Drama : Tenang-tenang Air di Tasik
(Norhashimah Hashim)
Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar
memberitahu ibunya tentang kesanggupannya melatih sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan
kayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik
Permai. Ibunya tidak bersetuju kerana bimbang akan keselamatan anak tunggalnya
itu. Ibu Muzafar bimbang tindakan anaknya itu akan menambahkan beban dan
menyusahkannya kelak.
Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih
peserta- peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang
bercuti. Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatan diri sepanjang empat
hari tiga malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan
apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan
orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar sebenarnya merupakan seorang
wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran
terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan
ibunya terlalu menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan
bertindak sedemikian.
Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan
kumpulan peserta cacat penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu
terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal.
Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi
tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan
betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak
terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris,
dan Chee Keong.
Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di
beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan
berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai
pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan
sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai
orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi
berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang
normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat
peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.
Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang
peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah ditempuhi oleh
mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan Muzafar yang banyak
memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut.
Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut
membantu untuk memudahkan ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang
itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap
Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam
mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu
berkayak dengan begitu baik.
Dalam perbualan dengan Haris, dan Nurul, Muzafar
dapat mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga ternama
dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika berusia
tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek
mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi
menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi
wajah dan perawakan.
Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi
berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam bersama Muzamir dan
rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke
rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman
ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta cacat
penglihatan tersebut. Sewaktu tayangan video itu, Ibu Muzafar tergamam apabila
melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir.
Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu
meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai.
Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila
melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia selepas mengetahui
latar belakang Muzamir. Muzafar bercerita kepada Azizi tentang perasaannya
sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan
air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat
pulang.
9 comments:
terbaik
Ye betul tu hahaha😂🤘👍
Terima kasih sbb dh bantu saya mengulang kaji
Jalan cerita dia habis dia begitu je ke? Ke ada sambungan episod akhir tentang Muzamir tu?
Apa-apa pun terima kasih untuk blog ini.
thanks
yes lepas ni keje sekolah siaplah
jalan cerita memang habis macam tu jeee...
Sinopsis pun panjang haha.. Btw tq this blog
Thank youuu
Post a Comment