Kepada anak didikku di tingkatan 4K dan 4R (2012), mohon teliti soalan di atas. Kalian bolehlah
mengisi masa terluang pada musim cuti persekolahan ini untuk cuba menghasilkan
penulisan yang berkualiti. Patuhi arahan dalam kertas soalan. Tahniah kepada anak didik yang sanggup
menyahut cabaran ini. Siapa berani?
09/12/2012
02/11/2012
Bahagian A : Tanah Runtuh
Latihan
3
Lihat
maklumat di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah
runtuh di negara ini. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.
USAHA-USAHA
MENGELAKKAN
KEJADIAN
TANAH
RUNTUH
{ Penanaman semula
pokok di cerun bukit
{ Mengawal
pembangunan di lereng bukit
{ Sistem
Perparitan yang terancang
{ Penguatkuasaan undang-undang
Jawapan:
Peristiwa tanah
runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh
yang meragut nyawa anak-anak yatim di
Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat
Malaysia. Peristiwa ini menuntut
masyarakat menggunakan akal yang waras untuk mencari
penyelesaian bukan hanya berpolemik di media-media
dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang
terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan
punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah wajar
semua pihak membuka mata serta mengorak langkah bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya,
apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh
di Negara ini?
Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian
tanah runtuh di negara ini ialah
kerajaan perlu melaksanakan penanaman semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang
telah dibangunkan. Usaha murni tersebut
merupakan langkah terbaik untuk
menjaga cerun-cerun dan kawasan yang dibangunkan daripada terdedah kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha
tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa
pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit
ditarah atas nama pembangunan. Hutan
rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan
hutan tanpa kawalan telah melonggarkan
ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan
lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan
menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman
tutup bumi perlu ditanam untuk
menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu
menyekat pergerakan tanah daripada dibawa
aliran air bawah tanah yang
menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau
tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat
pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower
dan Bukit Antarabangsa misalnya, masih lagi menjadi igauan rakyat akibat
tidak mempedulikan cerun yang
lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
Usaha kedua yang dapat dilakukan
untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh ialah kerajaan membina
sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting
untuk membolehkan air hujan dari cerun
bukit mengalir dengan baik dan terus ke longkang
atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga
menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh
mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan
tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng
yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan
struktur tanah di lereng bukit. Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina
di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air
bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur
tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti
berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan tanah runtuh. Rakyat
Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak
yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah
tinggi yang dibangunkan pembangunan
sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu.
jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian
tanah runtuh.
Selain itu, pembangunan yang terancang
juga merupakan usaha yang dapat
dilakukan untuk mengurangkan berlakunya
kejadian tanah runtuh. Kerajaan perlu
mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik
dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi
memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah
bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang
pembangunan tidak dapat dihentikan,
tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena
yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti
perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi
keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina
teres selain menyusun atur tanaman dan
laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji
keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian
tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah
kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu
seperti pemaju perumahan perlu
mewujudkan Pelan Tindakan Kecemasan
untuk bertindak pantas apabila mengesan
tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat
simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang
terancang dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti tanah
runtuh.
Akhirnya sekali, penguatkuasaan undang-undang perlu
dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa. Penguatkuasaan yang tegas dapat mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan
projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”. Penguatkuasaan tanpa “pilih bulu”
dapat mencegah perbuatan yang
tidak bertanggungjawab. Kerajaan perlu
mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal
ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan
hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen
dan konsesi pembalakan perlu disemak
semula. Kelulusan Sijil Menduduki Kediaman
dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar
oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang
ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara
atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan
tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta
Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya,
penguatkuasaan yang tegas dapat memberi
kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan
sosial.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih
mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Usaha semua pihak amat diharapkan agar
kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan
peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang
padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata Chief Seattle
bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita,
sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu
menjaga sesuatu yang kita pinjam agar
kita dapat memulangkan dengan keadaan
yang masih baik.
Bahagian A : Usaha Mewujudkan Perpaduan Kaum
Latihan 2
Bahagian A
[30 markah]
(Masa
dicadangkan : 45 minit)
Lihat maklumat rajah di
bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mewujudkan
perpaduan kaum. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah
perkataan.
USAHA-USAHA
MEWUJUDKAN PERPADUAN KAUM.
{ Peranan
sekolah
{ Rumah
terbuka pada hari perayaan
{ Kepelbagaian
kebudayaan
{ Hari
Keluarga
Malaysia merupakan sebuah negara yang unik kerana
masyarakatnya terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Kaum Melayu, Cina,
India dan rakyat peribumi yang lain dapat hidup dalam keadaan yang aman dan
damai malah saling menghormati. Rakyat Malaysia dapat hidup bersatu padu dan
bekerjasama berdasarkan atas prinsip-prinsip
Rukun Negara. Perpaduan yang wujud ini mampu mengelakkan tragedi 13 Mei
1969 kerana rakyat Malaysia sedar akan pentingnya perpaduan bak kata pepatah “bulat
air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Persoalannnya, apakah
usaha-usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita?
