21/03/2017

SERONOKNYA KOMSAS

Seronoknya belajar Komsas jika proses pengajaran dan pembelajaran dipelbagaikan. Contohnya, pantun Muhibah dan Perpaduan dilagukan. Terima kasih Intan Quzhairin...

10/03/2017

PENULISAN 6 : Dimensi Keluarga : Peranan ibu bapa memupuk amalan menabung


Menabung amat penting untuk menjamin kehidupan pada masa hadapan.
Huraikan peranan ibu bapa dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita.

Hidup ibarat roda, sekejap di atas, sekejap di bawah, begitulah lumrah manusia dalam kehidupan. Menjelang era milieu yang sarat dengan informasi dan teknologi, momentum arus terus bergerak ke depan dengan tidak berlengah-lengah. Oleh itu, generasi muda perlu berjimat cermat dan sifat menabung perlu disemai sejak anak-anak masih kecil lagi. Amalan menabung ini diharapkan terbawa-bawa sehingga dewasa. Menabung merupakan tabiat menyimpan wang. Tanggungjawab untuk memupuk amalan ini dalam sanubari anak-anak jatuh pada bahu ibu bapa. Dengan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dengan bijaksana ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Persoalannya, apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memastikan amalan ini menjadi budaya masyarakat kita?

         
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh ibu bapa bagi menerapkan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak adalah dengan menjadikan amalan ini sebagai budaya keluarga. Hal ini kerana suasana keluarga merupakan cara yang paling cepat dan efektif bagi membentuk keperibadian anak-anak. “Anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapa yang bakal mencorakkannya menjadi putih atau hitam”. Ibu bapa merupakan orang yang pertama berpeluang untuk berinteraksi dengan anak-anak. Anak-anak telah dibawa ke dunia ini oleh ibu bapa. Anak-anak datang ke dunia yang berwarna-warni ini dengan otak yang kosong. Oleh itu, ibu bapa perlulah mengisikan tempat kosong yang ada dalam minda anak-anak. Dengan kesempatan ini, ibu bapa boleh menyemai amalan menabung dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa boleh mengajar anak-anak menabung dengan menyimpan sebahagian daripada wang perbelanjaan harian sekolah anak-anak. Ajarlah anak-anak berjimat-cermat dan tidak membelanjakan semua wang perbelanjaan harian yang diberi agar anak-anak tahu akan kepentingan menabung. Jelasnya, ibu bapa perlu memupuk tabiat ini dalam kalangan kanak-kanak “sebelum kudis menjadi tokak”.

        Selain itu, ibu bapa wajar menerapkan amalan menabung dalam jiwa anak-anak sejak bangku prasekolah lagi, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sewaktu anak-anak masih kecil, mereka sangat mematuhi kata-kata dan nasihat ibu bapa. Oleh itu, ibu bapa mudah memberitahu dan mendidik mereka amalan yang berunsur positif seperti amalan menabung. Anak-anak mudah dipengaruhi ketika mereka masih kecil. Mereka tidak akan mengingkari nasihat ibu bapa dan mengikut segala ajaran ibu bapa mereka. Dengan cara ini, amalan menabung, secara tidak langsung, mudah berakar umbi dalam hati anak-anak. Sekiranya didikan dan ajaran seperti ini diberikan sewaktu belia, anak-anak yang berdarah muda tidak akan mempedulikan ibu bapa lagi
  dan nasihat ini bagai mencurahkan air ke daun keladi. Ibu bapa yang melahirkan anak-anak dan membawa mereka ke alam fana ini, sekiranya mengajar kanak-kanak bukan tanggungjawab mereka, siapakah yang mampu bertanggungjawab dalam hal ini lagi?  Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan amalan sedikit demi sedikit dalam jiwa anak-anak sejak kecil kerana    sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.
Selain itu, ibu bapa mengamalkan gaya hidup sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Anak-anak perlu diterapkan dengan gaya hidup yang sederhana dan tidak membazir. Sebagai contohnya, jenis rumah dan perkakas di dalamnya menjadi penanda aras paling senang bagi menilai taraf hidup sesebuah keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah bersederhana dalam pembelian peralatan di rumah dan setiap pembelian perlu dibayar tunai tanpa berhutang. Kadangkala, terdapat keluarga yang sanggup berhutang bagi membeli perabot dan perkakas rumah yang bergaya supaya mendapat "pengiktirafan" orang berada oleh orang-orang di sekeliling walaupun hakikat sebenarnya mereka  tidak berkemampuan. Mereka inilah yang berpegang pada prinsip biar papa asal bergaya. Jika ada ibu bapa yang menjadikan hal ini sebagai budaya keluarga, diharapkan mereka dapat menukar perspektif tersebut bagi memudahkan proses penerapan amalan berjimat-cermat dalam diri anak-anak.

        “Adat usang pusaka lama”, amalan menabung merupakan tabiat yang bijak dan harus diwariskan secara turun-temurun. Ibu bapa perlu mengajar anak-anak menguruskan wang dengan cekap. Mereka harus memberitahu anak-anak cara penggunaan wang dan cara penyimpanannya. Mereka perlu kerap menggalakkan anak-anak mengamalkan tabiat menabung.  Membuka akaun bank untuk anak-anak merupakan perkara pertama yang boleh diambil bagi menyiapkan anak-anak ke arah berjimat-cermat. Malah, langkah ini boleh diambil sejak usia mereka masih bayi. Ibu bapa dapat menaikkan semangat anak-anak untuk menabung dengan meminta mereka membayangkan wang simpanan yang bakal digunakan untuk masa depan mereka kelak. Kata orang tua, “semua orang memerlukan pujian”. Dengan hal tersebut, ibu bapa boleh memuji anak-anak sekiranya mereka melakukan sesuatu yang baik. Pujian dengan batasan tertentu boleh mewujudkan keyakinan anak-anak. Oleh itu, mereka akan menerima nasihat dan ajaran ibu bapa dengan hati terbuka. Mereka akan belajar pengurusan wang dengan cekap. Amalan menabung mudah ditanamkan. Dengan itu, ibu bapa harus memuji anak-anak dan cara ini dapat memudahkan penerapan amalan menabung sudah terang seperti “murai berkicau hari siang”.
Pada hakikatnya,   ibu bapa  berperanan  untuk  menunjukkan  contoh  teladan yang baik kepada anak-anak.  Ibu  bapa  sendiri   harus mengamalkan  sikap  menabung.  Mereka harus menabung wang bersama dengan anak-anak. Ibu bapa perlu menunjukkan kepada anak-anak bahawa pada setiap bulan, mereka menyimpan sejumlah kecil wang di bank atau pejabat pos. Perbuatan ibu bapa menyimpan wang akan dicontohi oleh anak-anak.  Anak-anak  mudah  terikut-ikut  oleh  tingkah  laku ibu  bapa dan mereka akan mengikut jejak langkah ibu bapa.  Oleh itu, ibu bapa perlu menujukkan contoh yang baik. Mereka harus mengamalkan tabiat menabung juga.  Cuba  anda  bayangkan, macam mana anak-anak akan rela hati untuk menabung sekiranya ibu bapa mereka sendiri seorang yang boros dan tidak  pandai  menguruskan  wang?   Hal  ini  jelas menunjukkan  betapa pentingnya  imej  yang diberikan oleh ibu bapa di depan anak-anak. Pepatah Melayu juga mengatakan bagaimana acuan, begitulah kuihnya.
        “Jika berkawan dengan tukang besi, baju kita akan tercarik terkena percikan api; jika berkawan dengan penjual pewangi harum, tubuh kita akan berbau harum”, Kawan merupakan ‘magnet sakti’ yang boleh mempengaruhi anak-anak yang berusia seumur jagung. Ibu bapa harus menapis kawan anak-anak dan mengelakkan mereka berkawan dengan mereka yang kurang berakhlak. Benteng iman yang lemah anak-anak mudah runtuh sekiranya kegembiraan dan kemewahan mengaburi mata, bak kata pepatah, “ikut hati mati, ikut rasa binasa”. Oleh itu, ibu bapa harus mengurangkan peluang anak-anak untuk bercampur dengan golongan tidak bermoral. Anak-anak mudah terjerumus ke dalam lembah maksiat. Anak-anak hanya tahu menghabiskan wang dan tidak tahu betapa susah dan payahnya ibu bapa memperoleh wang untuk perbelanjaan anak-anak. Dengan itu, amalan menabung akan dialpakan dan diketepikan oleh anak-anak. Oleh itu, ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak berkawan dengan mereka yang kurang bersahsiah.
Sudah terang lagi bersuluh, ibu bapa memang memainkan peranan dominan dalam memastikan amalan menabung menjadi budaya masyarakat kita. Pepatah cina mengatakan “Jikalau tiada wang semua kerja tak terjadi”. Peribahasa Melayu pula menunjukkan “ada padi semua jadi, ada beras semua deras”. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya wang dalam zaman globalisasi yang mengutamakan kebendaan dan material. Kita harus menyemai sifat menabung dan menjadikan amalan ini sebagai satu tabiat hidup. Pembentukan generasi muda berakhlak yang merupakan tonggak aspirasi untuk menerajui negara pada masa depan amat diperlukan untuk merealisasikan kelahiran masyarakat madani. “Air bersih, ikannya jernih”

* sekiranya soalan meminta peranan ahli keluarga, sila nyatakan peranan setiap ahli keluarga [adik-beradik, datuk dsbnya]

07/03/2017

PENULISAN 4 : Usaha Membantu Rakan

Dimensi Diri
Latihan  1:
Seorang rakan anda telah terlibat dengan gejala sosial yang serius sehingga rakan anda itu mengabaikan pelajaran.
Huraikan usaha-usaha yang dapat anda lakukan untuk membantu rakan anda itu.

Baru-baru ini, seorang rakan sekelas saya telah terlibat dengan gejala sosial yang serius. Rakan saya itu kerap memonteng kelas, terlibat dengan vandalisme dan sering tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya rakan saya ini seorang pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Namun, guru-guru di sekolah berasa hairan kerana sejak akhir-akhir ini rakan saya itu sering mengabaikan pelajarannya. Sebagai seorang sahabat, saya bertanggungjawab untuk membantu rakan saya itu supaya  dia insaf bak kata pepatah sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan.  Saya berharap, usaha-usaha yang saya lakukan itu akan menyedarkan rakan saya tentang tanggungjawabnya sebagai seorang remaja dan sebagai seorang pelajar. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat saya lakukan untuk membantu rakan saya itu?
Usaha pertama yang saya lakukan untuk membantu rakan saya itu ialah saya akan menasihatinya supaya tidak menjerumuskan diri dalam kancah gejala sosial. Saya akan mengingatkan sahabat saya itu tentang akibat sekiranya rakan saya itu terlibat dengan gejala sosial. Saya akan menyedarkan rakan saya akan tanggungjawabnya sebagai seorang anak agar tidak menghampakan harapan ibu bapanya. Rakan saya perlu sedar bahawa dia pernah mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pernah menerima anugerah pelajar terbaik PMR. Saya berharap nasihat-nasihat saya itu dapat menyedarkan rakan saya dan rakan saya akan berubah sikap serta insaf akan kesalahan yang dilakukan sebelum nasi menjadi bubur. Saya tidak mahu rakan saya berasa menyesal pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa rakan saya itu dan memberitahu  mereka tentang pembabitan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berbuat demikian kerana kemungkinan ibu bapa rakan saya itu tidak tahu tentang penglibatan anak mereka dalam kegiatan yang tidak sihat di sekolah. Saya berharap, ibu bapa rakan saya itu dapat mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak mereka. Besar kemungkinan, faktor kekurangan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa yang menyebabkan rakan saya terjebak dalam gejala sosial. Apabila ibu bapa rakan saya sudah mengetahui masalah anak mereka, saya berharap ibu bapa rakan saya dapat memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap rakan saya itu. Ibu bapa rakan saya mungkin akan lebih bertanggungjawab dan mengadakan perbincangan dengan anaknya  untuk mengetahui masalah-masalah yang dihadapi. Jelasnya, tanggungjawab saya untuk memberitahu ibu bapa rakan saya itu diharapkan dapat membantu rakan saya untuk kembali ke pangkal jalan.
Di samping itu, saya akan mengajak rakan saya untuk berjumpa dengan guru kaunseling untuk menghadiri sesi bimbingan dan kaunseling. Saya akan memberitahu guru kaunseling tentang penglibatan rakan saya dalam gejala sosial. Saya berharap guru kaunseling dapat membantu dan membimbing rakan saya dengan menasihatinya supaya berubah sikap. Sesi kaunseling ini amat penting kerana menerusi sesi kaunseling, diharapkan rakan saya itu akan sedar dan insaf  tentang perbuatannya yang salah selama ini. Rakan saya juga dapat mengenali identiti diri dan bermotivasi untuk berubah apabila guru kaunseling memberi nasihat dan dorongan kepada rakan saya itu. Saya juga berharap, rakan saya dapat membina keyakinan diri dan menyedari betapa pentingnya pembinaan sahsiah diri dan akhlak dalam kalangan remaja sebagai benteng supaya tidak mudah terpengaruh oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Tegasnya, menerusi sesi kaunseling ini, rakan saya sebagai remaja dapat menginsafi dan menyedari peranannya sebagai remaja yang mewarisi pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali dalam bukunya ’Ihya’ Ulumuddin’ mengatakan bahawa sekiranya kita ingin melihat masa depan negara maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja, maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, jika buruk diri remaja maka buruklah masa depan negara.
Seterusnya, saya juga akan mengajak rakan saya itu menyertai program-program yang berfaedah. Saya akan membawa rakan saya menghadiri majlis-majlis ilmu seperti program yang berunsurkan agama dan motivasi diri. Sebagai contoh, saya akan mengajak rakan saya menghadiri ceramah agama, Majlis Tazkirah, kelas mengaji al-Quran, Kem Bina Insan dan Kecemerlangan Diri. Menerusi majlis ilmu yang dihadiri itu, saya berharap rakan saya akan insaf dan lembut hatinya serta menyesal dengan apa yang pernah dilakukannya selama ini. Menerusi Kem Kecemerlangan Diri dan Bina Insan pula, rakan saya pasti membina keyakinan diri dan mempunyai motivasi untuk berubah terutamanya dalam proses pembentukan minda dan akhlak. Hasil daripada pergaulan dengan rakan-rakan yang baik dalam majlis-majlis ilmu itu, rakan saya itu dapat membezakan dan mengenali antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik. Jelasnya, rakan saya itu tidak akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik dan dia juga tahu menghargai masa kerana  masa itu emas.
Akhir sekali, saya juga akan sentiasa membantu rakan saya dalam pelajaran. Saya akan mengajak rakan saya menghadiri kumpulan perbincangan. Saya juga akan membantu rakan saya menerangkan tajuk-tajuk bagi memahami topik-topik pelajaran yang ketinggalan selama ini. Saya akan mengajak rakan saya mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dan mencari rujukan serta  berbincang tentang topik-topik yang kurang difahami. Saya juga akan mengajak rakan saya menghadiri kelas-kelas tambahan yang diadakan di sekolah atau di luar sekolah. Saya akan menasihati rakan saya tentang kepentingan pelajaran dalam kehidupan. Tanpa pelajaran, masa depan seseorang itu gelap. Pada masa yang sama, saya akan mengajak rakan-rakan yang lain untuk membantu dan sudi mengadakan perbincangan dengan rakan saya ini. Tujuan saya berbuat demikian adalah untuk  memastikan rakan saya benar-benar insaf dan tidak mengabaikan pelajaran.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa usaha membantu rakan yang terlibat dalam gejala sosial adalah sesuatu yang murni dan perlu diteruskan. Saya berharap, usaha yang saya lakukan ini dapat membantu rakan saya supaya tidak melibatkan diri dalam gejala sosial. Saya juga berharap, rakan saya benar-benar insaf dan bertanggungjawab terhadap masa hadapannya kerana ’sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Rakan saya perlu ingat bahawa sekiranya dia tidak berubah, tidak ada sesiapa pun yang akan membantunya untuk berubah. Sebagai remaja, rakan saya perlu mempunyai jati diri agar tidak mudah dipengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Tegasnya, rakan saya perlu berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan kerana pepatah mengatakan rajin dan usaha tangga kejayaan dan  yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

03/03/2017

CHOT



Sinopsis : CHOT

Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Chot sangat rapat kerana Alias amat mengharapkan Chot untuk membantunya menyara kehidupannya dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.
Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.
Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.
Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.
Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Beliau telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.
Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot". Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.

TEMA
Kasih sayang sesama makhluk ciptaan Tuhan

PERSOALAN
·         Hubungan manusia dengan makhluk Tuhan.
·         Kasih sayang antara manusia dan haiwan.
·         Kesempitan hidup masyarakat luar bandar.
·         Kemiskinan menjadi penghalang dalam mengejar impian.
·         Kepentingan pendidikan dalam hidup.
·         Sikap anggota masyarakat yang bertindak melulu.

WATAK DAN PERWATAKAN
Alias
Murid tahun lima yang kehilangan bapanya kerana terjatuh dari pokok kelapa.

pintar dalam mata pelajaran
Alias menjadi rujukan Som untuk membuat latihan Matematik.
taat akan nasihat ibunya
patuh akan suruhan dan teguran ibunya supaya menunaikan solat dan membaca al-Quran.
bertanggungjawab
Alias mengambil alih peranan bapanya. Dia membeli barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.
Berjiwa lembut
berkecil hati dengan sikap Som yang menegur bau telinga yang busuk.
Gigih
Alias membawa buku latihan ke mana-mana sahaja dia pergi walaupun ketika memetik kelapa.
Tidak berdendam
melayan Cikgu Alias dengan ramah ketika kunjungan guru kelas itu ke rumahnya sekalipun Cikgu Alias menengkingnya sehingga dia jatuh terlentang di dalam kelas sehingga telinganya terkena bucu meja murid.

Chot
·         Beruk peninggalan arwah bapa Alias.
·         Sangat sayang akan tuannya, Alias.
·         Patuh akan arahan tuannya.

Cikgu Sunan
·         Tinggi dan berbadan sederhana besar.
·         Guru kelas tahun lima.
·         Guru mata pelajaran Matematik.
·         Garang - Cikgu Sunan cepat melenting apabila murid-murid tahun lima tidakdapat menjawab soalan Matematik dan kerja rumah pelajaran Matematik tidak siap.
·         Benci akan Alias.
·         Menyesal atas perlakuannya yang tidak memberi layanan sebaiknya kepada Alias.

Leha
·         Ibu Alias.
·         Ibu yang menitikberatkan pendidikan agama - menegur Alias apabila terdapat kesalahan membaca doa qunut dan kesalahan dalam solat-solat lain. Malahan, selalu mengingatkan Alias tentang kewajipan menunaikan solat.
·         Ibu yang menitikberatkan pendidikan sekular - mengingatkan Alias tentang kepentingan ilmu pengetahuan apabila Alias ponteng sekolah terlalu lama.

Som
·         Murid tahun lima.
·         Sahabat baik Alias.
·         Takut akan Cikgu Sunan.
·         Lemah dalam mata pelajaran Matematik.
·         Suka bergurau.
·         Prihatin akan nasib Alias.
·         Baik hati.

Mak Su Kiah
·         Berbadan sedikit gempal dan berambut panjang.
·         Baik hati - memberi makanan tengah hari untuk Alias dan ibunya.

Pak Din
·         Bapa Som
·         Kematian isteri
·         Baik hati - banyak membantu ketika Alias dalam kesusahan.




LATAR


Latar Masa
Pagi
·         Ada perhimpunan sekolah.
·         Cikgu Sunan mengajar Matematik.
·         Alias dan Chot memetik kelapa.
Tengah hari
·         Mak Su Kiah menghantar nasi bersama gulai kepada Alias dan ibunya serta bertanya khabar sebelum pulang ke rumah.
Petang
·         Alias memandikan Chot di sungai di belakang rumah Som.
·         Alias dan Som belajar membaca al-Quran daripada emak Alias.
·         Som belajar membuat latihan Matematik daripada Alias.


Latar Masyarakat
Masyarakat yang tabah menghadapi dugaan hidup - Alias tidak pernah merungut hidup dalam kemiskinan.

Masyarakat yang berdikari - Alias berusaha menyara yuran persekolahannya dengan mengambil upah memetik buah kelapa.

Masyarakat ibu bapa yang mengimpikan kejayaan anak-anak - Leha ingin melihat kejayaan Alias. Oleh hal demikian, Leha mengingatkan kepentingan pendidikan agama dan pendidikan sekular.

Masyarakat kampung yang hidup dalam kemiskinan - Hidup Alias dan ibunya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Alias mencari wang untuk menampung keperluan harian dengan mengambil upah memetik kelapa di kebun Pak Din.

Masyarakat yang mementingkan pendidikan agama - Ibu Alias, Leha mengajar anaknya membaca al-Quran dan menegur kesalahan yang dilakukan oleh Alias dalam bacaan solat.

Masyarakat yang mementingkan pendidikan sekular - Ibu Alias menegur Alias yang tidak ke sekolah terlalu lama.

Masyarakat yang bertanggungjawab - Alias mengambil alih tugas arwah bapanya yang meninggal lima tahun lalu kerana jatuh pokok kelapa. Dia membeli barang keperluan dapur seperti beras, gula, kopi dan ikan gelama.

Masyarakat yang jujur - Alias memberitahu perihal sebenar kelewatan ke sekolah berpunca daripada mencari beruk kesayangannya yang hilang.

Masyarakat yang cinta akan ilmu pengetahuan - Alias membawa sahaja ke mana-mana buku latihan.

Masyarakat yang berprasangka - Miah menuduh Chot merosakkan kebun pisang miliknya.

Masyarakat yang gigih berusaha mencapai kejayaan - Som berusaha belajar Matematik daripada Alias.

Masyarakat yang baik hati - Mak Su Kiah mengambil tahu kebajikan Alias dan Leha.




PLOT

Permulaan
Beruk Alias, Chot hilang. Alias menangis. Dia tidak pergi ke sekolah. Usaha ibunya dan Som memujuknya supaya mencari Chot selepas waktu persekolahan gagal.

Perkembangan
Alias mengambil keputusan pergi ke sekolah selepas gagal mencari Chot. Di sekolah, Alias telah diherdik dan ditengking oleh Cikgu Sunan. 

Perumitan
Cikgu Sunan bertempik sehingga Alias terdorong ke belakang dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena meja murid. Rentetan peristiwa itu, Alias tidak pergi ke sekolah lebih daripada seminggu kerana telinganya bernanah. Alias malu dan takut diejek oleh kawan-kawannya. Alias tidak menceritakan hal sebenar yang berlaku kepada ibunya di sekolah.

Kemuncak
Cikgu Sunan pergi ke rumah Alias. Kedatangannya ke situ tidak disenangi oleh beruk Chot. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot melompat dan melonjat kuat sehingga rantai di lehernya terputus. Chot menerkam Cikgu Sunan dan menokak lengan guru itu. Chot tidak mahu melepaskan gigitannya walaupun Cikgu Sunan memukul-mukulnya. Keadaan menjadi kelam-kabut. Alias tidak tahu tindakan yang perlu diambil kerana Chot ialah beruk kesayangannya.

Peleraian
Alias mengambil lembing berkarat yang berada di bawah rumah lalu merodok mata lembing itu ke perut Chot. Chot mati di tangan Alias. Cikgu Sunan serba salah dengan Alias. Cikgu Sunan berjanji akan membiayai pendidikan Alias sampai ke universiti.  


Drama Komsas T3 : Tenang-tenang Air di Tasik

Drama : Tenang-tenang Air di Tasik 
(Norhashimah Hashim)

Drama ini dimulakan dengan tindakan Muzafar memberitahu ibunya tentang kesanggupannya melatih  sekumpulan peserta cacat penglihatan mengendalikan kayak dengan betul sebelum mereka menyertai ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai. Ibunya tidak bersetuju kerana bimbang akan keselamatan anak tunggalnya itu. Ibu Muzafar bimbang tindakan anaknya itu akan menambahkan beban dan menyusahkannya kelak.
Walau bagaimanapun, Muzafar bertegas untuk melatih peserta- peserta itu memandangkan ramai pekerja di tempat peranginannya yang bercuti. Muzafar juga berjanji untuk menjaga keselamatan diri sepanjang empat hari tiga malam dia berada di tempat peranginan tersebut. Azizi berasa hairan apabila Muzafar menceritakan kisah ibunya yang melarangnya melatih kumpulan orang cacat penglihatan sedangkan ibu Muzafar sebenarnya merupakan seorang wanita yang disegani sebagai seorang pemimpin wanita yang unggul, berfikiran terbuka, dan berpandangan jauh. Namun, Azizi memujuk Muzafar dengan alasan ibunya terlalu menyayanginya sehingga menyebabkan dia berasa bimbang dan bertindak sedemikian.
Para pekerja di Permai Resort menyambut kedatangan kumpulan peserta cacat penglihatan itu dengan baik dan mesra. Kumpulan itu terdiri daripada 36 orang tetapi enam orang daripadanya berpenglihatan normal. Selepas para peserta berehat, Azizi dan Muzafar mula menerangkan, memberi tunjuk ajar dan melatih para peserta tersebut tentang cara-cara berkayak dengan betul dan cara-cara memberi serta mendapatkan pertolongan seandainya kayak terbalik. Mereka dibantu oleh beberapa orang sukarelawan seperti Nurul, Haris, dan Chee Keong.
Pada malamnya, Azizi bersembang dengan Muzamir di beranda chalet. Dalam perbualan mereka, Muzamir melahirkan rasa gembiranya dan berterima kasih kepada Azizi dan Muzafar kerana dia akhirnya berpeluang merasai pengalaman berkayak. Hal ini demikian kerana Muzamir berasa kecewa terhadap rakan-rakan sepejabatnya yang memandang rendah dan memperkecilkan keupayaannya sebagai orang kelainan upaya. Lantaran itulah, dia berusaha untuk mengatur ekspedisi berkayak tersebut untuk membuktikan keupayaannya berkayak seperti orang yang normal. Dia berasa bersyukur dan gembira apabila pihak pengurusan tempat peranginan itu bersedia menerima kehadiran mereka.
Seterusnya, Nurul dan Azizi bercerita tentang peristiwa ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai yang telah ditempuhi oleh mereka. Nurul mengucapkan terima kasih kepada Azizi dan Muzafar yang banyak memberikan tunjuk ajar dan membantu pasukannya sepanjang ekspedisi tersebut. Azizi juga berterima kasih kepada Nurul, Haris dan Chee Keong yang turut membantu untuk memudahkan ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai pada siang itu. Azizi juga memperoleh pengajaran dan menyatakan kekagumannya terhadap Nurul, Haris dan Chee Keong yang mempunyai darjah kesabaran yang tinggi dalam mengajar dan membimbing rakan-rakannya yang cacat penglihatan sehingga mereka mampu berkayak dengan begitu baik.
Dalam perbualan dengan Haris, dan Nurul, Muzafar dapat mengetahui kisah sedih Muzamir yang berasal dari sebuah keluarga ternama dan kaya di Kelantan tetapi diserahkan kepada keluarga angkat di Johor ketika berusia tiga bulan disebabkan dia dilahirkan cacat penglihatan. Muzafar membelek mukanya di hadapan cermin untuk melihat persamaannya dengan Muzamir. Azizi menegaskan bahawa Muzafar dan Muzamir banyak mempunyai persamaan dari segi wajah dan perawakan.
Muzafar pulang ke rumah setelah aktiviti ekspedisi berkayak di Tasik Permai selama empat hari tiga malam bersama Muzamir dan rakan-rakannya tamat. Ibu Muzafar bersyukur apabila anaknya, Muzafar pulang ke rumah dengan selamat. Muzafar memujuk ibunya ke studio untuk menonton rakaman ekspedisi berkayak merentasi Tasik Permai bersama-sama para peserta cacat penglihatan tersebut. Sewaktu tayangan video itu, Ibu Muzafar tergamam apabila melihat persamaan yang ada pada Muzafar dan Muzamir.
Muzafar berasa hairan apabila ibunya tidak mahu meneruskan tontonan video peserta-peserta ekspedisi berkayak di Tasik Permai. Muzafar juga mula sangsi akan status dirinya sebagai anak tunggal apabila melihat reaksi ibunya yang seolah-olah menyimpan suatu rahsia selepas mengetahui latar belakang Muzamir. Muzafar bercerita kepada Azizi tentang perasaannya sewaktu dia membantu Muzamir akibat kayaknya terbalik. Muzafar juga menitiskan air mata sewaktu mereka bersalaman dan berpelukan sebelum Muzamir berangkat pulang.


