30/10/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : LAPORAN (iv)

Sekolah anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak

Sepanjang bulan Ogos 2014, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2014 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia. Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya, beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Pada 12 Ogos 2014, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka. Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampai­kan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh-­tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan dipertanding­kan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2014 telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2014, telah diadakan Majlis Perarakan dan Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa  dan Guru. Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan, program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna­-warni dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".

Laporan disediakan,                                             10 SEPTEMBER 2014
    
(HALIM BIN OSMAN)
Tingkatan 4 al-Ghazali,

Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.  


13/10/2014

Kesilapan Ejaan (i)

KESILAPAN EJAAN (KATA MAJMUK)
SALAH
BETUL

SALAH
BETUL
acapkali
ada pun
adakala
andai pun
andaikata
apa kala
apa tah
atau pun
Aidil-fitri
aturcara
ambilalih
barang kali
begitupun
belumpun
biar pun
baikpulih
bandaraya
cendera mata
cahayamata
campurtangan
empatbelas
gambarajah
gantirugi
garispanduan
gunatanah
hakmilik
hapuskira
ibubapa
ibupejabat
ibusawat
isipadu
inipun
janakuasa
jasabaik
jawatan kuasa
jiwa-mu
jualbeli
kawalselia
kadang kala
kemaskini
kerapkali
keretapi
kerja sama
kerjatanah
kertaskerja
kuatkuasa
acap kali
adapun
ada kala
andaipun
andai kata
apakala
apatah
ataupun
Aidilfitri
atur cara
ambil alih
barangkali
begitu pun
belum pun
biarpun
baik pulih
bandar raya
cenderamata
cahaya mata
campur tangan
empat belas
gambar rajah
ganti rugi
garis panduan
guna tanah
hak milik
hapus kira
ibu bapa
ibu pejabat
ibu sawat
isi padu
ini pun
jana kuasa
jasa baik
jawatankuasa
jiwamu
jual beli
kawal selia
kadangkala
kemas kini
kerap kali
kereta api
kerjasama
kerja tanah
kertas kerja
kuat kuasa
lalulintas
latarbelakang
lebuhraya
lagi pun
mana pun
mana kala
merekapun
meski pun
olah raga
papantanda
penguatkuasa
pengubahmilik
pilihanraya
pasaraya
rekabentuk
rekabina
ruangniaga
samada
sebutharga
sediada
segitiga
sekaligus
senireka
suratcara
suratkhabar
susunatur
susutnilai
sediakala
selangseli
seringkali
sesungguh-nya
siapa-tah
sudahpun
sungguh pun
temubual
temuduga
tengahari
tuanpunya
tukarsyarat
telahpun
ulangtahun
urusetia
usahasama
walau pun
walaubagaimanapun
lalu lintas
latar belakang
lebuh raya
lagipun
manapun
manakala
mereka pun
meskipun
olahraga
papan tanda
penguat kuasa
pengubah milik
pilihan raya
pasar raya
reka bentuk
reka bina
ruang niaga
sama ada
sebut harga
sedia ada
segi tiga
sekali gus
seni reka
surat cara
surat khabar
susun atur
susut nilai
sedia kala
selang seli
sering kali
sesungguhnya
siapatah
sudah pun
sungguhpun
temu bual
temu duga
tengah hari
tuan punya
tukar syarat
telah pun
ulang tahun
urus setia
usaha sama
walaupun
walau  bagaimanapun

12/10/2014

Soalan Karangan Klon SPM

Anda telah dilantik sebagai pengawas pusat sumber.
Sebagai pengawas pusat sumber, bincangkan peranan anda untuk membantu pihak sekolah menanamkan minat membaca dalam kalangan rakan-rakan di sekolah anda.





11/10/2014

KARANGAN SPM BAHAGIAN A (ii) - KITAR SEMULA

AMALAN KITAR SEMULA

Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah amalan kitar semula. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



             Sejak kebelakangan ini kempen kitar semula begitu giat dilaksanakan oleh kerajaan. Banyak usaha untuk menyedar­kan rakyat tentang kepentingan kempen ini giat dijalankan. Kitar semula ialah suatu kaedah memproses semula bahan­-bahan tertentu untuk digunakan sebagai bahan hasilan yang lain. Hal ini membayangkan kepada kita bahawa satu anjakan paradigma perlu dilakukan demi menjayakan hasrat murni kerajaan. Rakyat Malaysia perlu sepakat kerana muafakat itu berkat dan pelbagai maslahat yang diperoleh daripada kempen kitar semula.
             Amalan kitar semula memberi keuntungan kepada rakyat sekiranya dilakukan secara kolektif. Bahan-bahan buangan akan dikumpulkan di pusat pengumpulan sebelum dihantar ke kilang-kilang untuk diproses semula. Kilang-kilang akan mengeluarkan semula bahan-bahan yang dihasilkan seperti kertas tisu, tin-tin dan sebagainya. Melalui penghasilan bahan ini, kos pengeluaran dapat dijimatkan. Bahan-bahan itu pula akan dijual dengan harga yang lebih rendah. Manfaatnya dapat dinikmati oleh pengguna kerana pengguna tidaklah dibebani dengan harga yang tinggi untuk membeli barangan yang dihasilkan daripada bahan yang dikitar semula. Dalam hal ini, kita boleh menabung hasil daripada pendapatan kita. Walaupun jumlahnya mungkin tidak banyak, tetapi dalam jangka masa panjang boleh menjadi banyak kerana sedikit­-sedikit, lama-lama jadi bukit.
             Kitar semula juga merupakan suatu cara untuk mendidik rakyat agar bijak membuang sampah. Melalui program ini juga rakyat akan lebih prihatin dan bertanggungjawab. Hal ini menyebabkan negara kita lebih bersih, indah dan dapat me­narik pelancong-pelancong untuk berkunjung ke negara ini. Selain itu, bahan-bahan yang dibuang di merata-rata tempat akan mencemarkan alam sekitar. Melalui longgokan sampah dan bekas takungan seperti tin, tayar buruk dan sebagainya akan mengundang penyakit taun, malaria dan demam denggi. Amalan kitar semula dapat menghindarkan penyakit­-penyakit tersebut kerana tempat pembuangan sampah yang terurus berjaya mengelakkan penularan wabak ini. Hal ini juga bertepatan dengan lidah pendeta mencegah lebih baik daripada mengubati, sekali gus menjamin kehidupan yang selesa dan sejahtera kerana persekitaran yang bersih.
             Perkara yang menarik tentang kempen kitar semula ialah usaha ini dapat memberikan pendapatan tambahan kepada para pengguna. Mereka yang pandai merebut peluang boleh menjadikan usaha ini sebagai kerja tambahan untuk menam­bah pendapatan. Bahan-bahan buangan yang boleh dikitar semula akan dibeli oleh pusat pengumpulan bahan bua­ngan. Ringkasnya, kita memperoleh bahan-bahan ini secara percuma tetapi hanya memerlukan sedikit usaha dan kerajinan seperti kata pepatah, usaha itu tangga kejayaan. Programserampang dua mata ini jelas mendatangkan impak positif kepada rakyat kerana bukan sahaja berupaya menambahkan pendapatan isi rumah, tetapi juga kepada kewujudan industri hiliran yang berkaitan dengan bahan buangan. Implikasinya, pendapatan rakyat dan negara akan meningkat.
             Kesimpulannya, kempen kitar semula ialah suatu usaha yang sangat berfaedah kepada negara dan rakyat. Banyak pihak yang mendapat manfaat daripada usaha ini. Kempen ini seharusnya diteruskan agar lebih ramai rakyat tampil untuk menyahut seruan ini dan mengamalkan program kitar semula. Kita sepatutnya menjadikan program ini amalan dalam kehidupan kita kerana Islam sendiri mengingatkan kita bahawakebersihan itu sebahagian daripada iman. Hal ini selaras dengan impian Perdana Menteri yang mahu melahir­kan rakyat yang mempunyai minda kelas pertama.

