15/02/2023

RENCANA : KEPENTINGAN BUDAYA WARISAN DAN PERMAINAN TRADISIONAL

Warisan negara seperti seni budaya dan permainan tradisional semakin dipinggirkan oleh generasi muda. Tulis sebuah rencana tentang kepentingan mengekalkan warisan ini.

Kepentingan Mengekalkan Warisan Negara
Oleh : Nurul Syahirah binti Razman


Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan


Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.

     Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.

     Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

     Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.

     Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.  Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.

       Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Malaysia MADANI, janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

Soalan Klon
Lambakan permainan komputer, kurang pendedahan dan anggapan sudah ketinggalan zaman menjadi punca permainan tradisional seperti gasing dan congkak semakin dilupakan.

Huraikan peranan ahli keluarga bagi memastikan permainan tradisional terus subur dalam kalangan anak-anak.

07/02/2023

Kebaikan-kebaikan Membawa Bekal ke Sekolah


Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah. 

·       menjaga kesihatan murid-murid

·       mampu menjimatkan kos murid dan keluarga

·       menjimatkan masa anak-anak di sekolah

        Pada era globalisasi ini, trend murid-murid membawa bekal ke sekolah semakin kurang diamalkan.  Hal ini dikatakan demikian kerana mereka menganggap bahawa membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang tidak penting dan susah untuk menyediakannya. Tambahan pula, ada segelintir murid yang berpendapat bahawa membawa bekal ke sekolah adalah perkara yang memalukan kerana mereka akan dianggap sebagai murid prasekolah. Pada masa yang sama, ibu bapa tidak mempunyai waktu untuk menyediakan bekal kepada anak-anak kerana sibuk akan pekerjaan masing-masing. YB Dr. Maslee Malik sewaktu menggalas portfolio Menteri Pendidikan pernah melahirkan kebimbangan beliau kerana ibu bapa tidak mengambil berat dalam hal memastikan anak-anak mereka mengambil sarapan di sekolah kerana perkara ini akan mengganggu anak-anak memulakan sesi pembelajaran di dalam kelas. Persoalannya, apakah kebaikan membawa bekal ke sekolah? Saya akan menghuraikan pendapat mengenai kebaikan-kebaikan membawa bekal ke sekolah dalam perenggan-perenggan seterusnya.

 

       Kebaikan primer / [Lontaran idea pertama] / [Sebagai mukadimah dan pembuka tirai perbincangan, mari kita capahkan lensa perbincangan dengan menyatakan bahawa] membawa bekal ke sekolah dapat menjaga kesihatan murid-murid. Hal ini dapat dilihat apabila murid-murid berupaya menjalani kehidupan yang sihat jika mereka menikmati makanan yang disediakan oleh keluarga. Hal ini berlaku kerana bekal yang dibawa ke sekolah ghalibnya telah disediakan oleh ibu sendiri. Setiap ibu ingin melihat anak-anak mereka membesar dengan sihat tanpa sebarang masalah kesihatan. Jadi ibu akan memastikan bekal yang dibawa oleh anak-anak ke sekolah mengandungi semua nutrien yang diperlukan oleh badan supaya anak-anak dapat membesar dengan seimbang. Oleh sebab itu, ibu akan menyediakan makanan yang digariskan mengikut piramid makanan. Ibu juga akan memastikan penyediaan makanan ini dalam kondisi yang bersih dan bahan-bahan yang segar sahaja dimasak. Jadi anak-anak mereka akan menikmati makanan yang bersih, berkhasiat dan berkualiti sekali gus keracunan makanan dapat dielakkan. Sebagai contoh, Datuk Seri Dr Zukifli Ahmad sewaktu menggalas jawatan Menteri Kesihatan menegaskan bahawa kebanyakan insiden keracunan makanan berlaku kerana  pengusaha kantin tidak mematuhi pelbagai syarat yang ditetapkan dan kurang memberi tumpuan kepada aspek kebersihan dan kesihatan dalam penyediaan makanan. Beliau bekata lagi bahawa sebanyak 5,265 kes keracunan makanan daripada 12,122 kes keracunan makanan yang berlaku di seluruh negara  tahun lalu adalah berlaku di sekolah. Oleh sebab itu, membawa bekal ke sekolah mampu mengelakkan murid-murid mengalami keracunan makanan kerana membawa bekal ke sekolah menjadi preventif kepada perkara yang lebih teruk lagi ibarat kata peribahasa mencegah lebih baik daripada merawat. Di samping itu, makanan yang disediakan oleh ibu juga menepati keperluan diet seharian. Kajian mendapati nutrisi baik dan pengambilan gizi yang seimbang bukan saja mampu membantu perkembangan fizikal, malah dapat meningkatkan kalsium dan vitamin khususnya dalam menjadikan anak-anak lebih kuat dan merangsang keupayaan minda yang lebih cerdas. Sebagai penghias bicara, tidak dapat dinafikan bahawa membawa bekal ke sekolah mempunyai banyak faedah yang boleh diperoleh murid terutamanya dalam aspek menjaga kesihatan diri.

       Lain daripada itu, / [Bertunjangkan idea yang relevan, mari kita lebarkan lensa perbincangan kepada skop yang lebih spesifik di bawah kata kunci] membawa bekal ke sekolah juga mampu menjimatkan kos murid dan keluarga. Hal ini dikatakan demikian kerana setiap keluarga dapat merancang perbelanjaan harian supaya kehidupan mereka dapat diatur dengan tersusun tanpa sebarang masalah. Tambahan pula perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak merupakan salah satu aspek yang diambil kira dalam perbelanjaan keluarga. Dengan kos hidup yang agak tinggi pada masa ini, ibu bapa perlu merancang perbelanjaan harian dengan lebih teliti lagi. Salah satu cara adalah dengan menyediakan bekal kepada anak-anak untuk di bawa ke sekolah. Usaha ini dapat mengurangkan perbelanjaan ibu bapa kerana mereka tidak perlu menyediakan wang yang banyak kepada anak-anak untuk berbelanja di sekolah. Secara tidak langsung ibu bapa dapat mengurangkan kos perbelanjaan apabila anak-anak membawa bekal ke sekolah. Murid-murid pula tidak perlu lagi berbelanja di kantin atau koperasi sekolah kerana mereka sudah ada bekal yang disediakan oleh ibu mereka. Dengan berbuat demikian, murid-murid boleh menyimpan duit saku tersebut di dalam tabung sebagai persediaan masa depan. Secara tidak langsung amalan menabung dalam kalangan anak-anak dapat direalisasikan. Walaupun wang saku yang ditabung tidaklah banyak, namun jika dilakukan setiap hari tabungan anak-anak akan menjadi banyak ibarat kata peribahasa sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Kendatipun demikian, aspek menabung ini perlu dilihat dengan serius kerana tatkala kita mengharung gelombang pandemik COVID-19 ini, kos hidup semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya. Wang tabungan amat penting dan perlu direncanakan secara sistematik agar mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk melanjutkan pengajian dan sebagainya. Oleh sebab itu, dengan membawa bekal anak-anak juga dapat melatih diri supaya lebih matang dan proaktif dalam mengharungi tingkap globalisasi yang  kian mencabar kini dan sentiasa ingat akan peribahasa ingat sebelum kena jimat sebelum habis. Sikap ini haruslah dibentuk dari usia setahun jagung lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Maka jelaslah bahawa / [Sebagai pengikat wacana, jelaslah bahawa] membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.

       Setelah meneliti isu di atas secara mendalam dan terperinci, mauduk tentang kebaikan membawa bekal ke sekolah akan dibugar dari perspektif dapat menjimatkan masa anak-anak di sekolah. Tidak dapat disangkal bahawa masa sangat penting kepada anak-anak kerana masa itu emas. Masa rehat anak-anak di sekolah adalah terhad kerana sebahagian besar mereka berada di dalam kelas untuk proses pembelajaran. Sebagai contoh, masa rehat yang diperuntukkan kepada anak-anak di sekolah adalah sangat singkat iaitu antara 20 hingga 30 minit sahaja. Murid-murid perlu mematuhi masa rehat tersebut jika tidak mahu ketinggalan di dalam kelas. Bagi murid yang faham dan dapat menguruskan masa dengan baik, mereka dapat mengatasi masalah tersebut namun apa pula yang terjadi kepada pelajar yang kurang memahaminya dan tidak menghayati akan masa yang sudah diberi? Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa membawa bekal ke sekolah dapat menjimatkan masa murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila murid-murid membawa bekal ke sekolah, mereka tidak perlu lagi berbaris panjang untuk membeli makanan di kantin atau koperasi sekolah. Murid biasanya mengambil masa 5 hingga 10 minit dengan beratur untuk mendapatkan makanan sedangkan masa rehat adalah singkat. Mereka akan makan dengan cepat kerana masa rehat yang berbaki adalah singkat. Jadi jika mereka membawa bekal ke sekolah, mereka boleh terus makan di kantin tanpa beratur untuk mendapatkan makanan.  Murid hanya menghabiskan masa rehat sekitar 10 minit sahaja jika mereka membawa bekal ke sekolah. Masa yang ada selebihnya boleh digunakan oleh murid untuk pergi ke pusat sumber, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru, bertanya kepada guru mengenai topik yang tidak difahami, solat sunat dhuha dan sebagainya. Amalan ini wajar dipraktikkan oleh murid kerana pengurusan masa adalah sangat penting. Murid perlu menggunakan masa yang ada untuk meningkatkan kecemerlangan diri kerana masa ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya, nescaya masa akan memotong kita. Oleh itu, membawa bekal dapat menjimatkan masa murid-murid di sekolah.

       Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa terdapat pelbagai maslahat amalanmembawa bekal ke sekolah. Pelbagai inisiatif seyogia diimplementasikan untuk memupuk amalan membawa bekal ke sekolah dalam sanubari murid-murid. Oleh itu, pihak lain seperti pihak kerajaan dan ibu bapa haruslah memainkan peranan yang jitu supaya peribahasa seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tidak diamalkan dan melakukannya dengan istiqamah bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun melepaskan batuk di tangga. Murid haruslah merebut peluang tersebut dan berganding bahu kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi bagi menghayati tujuan membawa bekal ke sekolah dalam kehidupan kita. Harapan saya agar semua pihak menjangkau sehabis tangan untuk mencorakkan masa depan negara dengan warna seindah pelangi dalam merealisasikan misi dan visi agar anak-anak terhindar daripada sebarang penyakit dan mampu menjalani kehidupan yang sempurna.

 

Sumber http://blogcikguazaman.blogspot.com/ [sedikit pengubahsuaian, mohon izin]