16/10/2018

CERAMAH : DADAH MUSUH NEGARA


Selaku aktivis dalam Agensi  Anti Dadah Kebangsaan (AADK), anda telah dijemput untuk menyampaikan ceramah kepada sekumpulan remaja. Tajuk ceramah anda ialah, “Dadah Musuh Negara : Peranginya Habis-habisan”.
Tulis teks ceramah anda selengkapnya.

Assalamualaikum dan salam muhibah,
Terima kasih kepada Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berbahagia Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Desa, Yang dihormati ketua-ketua masyarakat, dan seterusnya para remaja yang dikasihi sekalian.
Peribahasa Melayu selalu menyatakan, ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis. Peribahasa ini menjadi menjadi sumber nasihat agar masyarakat sentiasa berwaspada terhadap sesuatu anasir yang boleh menimbulkan pelbagai implikasi negatif kepada kehidupan. Dadah ialah anasir paling berbahaya dalam masyarakat yang seyogianya kita jauhi malah perlu diperangi habis-habisan.

Hadirin sekalian,
Kita sering mendengar sindiran orang tua-tua, “Jikalau rosak kerana perempuan habis tenaga berhenti, jikalau rosak kerana berjudi habis wang berhenti, dan jikalau rosak kerana mencuri lepas tertangkap berhenti. Sebaliknya, jikalau seseorang itu rosak dengan mengambil dadah, tempat terakhir ialah mati”. Sesungguhnya, atas rasa tanggungjawab tersebutlah saya mengambil amanah ini demi kepentingan masyarakat betapa perlunya kita menyedari bahayanya ancaman dadah terhadap masyarakat. Justeru, saya amat berterima kasih atas keprihatinan semua pihak untuk memerangi gejala najis dadah ini. Dengan hal yang demikian, bersempena dengan peluang yang keemasan ini, saya akan menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dadah dalam definisi yang mudah ialah sejenis candu. Candu tersebut telah diproses untuk digunakan sebagai sumber pelali dan penahan sakit dalam amalan perubatan pada zaman silam. Walau bagaimanapun, dengan pengaruh teknologi dan kemajuan dalam bidang farmaseutikal pelbagai bentuk dadah dihasilkan. Antaranya adalah untuk perdagangan dalam teknologi ubat-ubatan. Walau bagaimanapun, akibat penggunaan yang berlebih-lebihan, fungsi dadah sebagai bahan pelali telah disalahgunakan sehingga mengakibatkan gian atau ketagih yang keterlaluan. Akhirnya dadah dalam bentuk morfim, heroin, marijuana, syabu, dan ekstasi telah menjadi sumber khayal yang amat diperlukan oleh penagih tegar. Disebabkan kandungan kafien dan narkotina yang tinggi kandungan dadah yang berlebihan dalam darah telah bertukar menjadi racun dan membahayakan penggunanya.

Remaja yang dikasihi sekalian,
Pada hari ini dadah bukan lagi diambil sebagai sumber untuk melepaskan gian seperti keletihan, menahan sakit atau menjadi ubat penenang tetapi dadah mula menjadi ancaman besar terhadap kesejahteraan hidup manusia. Dadah menjadi pembunuh senyap ibarat api dalam sekam dan membawa ancaman seperti musuh dalam selimut. Setiap penagih tegar akan terus berusaha mendapatkan dadah walaupun dirinya bagaikan bangkai bernyawa. Pengaruh dadah dalam kalangan remaja juga seolah-olah mempunyai tangan ghaib yang mampu menarik remaja dalam sekelip mata untuk berdampingan dengan dadah. Dengan keajaiban itulah kini negara kita sedang berhadapan dengan masalah bangkai bernyawa ini yang sudah meningkat sehingga 800 ribu orang dengan kadar tujuh orang penagih baru dalam setiap hari. Inilah malapetaka dadah yang boleh menghancurkan sesebuah tamadun atau negara.

Hadirin sekalian,
Tanpa menoleh ke belakang semula kita tidak perlu mencari tentang di manakah silapnya sehingga begitu hebat sekali serangan gejala dadah itu? Terlalu banyak puncanya jikalau saya hendak perturunkan satu persatu. Namun apalah gunanya kita mencari segala kesilapan yang lalu kerana usaha tersebut tidak mampu menyelesaikan masalah. Justeru, dalam wacana minda yang sesingkat ini marilah bersama-sama saya, kita menelusuri usaha-usaha yang boleh menyelesaikan masalah ini. Sebagai anggota masyarakat tidak seorang pun yang boleh melihat fenomena dadah sebagai masalah yang terpencil sebaliknya menjadikan tanggungjawab bersama. Mungkin benar pada hari ini ahli keluarga kita tidak terjebak dengan gejala tersebut, tetapi esok atau lusa bukan mustahil.
Sebagai ketua keluarga, suami janganlah pula meletakkan tanggungjawab mengawal anak-anak kepada isteri sahaja. Sebarang kesalahan anak terus dilemparkan kepada isteri. Cara ini adalah tidak adil. Si suami mesti tahu akan had dan kemampuan yang ada pada isteri. Bawalah berbincang dengan isteri dan anak-anak agar mereka sentiasa berasa diri didekati. Kasih sayang merupakan ubat penenang yang paling mujarab untuk mencegah gejala yang terburuk dalam sejarah kebejatan sosial manusia itu. Bak kata orang elok kerja dengan muafakat agar semuanya membawa berkat.

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Kepada anak-anak remaja, anggaplah diri anda sebagai pahlawan. Anda mampu menepis segala ancaman jahat termasuklah ancaman dadah. Sebagai remaja perkasa, amatlah daif apabila kita sendiri gagal untuk membawa diri kita menentukan antara yang baik dan yang buruk demi kebaikan masa depan sendiri. Bijaksanalah dalam memilih rakan. Rakan bukan sekadar untuk berseronok-seronok tetapi rakan mestilah mampu membimbing kita sama ada dalam keadaan susah atau senang. Ingatlah, rakan ketawa beramai-ramai, rakan menangis seorang diri. Sesungguhnya, negara amat berharap kepada sumbangan anda untuk menjadi tenaga penggerak wawasan. Seandainya anda kecundang, kepada siapakah yang harus diharapkan lagi untuk menguruskan negara ini?
Selain itu, semua agensi keselamatan sama ada pihak polis, RELA, dan pihak berkuasa dalam masyarakat hendaklah menjalin kerjasama bersepadu. Tugas penting kita adalah mengesan musuh dalam selimut yang bersikap telunjuk lurus kelengkeng berkait yang sentiasa menangguk di air keruh. Bedebah seperti ini yang perlu dicekup dahulu dan dibawa ke muka pengadilan. Angkara merekalah yang menyebabkan ratusan ribu anak-anak peria bunga bangsa tersungkur di tengah-tengah medan juang sebelum mereka mengenali identiti diri. Golongan yang telah kaya-raya di atas kemusnahan orang lain tidak boleh dibiar lama berkeliaran dalam masyarakat. Mereka inilah pengedar dan penyebab gejala dadah bertambah rumit untuk diselesaikan.

Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya yakin, bencana dadah tidak akan lunas sampai bila-bila masa pun. Bahayanya sudah menular ke peringkat global. Namun kita harus tabah dan berusaha secara bijaksana agar gejala yang telah memusnahkan ratusan ribu remaja itu terlerai juga, ibarat orang mementung ular, ular dipentung biar mati, kayu pementung jangan patah, tanah datar jangan pecah. Justeru, ingatlah, “Dadah Musuh Negara: Peranginya Habis-habisan”.

Sekian terima kasih.





Catatan : Sumber Tuan Haji Ishak Md Shah [http://ishakmdshah.blogspot.com]