04/11/2019
03/11/2019
Penulisan Dimensi Diri & Dimensi Keluarga
Bahan Penulisan daripada pelbagai blog yang masih relevan untuk
persediaan SPM 2019
Latihan
1 : Pelbagai masalah yang timbul dalam keluarga seperti
masalah kewangan, masalah anak-anak dan masalah yang melibatkan ibu bapa itu
sendiri. Keadaan ini menimbulkan stres kepada setiap ahli keluarga.
Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh
setiap ahli keluarga dalam menghadapi tekanan atau stres ke arah melahirkan
keluarga yang bahagia.
Pendahuluan
: Tragedi-tragedi pelik seperti bapa mencurah asid
ke muka anak, suami membunuh isteri di tempat tidur, anak membunuh ahli
keluarga dan pelbagai kerenah dalam keluarga bagaikan menjadi suatu fenomena
dalam masyarakat moden. Masyarakat yang kononnya semakin bijak telah mula
tenggelam punca dan sanggup melakukan tindakan ganas di luar batasan. Pelbagai
krisis yang melanda keluarga telah menjadi anasir peledak sehingga keharmonian
dalam rumah tangga bertukar menjadi neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi
mula melanda keluarga sehingga boleh menimbulkan kesan kemurungan, halunisasi,
dan gila. Memandangkan fenomena ini boleh mengancam kesejahteraan institusi tertua
di dunia itu, pelbagai langkah menanganinya harus diambil dengan seberapa
segera.
Isi
1 : Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu dan kemahiran yang
mencukupi sebelum anak-anak mengharungi alam berumah tangga – anak-anak sudah mempunyai persediaan yang
cukup – dapat menangani segala masalah dengan tenang
Isi
2 : Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan rumah tangga
adalah suatu amanah dan ibadah – menjadi motivasi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni
dan sejahtera
Isi
3 : Memperlengkap ahli keluarga dengan imu pengetahuan dunia dan akhirat – ilmu dunia sebagai alat untuk kesenangan hidup
sementara ilmu agama sebagai pengimbang dan kedamaian batiniah
Isi
4 : Menjalinkan perasaan mesra dan seronok sesama ahli keluarga – mengetepikan perkara-perkara negatif yang
boleh mencetuskan perasaan marah – menikmati kehidupan berkeluarga ibarat
syurga
Isi
5 : Memilih pihak ketiga sebagai pendamai – langkah penyelesaian terakhir sekiranya
masalah terlalu rumit – semua pihak hendaklan mengetepikan ego masing-masing –
menerima hakikat bahawa bukan semua masalah harus diselesaikan bersendirian
Kesimpulan
: Fenomena semasa yang semakin mencabar secara
tidak langsung boleh mempengaruhi mod dan emosi seseorang. Oleh itu, jikalau
darah sudah mengalir ke mata, justeru padahnya terlalu besar. Jangan dibiarkan
dendam yang membara, sebaliknya setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan
hemah dan pemikiran yang positif. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan
ibarat, hendak seribu daya tidak mau seribu helah.
********
Latihan
2 : Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama
ahli keluarga dapat membentuk keluarga yang penyayang.
Berikan pandangan anda tentang peranan ahli
keluarga dalam melahirkan keluarga yang harmoni dan penyayang.
Pendahuluan
: Kalangan bijaksana berpendapat bahawa, rumah
ialah syurga kepada kehidupan dan ada kalanya menjadi neraka. Pengertian
daripada pendapat tersebut menerangkan bahawa, rumahtangga menjadi nukleus
utama yang dapat membentuk keluarga yang bahagia mahupun di sebaliknya. Pelopor
paling penting untuk melahirkan sebuah keluarga harmoni dan bermawadah tentulah
ibu bapa. Elok corak yang dilakari nescaya eloklah keluarga yang dibina. Oleh
itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi mencorakkan sebuah
rumahtangga yang dilingkungi oleh rahmat dan kasih sayang. Walau bagaimanapun,
sokongan daripada anak-anak dan seluruh ahli keluarga amat penting juga dalam
melahirkan sebuah keluarga yang penyayang
Isi
1 : Menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan seperti ini sentiasa berfikiran positif
dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk kecenderungan untuk
hidup yang diredai di dunia mahupun akhirat
Isi
2 : Mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada
anak-anak – anak-anak yang
diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat dan saling
menyokong
Isi
3 : Berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan persekitaran rumah tangga yang
harmoni, sepakat, dan memperoleh berkat
Isi
4 : Anak-anak perlu patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang dengan sikap anak-anak yang
mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi
Isi
5 : Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara hidup yang
bermasyarakat dengan jalinan kasih sayang
Kesimpulan
: Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk
membentuk insan penyayang lagi cemerlang. Keluarga yang porak peranda memberi
impak negatif kepada masyarakat setempat. Oleh itu, persefahaman yang wujud
dalam kalangan ahli keluarga dapat membentuk masyarakat madani yang kompeten
dan harmoni.
********
Latihan
3 : Aktiviti riadah dan
rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan
hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan badan.
Ulas pernyataan di atas.
Pendahuluan
: Kehidupan pada
hari ini sungguh mencabar. Pelbagai cabaran yang mewarnai kehidupan kita.
Bermula dengan cabaran di dalam rumah tangga hinggalah cabaran di tempat kerja.
Pelbagai masalah yang kadang-kadang boleh memisahkan insan-insan tersayang.
Memandangkan kesibukan telah menjadi penghalang ikatan kasih sayang dalam
keluarga, justeru kesempatan mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi
bersama-sama keluarga amatlah digalakkan. Hal demikian bukan sahaja dapat
mengeratkan hubungan keluarga semula, malahan dapat mengekalkan kesihatan dan
kecergasan tubuh badan. Oleh hal yang demikian, setiap peluang keemasan untuk
bersama-sama keluarga beriadah dan berekreasi hendaklah diisi dengan sebaik
mungkin.
Isi
1 : Dapat mengikat tautan keluarga agar lebih rapat – wujud sikap saling menolong dan saling
menyokong.
Isi
2 : Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang secara santai –
melupakan sejenak masalah dalam rumah tangga dan masalah di tempat kerja –
menyihatkan minda dan mengembalikan tenaga
Isi
3 : Dapat menikmati keindahan dan kesaujanaan alam secara bersama –
bersama-sama mensyukuri akan rahmat Tuhan – saling bermuhasabah dan membuat
koreksi peribadi
Isi
4 : Berkongsi pendapat menyelesaikan masalah – apabila berhadapan dengan cabaran dalam masa
aktiviti (dalam aktiviti riadah) – saling menguji ketahanan, kekuatan dan
ketabahan
Isi
5 : Aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti hidup – kesihatan fizikal dan mental – ketenangan dan
keseimbangan emosi – melahirkan zuriat yang sihat – cergas fizikal dan cerdas
minda
Kesimpulan
: Keluarga ialah harta dan dalam masa yang sama
menjadi teman penghibur serta menyejukkan jiwa yang lara. Oleh itu,
kesinambungan keluarga yang sihat, aktif dan harmoni hendaklah dilestarikan
agar hidup sentiasa riang dilingkungi oleh keluarga yang bahagia dan harmoni.
********
Latihan
4 : Peranan membentuk keluarga
bahagia tidak hanya terletak di atas bahu ibu bapa
sahaja, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga.
Tulis pendapat anda tentang peranan ahli keluarga
untuk membentuk keluarga yang bahagia.
Pendahuluan
: “Air
dicencang tidak akan putus, dan
carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada
peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan
rapat yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan.
Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak
akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada
pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk
keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam
keluarga.
Isi
1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli
keluarga - keluarga sebagai
punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri
sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah
Isi
2 : Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama
ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik
- membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran -
meletakkan asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan tingkah laku yang baik -
mengutamakan prinsip yang muda disayangi dan yang tua dihormati
isi
3 : Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri –
membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai
langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat
jalinan kasih dalam kalangan adik-beradik
Isi
4: Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun
selepas berkahwin - tidak
terputus silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni,
produktif, dan toleran
Kesimpulan
: Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran
dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman!
Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah dan
janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan
sebanyak-banyaknya”. Dengan yang demikian, jalinlah kasih syang dan silaturahim
demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.
*
jika soalan berkaitan peranan anda (dimensi diri), gunalah kata ganti
diri saya.
********
Latihan
5 : “Ke manakah tumpahnya kuah
jikalau tidak ke nasi”.
Tulis sebuah karangan berhubung dengan peribahasa
tersebut.
Pendahuluan
: Kehidupan berkeluarga telah mendominasi
dunia sejak dari manusia mula mengenal keperluan terhadap pasangannya.
Institusi keluarga merupakan komuniti sosial yang paling tua di dunia dan mampu
bertahan hingga ke hari ini. Daripada sebuah keluarga akhirnya berkembanglah
zuriat. Zuriat yang lahir akan meneruskan tradisi warisan keluarga dan
keturunan. Atas faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan
mewarisi tampang fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada
pewarisan zuriat yang turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan,
ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi.
