05/09/2014

SOALAN PERCUBAAN BAHASA MELAYU 1103/2 SPM 2014


Soalan 1 : Rumusan

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan IPT (institusi pengajian tinggi) dan faktor-faktor yang menyebabkan sesebuah IPT menjadi pilihan pelajar untuk melanjutkan pelajaranPanjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Landskap pendidikan negara akan memasuki fasa baharu apabila penjenamaan semula Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) disiapkan dan dikenali sebagai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pengajian Tinggi).  PSPTN bertujuan mentransformasikan dan mengangkat pendidikan negara ke tahap yang lebih tinggi. Untuk mencapai matlamat ini Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini dipertanggungjawabkan untuk membantu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi supaya Malaysia menjadi  negara maju. Modal insan yang dilahirkan oleh IPT itu pula bukan sahaja berjaya dalam bidang akademik tetapi memiliki nilai moral yang tinggi.
             Fokus awal yang perlu diberi perhatian oleh setiap IPT ialah memberikan tumpuan kepada pemilihan ahli akademiknya terlebih dahulu. Pensyarah IPT perlu menguasai ilmu sepenuhnya dan faham tentang aspirasi negara.  Hal ini demikian kerana, IPT perlu melahirkan graduan yang menyokong teras misi nasional dalam meningkatkan keupayaan dan inovasi negara. Dalam masa yang sama, masyarakat mengharapkan bidang pengajian tinggi dapat membentuk graduan yang   mampu menterjemahkan pengetahuan kepada amalan.  Apa yang jelas ialah graduan  hendaklah dibekalkan dengan kebolehan  kognitif yang tinggi iaitu berfikiran secara analitikal. Minda mereka juga seharusnya diasah dengan tahap penaakulan yang tinggi supaya mampu menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara.  
Setiap graduan mengharapkan kerjaya yang baik setimpal dengan pengorbanan mereka selama bertahun-tahun di IPT. Oleh itu, kerajaan perlu mewujudkan pangkalan data yang lengkap  bagi mengenal pasti keperluan sumber tenaga manusia. Sehubungan dengan itu, sewajarnyalah para pemimpin IPT berusaha untuk meningkatkan keupayaan program yang ditawarkan di samping berperanan menambah baik  kualiti pengajian  bidang tertentu agar graduan berupaya meneroka  bidang yang diceburi sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian nanti.
Rakyat Malaysia mengharapkan IPT tempatan  mampu meneruskan kecemerlangannya pada masa hadapan. Perancangan strategik yang komprehensif perlu dirangka oleh peneraju IPT untuk wawasan jangka masa panjang. Tidak dapat dinafikan juga, barisan kepimpinan IPT terutamanya naib canselor  merupakan faktor utama penentu kejayaan IPT. Oleh itu,  tapisan ketat perlu dilaksanakan  untuk mengisi jawatan naib canselor. Pihak kerajaan perlu  memberikan lebih banyak kuasa kepada Lembaga Pengarah Universiti  agar mereka dapat berperanan sebagai pembimbing dan pemantau pembangunan sesebuah IPT. Dalam hal ini,  diharapkan para ilmuwan dan cendekiawan negara dapat melontarkan idea-idea bernas untuk memantapkan IPT tempatan. Sesungguhnya, kita mengharapkan IPT tempatan dapat terus hidup dan berjuang di pentas pendidikan selari dengan kehendak dunia moden kini.
                                                                                              
(Dipetik dan diubah suai daripada, ‘Memartabat  Pendidikan Tinggi Negara’
Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom,
Utusan Malaysia, 13 Mei 2014)



Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2 (a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)
Berikan  maksud rangkai kata menabur bakti                                     [2 markah]

(ii)
Pengarang mengemukakan langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk 
memastikan IPT tempatan terus cemerlang  pada masa hadapan.                                                                             
Nyatakan langkah-langkah itu
                                                                                                            [3 markah]

(iii)
Pada pendapat anda, apakah usaha-usaha yang perlu dilaksanakan oleh 
sesebuah IPT agar diiktiraf dan tersohor di peringkat antabangsa?                                          
[4 markah]




Soalan 2(b) - Petikan Drama

Baca petikan drama di bawah dengan teliti,  kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

