01/02/2017

KOMSAS TINGKATAN 3 : NOVEL CHOT

Sinopsis : CHOT

Novel ini berkisar tentang seorang kanak-kanak bernama Alias yang memiliki seekor beruk bernama Chot. Hubungan antara kedua-duanya sangat rapat kerana Chot amat diharapkan untuk membantu menyara kehidupan Alias dan ibunya. Ibu Alias mengalami lumpuh, manakala ayahnya telah meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat terjatuh semasa memanjat pokok kelapa. Chot merupakan peninggalan arwah ayahnya yang telah dilatih untuk memetik buah kelapa.
Alias tinggal dan membesar di Kampung Dingin. Dia tinggal di sebuah rumah yang sangat usang kerana hanya beratapkan daun rumbia, berdindingkan buluh, papannya pula sudah dimakan anai-anai, manakala tangganya diperbuat daripada batang kayu dan tempinis lama. Mujurlah Mak Su Kiah, iaitu jiran Alias seorang yang baik hati dan selalu menghantar makanan untuk mereka.
Som ialah jiran dan sahabat Alias yang paling rapat serta memahaminya. Mereka bersekolah di sekolah yang sama. Cabaran hidup Alias bertambah rumit apabila Cikgu Sunan, iaitu guru mata pelajaran Matematiknya telah menengkingnya sehingga membuatkan Alias terkejut dan jatuh terlentang. Telinga Alias terkena pada bucu meja rakannya. Akibatnya, telinga Alias bengkak dan bernanah serta berbau busuk. Alias mengambil keputusan untuk tidak datang ke sekolah kerana berasa malu.
Chot pernah hilang sebanyak dua kali. Alias mencarinya di sekeliling kawasan kampung kerana dia amat sayang akan beruknya itu. Alias dan Chot mengambil upah dengan memetik buah kelapa di kebun Pak Din, iaitu ayah Som. Upah memetik buah kelapa itu telah digunakan oleh Alias untuk membeli barangan dapur bagi menyara kehidupannya dan ibunya. Alias dan Chot selalu diusik oleh Budin, Kamal, dan Talib semasa memetik buah kelapa. Pada masa yang sama, Chot telah dituduh menceroboh kebun Miah dan merosakkan setandan pisang miliknya. Pak Din berusaha untuk mententeramkan keadaan dan berjanji akan membayar ganti rugi atas kerosakan tersebut. Rupa-rupanya beruk yang merosakkan kebun pisang Miah itu bukanlah Chot.
Cikgu Sunan berasa bertanggungjawab atas tindakannya yang menyebabkan Alias jatuh terlentang sehingga telinganya bengkak dan bernanah. Beliau telah meminta bantuan Som untuk menunjukkan lokasi rumah Alias. Kehadiran Cikgu Sunan ke rumah Alias adalah untuk bertanyakan sebab Alias tidak datang ke sekolah sedangkan peperiksaan akhir akan bermula tidak lama lagi. Chot yang berada di atas pokok langsat berasa kurang senang akan kehadiran Cikgu Sunan. Alias yang baru pulang sambil membawa dua biji buah kelapa bersalaman dengan Cikgu Sunan. Cikgu Sunan ingin melihat telinga Alias yang bengkak dan bernanah itu.
Semasa Cikgu Sunan melihat telinga Alias, Chot yang berada di atas dahan pokok langsat telah meronta-ronta sehingga rantai yang mengikatnya putus. Chot menerkam dan menggigit lengan Cikgu Sunan. Alias cuba untuk melepaskan lengan Cikgu Sunan daripada gigitan Chot tetapi gagal. Alias mengambil lembingnya lalu merodok perut Chot hingga menyebabkan Chot terkulai dan mati. Alias berasa amat sedih kerana beruk yang selama ini membantunya mencari rezeki telah mati dan dia tidak dapat ke sekolah lagi. Cikgu Sunan menenangkan Alias dan berjanji akan menanggung segala kos persekolahannya sehinggalah dia memasuki universiti. Alias menguburkan Chot di tepi pokok langsat dan mencacakkan papan yang tertulis “Tunggu aku di pintu universiti, Chot". Alias memberitahu ibunya tentang hasratnya untuk ke sekolah pada hari esok.