Isi 1 : Anak sudah pasti mewarisi pembawaan
serta bentuk rupa paras daripada ibu bapa -
sekiranya
ibu bapa memiliki ciri-ciri personaliti yang baik, justeru anak-anak pun
demikian - anak-anak dikatakan pancaran daripada ibu bapa - anak-anak perlu
menuruti semua acuan yang baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa
Isi
2 : Pembentukan sahsiah dan perwatakan anak-anak akan bermula di rumah
- anak-anak akan mewarisi segala tingkah laku dan tindak
tanduk ibu bapa - budaya dan iklim dalam keluarga bakal mewarnai setiap
tindakan anak-anak
Isi
3 : Bakat besar yang ada kepada bapa atau ibu hendaklah diwarisi oleh
anak-anak – anak-anak
hendaklah menjadi ikon baik ibu bapa – teladan daripada ramai pemimpin dunia
yang bakat mereka diwarisi oleh anak-anak – anak-anak mesti mempertahankan imej
baik yang telah ditunjukkan oleh ibu bapa
Isi
3 : Anak-anak hendaklah bersikap terbuka untuk menerima segala bimbingan
daripada ibu bapa - anak
diibaratkan seperti sehelai kain putih semasa lahirnya, terletaklah kepada ibu
bapa untuk menentukan corak dan warnanya - amalkan sikap melentur buluh biarlah
semasa rebungnya – ibu bapa telah lama hidup dan banyak pengalaman yang
sewajarnya dituruti oleh anak-anak
Isi
5 : Turunan bakat yang dimiliki oleh ibu bapa perlu diwarisi oleh
anak-anak – anak-anak
wajar berbangga kerana bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa – cuba
suburkan turunan bakat (seni kraftangan, bidang seni lukis, seni tari. memasak
dan ketukangan) yang diwarisi secara turunan generasi – peribahasa ke mana
tumpah kuah kalau tidak ke nasi
Kesimpulan
: Baka dan keturunan adalah suatu kejadian
Allah yang paling unik. Tiada sesiapapun yang mampu mengubah suai ciptaan Tuhan
yang sungguh agung itu. Oleh yang demikian, kita sewajarnya menjaga zuriat dan
keturunan daripada tercemar daripada pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan
darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang rapat antara ibu bapa dan
anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan yang baik terus produktif,
ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.
********
Latihan
6 : Harapan ibu bapa terhadap anak-anak amatlah besar. Walau
bagaimanapun terdapat kes-kes seperti kacang melupakan kulit.
Pada pendapat anda, mengapakah wujud anak-anak yang
bersikap demikian.
Pendahuluan
: Alam berumah tangga menjadi cukup berseri
dengan kehadiran cahaya mata. Si ibu dan si ayah akan segera mencapai
kematangan dan mula mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan si anugerah
daripada Tuhan itu. Itulah anak yang menjadi harapan kepada ibu bapa sama ada
di dunia mahupun di akhirat. Berbahagialah kedua-dua ibu bapa sekiranya anak
yang dilahirkan menjadi insan soleh, cemerlang dan tidak tersasar daripada asal
usul. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga ibu bapa yang terpaksa menempuh
hari-hari emas mereka akibat dipinggirkan oleh anak-anak yang tidak berhati
perut umpama kacang lupakan kulit. Sebenarnya, banyak faktor yang boleh
dijustifikasikan sehingga wujud anak-anak seumpama itu.
Isi
1 : Anak-anak yang cepat lupa daratan – lupa asal usul lalu menjadi anak derhaka –
tidak mahu berkorban untuk ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka
Isi
2 : Anak-anak tidak mempedulikan halal haram – jahil agama – tidak menghayati balasan syurga
adalah dengan reda ibu bapa
Isi
3 : Anak pascamoden yang terlalu leka dengan kebendaan – mengejar keselesaan dunia – menganggap ibu bapa
sebagai beban – sengaja membiarkan ibu bapa menderita di desa pedalaman yang
daif
Isi
4 : Sikap ibu bapa sendiri – segelintir ibu bapa yang tidak mempedulikan
tanggungjawab terhadap anak-anak – lalai dengan keseronokan – tidak sedar akan
nasib pada hari itua
Isi
5 : Masalah kebobrokan dan rumah tangga ibu bapa yang berantakan – berlaku perceraian – anak-anak hidup terbiar
dan melarat – anak-anak membawa haluan masing-masing – hilang mawaddah terhadap
ibu bapa.
Kesimpulan
: Sudah menjadi resam dunia, hidup ibarat putaran
roda. Demikianlah tentang hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Andai ibu bapa
melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas terhadap anak-anak, insya-Allah
balasnya akan baik juga. Malang sekali keadaan yang berlaku adalah amat
berbeza. Oleh itu, antara ibu bapa dan anak-anak seyogia laksanakan
tanggungjawab masing-masing semoga hidup memperoleh rahmat daripada Allah
SWT.
********
Soalan
7 : Ramai remaja pada hari ini yang bertindak di luar
batasan sehingga memalukan ibu bapa. Perbuatan tersebut telah
menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada ibu bapa.
Bincangkan.
Pendahuluan
: Belakangan ini, pelbagai isu yang
melibatkan remaja sering menjadi topik perdebatan utama. Sama ada di dada-dada
akhbar mahupun yang terpancar melalui kaca televisyen, isu panas yang berkaitan
tingkah laku remaja tetap menjadi sajian yang meloyakan. Cerita-cerita tentang
pergaulan bebas, merempit dan melepak, menagih dan jenayah semakin meningkat
hari demi hari. Sementara itu, ibu bapa terpaksa menanggung malu
akibat tidak tertahan dengan gelagat anak-anak. Adakah mereka tidak dididik
dengan sempurna? Ke manakah pergi ibu bapa mereka? Sebenarnya, soalan-soalan
seumpama itu terlalu acap kita dengar. Walau bagaimanapun, amatlah tidak adil
untuk menyalahkan ibu bapa semata-mata kerana tindakan keji anak-anak muda hari
ini sudah keterlaluan dan turut memalukan induk sendiri.
Isi
1 : Ibu bapa menderita dan sedih kerana menanggung malu – kecewa apabila anak yang dididik dan dibelai semasa
kecil telah menconteng arang ke muka mereka – melakukan pelbagai perbuatan keji
dan lupa daratan
Isi
2 : Ibu bapa disisih dan dipandang serong oleh masyarakat – berdepan dengan pelbagai tuduhan (tidak pandai
mengajar anak dan menyusahkan masyarakat) – mengalami masalah untuk
berinteraksi dan bercampur gaul dalam masyarakat
Isi
3 : Ibu bapa mengalami kesan trauma dan fobia dengan tindakan ganas
oleh anak-anak – berlaku
kes anak yang menagih dadah mencekik dan memukul ibu – takut situasi sama
berulang
Isi
4 : Ibu bapa dipanggil ke balai polis – diminta mengikat jamin anak yang terlibat
dengan perbuatan jenayah – mengalami tekanan perasaan dan malu
Isi
5 : Hilang tempat bergantung – menghadapi hari-hari tua yang hambar, takut
dan mengecewakan – menghembuskan nafas yang terakhir dalam kekecewaan
(ditamsilkan mati pejam tidak rapat)
Kesimpulan
: Alangkah bahagianya bagi seseorang ibu
atau bapa yang pada saat-saat akhir perjalanan mereka dikelilingi oleh
anak-anak dan cucu. Ada bacaan ayat-ayat suci mahupun doa yang ditiupkan di
sisi telinga oleh anak-anak yang soleh. Namun, malang sekali nasib sebilangan
ibu bapa yang terpaksa manelan kepahitan akibat perbuatan anak-anak yang tidak
bertanggungjawab. Oleh itu, wahai para remaja andai sesat di hujung jalan
baliklah ke pangkal jalan.
********
Latihan
8 : Anak-anak remaja hari ini dikatakan
sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan amalan ke dapur telah menjadi warisan
turun-temurun.
Bincangkan pendapat anda tentang peranan ibu bapa
untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam kalangan anak-anak.
Pendahuluan
: Menghayati lirik lagu klasik yang berbunyi,
“Anak dara kalau menyanyi di dapur, alamat mendapat suami tua”. Walaupun
kata-kata tersebut agak sinis untuk menasihati anak-anak gadis supaya lebih
bersopan, namun di sebalik kata-kata tersebut mengandung hakikat bahawa
anak-anak perempuan sangat sinonim dengan kerja-kerja di dapur terutama
memasak. Sejak fasa silam lagi nilai diri seseorang turut diukur berdasarkan
kecekapannya menguruskan hal-hal di dapur. Sebaliknya, selepas melalui beberapa
peringkat pemodenan, anak remaja sama ada perempuan atau lelaki amat liat untuk
ke dapur. Fenomena ini jelas menunjukkan gejala ketandusan budaya tradisional.
Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun ini pupus ditelan arus pemodenan, ibu
bapa hendaklah memainkan peranan hakiki untuk melatih anak-anak agar mesra ke
dapur.