MARIAM       : Nasib baik wak tak pakai pedang tadi. Kalau tidak, kami dah jadi potato  
                          chips agaknya.
TUK WALI    : Astaghfirullahalazim! Kenapa kaujatuhkan dulang tu tadi? Nasib baiklah 
                          tak jadi apa-apa! Bungkusan apa yang kaubawa tu, Ripin?
MARIAM       : Kuih, wak! Malam ini ada empat orang pelajar baru nak belajar, wak!
                          Saya bawa semua keperluan untuk ijazahkan murid baru.
TUK WALI    : (Merenung muka RIPIN) Aku ni dah tua, Mariam, Ripin! Tak daya aku
  nak berkuat macam dulu.
RIPIN             : Kalau wak penat, biar kami yang mengajar! Tapi, kami mau wak ada
  dalam gelanggang.
MARIAM       : Betul tu! Kami masih perlu bimbingan wak dalam gelanggang ini!
TUK WALI    : Aku berfikir,ada baiknya juga kalau engkau berdua ambil alih tempat
                          aku. Teruskanlah gelanggang ini. Aku dah tak daya lagi, Ripin.
RIPIN             : Mariam, saya tak tahulah! Tapi, saya sendiri memang tak sanggup,  wak!
  Saya belum bersedia.
MARIAM       : Kalau Abang Ripin dah tak sanggup, apa pulak saya, tapi, kenapa tiba-
 tiba saja wak tak mau mengajar?Mesti ada silap di mana-mana ni! Kalau 
 saya yang buat salah, saya minta maaf, wak! Orang muda kadang-   
 kadang terlanjur bila bergurau. Saya minta maaf,wak!
RIPIN             : Saya pun macam tu juga! Kalau ada tingkah laku saya yang mengecilkan hati
                          wak, saya minta maaf.

(Dipetik daripada  drama ’Gelanggang Tuk Wali’
oleh Ismail Kassan dalam antologi Harga Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka)



(i)
Nyatakan alasan-alasan yang diberi oleh Tuk Wali berkaitan tentang dirinya?
[2 markah]


(ii)
Ripin belum bersedia untuk menggantikan tempat Tuk Wali.

Pada pendapat anda apakah faktor-faktor yang menyebabkab Ripin tidak sanggup atau belum bersedia menggantikan tempat Tuk Wali?
Berikan dua alasan.
[3 markah]


(iii)
Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan drama di atas dan satu    pengajaran lain daripada keseluruhan drama tersebut.

[4 markah]
    

Soalan 2(c) - Petikan Prosa Klasik

Baca petikan prosa klasik di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

     “Kalau begitu,” kata Awang Sulung pula, “memanglah benar kata adinda itu, kerana kakanda telah menewaskan Tuan Puteri Dayang Nuramah yang hendak merampas kekanda daripada tangan adinda dan sekarang hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima, maka memohonlah kekanda kembali ke Bandar Mengkalih.”

Oleh sebab terlalu hampa mendengarkan titah Awang Sulung itu, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa hendak terjun ke laut, tetapi segera dihalang oleh hulubalang yang ada di situ lalu dibawanya masuk ke magun. Di situ Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah tidak sedarkandiri.

“Ampun Tuanku, janganlah Tuanku sakat lagi puteri itu, kalau berlaku sesuatu hal kita juga yang susah,” sembah hulubalang itu.
Kemudian Si Kembang Cina pun berpantun :

“Jangan ditebang gelanggang itu,
        Pucuknya ada berjurai-jurai;
Jangan dikenang yang hilang itu,
        Sudah jatuh digonggong murai.”

(Dipetik daripada
                                                                                      ‛Pelayaran yang Penuh Peristiwa’
                                                                                            dalam antologi Harga Remaja,
                                                                                              Dewan Bahasa dan Pustaka)




  (i)
Apakah maksud mendengarkan titah?
[2 markah]


 (ii)
Mengapakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa tidak sedarkan diri?
[3 markah]


(iii)
Hutang pun sudah berbayar, piutang pun sudah diterima,” membawa maksud hutang sudah dilangsaikan dan pemberi hutang telah menerima bayarannya.

Pada pendapat anda mengapakah seseorang itu perlu melangsaikan hutangnya apabila berhutang dengan seseorang?

