08/01/2015

SINOPSIS : DI SEBALIK DINARA (BAB 1 - 14)

Sinopsis
Bab 1

Farisha seorang gadis yang  bertugas sebagai jurutera keselamatan sistem, baru sahaja selesai bermesyuarat di Nusa Jaya. Semasa berada di Lapangan Terbang Senai, Farisha berkenalan dengan Aqram dan secara kebetulan mereka duduk bersebelahan di dalam kapal  terbang ke KLIA.  Farisha agak teruja melihat jam tangan yang dipakai oleh Aqram yang  merupakan pusat kawalan elektronik peribadinya. Sesampainya di pintu apartmentnya, Farisha terperanjat sekali lagi apabila melihat pintunya juga telah terpasang retinal scanner. Farisha terpaksa menunggu Shida  kawan serumahnya yang sedang bermain skuasy dengan JUJU sebuah android  untuk masuk ke apartment mereka. Farisha ingin tidur awal kerana besok dia akan menghadiri satu simposium di Hotel Renaissance. Dalam masa yang sama rupa-rupanya Aqram sudah dapat mencuri cawan minuman Farisha semasa di dalam kapal terbang tadi dan dapat bekerjasama dengan Dr. Maxi untuk mengkaji DNA Farisha.

Bab 2

Pada keesokan harinya Farisha dan Rosman pembantunya menghadiri sebuah simposium yang akan dirasmikan oleh Phillips Young,  Presiden Persatuan Penggodam Antarabangsa. Bermula daripada pendaftaran, pencetakan bahan, sehingga mengatur kedudukan dalam simposium tersebut semua diuruskan oleh robot. Sehinggakan Farisha berasa kecewa kerana Phillips Young menyampaikan ucaptama beliau hanya melalui hologram sahaja. Tanpa diduga Farisha bertemu lagi dengan Aqram. Dalam pertemuan ini Aqram  menyatakan keinginannya mencari jururunding untuk sebuah projek mini di makmalnya. Dalam pada itu Aqram telah berjaya menerobos fikiran Farisha menggunakan penetrator berupa sebatang pen berwarna perang. Tetapi pendinding WALL yang dimiliki oleh Farisha dapat  menangkis segala maklumat yang dikumpul dalam ingatan Aqram. Sebenarnya Aqram sudah sebulan cuba menjejaki Farisha untuk dibawa ke Soft Lab untuk menyelamatkan Dinara.

Bab 3

Berikutan dengan tawaran Aqram yang ingin mencari jururunding untuk satu projek, Farisha dan Rosman telah menghubungi Aqram. Aqram bersetuju membincangkan perkara itu di Puchong, berjumpa dengan Karl. Karl seorang yang pernah menerima anugerah inovasi peringkat kebangsaan tiga tahun dahulu. Tetapi sebelum berjumpa dengan Karl, Aqram telah memperkenalkan Farisha dan Rosman kepada Dr. Maxi dan beliau telah menawarkan RM1.5 juta kepada mereka berdua untuk tugas menggodam tiga kelompok komputer Soft Lab dalam tempoh empat minggu. Farisha meminta sedikit waktu untuk membuat keputusan. Sebelum pulang Farisha dan Rosman diberi peluang untuk melihat Karl yang terlantar sakit barah. Projek Dinara yang diteraju oleh Karl terhenti kerana dia sakit.

Bab 4

Pada hari Isnin berikutnya, Farisha bersetuju berjumpa dengan Aqram di Soft Lab di Cyberjaya. Farisha menumpang kereta Shida  yang kebetulan ada temu janji dengan Khairul Anwar di Soft Lab juga. Bangunan Soft Lab dilengkapi oleh sistem keselamatan yang canggih termasuklah penggunaan imbasan tangan dan retina mata. Aqram juga menunjukkan beberapa bilik dan ruang di situ yang canggih dan lengkap. Farisha amat teruja, terutamanya apabila dia memasuki pusat data. Itulah Dinara yang memuatkan hampir semua aplikasi dan data. Di sinilah Farisha mendapat kepastian bahawa tugasnya ialah menggodam dan mengukuhkan sistem Dinara.  Pada petangnya barulah tugasan Farisha dan Shida selesai dan mereka pulang bersama-sama. Namun, dalam masa yang sama Dr. Maxi, Aqram, dan Khairul Anwar mengadakan perbincangan. Rancangan mereka hampir berjaya mendapatkan Farisha dan Shida untuk berada di Soft Lab untuk menjayakan rancangan mereka. Mereka amat perlukan Shida juga sebagai  physical backup kepada Farisha. Mereka akan mengusahakan untuk memasukkan mikrocip ke dalam tubuh Shida, sebagaimana yang ada dalam tubuh Farisha. Pada malam itu juga Dr. Maxi akan memadamkan beberapa ingatan dan perasaan  Alia, sebuah cyborg canggih  supaya ia tidak akan mengganggu rancangan yang diatur  untuk Farisha  dan Shida.

Bab 5

Keesokan harinya Farisha dan Shida mula bekerja di Soft Lab. Shida dibawa oleh Khairul Anwar ke Arkib manakala Farisha diberikan taklimat oleh Alia tentang semua kod program yang ada dalam Soth Lab. Pada sebelah petang  Aqram pula memberi taklimat kepada Farisha. Aqram menjelaskan  bahawa Karl yang telah membangunkan teknologi hypervisor di dalam  Dinara, tetapi  Dinara sekarang  sudah diceroboh dan penceroboh telah berjaya menyusupkan satu virus bom jangka yang akan memusnahkan Dinara pada tarikh dan masa yang ditetapkan. Sebenarnya inilah tugas Farisha dengan bayaran RM1.5 juta yang dia perlu membersihkan virus bom jangka itu dan mengatasi semua kelemahan Dinara. Pada petang itu juga Farisha mendapat tahu bahawa Rosman tidak dapat bersama-sama dengannya bertugas di Soft Lab kerana dia terpaksa meneruskan  projek di Senawang yang telah menawarkan bayaran dua kali ganda daripada perjanjian awal. Farisha bersetuju. Farisha pulang  dengan kepala yang berat memikirkan tentang Dinara yang sudah diceroboh itu. Ini bererti tugasnya amat berat. Di Soft Lab pula, Alia bertengkar dengan Dr. Maxi kerana banyak data pengetahuan dan perasaannya telah dipadamkan dan tindakan Alia itu juga menggambarkan dia mempunyai perasaan cemburu dan tidak gemar jika ada perempuan lain yang ada hubungan dengan Karl. Pada masa yang sama Khairul Anwar menjelaskan bahawa Rosman tidak akan mengganggu mereka di Soft Lab lagi kerana dia telah mempengaruhi syarikat di Senawang itu untuk membesarkan skop kerjanya. Pada malam itu Shida mengalami mimpi ngeri sehingga terlambat bangun.

Bab 6

Pagi itu Farisha datang lewat sepuluh minit ke Soft Lab. Alia sudah sedia menunggu. Farisha berasa kepalanya berat dan dalam keadaan tidak sedar, Alia telah memasukkan mikrocip ke dalam tubuhnya dan dia dapat  berkomunikasi dengan Karl.  Dalam komunikasi itu Karl meminta pertolongan daripada Farisha untuk menyelamatkan Dinara. Oleh sebab tidak dapat mengesan butiran perbualan Farisha dan Karl, Alia menjadi cemburu dan marah. Selepas beberapa ketika Farisha sedar semula dan menjadi lebih segar apabila dia makan pil yang diberikan oleh Aqram. Kerja pada hari itu berakhir dengan perbincangan dan persoalan tentang seorang penyelidik yang bernama Medina yang telah hilang di Soft Lab tanpa dapat dikesan. Hal ini demikian diterangkan oleh Shida melalui kajiannya di Arkib.

Bab 7

Pada sebelah malam Farisha, Shida dan Rosman berjumpa di pejabat Secured Shell. Ketiga-ketiganya meneliti kontrak yang diajukan oleh Soft Lab. Sementara mereka berbincang, tiba-tiba Farisha mengalami sakit kepala setelah terlihat suatu cahaya putih memancar ke arahnya. Hasrat meneliti kontrak dibatalkan dan ketiga-tiga mereka bergegas pulang. Sementara itu mereka diberitahu oleh Uncle Seng yang berada di situ bahawa dia bergegas keluar dari kedai runcitnya kerana terlihat beberapa orang turun tangga pejabat Secured Shell dengan membawa beberapa perkakas besi termasuklah suatu barang yang serupa dengan piring tv satelit. Tiada laporan polis dibuat.  Dua malam selepas kejadian itu, Farisha telah diundang oleh Abang Azraai untuk makan malam di rumahnya. Di sana Farisha bertemu, abang Azraai, kak Mariah dan kedua-dua anak mereka Aina dan Dina. Alangkah terharu bercampur sedih apabila dia mendapat tahu bahawa abangnya mengalami sakit jantung dan perkara kedua yang amat mengejutkannya ialah, dirinya ialah anak angkat kepada ibu dan ayahnya. Malam itu Farisha tidak dapat melelapkan mata.


Bab 8

Pada pagi itu sebelum sempat Alia membawa Farisha ke alam bawah sedar, tiba-tiba Farisha pengsan. Doktor dipanggil dan Farisha dibawa ke hospital. Aqram, Khairul Anwar dan Dr. Maxi hairan dan menurut Aqram dia sudah menyiasat latar belakang Farisha sekian lama tiada pula maklumat tentang sebarang penyakit yang membimbangkan. Sebaik saja Farisha dibawa ke hospital, Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar bergegas ke Arkib untuk berjumpa Shida. Beberapa soalan diajukan kepadanya tentang latar belakang penyakit Farisha.

Bab 9

Dr.Maxi, Aqram dan Khairul Anwar berbincang tentang Plan B, iaitu menggantikan Farisha dengan Shida. Namun kedua-duanya amat berbeza. Lagipun tubuh Farisha telahpun ditanam dengan mikrocip yang membolehkannya berkomunikasi dengan Karl. Karl menggunakan teknologi ini sebagai satu kaedah telepati untuk berhubung dengan Farisha. Pada jam 5.30 petang mereka akan melawat Farisha di hospital. Shida pula pulang ke rumah dan cuba mencari sebarang bukti tentang penyakit Farisha tetapi gagal. Namun Shida terjumpa satu bukti yang menyatakan bahawa Farisha ialah anak angkat. Apabila Shida dan Rosman melawat Farisha, dia sangat lemah dan terdapat satu benjolan kecil di belakang tengkuknya. Tetapi Farisha menyatakan itu tidak apa-apa. Farisha terlena lagi. Beberapa minit kemudian, Farid dan Amin (orang suruhan Marlyn/Medina)  datang  ke katil Farisha menggunakan peranti untuk mendapatkan maklumat yang sebelum ini gagal kerana ruang fikiran Farisha dilindungi oleh WALL. Tetapi kali ini mereka berjaya kerana WALL lemah apabila badan Farisha lemah. Selepas itu Aqram pula mencari maklumat pada badan Farisha dengan menggunakan satu alat sepanjang enam sentimeter. Aqram mendapati alat itu bertukar menjadi warna merah yang menunjukkan tahap kesihatan Farisha tidak memuaskan. Farisha terus lena kerana abangnya Azraai telah meminta doktor memberikan ubat tidur kepadanya. Azraai juga membohongi doktor bahawa mikrocip di dalam badan Farisha yang kelihatan di CT-scand  itu adalah dalam pengetahuan Farisha yang  dia sendiri sukarela menjalani satu uji kaji untuk sebuah universiti. Perkara itu juga adalah amanah ibu bapanya supaya semua mikrocip itu mesti kekal dalam tubuh Farisha dan dia mesti berkhidmat di Soft Lab apabila diperlukan. Pada tengah malam itu Dr. Maxi menyarankan Shida akan menggantikan tempat Farisha.

Bab 10

Pada pagi itu sedang Shida membaca satu laporan tentang seorang penyelidik bernama Medina di Arkib, dia diminta oleh Alia pergi ke Makmal B. Satu pembedahan untuk menanam mikrocip telah dilakukan ke atasnya. Dia tidak diberitahu. Pada petang itu selepas sedar, apa yang dilakukan ke atas Farisha dilakukan pula ke  atas Shida. Kali ini tindak balasnya lebih teruk lagi. Tetapi Dr. Maxi berdegil dan hanya memberhentikan ujikaji ini selepas  lima minit. Ini akan merosakkan otak seseorag. Dalam masa yang sama, Farisha dalam tidak sedar dapat berkomunikasi dengan seseorang yang menyebut dirinya sebagai mummy. Di suatu tempat yang lain pula, Farid dan Amin berasa amat hairan dan dapat melihat keajaiban teknologi kerana perempuan tua yang menyuruh mereka mengekori dan berbuat sesuatu ke atas Farisha menjerit gembira dan mengatakan dia berjaya menghubungi anaknya Farisha dan dia mengaku dirinya lebih hebat daripada lelaki itu (Karl). Farid menyanggah perbuatan perempuan tua itu  kerana sanggup melakukan ujikaji  ke atas anaknya sendiri. Merlyn/Medina tidak peduli. Apa yang dia mahu adalah ingin membuktikan siapa yang benar dan yang lebih hebat daripada ‘lelaki’ itu.  Manakala Shida tetap murung, berada di bilik Farisha, dan tidak pulang ke rumah malam tadi. Aqram gagal menerobos mindanya dan mungkin dia juga telah menerima mikrocip WALL atau kesilapan Dr. Maxi yang tetap meneruskan ujikajinya ke atas Shida. Shida tidak mahu bercakap, makan, atau minum malah menjadi garang seperti kucing liar yang ketakutan.




Bab 11

Apabila sudah boleh bangun dan berjalan Farisha ingin mendapatkan penjelasan daripada abangnya Azraai tentang ibu kandungnya. Azraai menceritakan semua yang dia tahu tentang Farisha. Farisha menjadi adik angkatnya kerana hendak menyelamatkannya daripada dijadikan bahan uji kaji ibunya sendiri. Azraai menerangkan bahawa dia dan beberapa orang lagi telah diamanahkan menjaga keselamatan Farisha. Apabila  Farisha mendedahkan bahawa dia dapat berkomunikasi dengan ibunya, Azraai kelihatan sangat cemas dan menyatakan bahawa Farisha dalam bahaya dan terus membawa Farisha keluar dari hospital menuju ke arah selatan. Azraai bercakap dengan seseorang dan bersetuju mendapatkan kunci rumah daripada orang tersebut di Perhentian Ayer  Keroh. Dalam pada itu Alia ditugaskan oleh Dr. Maxi untuk mempengaruhi otak Shida.  Akhirnya Dr. Maxi dapat berkomunikasi dengan Karl melalui Shida. Karl mengarahkan supaya Farisha dibawa ke situ kerana virus yang disusup ke dalam Dinara akan diaktifkan yang akan  memusnahkan Dinara dan ribuan manusia. Dia perlukan Farisha. Tetapi Farisha sudah meninggalkan Kuala Lumpur. Azraai ingin membawa Farisha ke Kulai, tetapi dalam perjalanan Farisha diculik pula oleh dua orang suruhan ibu Farisha. Dalam masa yang sama di Soft Lab  sesuatu berlaku kepada Shida. Karl bercakap melalui Shida. Karl menyatakan bahawa Khairul Anwar ialah seorang budak pengemis yang bernama Muhammad Irfan yang telah diganti ingatannya. Khairul Anwar sangat berang.Karl juga menyebut bahawa dia memukul seorang wanita sehingga menjadi cacat.

Bab 12

Penculik Farisha, iaitu Amin dan  Farid dalam perjalanan ke Seremban membawa Farisha bertemu dengan ibunya Marilyn. Dalam tidur Farisha dapat dihubungi oleh ibunya tetapi terhenti apabila brek kereta ditekan mengejut lalu Farisha terjaga. Dalam pada itu di Soft Lab, Alia berkomunikasi dengan Shida dan memberitahu bahawa wanita cacat itu ialah dirinya yang dipukul oleh Karl kerana dia enggan meninggalkan agamanya. Perbualan antara Alia dan Shida dapat disaksikan oleh Dr. Maxi, Aqram dan Khairul Anwar. Ketiga-tiga mereka berasa sedih memikirkan akibat yang akan ditanggung oleh Shida akibat pemindahan maklumat pahit dan ngeri selama 20 tahun oleh Karl ke dalam otak Shida. Berdasarkan laporan yang tersimpan di dalam Dinara, Dr. Maxi juga menerangkan kepada Khairul Anwar dan Aqram bahawa ujikaji seperti itu juga pernah dilakukan tetapi gagal dan mangsanya ialah Medina. Dalam pada itu alat pengesan pintar Rosman dapat mengesan arah Farisha dilarikan. Mereka menuju ke Soft Lab, Cyberjaya. Azraai juga menuju ke sana. Apabila tersedar Farisha menjerit-jerit dalam kenderaan yang dipandu oleh Farid dan Amin. Mereka mengherdik Farisha mengatakan dia akan bertemu emaknya yang sudah sangat lama ingin bertemu dengan anaknya itu. Namun Farisha marah dan ketakutan  tidak mahu berjumpa perempuan itu sebaliknya dalam keadaan  kaki dan tangan terikat, dia mahu dihantarkan kepada abangnya Azraai.  Farid dan Amin tidak ambil peduli. Manakala di Soft Lab, Shida menyanyi dalam suara yang agak perlahan lagu kegemaran Karl. Alia mendengar. Alia berkomunikasi dengan Karl melalui Shida lagi. Alia mendapat tahu bahawa Karl gagal mendapatkan cinta Medina. Aqram dan Dr.Maxi sependapat mengetahui bahawa Alia tetap berasa cemburu terhadap Karl bekas suaminya walaupun sudah beberapa program dalam mindanya diubah. Mereka juga yakin bahawa Karl telah memindahkan kenangan dan pengalamannya selama 20 tahun ke dalam otak Shida. Dalam pada itu, di sebuah stesen minyak Marilyn menaiki kenderaan yang dipandu oleh Amin. Dia mendekati Farisha, menyatakan bahawa dia amat merindui anaknya itu. Namun Farisha bertegas dan marah lalu menempelak bahawa Marilyn pernah ingin membunuhnya dulu. Suis alat pemintas untuk melemahkan WALL di otak Farisha dihidupkan.

Bab 13

Dr. Haris ialah doktor yang sedang merawat Karl di Puchong. Beliau menyatakan bahawa keadaan kesihatan Karl sangat teruk. Namun Dr.Maxi mahu terus menghubungkan fikiran Karl melalui Shida. Dr. Maxi dapat berbual dengan Karl melalui Shida. Melalui Shida Karl bangun dan bertindak melalui komputer berusaha untuk menghapuskan virus dalam Dinara. Kebijaksanaan ini diterima oleh Karl melalui Farisha yang Karl telah gandakan IQnya 26 tahun dahulu. Dalam masa yang sama Farisha telah berada di situ bersama-sama Marilyn/Medina, dan dua orang pengikutnya. Di sini rahsia terbongkar. Marilyn/Medina ialah ibu Farisha dan Karl ialah bapanya yang telah sanggup mengeksploitasi anaknya sendiri untuk kepentingan kajiannya di Soft Lab iaitu mengaktifkan sistem Dinara. Marilyn menjadi musuh kerana Karl telah mensabotaj fikirannya menggunakan fikiran seorang bekas banduan dan akibatnya Marilyn/Medina menjadi separuh gila dan cuba mencekik Farisha. Dr. Maxi dan Aqramlah yang menyelamatkan Farisha dan dibawa kepada keluarga angkatnya iaitu keluarga Azraai. Farisha juga mendapat tahu bahawa Aqram juga adalah cyborg seperti Alia.

Bab 14


Hari ini merupakan hari paling hiba bagi Farisha kerana menghadap seorang insan yang sepatutnya dipanggil ayah. Karl terbaring tidak berkata-kata. Dr. Haris menyatakan bahawa aktiviti otaknya semakin menurun. Semua orang yang ada di situ masuk bergilir-gilir mendekati Karl. Bermula dengan Aqram, Dr. Maxi, Khairul Anwar, Medina, Alia, dan  akhirnya Farisha. Farisha mengucapkan selamat tinggal kepada ayahnya, namun tiada jawapan. Tepat pada pukul tujuh malam, Dr. Haris mengumumkan Karl telah meninggal dunia. Wasiat terakhir Karl ialah mayatnya dibakar, dan abunya di tabur di Selat Melaka. Upacara dijalankan di Port Dickson. Selepas upacara itu semua orang bercakap-cakap tentang kenangan masing-masing semasa Karl masih hidup. Tetapi terdapat keanehan dalam diri Shida. Dia pandai berfalsafah seperti Karl. Aqram dapat merasakan bahawa yang berfalsafah itu bukan Shida tetapi Karl. 

5 comments:

Unknown said...

TERIMA KASIH. SAYA KONGSIKAN KEPADA ANAK MURID SAYA YA

Anonymous said...

FUCK YOU MEN

Anonymous said...

Good.πŸ‘ΊπŸ˜πŸ˜±

Anonymous said...

Mantapppppppppp

Anonymous said...

bole la tp tatabhsa dia mungkin krg bagus . tp maksihh πŸ‘πŸ‘