Isi
1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah – rumah sebagai paksi membentuk peribadi
anak-anak - ibu bapa hendaklah membudayakan amalan tradisional – membiasakan
anak-anak dengan latihan memasak, mengemas rumah – ibu bapa hendaklah menjadi
role model dan kepimpinan melalui teladan – memanfaatkan cuti sekolah untuk
melatih anak-anak
Isi
2 : Kurangkan tabiat suka makan di luar – anak-anak berasa tiada keperluan untuk masuk
ke dapur – tiada peluang untuk mendidik anak-anak secara formal
Isi
3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang – ketika semua ahli keluarga bertemu – ibu
hendaklah mengajak anak-anak masuk ke dapur – anak-anak perlu belajar dan
membantu si ibu di dapur – memberi peluang anak-anak mencuba resipi mereka –
anggota keluarga hendaklah memberikan kerjasama dan memberi penghargaan
Isi
4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin – dengan disiplin anak-anak mudah menerima
tunjuk ajar - setiap anak hendaklah diberikan tugas yang sepadan – tidak wajar
ada yang terlalu berat tugasan dan ada yang berehat panjang (menunggu makanan
terhidang ke lutut
Isi
5 : Memberi motivasi kepada anak-anak – anak-anak perlu diberikan semangat dan
dorongan dari awal - menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan rumah
tangga (majalah Anjung Seri, Majalah Laman, Saji, Didik, Muslimah dan pelbagai
bentuk perisian CD/DVD) – membuka minda anak-anak mengikuti teladan daripada
ikon keluarga yang berjaya
Kesimpulan : Pepatah Melayu yang menyatakan, anak gadis
walau setinggi mana sekalipun ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa konotasi
yang negatif. Sebaliknya, maksud yang tersirat adalah untuk mengilhamkan setiap
individu akan kepentingan menghidupkan suasana kekeluargaan yang harmoni dan
jannati. Seyogia, sebelum tradisi dan budaya murni ini luput, wajarlah semua
pihak terutama ibu bapa mendidik anak-anak semula ke landasan yang betul.
********
Latihan
9 : Keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan amalan gaya hidup
sihat.
Beri pendapat anda.
Pendahuluan
: Gejala serangan pelbagai penyakit yang
menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan ini amat dibimbangi oleh warga
dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai
penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan
ini. Selain wabak yang berskala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang
bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu
masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO dan
kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani ancaman gejala penyakit,
namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak sentiasa
prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai keutamaan.
Inisiatif seperti itu hendaklah turut disokong oleh institusi
keluarga selaku penggerak utama pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.
Isi-isi
cadangan : (Peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga)
Isi 1: Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan penting
setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai suatu
budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada
mengubati.
Isi 2: Memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat
berkait rapat dengan kedudukan kewangan untuk menangani segala keperluan asas
Isi 3: Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam keluarga – keutamaan
kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – bahan bacaan, kempen, dan amalan
harian
Isi 4: Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada makan untuk
kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan dalam piramid
makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal (berpegang kepada
falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang baik dan
berkhasiat)
Isi 5: Mengamalkan rutin kesihatan – tidur yang cukup. Senaman
yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadapa segala serangan penyakit.
Isi 6: Peka terhadap kejahteraan dan kebersihan alam sekitar –
berpegang kepada kesejahteraan alam sebagai penjanan hidup sihat.
Isi 7: Peka terhadap keperluan masyarakat dan negara – masyarakat
yang harmoni negara dan jaya dan hidup sejahtera..
Kesimpulan
: Mafhum daripada sepotong Hadith Nabi yang
bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa
sakit” benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan merupakan
aset besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan tamadun. Dalam
merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga hendaklah menjadi
paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup sihat yang sentiasa
dicanang-canangkan.
********
Latihan
10 : Keluarga sepatutnya menjadi institusi
yang selamat. Namun begitu kejadian penderaan kanak-kanak oleh ahli keluarga
masih berleluasa.
Berikan saranan anda tentang peranan institusi
keluarga bagi membanteras gejala ini.
Pendahuluan
: Anak sebagai amanah Allah. Anak juga
sebagai anugerah kerana terdapat orang yang tertentu yang terlalu berhajatkan
kepada anak tidak diberikan zuriat, sebaliknya ada pula yang memiliki terlalu
ramai anak sehingga tidak terjaga. Anak-anak yang dibela jaga dengan baik akan
menjadi penyeri dalam kebahagiaan rumah tangga. Anak juga menjadi sumber
motivasi untuk ibu dan bapa berusaha dengan lebih gigih untuk membahagiakan
rumah tangga yang dibina. Alangkah rukun damainya sesebuah rumah tangga apabila
dikurniakan anak. Namun belakangan ini entah apalah yang telah merasuk
sebahagian kecil manusia sehingga mereka tergamak mendera, mencederakan, malah
ada yang sanggup membunuh darah daging sendiri. Seandainya fenomena ini tidak
ditangani segera, dibimbangi banyak lagi insiden yang di luar jangkaan akan
berlaku. Dalam hal ini institusi keluargalah yang lebih diberikan peranan untuk
membanteras gejala pagan seperti itu agar tidak melarat.
(langkah-langkah
membanteras)
Isi
1: Mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan matlamat
membina sesebuah keluarga
Isi
2: Membina kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota keluarga
bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak-anak kecil – menjadikan kehadiran seseorang bayi sebagai
penambat kasih sayang – setiap anggota dalam keluarga faham akan tanggungjawab
masing-masing
Isi
3: Mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan – setiap pasangan dikehendaki menghayati
betul-betul kemahiran tersebut sebelum boleh mendirikan rumahtangga – ilmu yang
meliputi persediaan mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan dengan insan
kecil
Isi
4: Menghayati ilmu agama dan pendidikan moral yang sempurna – kesedaran terhadap tanggunjawab agama dan
ketuhanan boleh mencegah manusia mudah dirasuk syaitan – penghayatan moral
membolehkan seseorang menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai
sejagat
Isi
5: Mendidik sifat prihatin dan sensitif ahli keluarga terhadap
keselamatan kanak-kanak –
tidak memberikan kesempatan ahli keluarga yang lain terus menerus mendera –
mengambil tindakan pantas mencegah, melapor, dan menyelamatkan kanak-kanak yang
didera.
Isi
6: Memperkukuh jalinan kejiranan – setiap anggota keluarga hendaklah dididik
supaya menghormati jiran – jiran yang rapat dapat membantu dalam segala
tindakan sama ada susah atau senang.
Kesimpulan
: Sesungguhnya keluarga merupakan nukleus
untuk melahirkan insan madani yang mampu memberikan sumbangan berguna kepada
masyarakat dan negara. Kejayaan sesebuah negara adalah bergantung penuh
kepada modal insan yang cemerlang sama ada dalam aspek mental mahupun fizikal.
Oleh yang demikian, keluarga amatlah bertanggungjawab untuk menghalang segala anasir
yang mendorong kepada gejala penderaan agar masyarakat terus harmoni
dan negara sejahtera.
********
Latihan
11 : Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha
mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga.
Tulis pendapat anda tentang langkah-langkah hemat
berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak.
Pendahuluan
: Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang
tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga terlalu getir. Kegetiran
tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan
mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan
makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia
masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara
pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita.
Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun amaran seperti itu perlu
diambil serius agar dapat menyediakan payung sebelum hujan. Bagi mendepani
keadaan darurat seperti itu, setiap ahli keluarga haruslah mempunyai pelan
tersendiri untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa krisis seperti itu.
Isi
1 : Mengamalkan latihan berjimat cermat
- amalan yang harus dipupuk sejak kecil - memupuk nilai-nilai murni
dalam keluarga seperti menyayangi harta benda, berbelanja secara berhemat, dan
menjauhi amalan boros
Isi
2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan - penyimpanan melalui institusi kewangan dan pelaburan
saham - berjimat cermat sewaktu senang dengan memperuntukkan lebihan belanja untuk
simpanan – hayati budaya masyarakat silam menyimpan wang di dalam tabung buluh
Isi
3 : Anak-anak hendaklah memahami kemampuan ibu bapa - tidak meminta-minta sesuatu yang berlebih-lebihan -
tidak melampau dan meniru cara hidup rakan-rakan di luar
Isi
4 : Tidak terlalu terpengaruh dengan umpan kebendaan dan berbelanja di luar
kemampuan - keinginan
untuk hidup bergaya melebihi kemampuan - cepat terpengaruh dengan pelbagai
iklan dan pujukan atau tawaran jualan
Isi
5 : Tidak terpengaruh dengan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk -elakkan sifat meninggi diri mahu bersaing dengan jiran
dan tetangga
Sampel
kesimpulan : Pendidikan
daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis
amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap
yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa
menanggung beban terutama dalam krisis gawat seperti ini. Janganlah
sudah terhantuk baru hendak menengadah. Oleh itu, rancanglah strategi perbelanjaan
secara berhemat dalam erti kata hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa
bertabur urai.
********
Latihan
12 : Setiap anak menjadi harapan keluarga. Menyedari hakikat
tersebut, anak-anak harus mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab
terhadap keluarga.
Tulis persediaan-persediaan yang perlu anak-anak
lakukan.
Pendahuluan
: Anak-anak ialah cahaya mata yang menjadi
buah hati pengarang jantung kepada kedua-dua ibu dan ayah. Dengan kelahiran
seseorang anak, kehidupan ibu dan bapa menjadi lengkap dan sempurna. Apatah
lagi apabila anak yang dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta menjadi
insan yang berguna. Sebagai anak-anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka
hendaklah bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung.
Elakkan daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa kerana
dosa yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap
anak dituntut membuat persediaan sama ada mental, fizikal dan sahsiah yang baik
agar harapan ibu bapa terutama apabila menjelang usia emas mereka
tidak dikecewakan.
Isi
1 : Menjadi anak yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT – insan yang bertakwa sentiasa melakukan
kerja-kerja yang baik seperti menghormati ibu bapa – tidak melakukan
kerja-kerja yang terkutuk yang boleh menjejaskan maruah ibu bapa
Isi
2 : Menjadi anak yang luhur pekerti dan bermoral tinggi – pekerti dan moral menjadi piawai seseorang itu
dipandang mulia – tidak mudah terjebak dalam angkara yang merosakkan masa depan
– menjadi imej (pancaran) hati nurani ibu bapa
Isi
3 : Berusaha dengan gigih demi jaminan masa depan – mengisi dada dengan ilmu, mempelajari pelbagai
kemahiran sebagai jaminan memperoleh kerjaya yang baik – bercita-cita membalas
budi ibu bapa
Isi
4 : Menjalinkan hubungan mesra dan mawaddah dengan adik-beradik dan
kaum keluarga –
mewujudkan keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek
material mahupun moral
Isi
5 : Bercita-cita menjaga ibu bapa apabila tiba saat-saat akhir
mereka – maksud daripada firman Allah, “Akan gugur dosa
seseorang anak apabila dia dengan ikhlas menjaga ibu dan bapanya hingga ke
akhir hayat” - tindakan membalas budi ibu bapa yang amat besar
nilainya di sisi Tuhan.
Kesimpulan
: Meminjam kata-kata daripada orang-orang
lama bahawa, betapa kasihnya seseorang ibu kepada anaknya hatta seekor lalat
pun tidak dibenarkan hinggap ke tubuh si anak. Demikianlah pengorbanan besar
ibu bapa terhadap seseorang anak. Oleh itu, sikap yang sama wajar dikembalikan
oleh anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa yang melahirkan dan
membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang gantinya sebatang sungai
emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah untuk menjadi seorang
anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat mereka bergantung.
********
Latihan
13 : Sokongan daripada anak-anak amat penting dalam usaha mewujudkan
persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria.
Bincangkan pendapat anda tentang sumbangan yang
boleh anak-anak berikan untuk mencapai matlamat di atas.
Pendahuluan
: Keluarga bahagia adalah menjadi impian
semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua ibu bapa. Namun
demikian, tidak semua hasrat tersebut mencapai matlamat. Ada yang kecundang dan
terbentur di tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa menyimpan
hasrat yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu membalas
budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat
keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah berperanan penting
untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang bahagia dan kondusif.
Isi
1 : Patuh dan hormat kepada kedua-dua ibu bapa – tidak melawan dan menyanggah cakap ibu bapa –
tunaikan dan penuhi segala hasrat mereka – tidak melakukan aktiviti yang boleh
menyekitkan hati ibu bapa
Isi
2 : Menjalinkan hubungan yang akrab sesama anggota keluarga – bercakap secara hormat dan lemah lembut sesama
saudara mara – tidak bersikap ego dan mementingkan diri sendiri
Isi
3 : Merancangkan perjumpaan keluarga secara berkala – bersama-sama pulang ke induk – kesempatan pada
cuti hujung minggu, cuti am, dan musim perayaan – menganjurkan aktiviti mesra
keluarga seperti makan bersama-sama
Isi
4 : Mengadakan program fizikal dan kerohanian secara bersama – aktiviti riadah, gotong royong dan solat
berjemaah – ziarah
Isi
5 : Menjalinkan hubungan persaudaraan dengan sanak saudara sama ada
di sebelah ibu mahupun bapa – memperluas rangkaian kaum keluarga – membantu yang memerlukan dan
menyokong usaha memajukan tabung ekonomi keluarga
Kesimpulan
: Keluarga bahagia merupakan teras
masyarakat yang maju dan harmoni. Masyarakat yang harmoni dan dinamik bermula
daripada sistem keluarga yang teratur dan sejahtera. Oleh itu, setiap keluarga
sama ada keluarga nukleus mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan
kehidupan yang saling menyokong dan bertoleransi.
********
Latihan
14 : Anda telah memenangi peraduan menulis
esei yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di tempat anda. Tajuk
esei yang anda pilih ialah, “Permata Hatiku Sayang”.
Tulis esei tentang siapakah anak yang dikatakan
Permata Hati?
Pendahuluan
: Anak adalah menjadi buah hati pengarang
jantung kepada ibu bapa. Anak sebagai anugerah yang bakal menyerikan kehidupan
berumah tangga. Disebabkan kehadiran mereka terlalu bermakna kepada kedua-dua
ibu bapa, justeru anak digelar cahaya mata. Anak yang dibelai dengan penuh kasih
sayang serta diberikan ilmu pengetahuan mampu menjadi insan yang berguna.
Mereka pasti menjadi anak-anak yang pandai membalas budi ibu bapa. Sebenarnya,
inilah anak-anak yang menjadi impian ibu bapa dan disebut permata hati.
Isi
1 : Anak yang patuh akan perintah Allah SWT dan menyayangi ibu bapa
- sentiasa taat akan perintah Allah – meninggalkan
perkara-perkara yang dilarang dan melaksanakan segala perintah yang
baik – sntiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa
Isi
2 : Anak-anak yang bermotivasi tinggi – berazam mahu mencapai kejayaan di
hari muka – gigih berusaha
dan belajar – ingin membalas jasa ibu bapa dengan menghadiahi mereka kejayaan
Isi
3 : Anak yang cemerlang akhlak dan moralnya – sentiasa menjaga nama baik
keluarga – berhati-hati
dalam sebarang tindakan dan kelakuan – tidak mahu maruah ibu bapa tercemar –
hormat akan orang tua, kaum keluarga dan jiran tetangga
Isi
4 : Anak yang ikhlas mahu mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa yang
telah tua dan uzur - mengambil peluang untuk membalas jasa ibu bapa ketika mereka sangat
memerlukan kehadiran anak-anak – faham akan tuntutan bahawa semua dosa anak
terhadap ibu bapanya akan terhapus apabila si ibu atau bapa mati di bawah
jagaan anak tersebut
Kesimpulan
: Mafhum daripada sepotong Hadith Rasulullah
dengan maksudnya, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah
segala amal baiknya, kecuali tiga yang masih tinggal. Ketiga-tiga yang tersebut
ialah sedekah kepada golongan yang memerlukan, ilmu yang bermanfaat yang
diajarkan, dan anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu
bapa mereka”. Demikianlah betapa besarnya erti kehadiran anak-anak sama ada
semasa hidup mahupun setelah mati.
********
Latihan
15 : Keharmonian dalam rumah tangga dapat diwujudkan
daripada sikap yang baik dalam kalangan anak-anak.
Bincangkan
sikap yang perlu ada kepada anak-anak bagi melahirkan sebuah keluarga yang
harmoni
ISI-ISI
UTAMA (IU)
· Anak-anak
yang mulia budi pekerti dan bermoral tinggi
· Anak-anak
yang bersikap ringan tulang
· Anak-anak
yang patuh kepada perintah agama dan taat kepada ibu bapa
· Anak-anak
yang bersedia mengambil tanggungjawab
· Anak-anak
yang saling bertoleransi
Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang.
Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga. Mengimpikan sebuah
keluarga yang bahagia dan harmoni memanglah lunak dan muluk, namun tidak
semudah seperti yang dihasratkan. Realitinya, banyak institusi keluarga yang
kecundang dan terbentur ditelan gelombang. Oleh itu, selain ibu bapa, anak-anak
turut berperanan untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga. Oleh
yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak
haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina
menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera.
Prakarsa yang paling prima ialah anak-anak hendaklah
menjadi seorang insan yang patuh kepada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini
demikian kerana sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun
budaya. Oleh itu, jadilah anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada
ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan
akhirat adalah atas redha ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah
Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani
. Sesungguhnya, inilah watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan
keharmonian dalam rumah tangga selaras dengan slogan “Rumahku Syurgaku”.
Selain itu, anak-anak yang baik adalah yang mulia budi
pekerti dan bermoral tinggi. Budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian
peribadi. Elok pekerti nescaya terserlah nilai insani. Sewajarnya, anak-anak
haruslah mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al
Ghazali, “Hendak mengenal diri lihatlah pada cermin, hendak mengenal
peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan
kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita.
Hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda
disayangi. Seandainya, karektor seperti ini kekal diperkasakan, insya-Allah
lahirlah sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar
bayang yang jernih.
Sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada
sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang
harmoni. Anak-anak seperti ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun
penat lelah dalam memberi khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat
peka terhadap segala kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat
dirasa oleh semua ahli keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila
anak-anak seperti ini dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang
wajar ditunjukkan oleh anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di
samping mengikat hubungan mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai
anak, ingatlah akan kelahiran kita ke dunia adalah atas limpahan darah, peluh
dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang demikian, balasi ibu bapa dengan
sikap ringan tulang demi sebuah keluarga yang harmoni dan prihatin.
Resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai
waktu ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil
giliran. Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk
mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga,
menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama
keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai
murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan
terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka
menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada
daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat
buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu, sebagai anak yang baik
bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan keluarga.
Bertolak
ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resipi untuk melahirkan sebuah
keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak
wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga lebih aman dan tenteram.
Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling
menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap
kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama
adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang
perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit
paha kiri paha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun,
carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik
ibarat air dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga
bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah
manusia ini agar terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh
mawaddah.
Sesungguhnya,
keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap penyayang
ibu bapa dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak menjadi wadah
utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak, berilah
sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Ingatlah pada
pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.
Catatan:
*
Sumber bahan daripada blog http://ishakmdshah.blogspot.com/
(Terima kasih)
*
Dimensi keluarga di atas boleh juga diubah suai menjadi dimensi diri
Subscribe to:
Posts (Atom)