Pihak Kementerian
Pendidikan Malaysia telah menggalakkan sekolah-sekolah di negara ini
melaksanakan aktiviti lawatan sambil belajar dan
anda sering menyertai aktiviti tersebut.
Berikan pendapat tentang faedah-faedah yang dapat anda peroleh daripada lawatan sambil belajar.
Berikan pendapat tentang faedah-faedah yang dapat anda peroleh daripada lawatan sambil belajar.
Kunjungi
universiti dalam program lawatan sambil belajar
JOHOR BAHRU 4 Okt. - Pihak sekolah disaran
memasukkan kunjungan ke universiti dalam program lawatan sambil belajar yang
dianjurkan sejajar usaha untuk memberi pendedahan kepada pelajar sebelum
melangkah ke 'menara gading'.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Ahmad Maslan berkata, pemerhatiannya mendapati program seumpama itu lebih
tertumpu kepada tempat-tempat pelancongan dan bersejarah di negara ini.
"Saya yakin lawatan ke universiti mampu
memberi lebih manfaat dan pendedahan kepada pelajar, terutamanya yang bakal
mengakhiri zaman persekolahan, sekali gus mendorong mereka melanjutkan
pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya semasa merasmikan Program
Selangkah ke U di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr. Ir.
Zaini Ujang.
Pada majlis itu, kira-kira 100 pelajar tingkatan
empat melibatkan enam kawasan Parlimen di negeri ini iaitu Pontian, Batu Pahat,
Pasir Gudang, Sembrong, Kluang dan Segamat mengadakan lawatan sambil belajar
sehari di UTM dengan diiringi oleh guru masing-masing.
Semasa lawatan tersebut, pelajar dibawa mengunjungi
kampus universiti itu serta kawasan sekitar bagi memberi pendedahan kepada
mereka mengenai keadaan sebenar dalam kampus UTM dan pada masa sama berharap ia
mampu menjadi pendorong untuk lebih tekun belajar.
Sementara itu, Zaini turut mencadangkan supaya
lawatan sambil belajar ke universiti pada masa akan datang dapat menginap di
kampus, sekurang-kurangnya satu malam bagi membolehkan pelajar terlibat merasai
kehidupan sebenar sebagai seorang mahasiswa.
"Saya merasakan lawatan satu hari ini tidak
cukup kerana masa terlalu singkat. Kalau dapat bermalam, banyak lagi perkara
dan pengalaman dapat diperoleh mereka," katanya.
Pelajar KAYM ikuti lawatan sambil belajar
ke Istana Budaya
MELAKA 5 Feb. - Sebanyak 40
pelajar Kelab Kebudayaan dan Kesenian Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM)
mengikuti lawatan sambil belajar ke Istana Budaya, Kula Lumpur baru-baru ini.
Ketua Pembangunan Pelajar,
Zeti Akhtaa Muhamaad berkata, lawatan itu bertujuan memberi pendedahan kepada
penggiat seni budaya dalam kalangan pelajar KAYM berkaitan aktiviti kebudayaan
dan kesenian yang boleh memberi inspirasi serta pengalaman berguna kepada
mereka.
Menurutnya, program itu
membolehkan para peserta mendapat maklumat dengan lebih terperinci mengenai
suasana persekitaran di Istana Budaya di samping mendapat gambaran sebenar
proses pementasan dan pengurusan yang boleh dipelajari serta diaplikasikan di
kolej berkenaan.
"Lawatan ini merupakan
satu bentuk pembelajaran secara tidak formal kepada pelajar selain memberi
peluang kepada mereka mendekatkan diri dengan para karyawan serta budayawan
tempatan.
"Kerjasama antara KAYM
dan Istana Budaya ini amat penting dalam memastikan nilai seni budaya di
Malaysia dapat dimartabatkan dan dipertingkatkan dalam kalangan
mahasiswa," katanya.
Zeti Akhtaa berkata,
pendedahan para peserta itu juga akan menyuntik semangat cintakan budaya dalam
kalangan mahasiswa sekali gus menaikkan nama KAYM sebagai institusi pendidikan
tinggi bertaraf antarabangsa tetapi masih utuh menjaga nilai seni budayanya.
Menurutnya, KAYM sedia
menjalin kerjasama dalam bidang seni pada masa akan datang yang mampu
memberikan impak positif dan bermanfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Tambahnya, dalam lawatan
itu para pelajar turut melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menyaksikan
persembahan kebudayaan kumpulan penari-penari kesenian Istana Budaya yang
dipentaskan khas untuk para peserta KAYM.
Lawatan
sambil belajar elak murid alami tekanan
28 September 2014 2:16 AM
KUALA
TERENGGANU 27 Sept. - Ketika rata-rata sekolah berusaha gigih mengatur semula
program-program motivasi demi memulihkan kembali semangat para pelajarnya
akibat kebocoran kertas soalan Sains, Bahasa Inggeris dan Matematik dalam Ujian
Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 lalu, lain pula pendekatan yang digunakan
Sekolah Kebangsaan (SK) Belara di sini.
Bagi pihak sekolah,
dalam situasi sebegini usaha tidak hanya tertumpu kepada program latih tubi dan
kelas-kelas tambahan sebaliknya perlu disokong dengan aktiviti luar kelas bagi
mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan moral murid.
Serentak
dengan itu, guru besar sekolah berkenaan, Mat Saat Ibrahim berkata, pihaknya
memilih untuk meneruskan program lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur dan
Melaka kerana yakin langkah itu mampu memberi impak positif terutama kepada
pelajar.
"Sebenarnya
lawatan sambil belajar ini telah dirancang awal dan merupakan hadiah buat
kesemua 26 calon UPSR di sekolah ini di atas segala usaha yang telah
dilaksanakan mereka dalam peperiksaan itu, bagaimanapun kita tidak sangka
berlaku insiden kebocoran kertas soalan.
"Sekiranya
program ini dibatalkan pastinya menambahkan lagi kekecewaan mereka yang begitu
teruja untuk menyertai lawatan itu, justeru, pihak sekolah berpendapat tidak
salah untuk meneruskannya kerana sedikit sebanyak dapat menghilangkan seketika
tekanan yang dihadapi," katanya.
Mat Saat
memberitahu, lawatan sambil belajar selama tiga hari dua malam pada Rabu lalu
(24 September) seperti `menyelam sambil minum air’ kerana antara lokasi yang
menjadi kunjungan adalah Pusat Sains Negara, Petrosains dan Muzium Negara di
Kuala Lumpur manakala Zoo Melaka, Melaka.
Katanya,
segala maklumat dan informasi yang diperoleh sepanjang lawatan dalam mengenali
dunia melalui sains di lokasi-lokasi itu secara tidak langsung dapat
melengkapkan dan memberi persediaan bagi calon untuk menduduki semula peperiksaan
kertas Sains tidak lama lagi.
Lawatan
sambil belajar hasilkan piza sedap, berkualiti
04 Januari 2016 12:25 AM
Sempena cuti
persekolahan baru-baru ini, lebih 50 murid sekolah rendah sekitar Lembah Klang
berpeluang menimba pengalaman baharu mengenai proses penghasilan makanan pizza
menerusi program ‘Little Papa’ anjuran Papa John’s Pizza Malaysia.
Di bawah
program itu, murid menyertai bengkel membuat piza sempena lawatan sambil
belajar ke restoran Papa John’s Pizza di Kuala Lumpur.
Melaluinya,
murid didedahkan mengenai proses pembuatan piza Papa John’s iaitu ‘Better Ingredients.
Better Pizza’ dan mengetahui rahsia menghasilkan piza yang enak dan berkualiti.
Murid
kemudiannya diberi taklimat mengenai lawatan program lalu dibawa meninjau
operasi dapur restoran Papa John bagi membolehkan murid melihat sendiri
penghasilan pizza.
Ketika
lawatan itu, setelah selesai mengenali peralatan dapur dan bahan-bahan dalam
penghasilan piza, murid diajar membuat pizza sendiri bermula dengan doh kosong,
menyemai ‘topping’ kegemaran mereka bersama hirisan keju, menunggu pizza
dibakar dan akhirnya menikmati piza buatan masing-masing.
Suasana
restoran bertambah meriah apabila dipenuhi dengan gelak ketawa murid dan
kakitangan Papa John’s yang ceria sepanjang program berlangsung.
Pada
penghujung program itu, setiap peserta diberi Sijil Pencapaian dan lencana
Little Papa yang eksklusif, yang membolehkan mereka menikmati pizza percuma
bagi kunjungan seterusnya di restoran Papa John’s Pizza Malaysia.
Lawatan sambil belajar ke
loji air
BAK kata pepatah ‘melentur
buluh biar dari rebungnya’, begitulah juga bimbingan dan tunjuk ajar untuk
manusia.
Bagi melahirkan seorang
insan yang berilmu dan prihatin, kanak-kanak perlu diberi pendedahan dan
pendidikan yang berkaitan sejak di peringkat awal.
Dalam usaha tersebut,
sebanyak 40 kanak-kanak dari Tabika Kemas Parit 3, Sekinchan, Selangor telah
dibawa melawat Loji Pembersih Air di Parit Satu, Sungai Sireh, Tanjong Karang.
Lawatan sambil belajar yang
ditemani oleh ibu bapa masing-masing itu memberi peluang untuk mereka melihat
secara dekat bagaimana air sungai diproses sebelum dihantar kepada pengguna. Sepanjang
lawatan tersebut, kanak-kanak dan ibu bapa telah dibawa melawat sekitar kawasan
loji. Mereka turut diberi taklimat oleh pengurus tapak loji, Norazilan Miswat,
mengenai kerja-kerja memproses air untuk membolehkan ia bersih dan selamat
digunakan oleh orang ramai. Menurut Norazilan, loji tersebut mendapat bekalan
air mentah dari Sungai Tengi yang membawa bersama-samanya bahan terapung
seperti daun kayu dan sampah sarap.
“Loji ini sentiasa mendapat
perhatian pelawat terutamanya daripada kalangan pelajar sekolah dan tabika yang
ingin mengetahui dan mempelajari tentang bagaimana air dari sungai diproses,”
katanya.
Tambah beliau, loji yang
beroperasi 24 jam dengan 30 kakitangan itu berupaya menghasilkan 6 juta gelen
air bersih sehari. Jumlah tersebut mampu menampung 100 peratus keperluan
penduduk Tanjung Karang dan Sekinchan.