14/02/2019

Pidato 'Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya'


Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.

Bismillahirrahmanirrahim
Seawal Nabi Adam A.S dicipta, saat itulah penerokaan ilmu  bermula. Dengan membaca segala petanda kebesaran Yang Maha Esa, maka terbinalah ketamadunan bangsa yang berjaya.

Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Terima kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang  bervisi, kombinasi kehakiman yang berintegriti,  penjaga masa yang setia dengan detik waktu di sisi, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.

Hadirin sekalian,
Sebagai anak muda yang memiliki visi futuris, saya menyahut lamaran berpidato pada hari ini dengan mengusulkan mauduk, ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’. Sebelum melewati lebih jauh tutur bicara ini, saya definisikan frasa, Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’ bermaksud, individu daripada sesuatu bangsa yang membaca membawa citra kejayaan bangsanya, dan individu tersebut berjaya memberi impak yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat dan nusa tercinta. Hal ini bertepatan dengan definisi membaca oleh Smith dan Johnson (1980:4) menganggap proses membaca sebagai satu proses komunikasi kerana dalam sesebuah perlakuan membaca, berlaku pertukaran idea-idea antara penulis dan pembaca. Dengan kata lain, pertukaran ini membolehkan pembaca mengutip segala input bacaannya untuk melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan. Justeru, saya mengajak rakan-rakan dan sidang pendengar sekalian untuk menghayati wacana ini agar kita menjadi sebahagian bangsa yang berjaya dan cemerlang.
Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Hal ini demikian kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Hadirin sekalian,
Hijab pidato ini saya buka menerusi indikator pertama amalan membaca melahirkan bangsa berilmu. Bangsa yang berilmu pastinya membibitkan bangsa yang berjaya. Agama Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru. Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.

Rakan-rakan pelajar yang dikasihi,
Indikator saya yang kedua ialah amalan membaca melestarikan bangsa berilmu yang maju. Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Oleh sebab itu, amat wajarlah negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti kata lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekali gus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu pada 6 dan 9 Ogos 1945. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran. Tidak cukupkah semua ini sebagai bukti bahawa bangsa yang membaca akan lahir sebagai bangsa yang berjaya?

Hadirin sekalian,
Indikator saya yang ketiga ialah budaya membaca mendaulatkan bangsa menjadi peneroka pelbagai bidang. Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru, di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana-mana mereka berada. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, daripada 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun seperti Yomiuri Shimbun, The Asahi Shimbun dan Mainchi Shimbun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari.

Indikator saya yang keempat ialah amalan membaca mendaulatkan bangsa. Perang Salib telah menjadi satu lagi bukti bahawa amalan membaca telah berjaya mengangkat martabat bangsa. Hal tersebut  berlaku apabila tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart telah memperoleh inspirasi budaya ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu telah dibawa balik dan diterjemah ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi tamadun yang terbina atas amalan membaca. Begitu juga dengan rakyat Malaysia,  pada era penjajahan dianggap sebagai bangsa bodoh yang boleh dijajah. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa Malaysia mula celik ilmu untuk berjuang memerdekakan negara. Hasil kesedaran terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kita telah berjaya mencapai kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Kini, setelah hampir 60 tahun kemerdekaan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah Negara Dunia Ketiga yang cukup pantas  berkembang dan disegani di mata dunia. Demikianlah suatu dimensi  baru dalam budaya membaca untuk meletakkan kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju. Jelaslah  bahawa, sejarah telah membuktikan bahawa bangsa yang berjaya mengangkat maruah bangsa ialah bangsa yang suka membaca.

Hadirin sekalian,
        Beralih kita kepada hujah saya yang terakhir di bawah lembayung kata bangsa membaca, teknologi terkuasa. Berbalik kepada era moden, amalan membaca telah menjadi penanda aras utama kepada  pencapaian luar biasa beberapa negara kuasa ekonomi dunia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Kuasa ilmu telah mengangkat negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan untuk terus  bersaing dalam pasaran teknologi moden. Jepun amat dikenali dengan kekuatan membaca rakyatnya yang memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika Syarikat. Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku setahun. Sebut sahaja Toyota, Mazda, Mitshubitshi dan Honda membuktikan  bahawa teknologi automobil Jepun terhasil daripada sikap bangsanya yang suka membaca. Manakala dalam persaingan teknologi telefon  pintar, jika rakyat Amerika berbangga dengan jenama Apple, rakyat Korea selatan pula mampu berbangga dengan penghasilan telefon  pintar Samsung yang telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah  petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana amalan membaca, teknologi terkuasa, bangsa berjaya.

Hadirin yang bervisi,
        Sebelum kata mengunci bicara, sebelum langkah mengundur pergi, ingin saya simpulkan pidato saya bahawa asas untuk membawa sebuah negara dan bangsa ke hadapan ialah rakyatnya perlu membudayakan amalan membaca. Sebagai bangsa yang masih  baharu, rakyat Malaysia masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara maju, namun jikalau amalan membaca terus diperkasakan, insha-Allah kita juga akan menjadi bangsa yang berjaya.

Sekian terima kasih, srikandi bestari mohon permisi.



********
Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Sukan Mengukuhkan Perpaduan’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.





5 comments:

Unknown said...

Mohon keizinan guna sebahagian pidato ini untuk anak murid saya

Unknown said...

Betul2... selain berpantun, berkarya, berpuisi, Perbahasan Dan Pidato..
Penulisan yang menggunakan Bahasa Malaysia seperti juga antara nya satu contoh kearah melahirkan Bahan bacaan YG berkualiti

NURUL RABIATUL ADAWIYAH said...

Assalamualaikum...izinkan saya untuk guna teks pidato ni boleh

Anonymous said...

izin guna teks pidato ini untuk saya berpidato ya

KopiahLembik a.k.a Mohd Nasir said...

Izinkn saya dan ank murid ambik manfaat