13/07/2019

LAPORAN AKTIVITI MINGGU BAHASA MELAYU


Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen, Pertandingan Bahas Ala Parlimen, Deklamasi Puisi, dan Pementasan Drama Komsas antara aktiviti yang dijalankan sempena Minggu Bahasa di sekolah anda. Sebagai Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu tersebut, anda telah ditugaskan untuk menyediakan laporan tentang Aktiviti Minggu Bahasa yang telah dijalankan.
Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2018

Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria, Ipoh telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 12 hingga 16 Mac 2018 yang lalu. Pelbagai aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan selama lima hari tersebut. Puan Nik Rosnita bt Abd Rahman selaku Penyelaras Persatuan Bahasa Melayu bersama dengan guru-guru penasihat yang lain telah merangka pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang minggu Bahasa Melayu ini berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa Melayu telah dijalankan dengan begitu meriah sekali pada 12 Mac 2018. Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang dalam ucapan perasmian beliau telah memuji usaha yang dijalankan oleh Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria kerana telah mengambil langkah proaktif menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pada hari tersebut juga telah diadakan persembahan syair oleh dua orang pelajar tingkatan lima iaitu Siti Nurnadhira Mohamad Ariff dan Amir Hamzah Bahari. Mereka mendendangkan syair yang telah dipilih sebagai johan Pertandingan Menulis Syair sempena Hari Kokurikulum 2015. Syair tersebut bertajuk Martabatkan Bahasa Melayu dan merupakan hasil tinta Aida Kartini binti Azman, pelajar Tingkatan 5. Selain dendangan syair, majlis perasmian juga diserikan oleh persembahan mendeklamasikan sajak oleh tiga orang pelajar berbilang kaum iaitu Nurul Farhana Wahidan, Preethi a/p Jayaseelan dan Jackiee Loke Jun Kit. Mereka berpadu suara mendendangkan sajak yang bertajuk Bahasa nukilan penulis terkenal Abdul Rahman Shaari dan Dirgahayu Bahasaku buah tangan Ahmad Sarju. Sajak yang didendangkan begitu harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita menggunakan bahasa dengan betul kerana bahasa mempunyai kepentingan yang tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi.
Pada 13 Mac 2018, Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen kategori menengah rendah dan menengah atas telah dijalankan. Tema penulisan cerpen dan esei tersebut ialah Bahasa Jiwa Bangsa. Hakim bagi pertandingan ini ialah Encik Saleh bin Shukur, Cik Petimah Ibrahim dan Puan Siti Umairah Ayub. Sebanyak 30 orang peserta mengambil bahagian dalam kategori masing-masing. Penilaian adalah berdasarkan isi, bahasa dan pengolahan. Tiga orang pemenang bagi setiap kategori telah dipilih berdasarkan esei dan cerpen masing-masing. Fatin Adila Suraya binti Mohd Kamil telah dipilih sebagai johan kategori menengah rendah dengan eseinya “Langkah-langkah Memartabatkan Bahasa Melayu” manakala Asmaq binti Rosli pula muncul sebagai johan kategori menengah atas. Tajuk esei beliau ialah “Bahasa Melayu Bahasa Ilmu”. Manakala Pertandingan Menulis Cerpen pula dimenangi oleh Ammar Zuhair bin Azman bagi kategori menengah rendah dan kategori menengah atas dimenangi oleh Nur Batrisya Hisyam. Pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat para pelajar dalam bidang penulisan di samping melatih mereka menghasilkan karangan yang baik sebagai persiapan menghadapi peperiksaan. Selain itu, karya-karya yang terpilih akan dimuatkan dalam majalah sekolah untuk tatapan warga SMK Taman Satria.
Pada 14 Mac 2018 iaitu hari ketiga Minggu Bahasa Melayu dilancarkan, Pertandingan Bahas Ala Parlimen telah dijalankan. Pertandingan yang dijalankan secara kalah mati ini telah disertai oleh lapan buah pasukan. Sebanyak empat pertandingan telah dijalankan pada pusingan awal dan empat pasukan telah layak ke peringkat separuh akhir. Setelah tamat pusingan separuh akhir, pasukan Hang Jebat dan Hang Tuah telah berjaya mara ke peringkat akhir yang dijalankan pada 16 Mac 2018. Dalam pertandingan akhir ini, pasukan Hang Jebat sebagai pasukan pembangkang telah dinobatkan sebagai pemenang dengan menewaskan pasukan kerajaan yang diwakili oleh pasukan Hang Tuah. Pertandingan bahas sememangnya boleh dijadikan sarana bagi para pelajar untuk mengasah bakat berhujah di samping melahirkan idea yang mantap kerana para pelajar perlu menghujahkan idea-idea bagi mematahkan hujah pihak lawan.
Pertandingan Kuiz Bahasa Melayu dan Kuiz Sastera Melayu telah dijalankan pada hari keempat bertarikh 15 Mac 2018. Pertandingan yang terbuka penyertaannya telah mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada para pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pertandingan ini telah dijalankan di Dewan Seri Kenanga secara bertulis dan diawasi oleh enam orang Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Sebanyak 30 soalan objektif Tatabahasa dan 30 soalan struktur Sastera Melayu telah dikemukakan dalam kuiz tersebut yang memperuntukkan masa selama satu jam. Pertandingan ini diadakan bertujuan menguji pengetahuan pelajar dalam tatabahasa Bahasa Melayu dan aspek-aspek Sastera Melayu seperti gaya bahasa, teknik penceritaan, persoalan dan lain-lain lagi yang biasanya disoal dalam peperiksaan bagi kertas bahasa Melayu. Pihak penganjur amat berharap agar aktiviti begini dapat membantu para pelajar menambahkan ilmu pengetahuan di samping mewujudkan semangat bersaing demi mencapai kegemilangan. Setelah keputusan pertandingan diumumkan, kemenangan berpihak kepada kumpulan Mawar yang terdiri daripada tiga orang ahli kumpulan.
Seterusnya, pada 16 Mac 2018, Majlis Penutupan Rasmi Minggu Bahasa Melayu telah diadakan. Pada tarikh ini, Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria berasa begitu berbesar hati kerana Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Perak telah sudi merasmikan majlis penutupan ini. Hati setiap ahli Persatuan Bahasa Melayu berbunga riang mendengar pujian daripada Tuan Pengarah dalam Ucapan Perasmian Penutupan beliau. Beliau telah melahirkan harapan agar program-program sebegitu diteruskan pada setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh para pelajar. Beliau juga berharap agar aktiviti begini diteladani dan diikuti oleh persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Selepas ucapan berakhir, persembahan nyanyian lagu-lagu  tradisional dan moden telah dipersembahkan oleh Persatuan Budaya SMK Taman Satria. Tamat sahaja persembahan nyanyian, upacara penyampaian hadiah dijalankan. Sekali lagi, Tuan Pengarah telah sudi tampil ke atas pentas untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dengan diiringi oleh Tuan Pengetua. Para pemenang telah menerima trofi, sijil dan wang tunai. Diharapkan hadiah yang diterima menjadi penyuntik semangat kepada para pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Selepas penyampaian hadiah, cenderamata kenang-kenangan telah disampaikan oleh Tuan Pengetua kepada Pengarah Pelajaran Negeri Perak sebagai penghargaan kepada beliau yang sanggup meluangkan masa beliau yang begitu berharga untuk hadir ke majlis ini.
Pada keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2018 telah dapat dijalankan dengan jayanya hasil paduan tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut telah berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras dengan cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat diteruskan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik.

Laporan disediakan oleh                                                      20 MAC 2018

            Kavitha              a
Kavitha Kaur a/p Manjeet Singh
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu
SMK Taman Satria, Ipoh.

No comments: