Semangat kejiranan dalam kalangan rakyat di negara ini semakin
longgar.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah yang harus diambil oleh
pelbagai pihak supaya semangat kejiranan
dalam kalangan penduduk dapat ditingkatkan?
Jiran
ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan
dan juga di belakang rumah kita. Jika kita tinggal dalam satu taman atau di
sebuah egara yang sama, mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran
sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang
yang akan membantu kita apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Pepatah Melayu
ada mengatakan bahawa “Jiran sepakat membawa berkat”. Jadi, kita
perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam
melakukan sesuatu perkara. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang wajar
diambil untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat?
Langkah
primer yang harus diambil oleh pihak kerajaan ialah kerajaan menjalankan
kempen-kempen kejiranan yang bersesuaian di semua peringkat sama ada peringkat
daerah, negeri atau kebangsaan. Tujuan kempen ini adalah untuk menanam semangat
perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat. Konsep 1Malaysia yang
diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak menekankan
semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Usaha sama sebegini yang wajar
diambil contoh dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan
semangat kejiranan yang utuh. Kempen kejiranan yang dijalankan ini perlulah
berterusan dan janganlah hangat-hangat tahi ayam sahaja. Jelasnya, kempen
yang dijalankan ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat untuk memupuk
semangat kejiranan.
Selain
itu, langkah yang harus diambil ialah masyarakat setempat perlulah mengadakan
aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran dapat berkumpul
dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang akan dilakukan. Apabila
berkumpul dan berbincang ,mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu dengan
yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu
yang mengatakan bahawa tak kenal maka
tak cinta. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara
bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk
kenduri-kendara dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan
meningkatkan hubungan negara jiran. Malahan, menurut laporan majalah ‘The Times’
di Australia, kegiatan gotong-royong yang diamalkan di Malaysia merupakan
antara aktiviti yang terbaik di dunia.
Di samping itu, peranan media massa
merupakan langkah yang amat penting dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam
kalangan rakyat Malaysia. Pelbagai kaedah boleh digunakan dalam menyuburkan
semangat kejiranan. Media cetak misalnya boleh menyiarkan artikel-artikel
tentang kepentingan semangat kejiranan. Media elektronik pula boleh menyiarkan
dokumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa,
pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan cepat dan mudah. Sesungguhnya,
berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik
perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha Majalah
3 menyiarkan ‘Colour of Malaysia’ wajar disokong. Justeru, semangat hati gajah sama dilapah, hati kuman sama
dicecah ini wajar kita tonjolkan
melalui media massa.
Seterusnya, setiap penduduk hendaklah
mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan
ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan dalam
kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya
khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya ,melalui
rumah terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan
berbincang sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai
contoh, sambutan majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru
Cina, Krismas, Deepavali dan sebagainya hendaklah dijadikan acara tahunan.
Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli masyarakat untuk bertemu
muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung
dan Jawatan Kuasa Kemajuan Taman juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti
Hari Keluarga diadakan, semua ahli keluarga jiran akan turut serta melibatkan
diri dalam aktiviti berkayak, memasukkan air ke dalam botol, terompah gajah dan
sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan akan terjalin
bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini
hendaklah diadakan di padang bola sepak, taman rekreasi atau padang sekolah
yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat antara jiran
dapat dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin
membantu antara satu dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa
Melayu, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni.
Tambahan lagi, kerajaan juga harus
menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti seperti persatuan
atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang
mempunyai satu organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela
ditubuhkan dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatan Kuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya.
Sebagai contoh, melalui Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara
bergilir-gilir mengawasi keselamatan taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian
yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar
atau saling membantu dalam kehidupan.
Akhir sekali, masyarakat mestilah
menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam kalangan rakyat sebagai langkah
untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup bermasyarakat,
kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan
mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh,
kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita
dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu penyakit atau kemalangan.
Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat mata memandang berat lagi bahu
memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang kepada prinsip cubit
paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai
semangat kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan
keperitan yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya,
kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat. Dalam
era globalisasi, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan
orang lain semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai
enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan,
semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara.
Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu kita teguh bercerai kita roboh”.
Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan akan bertambah utuh
dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa
aman, harmoni dan sejahtera.
6 comments:
awak punya dah cantik dah tapi kalau ada pantun gurindam dan lain-lain
sangat membantu utk jadi rujukan .. Thankssss
Minta izin salin ye
Yahoo sama mau minta izin salin
Minta izin copy
Yahooo saya mu mintak izin salim
Post a Comment