Thursday, 12 July 2018

MENANGANI CABARAN UNTUK MERAIH KEJAYAAN DALAM PEPERIKSAAN

Kecemerlangan dalam sesuatu peperiksaan merupakan matlamat utama bagi seseorang murid. Sebagai seorang murid yang ingin berjaya dalam peperiksaan, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi.
Huraikan usaha-usaha yang harus anda lakukan untuk menghadapi cabaran tersebut agar hasrat anda tercapai.

     Setiap murid mempunyai cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran yang semakin mencabar kini. Satu aspek penting yang harus ada dalam diri murid ialah keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Namun, kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana pengorbanan dan usaha yang berterusan adalah sentiasa wujud dalam diri. Tidak dinafikan bahawa keputusan peperiksaan yang cemerlang akan menjamin masa hadapan. Pengumuman calon cemerlang SPM tahun 2017 pastinya membakar semangat bagi calon-calon SPM tahun 2018 untuk dinobatkan sebagai calon cemerlang nanti. Benarlah kata orang tua-tua, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna, jika saya hanya berpeluk tubuh menunggu detik peperiksaan SPM tiba. Persoalannya, apakah cabaran yang perlu saya hadapi dalam menempuh liku-liku kehidupan semasa menjelang peperiksaan? Sesungguhnya, saya juga haruslah melakukan pelbagai usaha bagi menangani setiap cabaran agar impian saya untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM akan tercapai dengan jayanya.
Cabaran pertama yang perlu saya hadapi ialah kesukaran untuk memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Masalah ini berlaku kerana saya sering menerima gangguan daripada rakan yang malas belajar. Kehidupan keluarga saya bermasalah telah menambahkan tekanan untuk saya mengikuti pembelajaran yang disampaikan oleh guru. Oleh sebab itu, saya harus menguatkan azam dan tekad untuk terlibat aktif ketika proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang dijalankan. Seterusnya, saya juga haruslah menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru. Yang paling penting, saya perlulah sentiasa bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang saya fahami. Sebagai impaknya, sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk. Saya juga dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru. Dalam erti kata yang lain, saya akan bersikap positif untuk membetulkan kesilapan terdahulu agar tidak berulang kembali. Confucius ada menyatakan bahawa ‘Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi.’ Hakikatnya, kesukaran untuk menerima ilmu daripada guru haruslah ditangani dengan memberikan tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar dan menyiapkan segala kerja rumah agar saya akan lebih bersedia untuk menghadapi peperiksaan nanti.
Kesukaran saya menguruskan masa belajar secara efisien juga merupakan cabaran yang perlu ditempuhi untuk berjaya dengan cemerlang. Hal ini berlaku kerana saya tiada pengalaman atau kemahiran menyediakan jadual belajar ditambah oleh gangguan hiburan dan penggunaan telefon pintar. Dengan demikian, saya haruslah berbincang dengan guru atau ibu bapa untuk menyediakan jadual belajar. Saya juga perlulah mengikuti jadual yang dibuat dengan sebaik-baiknya. Jadual yang disediakan itu membolehkan saya membuat ulang kaji secara berterusan. Seterusnya saya seyogia memiliki jadual belajar untuk kumpulan perbincangan di luar waktu persekolahan. Sebagai kesannya, saya mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat nota dan latihan. Seterusnya, saya dapat menghabiskan semua tajuk pelajaran dan tidak ketinggalan dalam pelajaran. Ketika menjawab soalan peperiksaan nanti, saya akan terbiasa dengan jenis-jenis soalan yang akan ditanya. Pepatah Melayu ada menyatakan bahawa alah bisa tegal biasa akan saya lakukan jika terus berusaha untuk menjawab soalan yang sukar. Hakikatnya, pengurusan masa yang cekap akan membantu kejayaan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan nanti.
Program kecemerlangan dan motivasi yang sepatutnya dihadiri tidak dapat saya penuhi juga merupakan cabaran yang terpaksa dihadapi. Hal ini telah menyebabkan saya tiada pendedahan maklumat tentang kelebihan program yang menjurus pada kecemerlangan akademik dan sahsiah diri. Selain itu, kos menyertai program yang dianjurkan oleh pihak luar juga mahal. Oleh hal yang demikian, saya perlulah menyertai bengkel dan ceramah yang diadakan di sekolah. Sementara itu, saya perlulah mengikuti program motivasi yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan terlibat dalam program akademik yang dijalankan. Sebagai impaknya, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan oleh guru-guru yang berpengalaman. Sudah terang lagi bersuluh bahawa program yang dihadiri ini akan meningkatkan semangat dan keyakinan saya untuk menduduki peperiksaan. Selain itu, pendedahan yang diperoleh dalam program ini, seperti bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa dapat saya ambil untuk dijadikan pegangan dan amalan. Orang tua-tua pernah berkata bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hal ini turut dinyatakan oleh Lao Tze, iaitu ‘perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah.’ Seyogia, saya haruslah kerap menghadirkan diri dengan program kecemerlangan dan motivasi ini dalam membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.
Cabaran yang terakhir ialah saya kurang mematuhi nasihat daripada kedua-dua ibu bapa yang sering tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar. Hal ini terjadi kerana saya merupakan anak bongsu yang terlalu dimanjakan berbanding dengan adik-beradik yang lain. Selain itu, rakan sebaya telah menjadi tempat yang paling saya percayai untuk mengadu segala permasalahan diri. Keadaan ini bertambah buruk apabila saya juga kurang mendapat didikan agama yang sempurna sejak kecil. Oleh hal yang demikian, saya wajar sentiasa patuh akan nasihat dan asuhan daripada ibu bapa. Nasihat daripada mereka yang menyuruh saya belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan yang lebih cemerlang akan dijadikan pegangan. Sekiranya saya terus mendengar nasihat ibu bapa maka saya akan terus berusaha dengan gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Saya juga akan mendapat restu daripada ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Benarlah kata orang tua-tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Seterusnya, saya tidak akan menjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa akan diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Hakikatnya, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa untuk menjamin kejayaan yang cemerlang nanti.
Secara tuntasnya, kejayaan dalam peperiksaan diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Kita tidak boleh membiarkan masalah dan cabaran itu menjadi batu penghalang yang besar pada sesuatu kejayaan. Dengan demikian, setiap cabaran itu akan saya hadapi dengan penuh rasa tanggungjawab sebagai seorang murid. Dalam pada itu, setiap langkah yang dicadangkan itu perlu dilakukan dengan penuh iltizam, seperti kata peribahasa hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Tegasnya, saya haruslah belajar bersungguh-sungguh tanpa rasa jemu, ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang kerana sikap positif ini juga mampu untuk saya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti. ‘Semua A+ Impianku,’ akan menjadi realiti untuk keluarga dan guru-guru yang tersayang.

[buah fikir Cg Mohd Nasir Imbakup]

Kecemerlangan dalam sesuatu peperiksaan merupakan matlamat utama setiap murid namun terdapat pelbagai cabaran seperti pengurusan masa dan kurang fokus terhadap pembelajaran di dalam kelas.

Huraikan usaha-usaha yang harus anda lakukan untuk menghadapi cabaran tersebut agar hasrat anda tercapai.

No comments:

Post a Comment