. Namun demikian, rata-rata graduan yang memiliki ijazah dalam bidang teknologi seperti kejuruteraan, elektronik dan perniagaan  sangat mudah diterima oleh majikan. Oleh itu, bagi memenuhi pasaran kerja  yang mementingkan bidang kepakaran dan kemahiran, para remaja hendaklah tahu akan potensi diri masing-masing  dan memilih mana-mana bidang yang berkaitan dengan teknologi. Kemahiran seperti pengendalian mesin, arka dan reka bentuk membolehkan graduan dalam bidang ini amat laris bagaikan pisang goreng panas. Selaras dengan matlamat tersebut pelbagai institusi kemahiran seperti Politeknik, Pusat Latihan Industri dan IPT yang berorientasi teknologi tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ayuh, remaja sekalian, apa lagi yang ditunggu? Perahu sudah di air, pendayung di dalam genggaman harungilah samudera nan terbuka.
Dalam dunia yang semakin dikuasakan oleh pengaturcaraan maklumat, kemahiran dalam bidang ICT sentiasa memberi kelebihan kepada individu. Pada hari ini semua urusan yang bermula dari kaunter hadapan hinggalah kepada membuat keputusan yang paling dasar adalah bergantung penuh kepada akses komputer.  Golongan remaja kini mesti celik komputer dan mempunyai pengetahuan secara profesional dalam bidang pengaturcaraan, ‘programing’ dan perisian. Golongan  remaja hendaklah memiliki sekurang-kurangnya kemahiran asas komputer seperti ‘Office’, ‘Powerpoint’,  ‘Excel’, ‘Adobe’ dan boleh melayari Internet. Malahan, seperkara yang amat penting juga, kebolehan berbahasa Inggeris juga amat penting dalam menguasai teknologi maklumat ini. Oleh hal yang  demikian, bersedialah dari awal agar anda menjadi anak muda yang lengkap dengan pengetahuan sebelum turun ke pentas kerjaya, sejajar dengan peribahasa, hilang dicari, terapung direnangi, tenggelam diselami.
Pada hakikatnya, seperti yang dikatakan  oleh orang-orang lama, anak-anak muda mestilah boleh ditolak ke tepi mahupun ke tengah, bak kata peribahasa, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, naik ke darat menggunung sasa dan terlontar ke udara menyinar bak kejora. Begitulah hakikatnya, anak muda pascamilenium datangnya dinanti, perginya dicari dan hilangnya diratapi.


Soalan 15

Sebagai seorang warganegara, anda sewajarnya berasa bangga atas kejayaan cemerlang negara dalam pelbagai bidang.
Tulis pendapat anda tentang cara-cara yang anda harus lakukan untuk membuktikan kebanggaan anda itu.

Sebagai apresiasi awal, izinkan saya memetik serangkap daripada lagu patriotik, MALAYSIA OH TANAH AIRKU seperti liriknya yang berikut ini,
Malaysia oh tanah airku
Tanah tempat tumpah darahku
Negeri elok amat kucinta
Yang kupuja sepanjang masa

