Tawanan
Komander
Caucasus
Farhani dan rakan-rakannya dalam usaha mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat setelah menjadi tawanan tentera kumbang. Cerita bermula apabila warga Sekolah Menengah Seri Kencana dan penduduk kampung dikejutkan dengan berita kehilangan Kim Yong yang keluar mencari kumbang di pinggir hutan di kampungnya. Pelbagai spekulasi tentang kehilangan Kim Yong telah dibuat. Sebagai rakan sekelas, Farhani, Chea Mei, Mira, Haikal, Devnath dan Wei turut bersimpati dan bersedih atas kehilangan Kim Yong. Mereka bersepakat menziarahi Puan Lee, ibu Kim Yong yang begitu sedih atas kehilangan anak tunggalnya itu.
Setelah
sebulan berita kehilangan Kim Yong berlalu, Cikgu Salimah selaku guru Sains
Tingkatan Satu Arif di Sekolah Menengah Seri Kencana telah memberikan satu tugasan
kepada murid-muridnya untuk mencari serangga bagi memastikan zoo mini serangga
yang diilhamkan di sekolah mereka itu menjadi suatu kenyataan. Dalam
pembahagian tugasan itu, Farhani, Chea Mei dan Mira ditugaskan untuk mencari
kumbang. Sementara itu, Haikal berasa terkilan kerana Cikgu Salimah tidak
memberikan tugasan mencari kumbang itu kepadanya. Oleh sebab itu, Haikal
memperlekehkan kewibawaan Farhani dan rakan-rakannya untuk mencari kumbang
tersebut. Farhani bertekad untuk mendapatkan kumbang tersebut.
Bagi
melengkapkan tugasan yang diarahkan oleh Cikgu Salimah, Farhani, Chea Mei dan
Mira telah bersetuju dan bersepakat untuk mencari kumbang di dusun datuk
Farhani. Disebabkan Farhani tiba awal di dusun datuknya, dia mengisi masa
menunggu kedatangan Mira dan Chea Mei dengan mencari kumbang lebih dahulu
sehingga pencariannya itu telah membawanya jauh ke dalam dusun datuknya.
Akhirnya, Farhani menemukan sebuah rumah lama dan masuk ke dalam rumah lama
itu. Dia menemukan anak tangga yang menuruni ke ruang bawah tanah hingga
membawanya ke dimensi kerajaan kumbang. Sementara itu, Mira dan Chea Mei telah
tiba di dusun datuk Farhani setengah jam lewat daripada masa yang telah
dijanjikan. Mereka tidak nampak kelibat Farhani di situ.
Chea Mei
dan Mira terkejut apabila ibu Farhani, iaitu Puan Asmah memaklumkan kepada
mereka bahawa Farhani telah pergi ke dusun datuknya selepas solat zuhur. Ibu
Farhani bersedih atas kehilangan Farhani memandangkan Farhani ialah anak
bongsunya. Encik Adnan, bapa Farhani meminta isterinya bertenang dan bersabar.
Peristiwa kehilangan Farhani dan Kini Yong yang dikaitkan dengan kejadian
mereka keluar mencari kumbang telah menjadi perbualan masyarakat setempat dan
seluruh rakyat Malaysia. Cikgu Salimah berasa bersalah atas kehilangan Farhani.
Dia mengajak murid-murid di kelas Tingkatan Satu Arif menjejaki kehilangan
misteri Farhani di dusun datuk Farhani. Di dalam dusun datuk Farhani, mereka
telah menemukan sebuah rumah usang. Haikal telah mengajak Devnath dan Wei untuk
kembali semula pada malamnya untuk menjejaki kehilangan Farhani di ruang bawah
tanah di rumah usang itu setelah mereka menemukan sapu tangan milik Farhani.
Kesilapan
Farhani melangkah kakinya ke alam dimensi kerajaan kumbang menyebabkan dia
telah ditawan oleh tentera Komander Caucasus. Farhani telah dibawa oleh kumbang
Bara untuk menghadap Maharaja Tanduk di sebuah istana. Selepas itu, Farhani
juga telah dikurung di dalam sebuah tabung uji bersaiz besar di sebuah makmal
rahsia Komander Caucasus yang akan menjadikannya sebagai bahan uji kaji untuk
mencapai impian Komander Caucasus menakluki dunia dan menguasai manusia. Di
makmal rahsia itu, Farhani telah bertemu secara tidak sengaja dengan Kim Yong
yang telah dilaporkan hilang selama sebulan lebih itu.
Komander
Caucasus merupakan seekor kumbang yang tamak dan gila kuasa apabila dia dan
tenteranya cuba merampas takhta kerajaan kumbang dengan menggulingkan takhta
Maharaja Tanduk dan giat memburu Puteri Coleoptera dan para pengikutnya yang
sedang bersembunyi. Suatu ketika, berlaku kejadian huru-hara sehingga
menyebabkan Bara dan Dara Bintik yang merupakan pengikut Puteri Coleoptera
bergegas menyelamatkan diri dengan membawa bersama Farhani dan Kim Yong. Di
satu kawasan perkhemahan, Bara dan Dara Bintik telah membawa Farhani dan Kim
Yong menghadap Puteri Coleoptera yang sangat baik dan sopan. Puteri Coleoptera
memohon bantuan mereka berdua untuk menumpaskan Komander Caucasus yang kejam
dan tidak berhati perut itu.
