14/01/2017

Novel T3 : Tawanan Komander Caucasus



Tawanan
Komander Caucasus


Farhani dan rakan-rakannya dalam usaha mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat setelah menjadi tawanan tentera kumbang. Cerita bermula apabila warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang keluar mencari kumbang di pinggir hutan di kampungnya. Pelbagai spekulasi tentang kehilangan Kim Yong telah dibuat. Sebagai rakan sekelas, Farhani, Chea Mei, Mira, Haikal, Devnath dan Wei turut bersimpati dan bersedih atas kehilangan Kim Yong. Mereka bersepakat menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong yang begitu sedih atas kehilangan anak tunggalnya itu.
Setelah sebulan berita kehilangan Kim Yong berlalu, Cikgu Salimah selaku guru Sains Tingkatan Satu Arif di Sekolah Menengah Seri Kencana telah memberikan satu tugasan kepada murid-muridnya untuk mencari serangga bagi memastikan zoo mini serangga yang diilhamkan di sekolah mereka itu menjadi suatu kenyataan. Dalam pembahagian tugasan itu, Farhani, Chea Mei dan Mira ditugaskan untuk mencari kumbang. Sementara itu, Haikal berasa terkilan kerana Cikgu Salimah tidak memberikan tugasan mencari kumbang itu kepadanya. Oleh sebab itu, Haikal memperlekehkan kewibawaan Farhani dan rakan-rakannya untuk mencari kumbang tersebut. Farhani bertekad untuk mendapatkan kumbang tersebut.
Bagi melengkapkan tugasan yang diarahkan oleh Cikgu Salimah, Farhani, Chea Mei dan Mira telah bersetuju dan bersepakat untuk mencari kumbang di dusun datuk Farhani. Disebabkan Farhani tiba awal di dusun datuknya, dia mengisi masa menunggu kedatangan Mira dan Chea Mei dengan mencari kumbang lebih dahulu sehingga pencariannya itu telah membawanya jauh ke dalam dusun datuknya. Akhirnya, Farhani menemukan sebuah rumah lama dan masuk ke dalam rumah lama itu. Dia menemukan anak tangga yang menuruni ke ruang bawah tanah hingga membawanya ke dimensi kerajaan kumbang. Sementara itu, Mira dan Chea Mei telah tiba di dusun datuk Farhani setengah jam lewat daripada masa yang telah dijanjikan. Mereka tidak nampak kelibat Farhani di situ.
Chea Mei dan Mira terkejut apabila ibu Farhani, iaitu Puan Asmah memaklumkan kepada mereka bahawa Farhani telah pergi ke dusun datuknya selepas solat zuhur. Ibu Farhani bersedih atas kehilangan Farhani memandangkan Farhani ialah anak bongsunya. Encik Adnan, bapa Farhani meminta isterinya bertenang dan bersabar. Peristiwa kehilangan Farhani dan Kini Yong yang dikaitkan dengan kejadian mereka keluar mencari kumbang telah menjadi perbualan masyarakat setempat dan seluruh rakyat Malaysia. Cikgu Salimah berasa bersalah atas kehilangan Farhani. Dia mengajak murid-murid di kelas Tingkatan Satu Arif menjejaki kehilangan misteri Farhani di dusun datuk Farhani. Di dalam dusun datuk Farhani, mereka telah menemukan sebuah rumah usang. Haikal telah mengajak Devnath dan Wei untuk kembali semula pada malamnya untuk menjejaki kehilangan Farhani di ruang bawah tanah di rumah usang itu setelah mereka menemukan sapu tangan milik Farhani.
Kesilapan Farhani melangkah kakinya ke alam dimensi kerajaan kumbang menyebabkan dia telah ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Farhani telah dibawa oleh kumbang Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di sebuah istana. Selepas itu, Farhani juga telah dikurung di dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal rahsia Komander Caucasus yang akan menjadikannya sebagai bahan uji kaji untuk mencapai impian Komander Caucasus menakluki dunia dan menguasai manusia. Di makmal rahsia itu, Farhani telah bertemu secara tidak sengaja dengan Kim Yong yang telah dilaporkan hilang selama sebulan lebih itu.
Komander Caucasus merupakan seekor kumbang yang tamak dan gila kuasa apabila dia dan tenteranya cuba merampas takhta kerajaan kumbang dengan menggulingkan takhta Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera dan para pengikutnya yang sedang bersembunyi. Suatu ketika, berlaku kejadian huru-hara sehingga menyebabkan Bara dan Dara Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera bergegas menyelamatkan diri dengan membawa bersama Farhani dan Kim Yong. Di satu kawasan perkhemahan, Bara dan Dara Bintik telah membawa Farhani dan Kim Yong menghadap Puteri Coleoptera yang sangat baik dan sopan. Puteri Coleoptera memohon bantuan mereka berdua untuk menumpaskan Komander Caucasus yang kejam dan tidak berhati perut itu.