CATATAN :
*    Perkataan atau rangkai kata berhuruf tebal (bold) menunjukkan pelajar mempunyai kemahiran berbahasa dan membuktikan peng­gunaan kosa kata luas di samping penggunaan ungkapan menarik yang sesuai dengan isu yang dibincangkan.

*    Ungkapan menarik : peribahasa, pantun, cogan kata, frasa menarik, petikan ucapan, kata-kata hikmat, petikan hadis, maksud ayat Al-Quran dan lain-lain.

KARANGAN SPM BAHAGIAN A (i) - PELANCONGAN





Di Malaysia, industri pelancongan merupakan salah satu punca pendapatan negara yang diperoleh melalui pengaliran masuk wang asing. Malaysia juga terkenal dengan destinasi hub halal dan menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya, Asia Barat, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Keindahan panorama dengan pasir yang memutih dan laut yang membiru sering menggamit pelancong datang ke negara ini. Buktinya, industri pelancongan Malaysia merekodkan purata kemasukan pelancong asing sebanyak dua juta setahun. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan industri pelancongan di Malaysia.

Usaha yang pertama ialah kerajaan perlu menyediakan prasarana yang mencukupi, selesa, jimat dan mudah. Hal ini demikian kerana, kemudahan ini memudahkan dan memberikan keselesaan kepada pelancong. Sebagai contoh, kementerian pengangkutan bekerjasama dengan kementerian pelancongan untuk menyediakan perkhidmatan seperti bas dan teksi dengan kadar yang berpatutan serta cekap dan efisien. Pihak perhotelan pula seharusnya menyediakan penginapan hotel yang selesa dan mengenakan bayaran yang berpatutan. Syarikat pelancongan juga boleh menyediakan khidmat pemandu pelancong untuk membimbing atau melayan pelancong asing ketika mereka berada di Malaysia. Dengan itu, imej negara yang baik boleh ditunjukkan kepada pelancong.

Di samping itu, kerajaan dan rakyat Malaysia boleh bergabung tenaga untuk mengadakan kempen promosi pelancongan di dalam dan di luar negara. Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia telah dijalankan setiap tahun bagi mempromosikan Malaysia. Rakyat Malaysia yang berada di luar negara yang melanjutkan pelajaran juga boleh menjadi duta kecil kepada Malaysia. Mereka boleh mempromosikan tempat-tempat yang menarik di Malaysia seperti Pulau Langkawi, Pulau Redang, Cameron Highland dan banyak lagi. Oleh itu, semua rakyat Malaysia memainkan peranan penting untuk memajukan industri pelancongan.

Selain itu, kerajaan juga boleh mengurangkan cukai belian barangan, peraturan imigresen perlu dilonggarkan dan menambah pusat perkhidmatan tukaran wang asing. Hal ini demikian kerana, pelancong asing dapat membeli belah di Malaysia dengan perbelanjaan yang sederhana. Sebagai contoh, Pulau Langkawi merupakan pulau bebas cukai yang menjadi destinasi pelbagai pelancong dari dalam mahupun luar negara. Di sana, mereka dapat membeli cenderahati, pinggan mangkuk, kraf tangan, dan coklat untuk di bawa pulang. Dengan itu, pendapatan penduduk setempat bertambah dan mereka dapat meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Kesimpulan 1
Kesimpulannya, usaha daripada semua pihak perlu bagi meningkatkan industri pelancongan di Malaysia. Hal ini demikian kerana, usaha daripada satu pihak sahaja tidak akan membuahkan hasil, seperti kata pepatah, tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jadi, untuk menjadi negara yang maju dalam industri pelancongan memerlukan usaha yang berterusan dan sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia.

Kesimpulan 2
Konklusinya, tidak dapat disangkal lagi bahawa semua pihak terutamanya kerajaan memikul tanggungjawab yang dominan untuk memajukan industri pelancongan di negara ini. Namun, kita sebagai anggota masyarakat perlu turut membantu. Hendrik Ibsen berkata ‘masyarakat adalah seperti perahu, semua orang perlu membantu untuk menentukan arah kemudinya’. Tanpa kombinasi usaha yang cukup padu dalam kalangan anggota masyarakat, nescaya tanggungjawab untuk memajukan industri pelancongan akan terabai. Peribahasa Melayu menyebut ‘bulat  air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Dengan kelestarian panorama semula jadi, kemudahan awam bertaraf dunia pastinya nama Malaysia akan gah di persada dunia dan menjadi tempat yang tidak boleh dipinggirkan daripada kamus pelancongan dunia.


03/10/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : LAPORAN (iii)

Sekolah anda telah mengadakan Hari Kantin pada minggu lepas. Sebagai setiausaha Hari Kantin, anda telah diminta untuk menulis laporan tentang program-program yang dijalankan pada hari tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Program Hari Kantin
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana

Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana telah mengadakan Hari Kantin pada 7 Ogos 2014 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari Kantin telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin Haji Ramli yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari tersebut dibuka kepada orang ramai dan kupon-­kupon disediakan untuk melicinkan urus niaga pada hari tersebut. Semua guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin dengan dibantu oleh para pelajar yang dipilih oleh guru-guru berkenaan.
Antara program yang telah dijalankan semasa Hari Kantin ialah pesta jualan makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata. Makanan pelbagai kaum disediakan oleh para guru dan pelajar seperti nasi lemak, laksa, capati, mihun, keropok lekor dan kuih bulan. Ada juga gerai yang menjual makanan tradisi pelbagai kaum seperti lemang, wajik, penganan dan sebagainya. Air batu campur, air tebu, ais yang dikisar dan air bergas turut dijual di bahagian gerai minuman. Rata-rata para pengunjung berpuas hati dengan kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari Kantin. Para guru dan pelajar yang berniaga pula tidak menang tangan sentiasa melayan para pelanggan yang membeli makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun ini terdapat banyak cenderamata dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T, alat tulis yang bercetak nama sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga yang berpatutan, kedai-kedai cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sambutan paling hebat dilihat di gerai makanan dan minuman kerana keghairahan pengunjung untuk merasai juadah yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini, para pelajar dapat mengenali makanan tradisi kaum lain di negara ini. Justeru, secara tidak langsung Hari Kantin telah berjaya mempromosi makanan tradisional kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu, pada hari ini juga diadakan program pameran hasil kerja para pelajar sekolah. Antara hasil kerja yang dipamerkan ialah model sebatang rokok sempena kempen Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan Teknologi Kejuruteraan. Selain itu, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya juga telah mempamerkan hasil kerja mereka seperti carta nilai­-nilai murni dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di samping itu, para pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan seni khat secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang kejayaan sekolah turut dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab Hoki yang telah menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa orang pelajar yang telah menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan sebagainya. Dengan mengadakan pameran, para pengunjung dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2013. Sebagai serampang dua mata, pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi pihak sekolah agar para pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah pada- masa depan. Manakala ibu bapa juga dengan senang hati membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Program lain yang diadakan sempena Hari Kantin ialah aktiviti permainan. Sebagai contohnya rumah hantu yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah dan Geografi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke rumah hantu adalah sebanyak RM2. Banyak pengunjung beratur di luar kelas untuk merasai pengalaman seram apabila berada di dalam rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa mereka berasa seolah-olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan hantu-hantu yang menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing ikan, meneka jumlah berat kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah patung. Kanak-kanak pula mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan di padang sekolah seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah. Di samping itu, belon-belon secara percuma turut diedarkan kepada kanak-kanak oleh badut yang menceriakan suasana pada hari tersebut dengan telatah lucunya ketika mengusik kanak-kanak. Salah satu aktiviti permainan yang paling mendapat perhatian para pengunjung ialah menunggang kuda dengan bayaran RM5 selama 20 minit. Walaupun agak mahal namun aktiviti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para pengunjung yang tidak pernah merasai menunggang kuda.
Sebagai acara selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik sekolah telah memainkan lagu-lagu mengikut permintaan para pelajar dan pengunjung. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu. Banyak pilihan lagu yang ke udara mengikut permintaan seperti rentak jazz, sentimental, rock, balada dan asli. Para pelajar paling menyukai aktiviti ini kerana nama pembeli dan penerima lagu disebut oleh juruhebah yang bertugas. Dalam segmen ini, banyak guru menerima lagu daripada para pelajar dengan ucapan terima kasih kerana telah membimbing mereka dalam bidang pelajaran. Hakikatnya, acara ini berjaya memupuk sikap menghargai guru dalam kalangan pelajar. Sambil melihat program yang lain, para pengunjung juga memasang telinga untuk mengenal pasti sama ada nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak. Sambutan yang hangat oleh para pelajar menyebabkan sebanyak 600 buah lagu dipasang sepanjang majlis Hari Kantin berlangsung. Sambil menyelam, minum air, sebenarnya satu per tiga hasil kutipan untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah Anak Yatim Bakti yang terletak bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak langsung para pelajar didedahkan dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
Akhir kata, Hari Kantin yang dijalankan berjaya mengutip hasil yang melebihi sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin adalah sebanyak RM30,000 Pihak sekolah telah menyasarkan kutipan sebanyak RM15,000 Pencapaian ini membanggakan pihak sekolah yang diibaratkan seperti kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat setempat merupakan sumber sokongan utama kejayaan pihak sekolah. Walaupun warga sekolah terpaksa mengorbankan hari Ahad mereka, namun apabila melihat kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa puas. Pengetua mengumumkan bahawa hari Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah bolehlah berehat pada hari tersebut.

Dilaporkan oleh,                                                      20 OGOS 2014

   pettym
………………………
(SITI PETIMAH BINTI IBRAHIM)
Setiausaha Hari Kantin,
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana.

02/10/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : LAPORAN (ii)

Selaku setiausaha Kelab Remaja Tahan Lasak, anda telah turut serta dalam Perkhemahan Remaja Wawasan. Selepas pulang dari perkhemahan tersebut, anda diminta oleh Guru Penasihat untuk menyediakan suatu laporan lengkap tentang perkhemahan tersebut
Tulis laporan anda itu selengkapnya.


Perkhemahan Remaja Tahan Lasak
Kelab Wawasan Sekolah Menengah Seri Badang

       Ketahanan mental, fizikal, dan emosi merupakan persediaan awal yang harus ada pada setiap remaja. Selaras dengan slogan "Remaja Penggerak Wawasan", segala persediaan untuk memantapkan diri remaja hendaklah dijalankan terutama semasa mereka masih dalam alam persekolahan peringkat menengah lagi. Untuk memenuhi matlamat tersebut, Kelab Remaja Wawasan Sekolah Menengah Seri Badang telah mengadakan Perkhemahan Remaja Tahan Lasak.
       Perkhemahan ini mempunyai matlamat yang tersurat dan tersirat dalam usaha membentuk pelajar yang berdisiplin, bertanggungjawab, dan bersedia berhadapan de­ngan segala bentuk cabaran.  Dengan adanya aktiviti seperti ini, pelajar dapat didedahkan dengan pelbagai ragam kesulitan dan cabaran untuk meneruskan kehidupan. Pelajar harus didedahkan dengan pelbagai ragam kehidupan yang susah. Hal ini  demikian kerana selama ini mereka sentiasa dilingkungi oleh kesenangan yang telah disediakan oleh ibu bapa. Situasi tersebut amat ketara dalam kalangan pelajar di bandar. Beberapa objektif perkhemahan ini diadakan adalah seperti yang berikut:
(a)       membolehkan pelajar mengalami sendiri segala kesulitan apabila berada dalam situasi yang mencabar dan susah;
(b)       mendidik pelajar supaya bijak menyelesaikan masalah apabila berada dalam keadaan sukar, susah, dan memenatkan;
(c)        mewujudkan semangat kerjasama, toleransi, dan tabah sesama ahli persatuan terutama dalam situasi mencabar, dan
(d)       memupuk semangat kepemimpinan dan jati diri pelajar untuk berdepan dengan cabaran yang lebih getir pada masa yang akan datang.

       Perancangan awal mengadakan aktiviti perkhemahan ini telah diputuskan dalam mesyuarat ahli jawatankuasa tertinggi kelab. Dalam mesyuarat tersebut, ahli jawatankuasa kelab telah mengambil keputusan untuk mengadakan perkhemahan tersebut sebagai acara kemuncak kelab pada tahun ini. Perkhemahan ini juga men­jadi satu ujian terbesar yang harus dilalui oleh semua ahli sebelum mereka layak menerima sijil keahlian kelab. Perkhemahan ini penting juga sebagai penanda aras untuk melihat sejauh mana ketahanan setiap ahli sesuai dengan nama kelab, iaitu Kelab Remaja Tahan Lasak. Pada masa-masa yang lalu, setiap ahli persatuan dikehen­daki melalui beberapa proses dan ujian tahan lasak bagi membolehkan mereka mendapat pengiktirafan sebagai remaja tahan lasak. Oleh hal yang demikian, perkhemahan ini diharapkan dapat menjadi kayu pengukur ketahanan mereka.
       Ahli jawatankuasa telah memutuskan perkhemahan pada tahun ini diadakan di Pulau Tepur. Tempoh perkhemahan adalah selama seminggu, yakni ketika bermulanya cuti penggal pertama persekolahan. Pemilihan lokasi di pulau terpencil seperti itu bertujuan melatih pelajar agar membiasakan diri berada jauh daripada khalayak ramai dan bersesuaian dengan objektif latihan yang memerlukan kawasan untuk aktiviti lasak. Lokasi Pulau Tepur terletak kira-kira 15 kilometer dari tanah besar Pulau Langkawi. Keadaan persekitarannya amat bersih serta terhindar daripada segala anasir kegiatan manusia. Selain itu, keadaan pantainya yang landai dan air laut yang cetek tidak menimbulkan sebarang ancaman keselamatan yang berbahaya kepada peserta. Rimbunan hijau pohonan yang menghiasi kawasan lereng bukit dan pinggir pantainya amat mendambakan sebuah kehidupan yang tenang dan harmoni.
       Bersesuaian dengan objektif perkhemahan ini, iaitu remaja tahan lasak, peserta benar-benar diuji dengan ketahanan diri untuk menempuh pelbagai cabaran. Di sini peserta tidak dibenarkan membawa peralatan makanan siap atau makanan segera. Mereka hanya dibenarkan membawa peralatan memasak, beras, perencah me­masak, dan ikan bilis sahaja. Bahan makanan seperti sayur dan lauk hendaklah diperoleh daripada sumber tempatan sama ada di laut atau di darat. Bagi tempat berteduh pula, peserta dikehendaki membuat khemah daripada bahan-bahan asli yang terdapat di pulau tersebut. Mujurlah kayu dan bertam mudah diperoleh. Oleh itu, peserta tidak menghadapi kesulitan untuk membina khemah.
       Aktiviti lasak merupakan modul utama yang mesti dilalui oleh setiap peserta. Mereka akan dinilai oleh dua orang jurulatih daripada Unit Bomba dan Penyelamat yang diundang khas oleh pihak sekolah. Guru penasihat, iaitu Encik Izham juga salah seorang yang memiliki sijil penyelamat peringkat tiga yang melayakkan beliau mengiringi dan memantau setiap aktiviti peserta. Antara aktiviti lasak yang dimasukkan ke dalam modul ujian termasuklah kemahiran membuat rakit dan ujian masa berakit, ujian berenang, serta meredah ombak. Ujian lasak yang paling getir ialah pandu arah yang dijalankan pada waktu malam. Banyak peserta yang tersasar arah. Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak dapat mencari jalan keluar sehingga menjelang pagi. Walaupun agak perit, tetapi tiada peserta yang cuba mengelakkan diri malah mereka begitu bersemangat untuk mengambil bahagian.
       Selain menyelesaikan tugasan yang berkaitan dengan ujian ketahanan fizikal, peserta tidak terkecuali menjalani ujian mental dan pengetahuan asas tentang alam semula jadi. Sepanjang aktiviti lasak berjalan, mereka dikehendaki mencatat, melakar, melukis, dan mengingat segala sumber alam yang diambil, ditemukan, dan dilalui. Rekod tersebut perlu disimpan untuk dinilai sebagai sumber pengetahuan asas peserta sebelum mereka menyertai ekspedisi.
       Secara keseluruhannya, perkhemahan ini menjadi kenangan yang amat berharga kepada semua peserta. Tuntasnya, peserta telah menjalani suatu ujian getir yang rata-ratanya belum pernah dialami oleh remaja seusia mereka. Hal ini demikian kerana mereka terpaksa berhadapan dengan pelbagai anasir alam, menghadapi kesulitan untuk menyediakan makan minum, terpaksa bertahan dengan serangan serangga seperti nyamuk dan pacat, meredah belantara dan ombak, serta menggunakan kesepaduan tenaga, mental, dan emosi yang semaksimum mungkin. Sungguhpun terasa perit dan sakit, tiada seorang pun peserta yang merungut malah bersedia untuk meneruskan cabaran. Sesungguhnya, perkhemahan ini telah berjaya menyediakan kelompok pelajar yang benar-benar tahan lasak dan layak diberikan pengiktirafan sebagai Remaja Wawasan Tahan Lasak.

