27/09/2016

PENULISAN 6 : Permainan Tradisional

Permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda.
Jelaskan usaha-usaha yang boleh anda lakukan bagi memartabatkan permainan tradisional di negara kita. 

Pada zaman pascakemerdekaan ini, arus modenisasi dan globalisasi yang pesat berkembang menyebabkan permainan tradisional sudah semakin dipandang enteng dan disisihkan oleh masyarakat kita daripada arus perdana. Permainan tradisional adalah merujuk kepada permainan budaya yang sudah diamalkan oleh sesebuah masyarakat untuk satu tempoh yang tertentu sebagai pengisi masa lapang. Negara kita kaya dengan pelbagai jenis permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Antara jenis permainan tradisional tersebut termasuklah congkak, wau, gasing, galah panjang, batu seremban, teng-teng, guli, sepak raga, konda-kondi dan sebagainya. Kebanyakan daripada permainan tersebut kurang diketahui oleh generasi muda.  Hal ini membayangkan bahawa permainan tradisional  berkenaan akan lenyap ditelan zaman jika tiada usaha diambil untuk mengetengahkannya dalam kalangan khalayak ramai khususnya generasi masa ini. Persoalannya, apakah peranan yang seharusnya saya mainkan dalam usaha memartabatkan permainan tradisional di negara kita?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk memartabatkan permainan tradisional adalah dengan memupuk minat diri sendiri terhadap  permainan tradisional. Remaja pada masa ini  banyak terdedah dengan pelbagai pengaruh modenisasi dan perubahan. Mereka sering menganggap permainan tradisional telah lapuk dan ketinggalan zaman. Oleh itu, sebagai  generasi muda, saya harus sedar bahawa saya  berperanan  memartabatkan permainan tradisional. Hal ini boleh dilakukan atas kesedaran diri sendiri untuk mencari pelbagai informasi berkaitan dengan permainan tradisional. Saya akan mengakses maklumat tentang permainan tradisional agar dapat memahami dengan lebih jelas setiap permainan tradisional yang ada di negara kita.  Terdapat banyak laman web yang memberikan pelbagai maklumat berkenan pelbagai permainan tradisional berserta gambarnya sekali. Secara tidak langsung, wujud kesedaran dalam diri sendiri untuk memartabatkan  permainan tradisional di negara ini bagi menyaingi permainan moden yang semakin popular dalam kalangan remaja.
Selain itu, usaha yang boleh saya lakukan adalah dengan menjadikan permainan tradisional sebagai pengisi masa lapang. Hal ini boleh dilakukan dengan rakan-rakan sebaya pada waktu petang atau pada masa cuti sekolah bagi menggantikan permainan moden. Saya boleh meminta tunjuk ajar daripada golongan yang lebih tua tentang cara-cara  permainan tradisional tersebut bagi membolehkan saya dan rakan-rakan memainkannya bersama rakan-rakan. Inisiatif ini bukan sahaja dapat memartabatkan permainan tradisional malah dapat memupuk semangat setia kawan dan kerjasama sesama rakan. Hal ini juga boleh mengelakkan diri saya sebagai remaja daripada terjebak dengan pelbagai gejala negatif akibat daripada pengaruh rakan-rakan dan persekitaran yang tidak baik. Bagi diri saya lebih baik mengisi masa dengan bermain permainan tradisional daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Jelaslah permainan tradisional mendatangkan banyak  kebaikan kepada generasi muda masa ini.
Di samping itu, bagi memartabatkan permainan tradisional,  saya sebagai pelajar sekolah haruslah berani mengesyorkan kepada guru-guru di sekolah agar permainan tradisional menjadi salah satu aktiviti semasa perjumpaan kokurikulum. Saya akan menulis surat kepada pihak sekolah menerusi persatuan agar memasukkan permainan tradisional menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah. Hal ini secara tidak langsung akan memperkenalkan permainan tradisional kepada semua pelajar. Saya juga akan menyertai permainan tradisional yang dipertandingkan di peringkat sekolah semasa aktiviti kokurikulum dan juga persatuan akademik. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah pertandingan membuat wau, pertandingan bermain congkak dan demonstrasi permainan daripada golongan tua yang lebih berpengalaman bagi menarik minat pelajar. Dengan cara tersebut, minat remaja terhadap permainan tradisional dapat dipupuk agar kepelbagaian permainan tradisional dapat dipelihara. Ibarat kata pepatah, tak kenal maka tak cinta amat bertepatan kerana jika pelajar telah mula diperkenalkan dengan pelbagai permainan tradisional, sudah pastilah minat terhadapnya akan tertanam secara semula jadi. Maka para pelajar perlu berani membuat perubahan ke arah memartabatkan permainan tradisional.
Usaha yang seterusnya ialah saya sebagai remaja perlu menanamkan semangat cinta akan budaya terutama permainan tradisional.  Hal ini adalah  kerana, permainan tradisional merupakan budaya masyarakat Malaysia sejak dahulu dan perlu diteruskan dan dipelihara agar dikenali oleh generasi akan datang. Sesuatu yang baik itu perlu dipupuk dan ditanam dalam diri sejak kecil sesuai dengan peribahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika asasnya telah kukuh maka secara langsung remaja masa ini tidak akan segan silu mempertahankan dan memartabatkan permainan tradisional. Alah bisa tegal biasa kerana sesuatu yang sukar pada awalnya akan menjadi mudah dan biasa jika selalu dilakukan dan diamalkan. Begitulah juga yang diharapkan terhadap permainan tradisional. Jika remaja seperti saya telah mula menanamkan sikap sayang dan cinta akan budaya masyarakat ini, maka sudah pasti permainan tradisional terpelihara megah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sesungguhnya kecintaan terhadap permainan tradisional akan memupuk juga rasa cinta terhadap negara

Kesimpulannya, remaja hendaklah berusaha mempopularkan permainan tradisional agar permainan tersebut terus terpelihara dan mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia umumnya dan generasi muda khususnya. Maka golongan muda perlu berganding bahu dan meminta bantuan golongan yang lebih tua agar permainan tradisional terus dimartabatkan dan diketengahkan dalam pelbagai situasi dan aktiviti. Kedua-dua golongan boleh saling bekerjasama sebelum nasi menjadi bubur. Khazanah ini perlu dipelihara dan dikekalkan di negara ini dengan menggunakan pelbagai pendekatan sesuai dengan peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. 

22/09/2016

Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya

Faedah/Kepentingan Membaca
-      mempertajam pemikiran dan idea untuk menjadi penulis
-      mengisi masa lapang
-   Membentuk jati diri
-   Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya
Contoh: JK Rowling terima pendapatan RM31 sesaat
JK ROWLING bergambar bersama novel Harry Potter and the Deathly Hallows.

LONDON - Penulis novel terkenal, JK Rowling (gambar) memperoleh pendapatan menakjubkan berjumlah £3 juta (RM18.46 juta) seminggu iaitu bersamaan dengan £5 (RM30.76) sesaat, lapor sebuah akhbar semalam.
Majalah kewangan Forbes melaporkan bahawa Rowling memperoleh pendapatan lumayan tersebut daripada tujuh siri novel Harry Potter yang mencatatkan jumlah jualan sebanyak 375 juta naskhah.
Rowling, 43, juga mendapat beberapa peratus bahagian daripada keuntungan filem Harry Potter yang diadaptasi daripada novel itu dan jualan cenderamata termasuklah mainan serta permainan video.
Harta penulis terkenal itu dianggarkan bernilai £560 juta (RM3.45 bilion) dan dijangka meningkat apabila tiga buah lagi filem Harry Potter dijadual akan ditayangkan.
Seorang jurucakap Forbes, Lacey Rose berkata, perubahan Rowling daripada seorang ibu tunggal yang terpaksa bergantung pada bantuan kebajikan kepada bilionair adalah satu keajaiban.
"Filem-filem Harry Potter sudah menjana keuntungan berjumlah £2.1 bilion (RM12.92 bilion) dan ia masih ada tiga buah filem untuk ditayangkan," katanya.

Rowling yang sudah menyiapkan kesemua siri novel Harry Potter merupakan penulis yang memperoleh pendapatan paling tinggi di dunia. - Agensi