Sementara itu, ketika Haikal, Devnath dan Wei mencari jejak kehilangan Farhani di ruang bawah tanah rumah lama itu, mereka telah memasuki dimensi kerajaan kumbang sehingga mereka ditangkap oleh tentera kumbang Bara. Selepas tersedar daripada pengsan, mereka terkejut apabila mendapati mereka menjadi tawanan kumbang yang bersaiz besar di sebuah kawasan hutan. Mereka juga terkejut kerana telah bertemu semula dengan Farhani dan Kim Yong di situ yang berada dalam keadaan selamat. Farhani dan Kim Yong meyakinkan mereka bertiga bahawa kumbang-kumbang itu berhati baik dan merupakan sahabat mereka berdua. Sekali lagi kumbang Bara meminta bantuan daripada mereka berlima untuk membantu Puteri Coleoptera dan pengikutnya menewaskan Komander Caucasus dan tenteranya.
Tiba-tiba, mereka mendapat maklumat bahawa tempat persembunyian mereka itu telah dikesan oleh tentera Caucasus sehingga menyebabkan Puteri Coleoptera, semua pengikutnya, Farhani, dan empat orang rakannya terpaksa meninggalkan tempat itu. Setelah menempuh perjalanan yang memenatkan, akhirnya mereka tiba di tempat persembunyian baharu. Lima buah khemah berjaya didirikan. Tidak lama kemudian, tempat persembunyian mereka telah diserang hendap oleh tentera Komander Caucasus setelah mendapat maklumat daripada si pembelot, Dara Bintik.
Dalam serang hendap itu, Haikal, Devnath dan Wei telah ditangkap sekali lagi dan ditawan oleh tentera Komander Caucasus bersama-sama dengan Puteri Coleoptera dan Bara. Namun dalam serangan hendap itu, Farhani dan Kim Yong berjaya menyembunyikan diri masing-masing. Maharaja Caucasus yang telah menaiki takhta kerajaan kumbang dengan cara menggulingkan Maharaja Tanduk itu berasa amat marah apabila Kim Yong dan Farhani gagal ditangkap. Maharaja Caucasus mengarahkan tenteranya segera mencari Kim Yong dan Farhani yang amat diperlukan untuk dijadikan bahan uji ka|i bagi mencapai impiannya menakluki dunia dan manusia.
Pada suatu malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong, kunang-kunang, dan pengikut mereka telah menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus dan tenteranya  melalui penggunaan cecair Endosulfan sekali gus membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh Komander Caucasus. Akhimya, strategi yang telah dirancang itu digunakan pada satu tengah malam. Mereka berjaya menewaskan Komander Caucasus yang kejam dan para tenteranya sekali gus berjaya membebaskan Puteri Coleoptera, Bara, Maharaja Tanduk dan tiga orang rakannya, Haikal, Wei dan Devnath yang telah dikurung itu dengan selamat. Manakala, Komander Caucasus, Dara Bintik dan para tenteranya telah dikurung.
Puteri Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan kumbang yang baharu. Puteri Coleoptera terhutang budi atas kerjasama dan bantuan danpada Farhani dan empat orang rakannya. Sebagai tanda terima kasih, Puteri Coleoptera menghadiahkan sebuah lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada logam perak berukir cantik kepada setiap seorang. Farhani dan empat orang rakannya telah dibenarkan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing, namun mereka kecewa kerana kepulangan mereka tidak dapat dilihat oleh ahli keluarga disebabkan mereka telah menjadi halimunan.


Setelah kata sepakat diambil, Farhani dan empat orang rakannya kembali ke dimensi kerajaan kumbang untuk bertemu dengan kumbang Bara. Setelah meminum serum yang diberikan oleh Bara, akhirnya mereka berjaya kembali menjadi manusia asal dan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat. Berita kepulangan mereka telah mendapat liputan yang meluas daripada syarikat media cetak dan media elektronik. Namun, mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita sebenar mereka yang menjadi tawanan kerajaan kumbang pimpinan Komander Caucasus.

5 comments:

aisya said...
This comment has been removed by the author.
kaBD79 said...

Sinopsis yg jelas. Cerita mudah diingati. 👍

Unknown said...

THANK YOU VERY MUCH SIR!

Hafif said...

IZINKAN SAYA COPY....TERIMA KASIH

Unknown said...

Sinopsis ni mudah untk difahami.. Isinya padat..