Satu daripada usaha mewujudkan perpaduan kaum di negara kita
adalah peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah. Rakyat harus menyokong
cadangan mewujudkan satu sistem pendidikan berteraskan kebangsaan. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada setiap kaum
dan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar, hal ini mampu membentuk
elemen perpaduan dalam kalangan murid. Apabila murid berbilang kaum di
peringkat awal didedahkan dengan kepelbagaian bangsa dan agama di sekolah
rendah lagi, usaha untuk membentuk satu
masyarakat berbilang kaum yang bersatu padu dapat dilakukan dengan lebih
berkesan. Di sekolah, murid-murid yang berbilang kaum akan berinteraksi,
bergaul , bermain dan sebagainya semasa melakukan aktiviti- aktiviti semasa P
& P ataupun aktiviti kokurikulum. Dengan cara ini, generasi Malaysia yang
lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu mampu dilahirkan. Selain itu,
menerusi sukatan pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan, sifat perpaduan kaum dapat dipupuk dalam kalangan murid.
Jelasnya, generasi muda akan sedar akan peranan mereka untuk mengukuhkan
perpaduan kaum menerusi peranan yang dimainkan oleh pihak sekolah.
Selain itu, rumah terbuka yang diadakan pada hari
perayaan dapat mewujudkan perpaduan kaum di negara kita. Rumah terbuka
bermaksud satu perayaan agama yang disambut oleh penganut pelbagai agama dengan
tujuan untuk memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan
kunjung-mengunjungi ketika merayakan Hari Raya Aildilfitri, Tahun Baru Cina,
Deepavali dan Hari Natal dapat memupuk silaturahim dalam kalangan rakyat yang
berbilang kaum. Semasa menghadiri rumah terbuka, rakyat Malaysia boleh
mengenali adat resam setiap kaum dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana
sikap bertimbang rasa dan saling menghormati antara satu sama lain. Setiap kaum
yang ada di negara kita sedia menerima
adat resam dan budaya kaum lain selain dapat menikmati juadah tradisional
masyarakat mengikut kaum yang ada di Negara kita. Rakan-rakan yang datang berkunjung ke rumah kita bukan sahaja dapat mengeratkan
hubungan sesama kaum tetapi juga dapat
memeriahkan suasana rumah terbuka. Tegasnya, rumah terbuka yang diadakan pada
setiap perayaan dapat memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat.
Di samping itu, perpaduan kaum dalam kalangan rakyat
Malaysia dapat dipupuk menerusi aktiviti hari keluarga. Hari keluarga merupakan
aktiviti yang sihat yang wajar menjadi kemestian sesebuah komuniti. Aktiviti
hari keluarga boleh disertai oleh semua lapisan masyarakat dalam sesebuah taman
atau komuniti untuk mengerattkan hubungan sesama kaum.Hari keluarga boleh
diadakan pada hujung minggu dan boleh dijalankan di kawasan berhampiran tempat
tinggal seperti di padang sekolah, taman rekreasi atau di sesebuah tempat perkelahan.
Ibu bapa boleh membawa anak masing-masing dan menyertai aktiviti yang
dijalankan. Secara tidak langsung, setiap ahli masyarakat dapat mengenali, dan
berkomunikasi dengan jiran tetangga mereka yang selama ini hanya berpeluang
untuk melihat muka tanpa berbual-bual ketika keluar rumah. Jelasnya, aktiviti
hari keluarga yang dijalankan dapat mengeratkan perpaduan dan sekali gus
menjayakan Gagasan 1Malaysia.
Akhir sekali, perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat
dapat diwujudkan menerusi kepelbagaian kebudayaan. Kepelbagaian kaum dan budaya
di Malaysia merupakan aspek yang penting untuk mewujudkan perpaduan. Walaupun
terdiri daripada latar belakang yang berbeza, namun apabila dikaitkan dengan
kebudayaan, semua rakyat boleh menerimanya tanpa wujud prasangka. Apabila
diadakan sesuatu persembahan untuk meraikan hari kebesaran atau menerima
kedatangan orang kenamaan, akan dipersembahkan tarian oleh pelbagai kaum
seperti tarian Zapin dan tarian Inang oleh masyarakat Melayu. Tarian kipas,
tarian singa dan tarian piring oleh masyaraat Cina, Tarian Bharatanatiam dan
Tarian Kollattam oleh masyarakat India. Persembahan kebudayaan yang unik ini
secara tidak langsung dapat menarik
minat pelancong asing yang berkunjung ke negara ini. Tegasnya, kepelbagaian
kebudayaan yang ada di negara kita dapat
mewujudkan perpaduan kaum dan mengenali antara satu sama lain kerana tak kenal
maka tak cinta.
Kesimpulannya, usaha mewujudkan perpaduan kaum perlu diberi penekanan di negara kita kerana
menjadi tonggak kesejahteraan rakyat dan kemakmuran. Oleh itu, semua pihak
perlulah bekerjasama dalam memastikan perpaduan dapat dicapai di negara ini.
Jelasnya, rakyat Malaysia perlulah bersama-sama menjayakan Gagasan 1Malaysia
seperti yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Haji Mohd. Najib
bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. “Bersatu teguh, bercerai
roboh”.
Subscribe to:
Posts (Atom)