02/03/2017

Novel T3 Chot [Azizi Haji Abdullah]

Sinopsis : CHOT

Novel ini mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara Alias dengan Chot sangat rapat kerana Alias amat mengharapkan Chot untuk membantunya menyara kehidupannya dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.
Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.
Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.
Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.
Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Beliau telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.
Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot". Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.




NILAI MURNI :
NILAI
CONTOH
Kasih sayang
Alias amat menyayangi beruk peninggalan ayahnya, Chot. Dua kali Chot hilang dan Alias berusaha mencari Chot. Dia tidak dapat melelapkan mata apabila mendapati Chot hilang. Chot dimandikan, disuap nasi, dan diberikan pisang. Chot juga amat menyayangi Alias. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot merasakan Cikgu Sunan mahu mengapa-apakan Alias lantas menerkam dan menggigit lengan guru itu.
Berdikari
Alias menejuskan kehidupan setelah kematian ayahnya dengan berdikari. Dia mencari rezeki dengan memetik buah kelapa yang dilakukan oleh beruk kesayangannya. Dia tidak menghebahkan keadaan kemiskinannya kepada orang lain, termasuk keadaan ibunya yang lumpuh, sebaliknya berusaha mencari wang untuk membeli makanan dan ubat-ubatan.
Semangat bermasyarakat
Penduduk Kampung Dingin suka membantu jiran tetangga. Buktinya, Mak Cik Kiah akan menyediakan makanan tengah hari untuk ibu Alias, Puan Leha. Pak Din pula selalu menjenguk ke rumah Alias untuk membantu keluarga itu dan seterusnya mengupah Alias memetik buah kelapa di kebunnya.
Baik hati
Alias dengan perasaan bangga membersihkan kereta Cikgu Sunan, walaupun guru itu selalu memarahi dan mengherdiknya. Pak Din pula sanggup membeli ubat batuk untuk ibu Alias dan dia memberi upah yang berpatutan berdasar kerja yang dilakukan oleh Alias.
Rasional
Alias amat menyayangi beruknya, Chot dan dia juga menyayangi Cikgu Sunan. Ketika Chot mengamuk dengan menggigit lengan guru itu, Alias terpaksa mengambil tindakan segera dengan merodok perut Chot menggunakan lembing. Akhirnya Cikgu Sunan selamat manakala Chot pula mati.
Hemah tinggi

Alias melayan ibunya dengan baik. Dia tidak pernah membantah kata-kata ibunya. Dia bertanggungjawab menyediakan keperluan ibunya tanpa rasa terbeban. Dia juga akan berbaring di sisi ibunya sambil bertasbih dan ibunya pula akan berzikir.

PENGAJARAN :

PENGAJARAN
CONTOH
Kita perlu mempunyai perasaan kasih sayang terhadap haiwan
Alias amat menyayangi beruk peninggalan ayahnya, Chot. Dua kali Chot hilang dan Alias berusaha mencari Chot. Dia tidak dapat melelapkan mata apabila mendapati Chot hilang. Chot dimandikan, disuap nasi, dan diberikan pisang. Chot juga amat menyayangi Alias. Ketika Cikgu Sunan memeriksa telinga Alias yang bernanah, Chot merasakan Cikgu Sunan mahu mengapa-apakan Alias lantas menerkam dan menggigit lengan guru itu.
Kita hendaklah menjalani kehidupan secara berdikari dengan berusaha sendiri
Alias meneruskan kehidupan setelah kematian ayahnya dengan berdikari. Dia mencari rezeki dengan memetik buah kelapa yang dilakukan oleh Chot. Dia tidak menghebahkan keadaan kemiskinannya kepada orang lain, termasuk keadaan ibunya yang lumpuh, sebaliknya berusaha mencari wang untuk membeli makanan dan ubat-ubatan.
Kita haruslah mempunyai semangat bermasyarakat
penduduk Kampung Dingin suka membantu jiran tetangga. Buktinya, Mak Su Kiah akan menyediakan makanan tengah hari untuk.ibu Alias, Puan Leha. Pak Din pula selalu menjenguk ke rumah Alias untuk membantu keluarga itu dan seterusnya mengupah Alias memetik buah kelapa di kebunnya.
kita sepatutnya memiliki sikap baik hati
Alias dengan perasaan bangga membersihkan kereta Cikgu Sunan, walaupun guru itu selalu memarahi dan mengherdiknya. Pak Din pula sanggup membeli ubat batuk untuk ibu Alias dan dia memberi upah yang berpatutan berdasar kerja yang dilakukan oleh Alias.
Kita sewajarnya bertindak secara rasional
Alias amat menyayangi beruknya, Chot dan dia juga menyayangi Cikgu Sunan. Ketika Chot mengamuk dengan menggigit lengan guru itu, Alias terpaksa mengambil tindakan segera dengan merodok perut Chot menggunakan lembing. Akhirnya Cikgu Sunan selamat manakala Chot pula mati.
Kita perlu bersikap hemah tinggi
Alias melayan ibunya dengan baik. Dia tidak pernah membantah kata-kata ibunya. Dia bertanggungjawab menyediakan keperluan ibunya tanpa rasa terbeban. Dia juga akan berbaring di sisi ibunya sambil bertasbih dan ibunya pula akan berzikir.
Kita hendaklah membantu antara satu sama lain.
Mak Su Kiah membantu Alias dan ibunya, iaitu menghantar nasi dengan lauk atau sayur pada waktu tengah hari.
Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa.
Alias mendengar nasihat ibunya supaya menunaikan solat.
Kita hendaklah insaf apabila menyedari kesilapan yang telah dilakukan.
Cikgu Sunan menyesali segala tingkah lakunya terhadap Alias.
Kita hendaklah belajar bersungguh-sungguh untuk mengubah takdir hidup.
Alias belajar bersungguh-sungguh kerana ilmu pengetahuan penting untuk mengubah hidupnya ke arah yang lebih baik.
Kita tidak seharusnya berdendam.
Alias tidak berdendam dengan Cikgu Sunan. Alias melayan gurunya itu dengan ramah walaupun Cikgu Sunan pernah mengherdik dan menengkingnya.
Kita hendaklah menerima takdir Tuhan dengan hati yang terbuka.
ibu Alias reda apabila lumpuh.
Kita hendaklah jujur dalam kehidupan.
Alias jujur memberitahu Cikgu Sunan sebab kelewatannya ke sekolah berpunca daripada beruk.