19/01/2016

JALAN KE PUNCAK (ii)

Bab 3 : Musibah
Sukri menjadi tidak tenang apabila memikirkan peristiwa tangki minyak milik syarikat tempat dia bekerja itu terbakar. Ketika itu, Laiman berada di Kuching kerana berjumpa dengan rakan sekuliahnya. Tiba-tiba Sukri terfikir bahawa tangki minyak yang terbakar itu ialah tangki minyak yang dibaiki oleh Laiman dua minggu yang lalu. Sukri bimbang kalau-kalau Laiman dituduh melakukan perkara tersebut. Pengurus syarikat menganggap bahawa Laiman yang menyebabkan peristiwa kebakaran tersebut berlaku. Sukri tidak dapat mengandaikan perkara yang akan berlaku kepada Laiman selepas kejadian tersebut.
Kekusutan fikiran Sukri dikesan oleh isterinya. Sukri tidak bercerita kepada isterinya. Dia melayani fikirannya. Dia mengetahui bahawa Laiman ialah pemuda yang baik dan berhemah tinggi. Tidak mungkin Laiman membakar tangki minyak itu. Pada fikiran Sukri, ada orang yang berniat jahat untuk menjatuhkan Laiman. Sukri menemui Laiman yang baru pulang dari Kuching. Laiman juga hairan memikirkan peristiwa itu. Hal ini demikian kerana dia telah menggunakan kepakarannya bersama-sama dengan pihak kontraktor sewaktu membaiki tangki tersebut. Laiman beranggapan bahawa dia tidak ada kena-mengena dengan peristiwa kebakaran itu. Sukri meminta Laiman bercerita kepada pengurus tentang hal yang sebenar pada keesokan harinya. Sukri juga akan cuba meyakinkan pengurus mereka bahawa Laiman tidak bersalah.

Bab 4. Hasrat
Laiman berbual-bual dengan Soniah di sebuah restoran. Ada seorang tua duduk bersendirian memerhatikan mereka. Laiman terfikir, mungkin orang tua itu ada firasat. Laiman dan Soniah berbual-bual tentang rancangan mereka. Laiman meminta Soniah berfikir sendiri tentang rancangan yang benar-benar diimpikannya. Soniah mempunyai sikap yang hampir sama dengan Laiman. Pada pandangannya, usaha hendaklah dilaksanakan dengan tekun. Manusia hendaklah memilih jalannya sendiri.
Laiman agak terkejut apabila mengetahui Soniah juga mengambil bidang kejuruteraan. Apabila dia mengatakan bahawa bidang itu susah, Soniah agak tersinggung kerana dia merasakan Laiman merendah-rendahkan tahap kemampuannya. Namun begitu, perbualan mereka mesra kembali. Soniah dapat menjawab setiap perkara yang dihujahkan oleh Laiman tentang kemampuan wanita. Laiman akhirnya memuji Soniah yang sanggup menghadapi cabaran. Selepas membayar harga makanan mereka berdua pun keluar meninggalkan restoran tersebut. Apabila keluar dari restoran, barulah mereka berbual tentang peristiwa kebakaran tangki minyak. Laiman mengatakan bahawa pengurus tidak menyalahkan dia kerana dia tiada di tempat kejadian ketika kebakaran tersebut berlaku. Syarikat terpaksa menanggung kerugian. Harapan Laiman semoga pengurus itu tidak akan mencemarkan namanya hanya kerana dia sendiri tidak mengetahui punca kejadian tersebut berlaku.

Bah 5 : Pulang
Setelah tamat pengajian, Laiman berubah dan pulang ke kampungnya di Sabah.

Bab 6 : Tentangan
Bapa Laiman, iaitu Pak Kiassim tidak mahu Laiman mewarisi kerjayanya sebagai petani. Dia mahu anaknya bekerja di bilik yang berhawa dingin dan berkereta besar. Laiman mempunyai pandangan yang berlainan sama sekali. Memang pada mulanya Laiman bercita-cita untuk bekerja dengan kerajaan. Setelah mengetahui hasrat kerajaan, dia tertarik hati dan ingin menyahut seruan kerajaan supaya para siswazah berdikari dan tidak terlalu bergantung pada kerajaan untuk mendapatkan sesuatu kerjaya.
Laiman teringat akan peristiwa setahun yang lalu, iaitu peristiwa tentang kebakaran tangki minyak yang menyebabkan dia berada dalam dilema. Ternyata Muluk merupakan punca utama kebakaran tangki minyak itu berlaku. Hal itu berlaku kerana Muluk cemburu melihat Laiman dan Soniah akrab bagaikan pasangan kekasih semasa berada di Sarawak. Namun begitu, sangkaan tersebut tidak benar. Muluk sudah lama menaruh hati terhadap Soniah tetapi Soniah tidak memberikan ruang untuknya bertakhta dalam hati Soniah.
Lamunan Laiman terhenti apabila Milan, sepupu Laiman membawa berita bahawa Laiman terdapat tawaran bekerja di Jabatan Pertanian. Jawatan itu sesuai dengan kelulusan Laiman. Namun begitu, Laiman tidak menyambut berita itu dengan gembira. Laiman lebih gemar bercerita tentang projek yang ada dalam fikirannya. Dia bercadang hendak menternak lebah madu dan ikan air tawar. Tempat ternakan ikan air tawar itu bersebelahan dengan tanah Pak Sahok. Milan bimbang kalau-kalau Pak Sahok ridak mengizinkan Laiman melaksanakan rancangannya di kawasan itu. Ternakan lebah madu tidak merisaukan Laiman. Hal ini demikian kerana ternakan lebah madu tidak memerlukan kawasan yang luas. Milan lebih cenderung menjadi pengikut Laiman. Milan bercerita tentang pekerjaan yang pernah dilakukannya dahulu kepada Laiman. Milan menyatakan bahawa kerjanya dahulu berat, tetapi pendapatannya tidak lumayan.

Bab 7: Resah
Penolakan Laiman terhadap tawaran pekerjaan bergaji menimbulkan kemarahan bapanya. Pak Kiassim mengatakan bahawa Laiman menolak rezeki. Laiman mengatakan belum sampai masa untuk dia menerima tawaran seperti itu. Jawaban itu tidak menyenangkan Pak Kiassim. Apabila Laiman menyebut bahawa dia mahu berehat, Pak Kiassim bertambah marah. Pak Kiassim mengungkit tentang pengorbanan nenek dan abang Laiman. Pak Kiassim menyatakan bahawa nenek Laiman mengeluarkan wang simpanannya untuk membantu pengajian Laiman. Abang Laiman pula tidak berkahwin lagi kerana dia selalu memberikan wang kepada adik-adiknya terutamanya Laiman supaya Laiman mendapat pelajaran yang cukup.
Laiman tidak tertahan mendengar leteran bapanya. Dia meninggalkan rumah dalam keadaan yang tersinggung. Dia berjalan seorang diri tanpa lampu suluh dan pelita. Hatinya tertarik untuk singgah di rumah sepupunya, Milan. Dalam perbualannya dengan Milan, Laiman mendapati sepupunya itu berada di pihak bapanya. Dia berasa kecewa dan berkecil hati. Dia menganggap sepupunya sama dengan bapanya yang memandang rendah terhadap cita-citanya. Namun begitu, Milan pandai memujuk Laiman dan dia berjanji akan sentiasa menyokong Laiman. Pada malam itu, Laiman dapat tidur dengan lena, walaupun di rumahnya sendiri dia berasa terasing.

Bab 8: Tekad
Rancangan Laiman untuk menternak ikan air tawar menghadapi masalah. Pak Sahok tidak mengizinkan Laiman menggunakan tanah paya di sebelah tanahnya untuk dijadikan projek ikan air tawar. Laiman mengetahui bahawa tanah paya itu bukan milik Pak Sahok, tetapi dia menghormati Pak Sahok. Selagi dia tidak mendapat keizinan daripada Pak Sahok, dia tidak akan menggunakan kawasan paya itu untuk menjalankan projeknya.
Laiman dan Milan berbincang tentang tapak lain untuk meneruskan projek ternakan ikan air tawar mereka itu. Bapa Milan tidak keberatan jika tanahnya digunakan, tetapi jentera pengorek tanah tidak ada. Tanah bapa Milan tidak sesuai untuk projek ternakan ikan air tawar jika tidak dikorek lebih dahulu. Jabatan perikanan pun tidak mempunyai jentera tersebut. Setelah membincangkan projek ikan, mereka beralih kepada projek kebun tembikai. Kawan Laiman dari Kota Kinabalu akan rnembeli tembikai yang diusahakannya nanti. Mereka berdua gembira kerana hasil tanaman tembikai cukup memberangsangkan.
Laiman bersyukur kerana Milan sentiasa menyokong segala usahanya. Milanlah orang yang sering menjaga dan membersihkan kebun tembikai jika Laiman tiada. Selain berbincang tentang kebun tembikai, mereka juga berbincang tentang rancangan ternakan lebah madu. Milan merasakan bahawa rancangan mereka terlalu banyak, dan dia bimbang kalau-kalau tidak terkawal. Laiman mengatakan bahawa tenaga budak-budak yang sudah tidak berminat meneruskan persekolahan boleh digunakan. Ibu bapa budak-budak itu akan berasa gembira kerana anak-anak mereka dapat melakukan kerja yang berfaedah.

Bab 9 : Pujuk
Laiman berasa susah hati kerana rancangan ternakan ikan air tawar masih tidak dapat dimulakan. Hal ini demikian kerana dia dan Milan tetap gagal memujuk Pak Sahok agar bersetuju supaya kawasan paya di sebelah tanah Pak Sahok itu digunakan untuk projek tersebut. Mereka masih terus memikirkan tempat-tempat lain, tetapi tiada yang sesuai. Mereka berbincang tentang tanah paya berdekatan dengan kebun Ah Ming. Namun begitu, tempat itu terlalu jauh sehingga mereka perlu membina rumah untuk tinggal di sana. Laiman terfikir untuk terus memujuk Pak Sahok.
Pada sebelah malamnya, Pak Kiassim menegur Laiman. Dia bertanya tentang kemajuan Laiman. Apabila Laiman meluahkan rasa duka citanya, Pak Kiassim mengungkit hal-hal yang lepas. Laiman menyatakan bahawa Pak Sahok merupakan penghalang untuk projek ternakan ikan air tawarnya, walaupun tanah yang diingininya itu bukan tanah Pak Sahok.
Pak Kiassim bersetuju bahawa tanah itu memang bukan tanah Pak Sahok. Perbualan dengan bapanya kian mengarah ke arah perdamaian. Pak Kiassim melarang Laiman bermusuhan dengan Pak Sahok. Pak Kiassim juga menasihati Laiman supaya mencari tanah lain untuk menjalankan projek tersebut. Laiman juga mengatakan bahawa dia tidak akan berkasar dengan Pak Sahok.
Seterusnya, Pak Kiassim bertanya tentang kebun tembikai yang diusahakan oleh Laiman. Laiman mengatakan bahawa projek itu telah berjaya. Tembikai sudah berbuah dan akan mula dijual. Kata Laiman, hasil tembikai itu nanti tidak muat jika hanya diangkut oleh sebuah lori. Pak Kiassim berasa gembira apabila membayangkan kejayaan Laiman. Laiman menyatakan bahawa hasil tersebut merupakan modal permulaan untuk melanjutkan projek yang seterusnya.
Pak Kiassim mula melihat kejayaan anaknya. Pak Kiassim yakin bahawa anaknya mempunyai cita-cita yang tinggi. Orang kampung juga memuji-muji Laiman kerana kejayaannya. Laiman terkejut apabila Pak Kiassim mengatakan bahawa dia akan pergi memujuk Pak Sahok agar bersetuju dengan rancangan Laiman. Laiman memohon maaf kepada bapanya kerana selama ini dia sering membantah kata-kata bapanya. Pak Kiassim pula mengakui bahawa dia sendiri yang bersalah kerana tidak mencuba untuk memahami cita-cita anaknya itu.

Bab 10: Harapan
Projek tembikai Laiman berjaya sehingga menarik minat pihak jabatan pertanian untuk membantu Laiman memajukan projeknya. Ketika pegawai pertanian tersebut berbincang tentang projek tembikai itu, fikiran Laiman masih tertumpu pada projek ternakan ikan air tawar yang menjadi keutamaannya. Dia ingin mendengar keputusan rundingan antara bapanya dengan Pak Sahok tentang tanah yang akan dijalankan projek ikan air tawarnya itu. Perkara tersebut yang harus diberikan perhatian kerana tanah itu memang sesuai untuk projek penternakan ikan air tawar dan udang harimau. Pak Kiassim pulang dengan wajah yang menandakan kejayaan. Pak Kiassim menyuruh Laiman sendiri pergi mendengar keputusan Pak Sahok. Pak Sahok menyatakan persetujuannya kepada Laiman. Pak Sahok sedar bahawa kejayaan Laiman boleh ditumpangi oleh orang-orang kampung dan anak-anak muda yang tinggal di kampung tersebut.
Sebulan kemudian, jabatan pertanian menyediakan jentera pengorek tanah. Laiman mengupah anak-anak muda untuk menggerakkan projek itu. Apabila air kolam yang baru dikorek itu jernih, Laiman melepaskan ikan ternakan yang telah dibekalkan kepadanya. Di sebelah kolam ikan itu, dia akan menternak udang harimau. Laiman akan menumpukan perhatiannya terhadap ternakan ikan dan udang harimau, manakala kebun tembikai diserahkan kepada Pak Kiassim untuk menguruskannya. Pada masa yang sama, Soniah dihantar oleh pihak universiti untuk menyertai latihan sambil bclajar. Laiman mengetahui perkembangan Soniah sebagai pelajar universiti, kerana mereka sering berhubung melalui surat.

Bab II: Galau
Milan berasa susah hati kerana Kedek dan Muali membuat keputusan akan meninggalkan projek mereka. Kedua-dua orang pemuda itu dipilih untuk mengikuti latihan untuk membantu projek Laiman. Kedek dan Muali mengatakan bahawa mereka akan memulakan projek mereka sendiri. Apabila hal itu dinyatakan kepada Laiman, dia tidak menunjukkan rasa kecewa. Bagi Laiman, masalah demikian adalah masalah biasa dalam mana-mana perusahaan. Dia berharap agar Kedek dan Muali akan berjaya. Milan bersusah hati kerana baginya Kedek dan Muali tidak wajar berbuat begitu. Laiman menasihati Milan supaya bersikap terbuka dalam segala hal dan tidak menaruh dendam. Bagi Laiman perkara yang telah berlaku itu tidak akan melumpuhkan semangatnya. Milan juga akan berusaha untuk bersaing secara sihat. Milan bersetuju dengan kenyataan Laiman dan dia cuba untuk mententeramkan hatinya. Milan berasa resah. Keresahan yang dialami pada waktu itu ialah keresahan terhadap Laiman. Bagi Milan, Laiman telah bersusah payah untuk mencari projek dan membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda yang menganggur. Malangnya, manusia lain tidak pernah menyelami perasaan anak muda yang berpandangan jauh itu. Mereka juga tidak pernah terfikir sebab Laiman sanggup mengorbankan dirinya untuk hasratnya yang murni itu.

Bab 12: Tabah
Mail, abang Laiman pulang dari Kota Marudu. Di rumahnya ada Jariah. Bapanya pergi menziarahi kematian Pak Muluk di Kampung Bawang. Laiman pula pergi menemui pekerja-pekerjanya di rumah Milan. Jariah memberitahu Mail bahawa Kedek dan Muali menarik diri daripada projek yang diusahakan oleh Laiman. Mail berfikir, Kedek dan Muali akan menghadapi kesukaran untuk berjaya. Namun begitu, Jariah menyatakan bahawa Laiman ridak melarang mereka menarik diri, bahkan memberikan dorongan setakat yang mampu.
Apabila Laiman balik, Mail sedang tidur. Agak lama kemudian, Mail terjaga dan mereka berbual-bual. Laiman bercerita tentang kemajuan projeknya. Mail berasa gembira kerana adiknya maju dalam projek yang diusahakannya. Laiman pula gembira kerana abangnya mengambil berat tentang projeknya.
Pak Kiassim menyuruh Laiman dan Mail ke Bawang untuk menziarahi kematian Pak Muluk. Mereka akur dengan suruhan Pak Kiassim itu. Mengikut adat mereka apabila adanya kematian, terdapat adat berjaga untuk si mati selama tujuh hari. Mereka tidak keberatan dengan adat itu kerana acara itu bukan dibuat-buat. Sudah menjadi adat dan tradisi suku kaum mereka, iaitu Orang Sungai.
Sebelum Mail pulang ke Kota Marudu, dia sempat berpesan beberapa perkara kepada Laiman. Dia juga meninjau-ninjau kolam ternakan ikan air tawar milik adiknya itu. Pesanan penting daripada Mail adalah supaya Laiman bersungguh-sungguh menjalankan kerja yang telah diusahakannya itu. Selain itu, Mail berpesan supaya Laiman bersikap tidak mempedulikan cemuhan daripada orang kampung.

Bab 13: Lumayan
Laiman membawa kuih ke Gerai Pitas. Dia berniaga kuih kerana urusan penjagaan kolam ternakan ikan tidak banyak lagi yang perlu dilakukannya.Tambahan pula, urusan itu telah diserahkan kepada pekerjanya. Laiman tidak mahu masa itu terbuang begitu sahaja. Laiman berkira-kira untuk menambahkan perniagaannya. Apabila dia tidak ke kolam atau menjual kuih, dia akan mencari pisang dan kelapa untuk dihantar ke Kota Kinabalu. Laiman memberikan pandangan kepada Milan bahawa rezeki ada di mana-mana, asalkan mereka gigih berusaha. Milan dan Laiman saling mempercayai antara satu dengan yang lain.
Wang simpanan perniagaan ditunjukkan oleh Laiman kepada Milan, walaupun Milan tidak pernah meminta Laiman berbuat demikian. Perkara itu menunjukkan tanda kejujuran antara mereka. Mereka juga sudah bersepakat apabila simpanan sudah banyak, wang itu akan dibahagikan secara sama rata. Walau bagaimanapun, menurut Laiman, dia mahu keakraban mereka biarlah sampai membuahkan kejayaan yang dapat dibanggakan.
     Wang simpanan mereka menjangkau RM10 OOO. Laiman bercadang hendak membeli lori. Banyak lagi rancangan Laiman untuk jangka masa panjang. Menurut Laiman, kolam ikan, kebun tembikai, kerja menjual kuih, dan kerja meraih kelapa itu sudah cukup untuk mereka bangun setaraf dengan orang lain. Milan menurut sahaja segala rancangan Laiman. Laiman mengajar Milan membuat kuih bulan. Dia tahu cara membuat kuih bulan kerana sewaktu di sekolah dahulu dia pernah membuat kuih itu. Sesekali Laiman melihat ayahnya di kebun tembikai. Laiman sudah memberitahu ayahnya bahawa kebun tembikai itu perlu ditanam semula untuk mendapatkan hasil yang lumayan. Ayahnya bersetuju dengan cadangan Laiman.

Bab 14: Sinar
Laiman perlu berani membaiki taraf kehidupannya. Rugi sekali tidak semestinya rugi untuk selama-lamanya. Misalnya, berbakti kepada tanah dengan bercucuk tanam. Tanah akan menjadi lebih berkat jika diusahakati, dengan bersungguh-sungguh. Tanda-tanda kejayaannya sudah ada di depan mata. Ternakan ikan air tawar Laiman akan mengeluarkan hasil tidak lama lagi. Ternakan udang harimau yang dalam perancangannya juga sudah mendapat lampu hijau daripada jabatan pertanian. Duit simpanannya bersama-sama dengan Milan belum digunakan lagi. Mereka sudah pun  berbincang untuk membeli sebuah lori kecil untuk mengangkut barang-barang yang dipajak oleh mereka.
Pak Sahok memuji Laiman dan Milan kerana rancangan mereka telah berjaya. Laiman menyatakan bahawa rancangan itu berjaya dengan bantuan Pak Sahok. Pak Sahok berasa agak malu kerana suatu ketika dahulu dia tidak menyokong projek Laiman itu. Laiman dan Milan mengucapkan terima kasih kepada Pak Sahok kerana membenarkan mereka menggunakan tanah paya tersebut. Laiman juga memberitahu bahawa mereka akan berusaha lagi untuk kejayaan pada masa hadapan. Laiman merasakan bahawa projek ternakan ikan air tawar itu bukanlah projeknya seorang diri. Dia juga melakukan kerja-kerja lain seperti meraih pisang dan kelapa serta menjual produk-produk lain kerana kerja-kerja itu dapat mendatangkan hasil kepadanya. Lori yang dibeli oleh Laiman dan Milan sudah sampai. Lori itu berharga RM13 000, tetapi mereka membayar wang pendahuluan sebanyak RM7 000. Selebihnya Laiman akan membayar secara ansuran setiap bulan. Dengan adanya lori, Laiman mudah pergi ke kampung-kampung untuk mendapatkan barang-barang yang boleh  mendatangkan hasil.

Bab 15: Impian Terlaksana

Kini, nama Laiman sudah menjadi sebutan orang kampung kerana kejayaannya sebagai usahawan muda. Pak Kiassim turut berasa bangga dengan kejayaan Laiman. Kejayaan anaknya itu merupakan suatu kejayaan yang bermakna yang harus dicontohi oleh anak-anak muda, bukan sahaja yang masih menganggur tetapi juga para pemegang ijazah dalam pelbagai jurusan. Pak Kiassim menyedari bahawa Laiman mempunyai wawasan tersendiri. Laiman berasa senang hati kerana orang kampung sudah mula menghargai segala usahanya. Laiman memberikan tunjuk ajar kepada Kedek dan Muali. Orang kampung amat mengenali Laiman yang mendapat kepujian dalam jurusan kejuruteraan, tetapi berjaya menjadi usahawan muda yang berjaya. Laiman mendapat tahu bahawa Soniah akan berpindah ke Kota Kinabalu untuk membantu mengurus syarikat bapa saudaranya. Laiman amat berharap Soniah datang, kerana dia merindui gadis itu. Ketika dia sedang termenung membayangkan Soniah, Milan datang. Milan membawa surat daripada jabatan pertanian. Laiman membuka surat itu. Laiman terkejut kerana surat itu menyatakan bahawa projek ikan air tawar yang sedang diusahakannya akan dijadikan projek contoh di daerah Kusilad. Mereka berasa amat gembira. Menurut pihak jabatan, ada kemungkinan projek itu akan menjadi projek terbesar di Sabah. Apabila Milan beredar ke warungnya, Laiman buat sekian kalinya teringat akan Soniah.

18/01/2016

JALAN KE PUNCAK (i)

JALAN KE PUNCAK

Laiman pemuda dari Sabah menuntut ilmu dalam bidang kejuruteraan. Dia dihantar ke sebuah syarikat minyak di Sarawak untuk menjalani latihan industri. Dia memang berkeupayaan untuk maju dalam bidang yang dipelajarinya. Semasa dalam latihan, Laiman bekerja dengan bersungguh-sungguh, tetapi dia mempunyai impian lain daripada itu. Di tempat latihan itu, Laiman akrab dengan gadis yang bernama Soniah, yang juga masih belajar.  Hal ini menimbulkan rasa cemburu kawannya yang bernama Muluk. Soniah merasakan ada sesuatu yang tidak kena antara Laiman dengan Muluk, tetapi dia menyembunyikannya.
Ketika Laiman tiada di tempat kerja kerana pergi ke Kuching, tangki minyak telah terbakar. Ada telahan yang menyatakan bahawa Laiman yang merancang pembakaran tangki minyak itu sebelum dia ke Kuching. Pengurus syarikat sendiri pun mengesyaki perkara yang sama. Walau bagaimanapun, setelah mendapat keterangan daripada Laiman, pengurus itu percaya bahawa Laiman tidak bersalah dalam hal tersebut.  
Setelah tamat belajar, Laiman pulang ke kampungnya di Kusilad, Sabah. Dalam fikirannya, dia berpendapat bahawa ijazah yang diperolehnya bukanlah tiket untuk dia mencari pekerjaan bergaji tetap. Dia memikirkan projek yang sentiasa ada dalam fikirannya sejak dahulu. Apabila dia mendapat tawaran untuk bekerja di jabatan pertanian, dia menolaknya. Tindakan Laiman itu menimbulkan rasa hairan di hati sepupunya, Milan dan juga menimbulkan kemarahan ayahnya, Pak Kiassim. Pak Kiassim yakin bahawa bekerja makan gaji adalah yang terbaik bagi lulusan universiti. Fikiran Laiman ketika itu tertumpu pada projek ternakan lebah madu dan ternakan ikan air tawar. Dia merancang untuk menjalankan projek ternakan ikan air tawar di tanah paya bersebelahan dengan tanah Pak Sahok. Ternakan lebah madu tidak mendatangkan masalah kepada Laiman kerana projek tersebut tidak memerlukan kawasan yang luas. Di samping itu, dia juga menanam pokok tembikai.
Kemarahan Pak Kiassim menjadi-jadi apabila melihat Laiman tidak beroleh apa-apa kemajuan. Namun begitu, Laiman tetap dengan pendiriannya. Dia berpakat dengan Milan untuk terus bergerak maju. Pada awalnya, Milan juga kurang  bersemangat. Milan menjadi yakin dan penuh semangat apabila melihat Laiman tidak pernah berputus asa. Mereka bersama-sama meminta izin Pak Sahok untuk melaksanakan projek di sebelah tanah Pak Sahok, tetapi Pak Sahok tidak mengizinkannya. Laiman tahu bahawa Pak Sahok bukanlah pemilik tanah yang dicita-citakannya itu, tetapi dia tidak mahu bermusuh dengan Pak Sahok.
Milan makin bersemangat seperti Laiman. Tanaman tembikai mula menampakkan kemajuan. Laiman memikirkan projek lain, iaitu kebun limau dan kelapa. Milan berasa bimbang kerana fikiran Laiman terlalu bercabang-cabang, tetapi Laiman yakin dengan tindakannya itu. Menurut Laiman, kerjanya yang banyak akan dibantu oleh budak-budak yang gagal dalam persekolahan. Perkara tersebut tentu akan menyenangkan hati ibu bapa budak-budak itu.
Setelah masa berlalu agak lama, Pak Kiassim dapat menerima baik usaha Laiman. Dia telah melihat kejayaan Laiman dalam projek kebun tembikainya. Namun, Pak Sahok masih enggan memberikan keizinan kepada Laiman untuk mengusahakan tanah paya di sebelah tanahnya bagi dijadikan kawasan ternakan ikan air tawar. Hasil perundingan dengan Pak Kiassim, Pak Sahok kemudiannya bersetuju untuk membenarkan Laiman mengusahakan tanah tersebut.
Laiman memulakan projek ikan air tawarnya. Kawasan paya itu diperdalam dengan menggunakan jentera pengorek. Setelah segala-galanya berjalan dengan lancar, Laiman menambahkan lagi kolam ternakannya. Sebahagian dari pada kawasan itu digunakan untuk ternakan ikan air tawar, manakala sebahagiannya lagi untuk ternakan udang harimau. Urusan kebun tembikai diserahkan kepada ayahnya.
Masalah dalam bidang perusahaan adalah perkara biasa dan dihadapi oleh mana-mana pengusaha. Masalah yang menimpa Laiman ialah dua orang anak muda yang dilatihnya, iaitu Kedek dan Muali meninggalkannya untuk membuka perusahaan sendiri. Laiman tidak berasa kecewa kerana sekurang-kurangnya dia telah berjaya melatih orang lain bekerja.
Kejayaan Laiman kian terserlah apabila jabatan pertanian berjanji akan membantunya memperbesar perusahaan ternakan ikan air tawar. Projek ikan air tawar yang diusahakannya itu akan dijadikan projek contoh di daerah Kusilad. Hal itu menggembirakan Laiman dan Milan. Menurut pihak jabatan, ada kemungkinan projek itu akan menjadi projek terbesar di Sabah. Apabila Milan beredar ke warungnya, Laiman buat sekian kalinya teringat akan Soniah, gadis yang akrab dengannya semasa dia berada di Sarawak dahulu.

BAB DEMI BAB
Bab l. Bagaikan Mimpi

Laiman pelajar dari Sabah seakan-akan tidak percaya bahawa dirinya berada di Sarawak untuk menjalani latihan industri. Bidang yang diambilnya ialah kejuruteraan. Dia dihantar untuk membuat praktikal di sebuah syarikat minyak. Semasa menjalani latihan, dia menjalankan tugasnya dengan bersungguh-sungguh dan penuh minat. Di situ, dia berkawan baik dengan Sukri. Dia bercerita kepada Sukri bahawa dia akan berehat selepas tamat pengajian nanti. Jika dia menerima tawaran bekerja dari mana-mana syarikat, dia tidak akan menerimanya dengan cepat. Sukri hairan memikirkan sikap Laiman. Kebanyakan pelajar akan memikirkan pekerjaan setelah tamat belajar di universiti, tetapi Laiman hendak berehat. Laiman teringat akan kawannya yang bernama Chow Chin. Pemuda itu belajar di universiti hingga tamat pengajian. Setelah tamat belajar, dia tidak memohon pekerjaan sebaliknya membuka perniagaan kereta terpakai. Kemudian, dia menjadi ejen import eksport. Seterusnya, dia mengusahakan hotel. Kini, Chow Chin sudah menjadi jutawan baharu.
Dalam hidang pekerjaan, Laiman menjadikan Chow Chin sehagai contoh untuk diteladani. Laiman mengetahui bahawa ada juga pemuda yang gagal belajar di pusat pengajian tinggi tetapi berjaya dalam hidup. Pemuda itu bekerja di bengkel kereta milik orang lain, kemudian membuka bengkel sendiri. Laiman tertarik akan pekerjaan yang sedemikian. Pada pandangannya, orang yang berijazah atau tidak berijazah mampu maju dalam hidup jika bijak dan rajin berusaha. Perkara yang paling penting ialah pengalaman, kemahiran, dan kesungguhan. Kesemua perkara tersebut mampu
membawa dirinya ke arah hidup yang lebih terjamin.

Bab 2 : Sesal

Pengurus syarikat minyak tempat Laiman membuat latihan praktikal menyukai Laiman kerana Laiman seorang pekerja yang cekal, cekap, dan bijak. Kecekapan yang ada pada Laiman dikagumi oleh pengurusannya dan juga Syukri. Laiman tidak berbangga diri apabila dipuji. Sukri membawa Laiman ke sebuah restoran, mereka makan tengah hari di situ. Perkara tersebut merupakan tanda penghargaan syarikat kepada Laiman kerana cemerlang ketika melaksanakan tugas. Laiman ditegur oleh seorang gadis bernama Soniah, iaitu rakan sepejabatnya. Mereka berjalan bersama-sama, ditemani adik sepupu Soniah. Mereka berbual-bual tentang tugas yang perlu disiapkan. Mereka membincangkan hal yang berkaitan dengan keuntungan dan kerugian syarikat. Mereka juga berbicara tentang perangai manusia yang suka menjatuhkan seseorang, walaupun orang itu kawan mereka sendiri. Soniah menyebut nama Muluk. Hal itu menyebabkan Laiman ingin mengetahui tentang lelaki itu dengan lebih lanjut tetapi Soniah tidak mahu menceritakan perihal lelaki itu kepada Laiman. Pada anggapan Laiman, Muluk memang bersikap aneh, berlainan daripada kawan-kawannya yang lain. Sebenarnya, Soniah ada sesuatu yang hendak dikatakan kepada Laiman  tentang Muluk. Namun, setelah dia berfikir panjang Soniah bertindak untuk menutup cerita tentang Muluk itu. Walau bagaimanapun, nama Muluk yang disebut oleh Soniah kekal dalam fikiran Laiman. Selesai makan, mereka meninggalkan restoran itu. Setelah berpisah dengan Soniah, Laiman masih teringat akan Muluk. Hatinya masih tertanya-tanya.