Sementara
itu, ketika Haikal, Devnath dan Wei mencari jejak kehilangan Farhani di ruang
bawah tanah rumah lama itu, mereka telah memasuki dimensi kerajaan kumbang
sehingga mereka ditangkap oleh tentera kumbang Bara. Selepas tersedar daripada
pengsan, mereka terkejut apabila mendapati mereka menjadi tawanan kumbang yang
bersaiz besar di sebuah kawasan hutan. Mereka juga terkejut kerana telah
bertemu semula dengan Farhani dan Kim Yong di situ yang berada dalam keadaan
selamat. Farhani dan Kim Yong meyakinkan mereka bertiga bahawa kumbang-kumbang
itu berhati baik dan merupakan sahabat mereka berdua. Sekali lagi kumbang Bara
meminta bantuan daripada mereka berlima untuk membantu Puteri Coleoptera dan
pengikutnya menewaskan Komander Caucasus dan tenteranya.
Tiba-tiba,
mereka mendapat maklumat bahawa tempat persembunyian mereka itu telah dikesan
oleh tentera Caucasus sehingga menyebabkan Puteri Coleoptera, semua
pengikutnya, Farhani, dan empat orang rakannya terpaksa meninggalkan tempat
itu. Setelah menempuh perjalanan yang memenatkan, akhirnya mereka tiba di
tempat persembunyian baharu. Lima buah khemah berjaya didirikan. Tidak lama
kemudian, tempat persembunyian mereka telah diserang hendap oleh tentera
Komander Caucasus setelah mendapat maklumat daripada si pembelot, Dara Bintik.
Dalam
serang hendap itu, Haikal, Devnath dan Wei telah ditangkap sekali lagi dan
ditawan oleh tentera Komander Caucasus bersama-sama dengan Puteri Coleoptera
dan Bara. Namun dalam serangan hendap itu, Farhani dan Kim Yong berjaya
menyembunyikan diri masing-masing. Maharaja Caucasus yang telah menaiki takhta
kerajaan kumbang dengan cara menggulingkan Maharaja Tanduk itu berasa amat
marah apabila Kim Yong dan Farhani gagal ditangkap. Maharaja Caucasus
mengarahkan tenteranya segera mencari Kim Yong dan Farhani yang amat diperlukan
untuk dijadikan bahan uji ka|i bagi mencapai impiannya menakluki dunia dan
manusia.
Pada suatu
malam, Dara Merah, Farhani, Kim Yong, kunang-kunang, dan pengikut mereka telah
menyusun strategi untuk menumpaskan Komander Caucasus dan tenteranya melalui penggunaan cecair Endosulfan sekali
gus membebaskan semua tawanan yang dipenjarakan oleh Komander Caucasus.
Akhimya, strategi yang telah dirancang itu digunakan pada satu tengah malam.
Mereka berjaya menewaskan Komander Caucasus yang kejam dan para tenteranya
sekali gus berjaya membebaskan Puteri Coleoptera, Bara, Maharaja Tanduk dan
tiga orang rakannya, Haikal, Wei dan Devnath yang telah dikurung itu dengan
selamat. Manakala, Komander Caucasus, Dara Bintik dan para tenteranya telah
dikurung.
Puteri
Coleoptera telah ditabalkan sebagai pemerintah kerajaan kumbang yang baharu.
Puteri Coleoptera terhutang budi atas kerjasama dan bantuan danpada Farhani dan
empat orang rakannya. Sebagai tanda terima kasih, Puteri Coleoptera
menghadiahkan sebuah lambang kebesaran kerajaan kumbang yang diperbuat daripada
logam perak berukir cantik kepada setiap seorang. Farhani dan empat orang
rakannya telah dibenarkan untuk kembali ke pangkuan keluarga masing-masing,
namun mereka kecewa kerana kepulangan mereka tidak dapat dilihat oleh ahli
keluarga disebabkan mereka telah menjadi halimunan.
Setelah
kata sepakat diambil, Farhani dan empat orang rakannya kembali ke dimensi
kerajaan kumbang untuk bertemu dengan kumbang Bara. Setelah meminum serum yang
diberikan oleh Bara, akhirnya mereka berjaya kembali menjadi manusia asal dan
pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat. Berita kepulangan
mereka telah mendapat liputan yang meluas daripada syarikat media cetak dan
media elektronik. Namun, mereka bersepakat untuk merahsiakan cerita sebenar
mereka yang menjadi tawanan kerajaan kumbang pimpinan Komander Caucasus.
5 comments:
Sinopsis yg jelas. Cerita mudah diingati. 👍
THANK YOU VERY MUCH SIR!
IZINKAN SAYA COPY....TERIMA KASIH
Sinopsis ni mudah untk difahami.. Isinya padat..
Post a Comment