29/01/2014

Bagaimanakah kita?


Renung-renungkan…

Seorang pemuda duduk di hadapan lap topnya. Log in facebook.  Benda pertama sekali dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej. Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Tarikh mesej 3 bulan yang lepas.  Ditatap isinya.
"Salam.  Inilah kali pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni. Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.
Ingat tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah kesian kerana semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis ke prepaid tu?
Masa kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.          
Bila kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah ketika membonceng motor dengan abah setiap kali pergi dan balik sekolah. Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, tentang sekolah, tentang kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.          
Bila kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai. Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu. Abah tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu kamu ada kekasih.
Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah kami ibarat tabung pada kamu sahaja?         
Hakikatnya, kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua. Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter, kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.          
Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu. Bukan mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua. Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi. Abah tak minta banyak...  
Kadang-kadang, abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu. Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah.  Mengadu pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah atas curahan hati abah ini.  Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman. Mungkin kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.  Maafkan abah atas segalanya."          


Pemuda menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya. Tulisan ayahandanya itu hanya dibaca setelah 3 bulan ayahnya pergi buat selama-lamanya.  Di saat dia tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua ayahnya.  

Pada yang masih punya ibu & bapa, BAGAIMANA kah KITA? 

Catatan
-         Maaf kerana terdapat banyak kesalahan bahasa dalam petikan di atas. Bahasa seorang bapa kepada anaknya.


20/01/2014

Penulisan 7 : Dimensi Keluarga : Peranan ibu bapa memupuk semangat patriotik

Semangat patriotik semakin luntur dalam kalangan remaja pada masa ini.
Jelaskan peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.

Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di  Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato’ Maharajalela, Dato’ Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa masyarakat.  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-tempat yang bersejarah. Sebagai contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi ‘role model’ atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul. Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang terbaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1Malaysia, ceramah tentang Sejarah Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik kerana “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa boleh juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu, betapa mereka menderita dizalimi dan didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu.  Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa juga boleh melayari Internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati   setiap cerita yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Tegasnya, ibu bapa perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. Dengan menyertai sambutan hari kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah di sebalik kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkaikan dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik.  Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa ‘tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia’. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.






14/01/2014

Penulisan 4 : Dimensi Keluarga : Peranan Ibu Bapa Menggalakkan Penggunaan Barangan Buatan Malaysia


Ibu bapa merupakan insan yang berperanan penting  bagi menggalakkan  anak-anak menggunakan barangan buatan Malaysia.
Huraikan langkah-langkah yang dapat diambil oleh ibu bapa terhadap anak-anak dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia.

Sebagai sebuah negara membangun yang akan menuju ke arah negara maju, Malaysia sebenarnya telah banyak menghasilkan dan mengeluarkan pelbagai barangan serta produk sendiri. Mungkin sudah tiba masanya bagi rakyat kita agar tidak lagi mendewa-dewakan barangan luar. Barangan keluaran tempatan kini sudah setanding dengan produk luar dari segi kualitinya, malahan sesetengah produk keluaran negara kita dijamin lebih baik. Walau bagaimanapun, masih ramai lagi yang tidak mengetahui atau menyedari tentang kelebihan dan kualiti sebenar barangan buatan negara kita, lebih-lebih lagi orang muda-muda yang kononnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam memilih kebendaan. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menggalakkan penggunaan barangan buatan Malaysia?
Peranan yang amat penting perlu diamalkan oleh setiap ibu bapa adalah menjadi suri teladan kepada  anak-anak mereka kerana anak-anak akan sentiasa mengikuti jejak langkah kedua-dua ibu bapa mereka. Pepatah ada mengatakan bahawa bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa merupakan insan yang  paling dikagumi  kerana ibu bapalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Anak-anak diibaratkan seperti sebutir permata yang belum digilap, ibu bapa yang akan mencanai dan menggilapnya sehingga menjadi berlian yang indah dan bersinar. Walau bagaimanapun, ibu bapa janganlah bersikap seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul kerana ini akan menyebabkan anak-anak hilang rasa kagum dan kepercayaan kepada ibu bapa mereka. Ibu bapa haruslah membeli kereta buatan Malaysia seperti kereta dari kilang Proton Edar, barangan elektrik seperti Panasonic, Philips dan lain-lain. Tegasnya, ibu bapa haruslah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dengan menyokong barangan buatan Malaysia yang berkualiti ini.
        Selain itu, ibu bapa perlulah memupuk perasaan cinta akan negara kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini terjadi demikian kerana semangat patriotik patut diterapkan ke dalam sanubari remaja supaya mereka terpanggil untuk membeli barangan Malaysia sebagai tanggungjawab mereka. Ibu bapa juga boleh menanam minat anak-anak terhadap barangan Malaysia melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Hal ini akan dapat menyuntik nilai cinta akan negara, taat setia kepada raja dan negara, dan sanggup berkorban untuk negara kepada generasi muda kita. Ibu bapa patut menyeru anak-anak untuk mencontohi warganegara Jepun dan Korea kerana rakyat mereka berasa bangga untuk membeli barangan negara mereka sendiri. Misalnya, dalam filem atau drama Korea, semua artis pasti menggunakan produk negara sendiri seperti jenama Samsung, LG dan Panasonic. Dengan menyahut seruan Tun Dr. Mahathir yang merupakan Perdana Menteri Malaysia yang keempat melalui Dasar Pandang Ke Timur, kita digalakkan mencontohi sifat baik negara lain yang baik untuk meningkatkan taraf kehidupan negara ke alaf baru. Jika anak-anak telah diterapkan semangat cinta akan negara dan ingin membeli barangan Malaysia, amalan ini akan terbawa-bawa hingga mereka dewasa. Tidak dapat dinafikan bahawa golongan remaja merupakan golongan pengguna yang banyak berbelanja. Golongan remaja juga merupakan harapan negara kita. Hal ini kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Jika mereka suka membeli produk jenama Malaysia, produk Malaysia pasti akan laris di pasaran.
        Di samping itu, peranan yang boleh dilaksanakan oleh ibu bapa adalah dengan membawa anak-anak ke pameran barangan buatan Malaysia. Contohnya, ibu bapa bolehlah membawa anak-anak ke Karnival Membeli-belah Malaysia yang dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia dengan premis perniagaan seluruh negara. Karnival sebegini telah ditetapkan hanya barangan Malaysia yang mempunyai tawaran potongan harga yang istimewa.   Sebagai contoh, kraf tangan dan  batik, merupakan budaya yang menggambarkan tradisi Malaysia. Ibu bapa perlu mendedahkan anak-anak dengan pelbagai barangan tempatan yang terdiri daripada pelbagai bentuk dan keunikannya yang tersendiri. Apabila anak-anak meminta sesuatu benda yang tidak keterlaluan, ibu bapa haruslah membeli barang tersebut dan barang tersebut mestilah merupakan barangan buatan Malaysia. Terdapat juga pameran yang mengadakan pelbagai jenis pertandingan. Dalam konteks ini, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak menyertai pertandingan-pertandingan seperti menulis esei, melukis poster dan menjawab soalan-soalan kuiz yang berkaitan. Hal ini secara tidak langsung dapat mencelikkan minda anak-anak supaya mengetahui kualiti dan kelebihan barangan Malaysia sehingga berminat untuk membeli barangan Malaysia, seperti peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, ibu bapa perlulah membeli barangan buatan Malaysia untuk didedahkan kepada anak-anak generasi baru ini.
        Seterusnya, ibu bapa perlulah menerangkan kebaikan pembelian barangan buatan Malaysia kepada anak-anak mereka supaya mereka dapat memahami faedah-faedahnya, menyokong dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Ibu bapa haruslah memberitahu anak-anak tentang kualiti produk-produk Malaysia yang kini bukan sahaja kualitinya setanding dengan produk-produk luar negara, malah harganya juga cukup murah untuk dimiliki seseorang. Ibu bapa juga boleh menunjukkan kempen-kempen yang telah diadakan seperti Kempen Beli Barangan Malaysia kepada anak-anak untuk memastikan anak-anak sedar dan mengetahui secara mendalam barangan-barangan Malaysia. Sikap prejudis, memandang rendah barangan tempatan dari sudut pemikiran juga seharusnya dilontar jauh-jauh oleh ibu bapa dan juga tidak harus diwujudkan pada anak-anak mereka, tetapi, sebaliknya, membina semangat Malaysia Boleh dari serba-serbi, termasuk soal kualiti dan standard barangan tempatan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting dalam menerangkan manfaat-manfaat barangan buatan Malaysia kepada anak-anak supaya mereka sedar dan bijak memilih benda yang baik dan mendatangkan kebaikan kepada mereka.
        Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa yang merupakan insan terdekat kepada generasi muda kini mestilah memainkan peranannya yang amat penting dalam menggalakkan anak-anak menyokong, membeli dan menggunakan barangan buatan Malaysia. Harapan kerajaan Malaysia supaya negara kita bukan sahaja mengimport barangan luar negara malah juga mengeksport barangan buatan Malaysia dapat dicapai. Sedarlah bahawa barangan Malaysia tidak sekadar lebih murah daripada barang buatan import negara malah mempunyai kualiti dan kuantiti yang baik. Walau bagaimanapun,  usaha daripada ibu bapa semata-mata adalah tidak mencukupi.  Rakyat Malaysia patut menghayati tema Hari Kebangsaan; 1Malaysia Menjana Transformasi menyemarakkan semangat seisi negara agar seia sekata sebagai satu bangsa yang ingin memperkasakan satu perubahan sikap dengan membeli barangan Malaysia. Tegasnya, negara kita, tanggungjawab kita merupakan azimat yang tersemat agar kita berbangga dengan barangan Malaysia yang bermutu tinggi.