Disediakan oleh,                                                          20 JUN 2014.


      tt
(SURAJ A/L KRISHNAN)
Setiausaha,
Kelab Remaja Tahan Lasak,
Sekolah Menengah Seri Badang.

01/10/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : LAPORAN (i)

Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen, Pertandingan Bahas Ala Parlimen, Deklamasi Puisi, dan Pementasan Drama Komsas antara aktiviti yang dijalankan sempena Minggu Bahasa di sekolah anda. Sebagai Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu tersebut, anda telah ditugaskan untuk menyediakan laporan tentang Aktiviti Minggu Bahasa yang telah dijalankan.
Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2014

Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria, Sungkai telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 12 hingga 16 Mac 2014 yang lalu. Pelbagai aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan selama lima hari tersebut. Puan Maizura bt Abd Rahman selaku Penyelaras Persatuan Bahasa Melayu bersama dengan guru-guru penasihat yang lain telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang minggu Bahasa Melayu ini berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa Melayu telah dijalankan dengan begitu meriah sekali pada 12 Mac 2014. Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang dalam ucapan perasmian beliau telah memuji usaha yang dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria kerana telah mengambil langkah proaktif menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pada hari tersebut juga telah diadakan persembahan syair oleh dua orang pelajar tingkatan lima iaitu Nurul Afifah binti Nasri dan Mohd Shauki bin Aflin. Mereka mendendangkan syair yang telah dipilih sebagai johan Pertandingan Menulis Syair sempena Hari Kokurikulum 2013. Syair tersebut bertajuk Martabatkan Bahasa Melayu dan merupakan hasil tinta Aida Kartini binti Azman, pelajar Tingkatan 5. Selain dendangan syair, majlis perasmian juga diserikan oleh persembahan mendeklamasikan sajak oleh tiga orang pelajar berbilang kaum iaitu Nurul Azwani Husin, Preethi a/p Jayaseelan dan Jackiee Loke Jun Kit. Mereka berpadu suara mendendangkan sajak yang bertajuk Bahasa nukilan penulis terkenal Abdul Rahman Shaari dan Dirgahayu Bahasaku buah tangan Ahmad Sarju. Sajak yang didendangkan begitu harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita menggunakan bahasa dengan betul kerana bahasa mempunyai kepentingan yang tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi.
Pada 13 Mac 2014, Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen kategori menengah rendah dan menengah atas telah dijalankan. Tema penulisan cerpen dan esei tersebut ialah Bahasa Jiwa Bangsa. Hakim bagi pertandingan ini ialah Encik Saleh bin Shukur, Cik Petimah Ibrahim dan Puan Siti Umairah Ayub. Sebanyak 30 orang peserta mengambil bahagian dalam kategori masing-masing. Penilaian adalah berdasarkan isi, bahasa dan pengolahan. Tiga orang pemenang bagi setiap kategori telah dipilih berdasarkan esei dan cerpen masing-masing. Nur Shafika binti Asnan telah dipilih sebagai johan kategori menengah rendah dengan eseinya “Langkah-langkah Memartabatkan Bahasa Melayu” dan Fatin Adila Suraya binti Mohd Kamil  pula muncul sebagai johan kategori menengah atas. Tajuk esei beliau ialah “Bahasa Melayu Bahasa Ilmu”.  Manakala Pertandingan Menulis Cerpen pula dimenangi oleh  Muhammad Ammar bin Azman bagi kategori menengah rendah dan kategori menengah atas dimenangi oleh Nur Fazwana Hassan. Pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat para pelajar dalam bidang penulisan di samping melatih mereka menghasilkan karangan yang baik sebagai persiapan menghadapi peperiksaan. Selain itu, karya-karya yang terpilih akan dimuatkan dalam majalah sekolah untuk tatapan warga SMK Taman Satria.
Pada 14 Mac 2014 iaitu hari ketiga Minggu Bahasa Melayu dilancarkan, Pertandingan Bahas Ala Parlimen telah dijalankan. Pertandingan yang dijalankan secara kalah mati ini telah disertai oleh lapan buah pasukan. Sebanyak empat pertandingan telah dijalankan pada pusingan awal dan empat pasukan telah layak ke peringkat separuh akhir. Setelah tamat pusingan separuh akhir, pasukan Hang Jebat dan Hang Tuah telah berjaya mara ke peringkat akhir yang dijalankan pada 16 Mac 2014. Dalam pertandingan akhir ini, pasukan Hang Jebat sebagai pasukan pembangkang telah dinobatkan sebagai pemenang dengan menewaskan pasukan kerajaan yang diwakili oleh pasukan Hang Tuah. Pertandingan bahas sememangnya boleh dijadikan sarana bagi para pelajar untuk mengasah bakat berhujah di samping melahirkan idea yang mantap kerana para pelajar perlu menghujahkan idea-idea bagi mematahkan hujah pihak lawan.
Pertandingan Kuiz Bahasa Melayu dan Kuiz Sastera Melayu telah dijalankan pada hari keempat bertarikh 15 Mac 2014. Pertandingan yang terbuka penyertaannya telah mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada para pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pertandingan ini telah dijalankan di Dewan Seri Kenanga secara bertulis dan diawasi oleh enam orang Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Sebanyak 30 soalan objektif Tatabahasa dan 30 soalan struktur Sastera Melayu telah dikemukakan dalam kuiz tersebut yang memperuntukkan masa selama satu jam. Pertandingan ini diadakan bertujuan menguji pengetahuan pelajar dalam tatabahasa Bahasa Melayu dan aspek-aspek Sastera Melayu seperti gaya bahasa, teknik penceritaan, persoalan dan lain-lain lagi yang biasanya disoal dalam peperiksaan bagi kertas bahasa Melayu. Pihak penganjur amat berharap agar aktiviti begini dapat membantu para pelajar menambahkan ilmu pengetahuan di samping mewujudkan semangat bersaing demi mencapai kegemilangan. Setelah keputusan pertandingan diumumkan, kemenangan berpihak kepada kumpulan Mawar yang terdiri daripada tiga orang ahli kumpulan.
Seterusnya, pada 16 Mac 2014, Majlis Penutupan Rasmi Minggu Bahasa Melayu telah diadakan. Pada tarikh ini, Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria berasa begitu berbesar hati kerana Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Perak telah sudi merasmikan majlis penutupan ini. Hati setiap ahli Persatuan Bahasa Melayu berbunga riang mendengar pujian daripada Tuan Pengarah dalam Ucapan Perasmian Penutupan beliau. Beliau telah melahirkan harapan agar program-program sebegitu diteruskan pada setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh para pelajar. Beliau juga berharap agar aktiviti begini diteladani dan diikuti oleh persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Selepas ucapan berakhir, persembahan nyanyian lagu-lagu  tradisional dan moden telah dipersembahkan oleh Persatuan Budaya SMK Taman Satria. Tamat sahaja persembahan nyanyian, upacara penyampaian hadiah dijalankan. Sekali lagi, Tuan Pengarah telah sudi tampil ke atas pentas untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dengan diiringi oleh Tuan Pengetua. Para pemenang telah menerima trofi, sijil dan wang tunai. Diharapkan hadiah yang diterima menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Selepas penyampaian hadiah, cenderamata kenang-kenangan telah disampaikan oleh Tuan Pengetua kepada  Pengarah Pelajaran Negeri Perak sebagai penghargaan kepada beliau yang sanggup meluangkan masa beliau yang begitu berharga untuk hadir ke majlis ini.
Pada keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2014 telah dapat dijalankan dengan jayanya hasil paduan tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras dengan cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat diteruskan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik.

Laporan disediakan oleh                                                   20 MAC 2014
            Kavitha              a
Kavitha Kaur a/p Manjeet Singh
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu

SMK Taman Satria, Sungkai.

22/09/2014

Pecutan Akhir SPM 2014 : SURAT KIRIMAN

Yayasan Amal telah menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara kepada pemohon yang berjaya. Anda turut memohon biasiswa tersebut tetapi anda tidak berjaya. Anda bercadang menulis sepucuk surat kepada pihak berkenaan untuk merayu supaya pemohonan anda dipertimbangkan semula dengan memberikan alasan yang munasabah.
Tulis surat itu selengkapnya.


Muhammad Ammar bin Zuhair.
1961, Lorong Permaisuri 2,
Taman Permaisuri,
35600 Sungkai.
_______________________________________________________
Tuan Pengarah,
Yayasan Amal Negeri Perak,
Tingkat 2, Bangunan Pusat Islam,
Jalan Panglima Bukit Gantang,
30020 Ipoh.                                                     20 SEPTEMBER  2014.

Tuan,

Rayuan Pertimbangan Semula Permohonan Biasiswa

Saya ingin menarik perhatian tuan tentang perkara di atas. Surat tuan bil (18) dlm. YAN Pk/007/04 yang bertarikh 06 Julai 2014  telah selamat saya terima. Sesungguhnya saya berasa amat dukacita kerana pihak tuan telah menolak permohonan saya untuk mendapatkan biasiswa tanpa sebarang alasan ataupun penjelasan yang sewajarnya. Memandangkan ini merupakan peluang yang pertama dan mungkin terakhir saya ditawarkan tempat di Universiti Oxford, London saya dengan rasa rendah diri mengemukakan rayuan agar pihak tuan mempertimbangkan semula permohonan saya.

2.     Seperti yang tuan maklum, biasiswa ini hanya ditawarkan kepada pelajar-pelajar  bumiputera  yang memiliki keputusan cemerlang di dalam peperiksaan SPM yang lalu. Sememangnya saya menepati syarat tersebut kerana saya merupakan salah seorang pelajar terbaik yang pernah dilahirkan di daerah Sungkai ini dengan mendapat keputusan 10A keseluruhannya. Saya mendapat A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Pendidikan Islam, Prinsip Akaun, dan Sejarah manakala A- dalam mata pelajaran Biologi. Saya percaya pihak Universiti Oxford menerima saya sebagai salah seorang  pelajar bidang kedoktoran adalah berdasarkan kecemerlangan akademik saya. Apakah anak bumiputera yang secemerlang ini masih belum layak untuk menerima sumbangan biasiswa daripada pihak tuan?

3.    Saya akui, kecemerlangan akademik bukanlah satu jaminan mutlak yang begitu meyakinkan pihak tuan. Lantaran itu, sukacita saya nyatakan di sini bahawa saya juga melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum terutamanya sukan olahraga. Di samping mewakili sekolah dan daerah di peringkat MSSPK, saya juga terpilih untuk mewakili negeri Perak ke peringkat MSSM yang telah diadakan di Perlis pada tahun 2012 dan di Pahang pada tahun 2013. Mungkin kerana ketrampilan saya, pihak Jawatankuasa Pemilihan Sukma Negeri Perak telah memilih saya sebagai salah seorang peserta mewakili negeri Perak ke Kejohanan SUKMA di di Pahang 2012 dan Perlis 2014 bagi acara 100 meter dan 4 x 100 meter. Saya berasa sungguh bangga terpilih kerana ini merupakan satu peluang untuk saya bersaing dengan jaguh pecut terkemuka negara iaitu Muhd Nur Imran Hadi. Untuk makluman tuan juga, kemuncak keterlibatan saya dalam bidang sukan ialah pemilihan saya sebagai Olahragawan Negeri Perak 2013 yang lalu.

4.    Saya difahamkan bahawa penolakan permohonan saya adalah kerana Yayasan Amal memberi keutamaan kepada penuntut-penuntut di universiti tempatan. Sebenarnya, bukan saya memandang rendah terhadap keupayaan universiti tempatan kerana mana-mana universiti pun di dunia ini sama sahaja darjat dan martabatnya tetapi disebabkan kelulusan saya yang sebegitu rupa mendorong saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Apatah lagi bidang yang ditawarkan adalah bidang kedoktoran, satu bidang yang menjadi idaman dan cita-cita saya sejak di bangku sekolah lagi. Tambahan pula negara kita sememangnya kekurangan doktor sehingga kita terpaksa meminjam doktor dari India dan Pakistan. Oleh yang demikian, pemergian saya ke sana sedikit sebanyak akan membantu kerajaan mengatasi masalah kekurangan doktor di negara kita.

5.   Pihak tuan juga mensyaratkan bahawa setiap pemohon mestilah mempunyai pendapatan  kurang daripada RM 800.00 sebulan. Seperti yang telah saya maklumkan dalam surat saya terdahulu, pendapatan ayah  saya yang bekerja sebagai buruh binaan hanyalah sebanyak RM 850.00 sebulan. Wang sebanyak itu perlu digunakan untuk membiayai perbelanjaan harian keluarga di samping menanggung perbelanjaan persekolahan empat orang adik saya lagi. Hakikat yang tuan perlu terima bahawa dalam keadaan sekarang yang taraf kehidupannya tinggi, pendapatan sebanyak RM 850.00 sebulan bukanlah satu jumlah yang besar. Tidak salah jika saya katakan bahawa tahap tersebut selayaknya berada pada garis kemiskinan memandangkan kos hidup yang tinggi pada masa ini. Jadi, pemergian saya ke sana juga bermatlamatkan untuk mengeluarkan keluarga saya daripada belenggu kemiskinan di samping menjadi contoh dan teladan kepada adik-adik saya.

6.   Bersama-sama ini saya sertakan sekali lagi perkara-perkara berikut untuk makluman pihak tuan.
               I.  Slip gaji terakhir ayah saya.
              II.  Slip keputusan SPM saya.
             III.  Salinan sijil-sijil yang berkaitan.

7.   Sekali lagi saya melahirkan harapan saya dan keluarga saya agar pihak tuan dapat memberikan pertimbangan yang seadil-adilnya terhadap rayuan saya ini. Atas segala pertimbangan dan keprihatinan tuan, saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang benar,

         ammar
___________________
(MUHAMMAD AMMAR BIN ZUHAIR)












Adik anda bakal menduduki peperiksaan SPM. Adik anda ingin mengetahui ciri-ciri untuk memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Balas surat adik anda itu.

18, Blok E,
Kolej Tun Dr. Ismail,
Universiti Putra Malaysia,
43300 Seri Kembangan.

20 September 2014.

Menemui adinda Anum di Pekan, Pahang semoga dalam keadaan sihat dan sejahtera. Ketika menulis surat ini, kekanda dalam keadaan sihat, diharapkan adinda Anum dan seluruh ahli keluarga lebih-lebih lagi.

     Dua hari lalu kekanda menerima surat daripada adinda. Sebenarnya kekanda mahu segera membalas surat tersebut tetapi disebabkan kesibukan menyiapkan tiga tugasan yang diminta oleh pensyarah, kekanda menangguhkan dulu, hinggalah hari ini barulah ada sedikit kelapangan. Sebenarnya kekanda sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi  menghadapi peperiksaan semester akhir di Universiti Putra Malaysia ini. Doakanlah semoga kekanda memperoleh Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Komputer Forensik. Kejayaan ini, sesungguhnya menjadi bukti bahawa sesiapa juga boleh berjaya dalam pelajaran, asal sahaja bekerja keras mengulang kaji pelajaran dari awal lagi.

Adinda Anum,
     Bagi kekanda, usaha yang pertama ialah dari diri sendiri, iaitu menyediakan diri dan minda untuk belajar. Hal ini bermakna, seseorang pelajar jika ingin berjaya, perlu bersedia untuk belajar. Sebab, bukan mudah menjadi seorang pelajar; terpaksa bangun pagi, bergegas naik bas, terpaksa menyudahkan tugasan yang guru suruh, mengambil bahagian dalam kokurikulum, dan menelaah pelajaran. Dengan hati yang rela, walaupun terpaksa menghadapi cabaran dan tugasan yang berat, segala masalah perlu dihadapi dengan tenang seperti kata pepatah kalau tak dipecahkan ruyung masanan dapat sagunya. Ketika belajar, ada ketikanya menerima kejayaan dan pada detik yang lain pula menghadapi kegagalan. Kejayaan dijadikan dorongan dan kegagalan pula dijadikan sempadan. Ingatlah kata orang tua-tua, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Berdasarkan pengalaman lampau, ramai teman kekanda ke sekolah kerana terpaksa disebabkan disuruh oleh kedua-dua orang tua. Akhirnya, yang ditemui hanyalah kegagalan setelah masa dan wang ringgit dicurahkan.
       Guru ibarat ibu bapa kita yang perlu dihormati dan disanjungi. Tanyalah kepada semua guru, tentu tidak ada yang mengharapkan kegagalan anak muridnya, sebaliknya mereka gigih berusaha memastikan anak muridnya berjaya dalam pelajaran dan hidup. Apa yang berlaku sekarang, ramai pelajar menganggap guru musuh yang patut dibenci gara-gara menghukum mereka yang melanggar peraturan sekolah. Guru tidak akan sesuka hari menegur, meleteri, dan merotan, jika peraturan yang ditetapkan dipatuhi. Disebabkan bersikap menentang, keberkatan dalam mencari ilmu tidak akan diperoleh. Ingatlah, sayangilah guru dan berusahalah merebut sebanyak mungkin ilmu di mindanya.

Adinda Anum yang dikasihi,
Sewaktu guru mengajar perlulah memberi tumpuan 100 peratus. Memang ada yang mengajak berbual ataupun mengusik, pedulikan mereka. Sesetengah daripada pelajar  menganggap, jika tidak memahami apa yang diajar oleh guru, boleh ditanya di pusat tuisyen. Sebenarnya jika tekun dan memahami sungguh-sungguh apa yang diajar guru, tidak perlu lagi membuang masa mengikuti kelas tuisyen. Namun, bagi mereka yang lemah, adalah digalakkan memanfaatkan masa mengikuti kelas tambahan. Mungkin suasana di kelas, pelajar ramai, panas dan tidak mempunyai peluang untuk bertanya menyebabkan pemahaman sesuatu tajuk sukar berkekalan di kotak fikiran. Sebab itu kekanda ingatkan, jika adinda Anum rasa perlu mengikuti tuisyen, tidak menjadi masalah, namun ketika guru mengajar di kelas, adinda perlu memberikan sepenuh perhatian.
Jadual waktu perlu ada bagi setiap pelajar yang inginkan kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Ada masa untuk belajar, ada masa untuk beriadah, dan berhibur. Balik dari sekolah, setelah bersolat zuhur, bolehlah membaca akhbar sambil mendengar lagu. Selepas itu, kemaskinikan nota pelajaran. Kerja sekolah yang guru suruh perlu disiapkan. Jam 6.00 hingga 7.00 petang bolehlah beriadah sesama rakan sebaya. Sebenarnya aktiviti bersukan, sama ada menerusi permainan ataupun berlari boleh merehatkan minda, sekaligus mengurangkan tekanan. Seelok-eloknya makan malam sebelum waktu maghrib, sebab sejam selepas makan daya ingatan kurang mampu berfungsi. Selepas maghrib, eloklah mengulang kaji pelajaran. Jika pun mahu menonton televisyen hanyalah siaran berita sahaja. Dalam jadual, lebihkan belajar daripada berhibur.

Adinda Anum yang diingati,
       Cara belajar perlulah sistematik. Sebelum sesuatu tajuk diajar oleh guru, adinda perlulah menyediakan diri dengan membaca secara sepintas lalu. Selepas guru mengajar, perlulah membaca dan membuat latihan agar tidak lupa. Jika mahu sesuatu topik kekal lama di dalam ingatan, buatlah latihan sebanyak mungkin. Buku-buku latihan dan buku panduan boleh didapati di kedai buku di bandar Pekan. Kadang-kadang belajar bersendirian mudah mengantuk. Pada hari cuti, khususnya Sabtu dan Ahad bolehlah bawa teman-teman ke rumah; dua atau tiga orang untuk belajar. Namun, sebelum belajar perlulah menetapkan tajuk tertentu agar masing-masing bersedia. Sebaik-baiknya, pilihlah rakan yang mempunyai daya saing untuk memperoleh kejayaan; agar sama-sama mempunyai satu matlamat iaitu memperoleh sebanyak mungkin A dalam SPM.
       Semangat tidak mahu mengaku kalah perlu ada dalam diri. Rata-rata pelajar cepat berputus asa apabila menghadapi kegagalan. Apabila mempunyai jati diri yang kental dan bersemangat waja, yang difikirkan adalah kejayaan demi kejayaan. Dalam waktu yang sama, sebagai orang Islam perlu ingat, qadak dan qadar ketentuan Allah. Kita tidak tahu hikmah yang tersembunyi. Sebagai hamba-Nya, setelah berusaha perlulah memanjatkan doa. Dalam waktu yang sama, restu ayah dan ibu perlu kita pohon. Sebelum ke sekolah, jangan lupa mencium tangan ayah dan ibu. Inilah yang kekanda lakukan selama ini dan kekanda yakin Anum juga begitu. Sekiranya mempunyai semangat waja, gigih berusaha, berdoa kepada Allah, dan memohon restu daripada kedua-dua orang tua, insya-Allah kejayaan yang cemerlang akan menjadi kenyataan.
       Sebenarnya jika kekanda mahu tuliskan kesemuanya, barangkali boleh menghasilkan sebuah buku. Namun memadailah enam ciri tersebut. Sebenarnya kekanda yakin, ciri-ciri tersebut sudah adinda amalkan, sebab itulah pada peperiksaan akhir tahun lalu adinda memperoleh kejayaan cemerlang dan sebelum itu, menerusi peperiksaan PMR  adinda memperoleh 8A. Kekanda yakin adinda calon cemerlang di Pekan dan tahun depan akan melangkah ke universiti. Sebelum berpisah salam untuk adinda Ammar Zuhair, Syazana dan Afifah. Tidak lupa kepada kedua-dua orang tua kita yang jasanya begitu banyak dan tidak mungkin mampu kita membalasnya. Sehingga bertemu lagi, salam sayang daripada kekanda untuk semua.

Sekian, terima kasih.

Kekandamu di UPM.
   Ammar Hafiz