Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk
pidato anda ialah ‘Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.
Bismillahirrahmanirrahim
Seawal Nabi Adam A.S
dicipta, saat itulah penerokaan ilmu
bermula. Dengan membaca segala petanda kebesaran Yang Maha Esa, maka
terbinalah ketamadunan bangsa yang berjaya.
Assalamualaikum dan
salam sejahtera,
Terima
kasih diucapkan kepada nakhoda pimpinan majlis yang bervisi, kombinasi kehakiman yang
berintegriti, penjaga masa yang setia
dengan detik waktu di sisi, seterusnya sidang hadirin yang dikasihi.
Hadirin sekalian,
Sebagai anak muda yang memiliki visi futuris, saya menyahut
lamaran berpidato pada hari ini dengan mengusulkan mauduk, ‘Bangsa Membaca
Bangsa Berjaya’. Sebelum melewati lebih jauh tutur bicara ini, saya definisikan
frasa, ‘Bangsa Membaca Bangsa Berjaya’ bermaksud, individu
daripada sesuatu bangsa yang membaca membawa citra kejayaan bangsanya, dan individu
tersebut berjaya memberi impak yang positif kepada diri, keluarga, masyarakat
dan nusa tercinta. Hal ini bertepatan dengan definisi membaca oleh Smith dan Johnson
(1980:4) menganggap proses membaca sebagai satu proses komunikasi kerana dalam
sesebuah perlakuan membaca, berlaku pertukaran idea-idea antara penulis dan
pembaca. Dengan kata lain, pertukaran ini membolehkan pembaca mengutip segala
input bacaannya untuk melakukan sebarang perubahan dalam kehidupan. Justeru, saya
mengajak rakan-rakan dan sidang pendengar sekalian untuk menghayati wacana ini
agar kita menjadi sebahagian bangsa yang berjaya dan cemerlang.
Amalan
membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang.
Hal ini demikian kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca
berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan
yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia
yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga
merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara
kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.
Hadirin sekalian,
Hijab
pidato ini saya buka menerusi indikator pertama amalan membaca melahirkan
bangsa berilmu. Bangsa yang berilmu pastinya membibitkan bangsa yang berjaya. Agama
Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai
tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi,
Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut
memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun
bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru. Ketika Barat
berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh
dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini
dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan
berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan
lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah
dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka
setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar.
Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di
Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama
sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di
Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova
membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca
tercegat menjadi bangsa yang berjaya.
Rakan-rakan pelajar yang
dikasihi,
Indikator
saya yang kedua ialah amalan membaca melestarikan bangsa berilmu yang maju. Sejarah
telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan
Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah
membina budaya literasi. Oleh sebab itu, amat wajarlah negara-negara tersebut
maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai
perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang
teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping
memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti kata lain, budaya
literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan
sesebuah masyarakat dan negara. Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham,
sekali gus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara
yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti
tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang
Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu pada 6 dan 9 Ogos 1945. Jepun
kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan
mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan
negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya
dari kehancuran. Tidak cukupkah semua ini sebagai bukti bahawa bangsa yang
membaca akan lahir sebagai bangsa yang berjaya?
Hadirin sekalian,
Indikator
saya yang ketiga ialah budaya membaca mendaulatkan bangsa menjadi peneroka
pelbagai bidang. Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun.
Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang,
dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Kejayaan Jepun menguasai
‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal.
Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan
mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari
Terbit itu tidak terbina. Justeru, di Jepun kita tidak mungkin akan menemui
ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat
yang suka membaca, walau di mana-mana mereka berada. Bahkan, jumlah pengedaran
akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia.
Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, daripada 10 akhbar terbesar di dunia,
dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun seperti Yomiuri
Shimbun, The Asahi Shimbun dan Mainchi Shimbun. Tempat pertama dipegang oleh
akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari.
Indikator
saya yang keempat ialah amalan membaca mendaulatkan bangsa. Perang Salib telah
menjadi satu lagi bukti bahawa amalan membaca telah berjaya mengangkat martabat
bangsa. Hal tersebut berlaku apabila
tentera-tentera Salibiyah yang dipimpin oleh Richard The Lion Heart telah memperoleh
inspirasi budaya ilmu dalam tamadun Islam. Banyak kitab ilmu telah dibawa balik
dan diterjemah ke bahasa Latin. Akhirnya berkembanglah suatu lagi tamadun yang
terbina atas amalan membaca. Begitu juga dengan rakyat Malaysia, pada era penjajahan dianggap sebagai bangsa
bodoh yang boleh dijajah. Namun, atas kesedaran untuk kembali bermaruah, bangsa
Malaysia mula celik ilmu untuk berjuang memerdekakan negara. Hasil kesedaran
terhadap budaya ilmu dan budaya membaca, kita telah berjaya mencapai
kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Kini, setelah hampir 60 tahun
kemerdekaan, Malaysia telah muncul sebagai salah sebuah Negara Dunia Ketiga
yang cukup pantas berkembang dan
disegani di mata dunia. Demikianlah suatu dimensi baru dalam budaya membaca untuk meletakkan
kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.
Jelaslah bahawa, sejarah telah
membuktikan bahawa bangsa yang berjaya mengangkat maruah bangsa ialah bangsa
yang suka membaca.
Hadirin sekalian,
Beralih
kita kepada hujah saya yang terakhir di bawah lembayung kata bangsa membaca,
teknologi terkuasa. Berbalik kepada era moden, amalan membaca telah menjadi
penanda aras utama kepada pencapaian
luar biasa beberapa negara kuasa ekonomi dunia khususnya dalam bidang sains dan
teknologi. Kuasa ilmu telah mengangkat negara-negara seperti Jepun, Korea
Selatan untuk terus bersaing dalam
pasaran teknologi moden. Jepun amat dikenali dengan kekuatan membaca rakyatnya
yang memang sukar ditandingi oleh kuasa-kuasa besar hatta Amerika Syarikat.
Rakyat Jepun dikatakan secara purata mampu membaca 120 buah buku setahun. Sebut
sahaja Toyota, Mazda, Mitshubitshi dan Honda membuktikan bahawa teknologi automobil Jepun terhasil
daripada sikap bangsanya yang suka membaca. Manakala dalam persaingan teknologi
telefon pintar, jika rakyat Amerika
berbangga dengan jenama Apple, rakyat Korea selatan pula mampu berbangga dengan
penghasilan telefon pintar Samsung yang
telah berjaya menawan pasaran dunia. Begitulah
petunjuk hebat hasil penjanaan ilmu kerana amalan membaca, teknologi
terkuasa, bangsa berjaya.
Hadirin yang bervisi,
Sebelum kata mengunci bicara, sebelum
langkah mengundur pergi, ingin saya simpulkan pidato saya bahawa asas untuk
membawa sebuah negara dan bangsa ke hadapan ialah rakyatnya perlu membudayakan
amalan membaca. Sebagai bangsa yang masih
baharu, rakyat Malaysia masih jauh untuk bersaing dengan negara-negara
maju, namun jikalau amalan membaca terus diperkasakan, insha-Allah kita juga
akan menjadi bangsa yang berjaya.
Sekian terima kasih,
srikandi bestari mohon permisi.
********
Anda akan mengambil bahagian dalam pertandingan pidato. Tajuk pidato anda ialah ‘Sukan Mengukuhkan Perpaduan’
Tulis teks pidato anda itu selengkapnya.
5 comments:
Mohon keizinan guna sebahagian pidato ini untuk anak murid saya
Betul2... selain berpantun, berkarya, berpuisi, Perbahasan Dan Pidato..
Penulisan yang menggunakan Bahasa Malaysia seperti juga antara nya satu contoh kearah melahirkan Bahan bacaan YG berkualiti
Assalamualaikum...izinkan saya untuk guna teks pidato ni boleh
izin guna teks pidato ini untuk saya berpidato ya
Izinkn saya dan ank murid ambik manfaat
Post a Comment