Demikianlah sebuah penglahiran seni yang memaparkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dicintai. Malaysia sebuah negara yang cukup harmoni sama ada dalam aspek landskapnya, hasil mahsulnya dan kemajuannya dalam segala bidang.  Oleh hal yang demikian, sebagai seorang warganegara yang tinggi nilai patriotiknya amat wajar sekali seseorang itu melahirkan perasaan bangga terhadap tanah airnya yang tercinta. Dalam hal tersebut, saya juga amat teruja dan berbangga dengan negara saya Malaysia yang amat fantastik ini. Atas rasa bangga tersebut, saya beriltizam untuk berusaha agar nusa yang bertuah ini terus berada di persada yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Akar tunjang utama untuk mempertahankan kedaulatan sesebuah negara adalah dengan lahirnya sifat taat setia dan nilai patriotik yang tinggi. Sesungguhnya, sebagai rakyat, saya amat terpanggil untuk terus menanamkan jiwa taat setia kepada negara. Pertamanya, kesetiaan hendaklah saya buktikan kepada pemerintah. Doktrin kedua dalam Prinsip Rukunegara iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara pasti saya pegang sampai bila-bila. Yang Dipertuan Agung ialah payung negara manakala para pemimpin ialah sumber inspirasi yang memajukan negara. Menjunjung kedaulatan pemerintah dan menghormati pemimpin adalah menjadi tanggungjawab mutlak kepada saya. Tingkah laku tersebut antara lain menjunjung tinggi perundangan negara, taat kepada arahan pemimpin dan tidak mendatangkan sebarang sikap yang boleh memudaratkan keselamatan negara. Dalam apa-apa situasi juga, sikap saya hendaklah selaras dengan piagam, “Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung”.
Sebagai rakyat yang baik, saya perlu menanamkan azam untuk membantu memakmurkan negara. Kemakmuran negara merupakan indikator penting untuk menzahirkan kesejahteraan kepada rakyat jelata. Sejarah telah memaparkan betapa banyak empayar silam telah tersungkur kerana kegagalan dalam menguruskan dengan baik soal-soal iktisad negara. Dalam zaman moden sekarang pun beberapa buah negara di Eropah Barat sedang berhadapan dengan bahaya kemuflisan akibat sistem ekonomi mereka yang tidak mapan. Oleh itu, sebagai anak muda, saya bertanggungjawab mengajak rakan-rakan agar lebih komited menuntut ilmu dan memperkasakan kemahiran dalam pelbagai bidang. Potensi negara yang amat kaya dengan hasil buminya perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baik mungkin supaya natijahnya akan dikecap oleh semua lapisan rakyat. Sayang sekali dengan kealpaan kita,  akhirnya 6.8 juta pendatang asing sedang mengaut kekayaan negara. Barangkali inilah yang disifatkan oleh peribahasa si tidur menjadi makanan si jaga.
Selain itu, perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum hendaklah dijadikan agenda utama. Sesungguhnya, inilah agenda besar yang seyogia perlu saya turut serta. Peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh hendaklah dijadikan paksi penting khususnya dalam usaha menyatupadukan masyarakat majmuk. Tanpa perlu berselindung, tahap kerjasama dan keharmonian dalam kalangan rakyat hanya pada tahap memuaskan sahaja. Kita sedar, beberapa insiden kecil atau besar yang pernah berlaku merupakan manifestasi daripada situasi sebenar perpaduan di Malaysia. Adakah wajar, kita yang lahir di bumi yang sama, menyedut udara yang sama serta menikmati rahmat keamanan negara, tetapi menyimpan sangsi dan keluh-kesah? Sebenarnya, sikap yang suka mengadu-domba dan mengagungkan kelompok sendiri tidak membawa sebarang faedah sebaliknya melebarkan jurang perpecahan yang akhirnya berlakulah seperti sindiran, jong pecah yu yang kenyang.
Alam sekitar menjadi sebahagian daripada panorama yang ceria dan indah. Sesungguhnya, inilah hakikat yang wujud di Malaysia. Teruja dengan landskap bumi yang amat indah ini, saya berikrar untuk melestarikan bumi yang indah cerlang ini. Gelombang pembangunan moden yang dikuasai oleh sektor perindustrian telah memberikan kesan yang amat negatif terhadap alam sekitar. Selain itu, sikap lepas tangan dengan amalan lempar batu sembunyi tangan telah mengakibatkan sumber alam seperti laut, sungai, dan daratan tercemar dengan teruknya. Hiba apabila kita melihat keadaan sungai yang kotor manakala gunung ganang yang menghijau digondolkan satu lepas satu oleh tangan-tangan yang rakus. Saya mahu mengaktifkan semua NGO yang berkaitan dengan alam sekitar agar bangkit dan lebih proaktif. Pihak berkuasa alam sekitar dan agensi penguat kuasa harus digerakkan supaya sentiasa bersikap profesional dalam tindakan mereka. Bersama-samalah kita mengelakkan tragedi sudah patah baru hendak melantai apabila bumi kita sudah menjadi padang jarak padang tekukur.
Dalam dekad belakangan ini, imej Malaysia di mata dunia terus cemerlang. Sama ada di peringkat serantau mahupun global, peranan Malaysia sentiasa ditagih dalam segala isu. Sebagai anak muda yang bakal menggalas amanah negara, saya berazam untuk menjaga imej negara agar terus harum di persada antarabangsa. Hal-hal yang berkaitan dengan keamanan, kestabilan politik dan kemampanan ekonomi akan dipertahan. Walaupun, insiden MH370 dan MH17 menyebabkan imej Malaysia agak tercalar di mata masyarakat antarabangsa, namun dengan sikap konsisten Malaysia kita yakin isu itu tidak akan berpanjangan. Namun, perkara yang lebih penting ialah Malaysia tetap berperanan di pentas antarabangsa. Biarlah Malaysia kecil pada pandangan mata tetapi besar dalam fungsinya, bak kata peribahasa kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.
Sebenarnya apa-apa yang kita nikmati sekarang adalah dengan nikmat Allah jua. Oleh itu, saya bertanggungjawab untuk menyedarkan semua pihak agar sentiasa bersyukur atas segala rahmat dan keberkatan yang Allah berikan. Bagi mensyukuri nikmat tersebut, saya sentiasa berdoa agar memperoleh kasih sayang Allah dan bumi Malaysia terus terjaga daripada sebarang anasir. Saya yakin rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman dan agama mestilah memohon kesejahteraan kepada Allah. Sesuai dengan kata-kata yang berbunyi, “Rahmat bahagia, Tuhan kurniakan” dalam lirik lagu Negaraku, maka amat wajar sekali kita meletakkan segala usaha dan hasrat kepada Allah SWT. Insya-Allah, seandainya kita bersyukur dan mengutamakan kesejahteraan, justeru limpah rahmat Allah pasti menaungi hidup kita di bumi yang bertuah ini.
Sesungguhnya, saya yakin dengan iltizam yang saya pegang ini pasti membuahkan hasil dalam usaha memartabatkan negara Malaysia agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia. Saya ingin mengajak rakan-rakan seangkatan, marilah kita sederap melangkah dan bergandingan tangan demi watan yang bertuah ini. Ingatlah kepada kta-kata, “Malaysia, Oh, tanah airku!”


Soalan 16
Remaja Malaysia Yang Berwawasan
    Dalam meniti arus globalisasi ini, generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi berwawasan sebagai pemangkin pembangunan negara. Generasi berwawasan dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk menjadikan negara kita maju selaras dengan cita-cita Malaysia menjadi Negara Berpendapatan Tinggi. Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan tumpuan yang sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Cerdik pandai pernah menukilkan, untuk melihat negara pada masa hadapan, lihatlah remajanya pada hari ini. Oleh itu, usaha untuk melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai wawasan?
Sudah terang lagi bersuluh bahawa kecemerlangan dari segi akademik merupakan satu elemen utama untuk menelurkan remaja yang berwawasan. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja berilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa binasa.” Tegasnya, remaja yang berwawasan sentiasa memastikan dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki mentaliti kelas pertama.
Dalam pada itu, remaja yang berwawasan juga perlu sentiasa dinamik dan progresif dalam menjalankan sesuatu tugas. Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. Hal ini dikatakan demikian kerana negara yang pesat membangun seperti Malaysia memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam setiap aspek. Individu yang dinamik tidak memiliki ciri-ciri negatif seperti berputus asa sebaliknya bersemangat tinggi. Dalam mengejar kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya gigih menghadapi cabaran tanpa berputus asa kerana tiada kejayaan yang datang bergolek bak kata pepatah, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik dan progresif sudah pasti dapat mencapai cita-cita yang diimpikan. Pendek kata, remaja yang berwawasan sudah pasti akan memastikan dirinya berubah untuk memajukan diri dan negaranya.
Dalam nada yang sama, remaja yang berwawasan perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat, umat yang gigih dan berani mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan kaki di angkasa lepas kelak. Sesungguhnya, pemikiran yang kreatif dan inovatif merupakan ciri remaja yang berwawasan.
Jika kita telusuri dari dimensi yang berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya cinta akan negara. Remaja yang berjiwa patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada tercemar dan menjadi bahan cemuhan masyarakat luar. Oleh itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. Jiwa patriotik remaja yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global. Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.

Sebagai intiha, terdapat banyak ciri yang memaparkan seseorang remaja itu mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada belenggu angkara sosial. Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan dan pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. Oleh itu, golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan diri sebelum terlewat bak kata pepatah, sesal di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Golongan remaja kita perlulah melakukan anjakan paradigma untuk menjadi remaja kelas pertama dan memangkinkan kecemerlangan negara. Diharapkan kelahiran remaja berwawasan dapat merealisasikan segala aspirasi negara di samping dan menyerbakkan keharuman negara kita di persada antarabangsa.

Tudingan 1 hingga 5 bersumberkan blog : http://ishakmdshah.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment