Punca-punca Pencemaran
Alam Sekitar
Oleh: Hourus Sofiyya
Syakirin
Dalam kerancakan manusia
mengejar kemajuan alaf milenium kini, nilai-nilai material semakin membekas dalam masyarakat madani
sehingga menyongsong kewarasan akal dan
kemurnian nilai-nilai integriti. Kemajuan yang berorientasikan keuntungan semata-mata seakan-akan mengikis
sehingga tandusnya pertimbangan manusia terhadap alam
sekitar yang menjadi warisan yang tidak ternilai harganya kepada anak watan penggerak masa hadapan. Sedar
tidak sedar, alam sekitar yang dahulunya merimbun
memayungi lapisan bumi semakin lenyap dek kerakusan manusia yang bersultan di mata beraja di hati.
Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah
menyatakan sebanyak 3.3 juta manusia mati setiap tahun disebabkan oleh pencemaran udara. Bilangan tersebut
tiga kali lebih tinggi daripada jumlah kematian yang
disebabkan oleh kemalangan kenderaan. Di Malaysia, kerajaan telah
mengimplementasikan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 mengandungi peruntukan
yang bertujuan mencegah, menghapus, mengawal pencemaran serta
memperbaiki kualiti alam sekeliling dan daripada pencemaran meliputi pencemaran air, udara, bunyi, tanah dan
laut, namun pencemaran masih berlaku secara
berleluasa. Atas faktor apakah yang menyebabkan berlakunya masalah pencemaran ini? Siapakah dalang
yang terlibat dalam kemelut yang semakin pincang ini?
Kupasan teliti akan dihuraikan bagi menjawab segala persoalan ini.
Masalah pencemaran alam
sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan kotor
individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat. Hal ini terjadi kerana tiada kesedaran
sivik dalam diri mereka dan mereka sering memandang
enteng tentang isu alam sekitar yang kini menjadi hidangan wajib dalam berita-berita yang dipaparkan
dalam media massa arus perdana. Bagi sesetengah
individu, mereka akan sewenang-wenangnya membuang sampah
merata-rata tanpa menghiraukan keadaan persekitaran. Walhal, jika direnungkan andai ada seratus orang
individu yang bersikap sedemikian sudah
semestinya alam sekitar akan menjadi kotor dan dipenuhi dengan sampah-sarap. Sikap nafsi individu-individu
ini semakin memburukkan fenomena alam sekitar.
Perbuatan tidak bertanggungjawab seperti membuang sampah ke dalam sungai dan longkang telah menyebabkan berlakunya pencemaran air
sedangkan air merupakan medium utama dalam melestarikan kelangsungan hidup. Ada juga antara individu yang membuang puntung-puntung rokok dan melakukan pembakaran secara terbuka sehingga menyebabkan kebakaran yang serius lantas menyebabkan pencemaran udara. Kempen berkongsi kereta yang diwara-warakan pronya dalam aspek kesesakan jalan raya dan kontranya
dalam aspek pencemaran udara juga tidak mendapat sambutan
hangat daripada pengguna jalan raya, ibarat mencurah air ke daun
keladi. Gas-gas karbon dioksida yang dilepaskan ke udara oleh kenderaan bermotor
seperti kereta, lori, bas, dan motosikal
secara berlebihan akibat kedegilan sikap individu yang menjadi pengguna jalan
raya telah menyebabkan indeks udara berada pada tahap yang membimbangkan bagi kesihatan marhaen
dewasa ini.
Selain individu,
organisasi seperti pemilik kilang juga turut menjadi agen penyumbang kepada
masalah pencemaran alam sekitar. Terdapat kilang-kilang yang menjalankan operasi pengeluaran yang
melibatkan sisa toksik dalam pengeluaran mereka dan
pada kebiasaannya kilang-kilang tersebut akan mengambil jalan mudah dengan
membuang sisa toksik tersebut terus ke dalam laut dan sungai
yang berdekatan dengan kawasan tersebut. Kebiasaan yang melanggar lumrah alam ini sudah pasti akan
mengakibatkan pencemaran air. Ekosistem hidupan
akuatik pasti terjejas akibat daripada sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak ini. Dalam pada itu,
terdapat juga kilang-kilang yang melepaskan asap
tanpa pemasangan alat penapis udara seterusnya menyebabkan terjadinya pencemaran udara. Walaupun
sudah acap kali didenda, namun masih ada pemilik
kilang yang dihentak tak masuk, diumpil
tak bergerak. Ada juga segelintir pemilik
premis-premis kilang tersebut yang mengelakkan diri daripada memberi penjelasan dan menyelesaikan masalah yang
dicipta oleh mereka tidak ubah seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing sama sekali tidak dapat
menyelesaikan kemelut yang semakin meruncing ini. Kemelut ini jika dibiarkan sudah pasti akan memberi dampak yang
malang kepada kondisi udara dan air lantas
menyebarkan pelbagai wabak penyakit yang akan menyerang kesihatan marhaen. Bagaimana mungkin kemelut ini
terus meruncing tanpa adanya prakarsa yang pragmatik
dan efisien daripada pihak-pihak yang terbabit atau penantian ini hanya sekadar menantikan putih gagak
hitam? Tepuk dada tanya selera.
Pembangunan secara tidak
sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta tanpa memikirkan secara
terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama
yang melibatkan alam sekitar juga merupakan faktor berlakunya pencemaran air,
tanah, udara dan bunyi. Lebih teruk lagi, jika hal ini dibiarkan berleluasa
akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan hujan akan menyebabkan hujan
yang turun tidak dapat diserap ke dalam tanah akibat tiadanya akar pokok yang
berfungsi menyerap lebihan air yang mengalir. Tindakan ini akan menyebabkan struktur
tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan berlakunya tanah runtuh. Tanah yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini seterusnya menyebabkan pencemaran
sungai dan mendapan lumpur yang di bawa menyebabkan air sungai menjadi semakin cetek. Penggunaan jentera yang terlalu banyak dalam
proses pembangunan sesuatu kawasan juga akan menghasilkan
pencemaran bunyi dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi
tinggi tersebut mengeluarkan asap yang berlebihan. Akibat daripada
projek-projek pembangunan yang menolak natijah alam maka terciptalah kemusnahan
alam akibat corak yang dilukiskan oleh manusia yang tiada pertimbangan
dalam setiap keputusan yang diizharkan. Jika keduniaan dan keuntungan
bernoktah di hati, sudah pasti kewarasan dalam pertimbangan ditolak ke tepi. Walau
bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya. Dalam mencari penyelesaian kepada permasalahan
ini, setiap pihak perlu berhampar lapis, berlicin daun.
Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri
dengan tanda, justeru kurangnya bukti yang boleh mengheret individu yang
terbabit dalam pencemaran lantaran pemantauan yang tidak konsisten oleh pihak
berkuasa juga dilihat sebagai faktor penyumbang kepada pencemaran yang kini
berleluasa tanpa mampu dikekang. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang
menyebabkan ramai individu yang tidak bertanggungjawab membuat onar seperti tiada takut akan antah. Undang-undang
yang diimplementasikan dilihat sekadar hiasan perlembagaan tanpa adanya
penguatkuasaan. Pihak-pihak berkuasa khususnya pihak kerajaan seharusnya
membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan yang dijalankan oleh semua
pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari setiap
projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara tersebut dan bukan
hanya melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini
sangat penting untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan
bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat dijalankan dan tingkah laku
sesetengah organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang kesedaran
sivik. Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik dengan membuat
serbuan ke tempat-tempat yang disyaki menjadi punca pencemaran dengan segera
kerana jika kerajaan kurang memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek
kemaslahatan rakyat, maka masalah pencemaran pasti berada di tahap yang semakin
membimbangkan. Perlukah sudah patah baru
hendak melantai?
Natijahnya, jika setiap pihak mengambil
langkah sederap ibarat ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni, sudah
pasti kemelut ini dapat diatasi. Kupasan demi kupasan berkaitan punca-punca
pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil serius oleh semua pihak
dan organisasi agar belenggu yang merantai permasalahan pencemaran clam sekitar
seperti pencemaran air, udara, tanah dan bunyi ini dapat dirungkai dan
diselesaikan hingga ke akar cerucuknya. Hal ini penting untuk memastikan
kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas daripada pencemaran dapat
dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi masa hadapan yang akan
mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan berkembang.
13 comments:
tq
tq
karangan yang sunnguh menarik!!
karangan yang sunnguh menarik!!
Good with this bombastic words
30/30
tq
Ini karangan bahgian b ke??
berapa patah perkaaan
Amat baiknya penulisan.. Karangan yang dapat membantu murid-murid dalam peperiksaan
Karangan yang menarik! Izinkan saya menggunakan karangan ini sebagai bahan dalam ujian lisan, TQ :)
padu karangan ni bagus
tq for the good essay
Post a Comment