Sunday, 25 January 2015

SINOPSIS : PANTAI KASIH (BAB 7 - BAB 9)

Bab 7

Felicia Landosi, Sister Kanan kepercayaan Doktor Uwang di Pusat Rawatan Pantai Kasih begitu tertekan dengan situasi di tempat kerja apatah lagi Doktor Usman sudah mulai mempertikaikan kewibawaannya setelah mendapati bahawa dia telah melakukan kesalahan besar. Doktor Uwang sering mempersoalkan tentang lafaz yang pernah dibuat oleh Felicia ketika mengikuti Kursus Kejururawatan. Felicia juga tertekan dengan serkahan ‘sapi tua’ iaitu ibu Unong Siron tentang musibah anaknya berpunca daripada Felicia sendiri. Felicia berasa bahawa dirinya diperendahkan hingga setaraf dengan jiran tetangga sewaktu dia masih dalam alam kanak-kanak hingga alam remaja menyebabkan dia sungguh malu. Kepahitan hidupnya menyebabkan dia berjinak-jinak dengan ubat batuk supaya dia dapat melupakan kisah silamnya.

Felicia juga jengkel dengan sikap Raiha yang dahulunya adalah merupakan rakan karib sekelas yang berjaya menangkapnya ketika melakukan kesalahan. Dia juga begitu tertekan dengan peristiwa hitam yang mencemarkan sejarah hidupnya. Dia sering teringat akan masyarakat jirannya yang mengatakan bahawa dia merupakan golongan masyarakat kelas menengah bawah begitu juga tentang kelahirannya yang tiada diketahui bapa kandungnya. Kenangan hitam itu menghantui dirinya kerana ibunya yang dianggap liar itu menjadikan dia sebagai mangsa ejekkan rakan-rakan sekolah.

Keadaannya semakin parah apabila mula berhalusinasi akibat kesan ubat batuknya itu. Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang lelaki kacak yang siap berpakaian seperti seorang doktor. Keadaan mamai menyebabkan Felicia tidak dapat melihat dengan jelas doktor muda itu, Doktor Muda itu bersimpati dengan keadaan Felicia dan kerana sikap prihatinnya itulah Felicia sanggup percaya dengan doktor muda itu.

Raiha yang dalam perjalanan ke Pusat Rawatan Pantai Kasih selepas mendapat panggilan kecemasan tadi mengambil keputusan untuk tidak lagi mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang sehingga mencetuskan ketegangan antaranya dan Doktor Uwang. Setibanya di Pusat Rawatan itu Raiha bergegas ke wad yang dihuni oleh Unong Siron. Doktor Alex Ng menegurnya dengan mesra dan bertanya sebab dia kembali semula sedangkan waktu bertugasnya sudah tamat.  Raiha menyatakan bahawa dia menerima panggilan kecemasan tentang Unong Siron.  Doktor Alex Ng menjelaskan bahawa mereka tidak membuat panggilan kecemasan tersebut. Raiha teringat bahawa yang membuat panggilan tadi ialah Doktor Uwang sedangkan menurut Doktor Alex, Doktor Uwang sudah pulang siang tadi. Mungkin ini adalah panggilan palsu. Alex turut menjelaskan bahawa doktor-doktor lain turut juga menerima panggilan palsu seperti itu.  Terlanjur sudah berada di Pusat Rawatan Pantai Kasih, Raiha ingin menjenguk Unong Siron yang baharu sahaja dibedah senja tadi. Dalam benak fikirannya, Raiha berharap Unong akan berjaya pada kali ini.

Bab 8

Raiha masih dihimpit dengan kenangan silam. Kenangan pedih bersama Doktor Sadiz dan kehilangan anak perempuan kesayangannya itu sering menghantuinya tanpa henti. Lamunannya terhenti apabila dia disapa oleh ibu Unong Siron yang inginkan kepastian keadaan anaknya selepas menjalani pembedahan kali ke-6 infeksi ke atas tulang pinggul. Dia berjanji supaya tidak berulang lagi pembedahan yang menyebabkan ibu tua itu menghadapi kesukaran terutama apabila semua wang simpanannya habis. Dia juga berjanji tidak akan ada derita lagi pada Unong yang terpaksa menghabiskan masa lama di hospital. Setelah memastikan bahawa semuanya berada dalam keadaan normal, Dia amat bersimpati dengan anak gadis kecil itu sehinggakan ingatannya teradap anak gadisnya yang rentung datang kembali. Apatah lagi ingatan terhadap sikap Doktor Sadiz yang memintanya menghantar ayu agar dipelihara oleh orang lain.

Lamunannya tersentak apabila Ariana Abdullah menyatakan bahawa Sister Felicia Landosi ditahan oleh penceroboh yang menyamar sebagai doktor dahulu, di bilik bedah. Keadaan menjadi huru-hara dengan kejadian ini. Ibu Unong Siron  menawarkan diri untuk menenangkan penceroboh kerana dia kenal penceroboh yang tinggal bersebelahan dengan kampungnya. Ibu Unong Siron meminta penceroboh yang menyamar sebagai doktor itu membantu menyelamatkan anaknya yang parah. Hati penceroboh itu tersentuh dan membuka pintu kecemasan. Pengawal keselamatan meluru masuk ke dalam bilik tersebut tetapi dihalangi oleh Raiha yang menyatakan bahawa Unong Siron begitu parah dan dibawa ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan dan meminta penceroboh itu ke hospital tersebut. Peristiwa itu pun berakhir. Ibu Unong Siron menceritakan sebenarnya penceroboh itu adalah bekas penuntut bidang perubatan sebuah universiti tempatan yang gagal dalam peperiksaan akhir semester.

Bab  9

Sewaktu Doktor Uwang membelok masuk ke kawasan Pusat Rawatan Pantai Kasih, dia ternampak bayangan wajah anak saudaranya yang sudah meninggal dunia akibat rentung di dalam kereta mewah yang terbakar. Dia teringat waktu Doktor Mohammad dan Doktor Alex Ng memintanya bertugas walaupun sebenarnya dia ingin berehat di rumahnya daripada kengiluan pada kedua-dua belah pergelangan tangan dan kepala lututnya. Doktor Uwang juga terimbas kembali tentang infeksi yang berulang kembali walaupun pembedahan kali keenam dilakukan ke atas Unong Siron dan menganggap sekiranya menjadi akut sekalipun bukanlah salahnya. Dia juga terbayang semua wajah pesakitnya yang pernah dibedah seolah-olah mahu berinteraksi dengannya. Kemudian disusuli dengan wajah seorang kanak-kanak perempuan yang seluruh badannya melecur. Kesemua wajah-wajah ini mengganggu hidupnya belakangan ini.

Doktor Uwang juga teringat saat dia menghantar Dotor Sadiz dan Felicia Landosi pulang selepas menghadiri majlis sempena menyambut ketibaan tahun baru. Doktor Sadiz yang marah apabila mendapati Raiha membawa pulang kereta Porsche bersama-sama anak perempuannya. Dia juga teringat ketika membawa Doktor Sadiz untuk membeli minyak petrol dan berhenti di sebuah rumah tumpangan pada tengah malam dan teringat saat kereta Porsche itu dijilat api tidak lama kemudian sehingga menyambar kanak-kanak perempuan yang secara kebetulan berada di situ.

Doktor Uwang juga terbayang wajah perempuan tua yang memohon simpati sebagaimana wajah-wajah waris pesakit golongan kelas menengah bawah yang lain. Perempuan tua itu bertanya tentang kesan sekiranya komplikasi masih berlaku walaupun anaknya sudah dibedah sebanyak enam kali. Doktor Uwang masih mengatakan bahawa urusan wang bukanlah urusannya. Kemarahan perempuan tua itu menyebabkan Doktor Uwang tercabar apabila dicop sebagai doktor mata duitan. Doktor Uwang tersentak apabila ingatannya kembali kepada penceroboh yang masuk dan menyamar sebagai doktor di Pusat Rawatan Pantai Kasih yang sepatutnya sesuai menangani kes anak peremuan tua itu.

Raiha teringat sikap Doktor Sadiz yang tidak akan memaafkannya walaupun sampai dia meninggal dunia. Doktor Sadiz akan membiarkan hidup Raiha tergantung-gantung. Raiha turut melihat sikap Doktor Sadiz yang keluar melangkah dari mahkamah keluarga dengan senyum sinis. Dia juga masih ingat dengan tidak dijangka-jangka kereta Doktor Sadiz yang memecut laju dan sedang mengekori lori minyak petrol merempuh belakang lori yang berhenti secara tiba-tiba di persimpangan lampu trafik.

Doktor Uwang telah merempuh tembok Pusat Rawatan Pantai Kasih akibat seluruh tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik apabila tangannya berasa kebas dan lututnya kejang. Dia dikeluarkan dari kenderaan mewah yang dipandunya dengan bantuan pekerja-pekerja pusat rawatan tersebut dan Raihalah yang mengambil alih menyelamatkan nyawanya dan melakukan pembedahan apabila didapati kecederaan teruk di bahagian pergelengan tangan dan lutut kaki yang hancur dan memerlukan penggantian sendi pada anggota tersebut.


Akhirnya Felicia Landosi memohon maaf adaripada Raiha atas penglibatan dirinya menjadi budak suruhan membeli minyak petrol oleh Doktor Sadiz yang akhirnya berjaya menjejaki Raiha dan menjadi saksi apabila Doktor Sadiz melepas geram dengan membakar kereta itu sendiri. Dia sendiri terkejut apabila secara tiba-tiba anak Raiha muncul di situ dan langsung disambar api dan dia turut menyatakan bahawa sewaktu di mahkamah dia tidak tampil sebagai saksi kerana takut. Raiha akhirnya tersedar bahawa mereka adalah mangsa keadaan.

1 comment: