11/09/2013

Latihan Rumusan GTF Batang Padang 2013



Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang  usaha-usaha menghargai jasa veteran tentera dan sebab-sebab veteran tentera perlu diberikan penghargaan. Panjangnya  rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak sekian lama, negara kita telah menikmati  keamanan yang berterusan kerana jasa yang tidak ternilai oleh para perajurit negara.  Setelah bersara daripada perkhidmatan kerajaan dan bergelar veteran tentera,  golongan ini tidak wajar dilupakan begitu sahaja.  Sehubungan dengan itu, Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) telah dirasmikan  oleh Perdana Menteri pada 15 Disember 2012 di Kuala Kangsar, Perak untuk memberikan sokongan yang lebih menyeluruh dalam meningkatkan taraf sosioekonomi veteran tentera. 

Kita tidak dapat menafikan bahawa terdapat  veteran tentera yang masih tinggal di rumah yang kurang sempurna. Oleh itu, kerajaan berusaha menyediakan rumah yang lebih selesa pada kos yang rendah untuk veteran tentera. Projek ini telah dimulakan pada tahun 2012 dengan membina sebanyak 49 buah rumah. Kini veteran tentera yang tinggal di kawasan luar bandar dapat menikmati keselesaan tinggal di rumah sendiri dengan keadaan persekitaran yang lebih baik. Dalam memastikan veteran tentera tidak ketinggalan dalam arus kemajuan semasa, 31 kem tentera telah dijadikan sebagai  pusat sehenti veteran tentera yang tinggal di kawasan luar bandar. Di pusat ini, mereka boleh  mendapatkan khidmat nasihat, pelbagai kemudahan sosial dan memupuk hubungan yang lebih erat dengan pegawai Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV).  Seterusnya, kerajaan juga bersedia  memenuhi  keperluan kebajikan  keluarga veteran tentera supaya kehidupan mereka lebih terjamin.

Kebanyakan veteran  tentera mempunyai kemahiran  dan kepakaran yang berharga kepada organisasi korporat. Oleh hal yang demikian JHEV telah memperkenalkan program penempatan kerja untuk veteran tentera dalam sektor swasta. Natijahnya, melalui kerjasama dengan sektor korporat, JHEV  sudah berjaya menempatkan sebanyak 1,354 orang veteran tentera untuk berkhidmat dalam sektor swasta dan korporat.  Suatu hal yang menarik  lagi, lebih 90 peratus veteran tentera berminat untuk menjadi usahawan. Bagi merealisasikan cita-cita mereka, para veteran tentera   diberi bantuan kewangan dan khidmat nasihat untuk memulakan perniagaan seperti peruncitan, makanan dan minuman. Manakala untuk mendapatkan kemahiran yang lebih tinggi veteran tentera dipelawa mengikuti pelbagai  latihan dan kursus yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).  JHEV juga telah menyediakan sesi taklimat  mengenai Azam Niaga yang diadakan di seluruh Malaysia untuk membantu veteran tentera yang telah menceburi bidang perniagaan mengembangkan perniagaan mereka.

Sebagai golongan yang berjasaveteran tentera juga dibekalkan dengan Kad Bekas Tentera (KBT). Seramai 117,051 pemegang KBT  telah dapat menikmati keistimewaan dan diskaun yang ditawarkan melalui program ini.  Diharapkan dengan adanya semua inisiatif ini veteran tentera bukan sahaja dapat  berdikari malah dapat meningkatkan kedudukan  moral  mereka dengan lebih ketara. Kita sewajarnya terus menyokong transformasi dalam kehidupan veteran tentera dan keluarga mereka sejajar dengan pelan pembangunan negara yang dibentuk untuk rakyat negara ini.
(Dipetik dan diubah suai daripada
‘Mengenang Pengorbanan Wira Negara’
oleh Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan dan Laksamana Tan Sri Ilyas Din (B)
Berita Harian, 29 Julai 2013)


Soalan 2 (a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.


  (i)
Berikan maksud rangkai kata menikmati keistimewaan.                      [2 markah]


 (ii)
Pengarang menyatakan beberapa harapan terhadap veteran tentera.
 Nyatakan dua harapan.                                                                       [3 markah]


(iii)
Nyatakan pendapat anda tentang cara-cara untuk menarik golongan remaja menyertai angkatan tentera.                                                                  [4 markah]




No comments: