Sekolah
anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan
semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda
ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan
Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah
sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan
Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sepanjang
bulan Ogos 2018, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan
Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan
semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh
Tuan Haji Nasri Zainal Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, ketika
merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 12 Ogos 2018 di Dewan Sekolah
Menengah Kebangsaan Satria Perdana,
Sungkai. Tuan pengetua juga mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat
meningkatkan jati diri, menanamkan rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam
kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai pengorbanan para pejuang tanah
air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan
harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas
perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara
perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai,
dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka,
kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah
bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal
31". Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan
koir, pementasan drama patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit
Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru Sejarah sekolah ini telah
dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas komunis terhadap
Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia.
Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu
menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain
itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman
untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut
Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat
sirih pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam
ceramahnya, beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti
Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi
Dr. Amira, pejuang-pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri
untuk menerangi orang lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha
gigih dalam pelajaran demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu
pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para
pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Pada
14 Ogos 2018, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara
sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta
yang mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak
mereka. Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka
telah menyampaikan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang
tidak mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan
biografi tentang tokoh-tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat
tentang tokoh-tokoh tersebut dengan melayari Internet. Biografi yang telah
dihasilkan oleh para pelajar akan dipertandingkan. Keputusan pertandingan akan
diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak
sekolah juga pada 17 dan 17 Ogos 2018 telah menganjurkan lawatan sambil belajar
ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah
Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja
Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para
pelajar untuk melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri.
Balai Polis Bukit Kepong merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik
hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa pertempuran pasukan polis dengan
pengganas komunis. Manakala Makam Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam
salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula
merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah
Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri
Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai
acara kemuncak, pada 30 Ogos 2018, telah diadakan Majlis Perarakan dan
Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul
8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah
dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Setiap
individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan
semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-kata
semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia,
Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis
perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran perhimpunan dan
berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan, program pada pagi
tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan Haji Nasri Zainal
Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. Beliau
menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan perjalanan Sambutan
Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih dan tahniah
kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna
terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah
kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis
Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna-warni dan bersejarah itu melabuhkan
tirainya tepat pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".
Laporan disediakan, 10
SEPTEMBER 2018
(NUR ASYIQIN BINTI RAZMAN)
Tingkatan 4 al-Ghazali,
Sekolah Menengah Satria
Perdana, Sungkai,.
No comments:
Post a Comment