Jelaskan dua alasan anda?                                                                                                                                                                                                              [3 markah]








Soalan 2(d)Puisi Tradisional

Baca puisi di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


GURINDAM TONGGAK DUA BELAS
Mohd Sidek Mohd Dollah (Mas Adeki)

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh bijaksana.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.
Menjadi kewajipan menjalankan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Peningkatan bakat diberi sokongan,
 tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.


Seuntai Kasih Secebis harapan, 2007
Akam Print




 


(i)
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Jelaskan maksud rangkap di atas.
                                                                                                    [2 markah]
                        

 (ii)
Rangkap ketiga gurindam menjelaskan keceriaan sewaktu bekerja akan menimbulkan keseronokan bekerja.
Pada pendapat anda, selain menimbulkan keseronokan, apakah kelebihan-kelebihan lain yang akan kita peroleh apabila kita sentiasa ceria ketika bekerja?
                                                                                                    [3 markah]


(iii)
Jelaskan satu nilai murni yang terdapat dalam rangkap kelapan dan satu nilai murni yang terdapat dalam rangkap kesembilan gurindam ini.
     [4 markah]



Soalan 3: Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

[ 30 markah ]

Jawab semua soalan.

(a)
Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah untuk  menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.


  (i)
analisis

 (ii)
strategi

(iii)
material

(iv)
publisiti

 (v)
integrasi

(vi)
kontinjen


[6 markah]



(b)
Tukarkan ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud  asalnya.


(i)
Pertubuhan bukan kerajaan  telah menyeru semua rakyat Malaysia untuk menderma kepada rakyat Palestin.


(ii)
Kita sepatutnya menyokong usaha pihak kerajaan untuk mengurangkan pendatang tanpa izin ke negara kita


(iii)
Ibu bapa perlu mendengar keluhan anak-anak agar dapat mengatasi masalah emosi mereka.



[6 markah]

(c)
Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan ejaan dan tiga kesalahan penggunaan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin petikan itu semula.
     

        Pengguna yang memanfaat kemudahan taman awam mampu meningkatkan tahap kesihatan melalui pelbagai aktiviti fizikal seperti senaman dan bersukan secara kumpulan atau individu. Di samping itu, keindahan persekitaran alam seperti pokok teduhan dan pokok bunga-bungaan dikawasan itu dapat memberikan ketenangan kepada pengguna dan kelegaan daripada stress seharian. Sesetengah taman telah berjaya menarik ribuan pelancong kerana mempunyai identiti dan keunikkan sendiri. Hal ini akan membawa peningkatan ekonomi setempat dari segi penginapan, perniagaan makanan dan kraftangan.
       

[6 markah]


(d)
Dalam setiap ayat di bawah  terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

  (i)
Pendidikan industri  ialah pendidikan yang menjurus ke bidang teknologi untuk melahirkan kumpulan kerja yang mahir dalam bidang perindustrian.


 (ii)
Pihak media dan semua pakar-pakar bahasa Melayu perlu berusaha sekuat upaya untuk membantu rakyat menguasai bahasa Melayu dengan baiknya.

(iii)
Peningkatan jumlah pemilik kredit kad dalam kalangan masyarakat menunjukkan yang masyarakat Malaysia merupakan golongan yang suka berbelanja.


[6 markah]






(e)
Baca peribahasa di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa lain yang sama  atau hampir sama dengan peribahasa tersebut..


i)             ke bukit sama didaki , lurah sama dituruni

ii)           ibarat telur sesangkak pecah sebiji pecah semua

     iii)     berjalan peliharakan kaki, bercakap peliharakan mulut.











Soalan 4: Novel

[15 markah]

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:


  (i)

(ii)

(iii)

(iv)

(v)

(vi)

(vii)

(viii)

PAPA … (akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusuf

    Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah

    Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

    Renyah karya Gunawan Mahmood

    Interlok karya Abdullah Hussain

    Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan

    Kembara Amira  karya Amer Hmzah L. Kadir

    Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid


(a)
Terdapat pelbagai peristiwa yang menyentuh perasaan  dalam sesebuah novel.
Huraikan dua peristiwa yang menyentuh perasaan anda yang terdapat  dalam sebuah novel yang anda pelajari.


[7 markah]






(b)
Berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari, jelaskan persamaan pengajaran yang terdapat dalam novel-novel tersebut.                                                                                          
[8 markah]



           
                                                                                               
           
                                                                                                                                   


KERTAS SOALAN TAMAT









1 comment:

Unknown said...

tiada jawapan disediakan ?