14/05/2018

SAJAK HARI GURU 2019 : TERIMA KASIH CIKGU

🌷 SAJAK HARI GURU 2019 🌷

TERIMA KASIH CIKGU 

Terima kasih cikgu BAHASA MELAYU 

Dalam rimbunan kata bahasa yang tersurat 
Ada kuntum senyummu merungkai setiap yang tersirat 
Gurindam nasihatmu semerbak harum menjadi puisi
Kau mendidikku berbahasa dan berbudi
Menyantuniku agar lebih berani dan mengerti 
Antara keindahan kata yang dikota
Dan jeleknya dusta dan nista

Terima kasih cikgu MATEMATIK 

Aku terkenangmu pada setiap nombor dan angka 
Rumus formulamu membuat aku lebih peka dan cakna
Dari sifar hingga berbilion harta dosa dan pahala
Menegak dan memalang dalam carta korup dan haloba 
Kau gariskan sejelasnya sempadan linear
Agar aku tidak tersasar dari koordinat cita-cita
Dunia dan akhirat kau sempurnakan nisbahnya. 

Terima kasih cikgu SEJARAH 

Pada setiap detik silam kau bawa aku menjelajah 
Ada intan dan permata kukutip di setiap kisah
yang kuabadikan dalam khazanah resah
Bimbang berulang sumpahan dan padah
Menimpa negaraku menjadi punah ranah
Dek kerakusan penyembah nafsu serakah 
Seperti kaum yang sudah-sudah. 

Terima kasih cikgu GEOGRAFI

Menjadikan aku sedar berpijak nyata di bumi
Tersingkapkan rahsia alam yang hilang lestari 
Di peta hatiku kau tak jemu menggali dan mencari 
Bukan emas, bauksit, petroleum atau gas asli
Tetapi iman,  jati diri, karisma dan potensi
untuk merawati iklim duniawi
yang tenat dan kian bejat ini

Terima kasih cikgu SAINS 

Kemahiran aras tertinggi yang ingin kau gapai 
Di makmal beban tugas mu yang sering terabai
Kau tekuni bereksperimen dan menguji kaji
Dasar-dasar fiksyen yang maju mundur dan pergi
dan masih kau mampu tersenyum santai
saat kau terpaksa berhenti untuk meladeni 
bikar hatimu yang terpecah berderai 
Tatkala nakal ku menjadi-jadi

Terima kasih cikgu-cikgu

Dengan cara apapun kau berbakti
di perantauan nun jauh dari yang dikasihi 
di papan tulis jari jemari mu menari 
di pancuran wuduk mengajarku bersuci 
di balapan padang kau memacu lelah ku berlari
di dalam kereta mu menjadi nadi aktiviti 
di saat ku jatuh tersungkur kau suntikkan motivasi 
di bilik rawatan sakit demam ku kau ubati
di pentas hari kecemerlangan kejayaan ku dirai

Kau lah pejuang 

yang tidak didendang
Bertempur di medan pendidikan 
Dihujani peluru dari hadapan dan belakang 
Syukur.. Tuhan memberi mu benteng kewarasan
Pengorbananmu menuntut segalanya 
tidak semudah ABC, 123 dan alif ba ta
Untuk menggalas amanah agama bangsa dan negara 

Terima kasih cikgu 

Jazakallahu khair ya ustaz
Thank you sir
Kutitipkan padamu guru-guruku
Tanpa kau pernah memintanya
Sejak mula hingga tamat dering waktu
Ucapan itu menjadi doa dan inspirasi selalu
dalam lipatan kenangan yang abadi
Setelah kau tiada lagi
di sisiku atau di dunia ini
Semoga dirimu 
akan terus diterima 
dan dikasihi. 

Terima kasih. 

Cikgu 

abafudhail 2017 

01/05/2018

IBU!


 رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا 

Ya Allah, ampunilah aku dan kedua-dua orang tuaku, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Amin.