Kesan kecanduan Internet, ketagihan telefon pintar
IBU bapa perlu memantau penggunaan Internet
anak-anak mereka.
Statistik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)
pada 2016 mendapati bahawa dalam kalangan semua responden, pelajar menghabiskan
masa paling lama dalam talian iaitu pada purata 21 jam seminggu. Statistik ini turut disokong oleh Kajian Kesihatan
Morbiditi Kesihatan Negara 2017, enam daripada tujuh remaja sekolah berumur 13
hingga 17 tahun adalah pengguna aktif Internet. Apa yang lebih membimbangkan
ialah dua daripada tujuh remaja sekolah ini mengalami kecanduan Internet dan 94
peratus daripada mereka menggunakan telefon pintar bagi tujuan tersebut.
Ketagihan telefon pintar dan kecanduan Internet bertindan-tindih antara
satu sama lain. Antara simptom ketagihan telefon pintar adalah kurang upaya
mengawal penggunaan yang berterusan, menggunakan telefon pintar lebih lama
daripada tempoh yang dijangkakan, rasa gelisah dan tidak selesa jika tidak
menggunakan telefon pintar dan gagal dalam usaha mengurangkan penggunaannya.
Simptom-simptom ini seterusnya boleh merencatkan fungsi hidup seseorang.
Kesan ketagihan telefon pintar ini boleh dilihat apabila seseorang berterusan
menggunakannya tanpa mengendahkan kesan buruk yang dialami oleh tubuh badan dan
psikologi. Contohnya, penggunaan dalam situasi berbahaya seperti semasa memandu
atau menyeberang jalan dan penggunaan telefon pintar yang mengurangkan interaksi
sosial di sekolah, tempat kerja, mahupun di rumah.
Kajian yang dijalankan sebelum ini mengesahkan ketagihan telefon pintar
boleh membawa kepada sakit kepala, sakit belakang dan ketegangan mata. Di
samping itu, terdapat hubungan antara kebimbangan dan kemurungan ekoran
menyemak mesej-mesej, melayari rangkaian sosial, bermain permainan Internet,
dan melihat klip video secara berlebihan. Semua aktiviti ini boleh diakses
menerusi telefon pintar.
Terma-terma baharu seperti ringxiety (aduan mengenai masalah terhadap
deringan telefon), Nomophobia atau no mobile phone phobia (Fobia tiada telefon
bimbit), dan FoMo atau fear of missing out (Ketakutan merasa terputus daripada
dunia) mula muncul dan sangat berkait rapat dengan penggunaan telefon pintar
yang berlebihan.
Kajian melaporkan bahawa penggunaan Internet yang berlebihan boleh
menjejaskan kualiti tidur kanak-kanak dan remaja. Perkara ini disebabkan
berlaku pertukaran tempat antara waktu tidur yang telah ditetapkan dengan
penggunaan berterusan telefon pintar mahupun teknologi-teknologi lain. Dalam
kata lain, aktiviti tidur yang berjadual telah diganti dengan penggunaan
telefon pintar yang berterusan. Kajian juga menunjukkan remaja yang mengalami
tidur terganggu lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan mental, berat
badan berlebihan, dan penurunan prestasi akademik.
INFO
Dr. Michael Ungar,
seorang Profesor Kerja Sosial dan penulis buku terkenal Nurturing Resilience
menyarankan empat strategi utama dalam menangani masalah ketagihan telefon
pintar.
1. Kerjasama daripada syarikat pengeluar
telefon pintar dalam membina sistem operasi yang lebih berkesan iaitu mengunci
telefon pintar selepas ditetapkan had penggunaannya (beberapa jam bagi setiap
hari) kecuali untuk teks masuk, keluar atau panggilan dengan penjaga.
2. Kerajaan dan komuniti setempat berganding
bahu dalam menyediakan ruang dan aktiviti untuk para remaja berinteraksi sesama
mereka, mengambil bahagian dalam aktiviti kesenian dan sukan dan mempunyai
ruang yang selamat selepas mereka habis waktu persekolahan.
3. Sekatan terhadap penggunaan telefon pintar
di sekolah sama ada untuk tujuan pembelajaran mahupun komunikasi di antara
pelajar dan ibu bapa atau penjaga mereka.
4. Meletakkan telefon pintar di tempat yang
jauh dari tempat keluarga berkumpul sejurus pulang ke rumah selepas kerja dan
membataskan penggunaan telefon pintar ketika di rumah walaupun atas urusan
membalas mesej.
Ketagihan telefon pintar
merisaukan
07 November 2017
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Ketagihan melihat skrin telefon pintar dalam kalangan
generasi muda menjadi antara kebimbangan utama Kementerian Belia dan Sukan yang
menganggap perkara itu berisiko melahirkan generasi yang tidak sihat.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, kajian di negara ini mendapati 72
peratus daripada pengguna Internet adalah mereka yang berumur antara 7 tahun
hingga 35 tahun, sementara remaja berusia di bawah 18 tahun menghabiskan hampir
enam jam sehari melayarinya.
Katanya, ketagihan itu boleh mendorong kepada beberapa lagi gejala tidak
sihat seperti masalah disiplin dan jenayah, tidak aktif beriadah, masalah
mental, kurang bersosial dan tidak prihatin terhadap nilai-nilai masyarakat.
“Ketagihan ini
bukan hanya untuk anak muda tetapi merentasi semua lapisan umur. Tetapi
generasi yang lebih tua pada hari ini tidak mengalami pendedahan kepada dunia Internet
terlalu awal seperti golongan muda.
“Saya tidak menyatakan kita perlu mengharamkan Internet dan telefon
pintar kepada golongan muda. Tetapi sebagai masyarakat, kita perlu sama-sama
mencari penyelesaian untuk generasi muda yang ketagih dengan skrin,” katanya
berucap merasmikan Seminar Penyelidikan Belia Kebangsaan 2017 (Yours’17) di
sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan
Pembangunan Belia Malaysia (Iyres), Datuk Adnan Abu Hassan dan Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Dr. Zainah Shariff.
Kata Khairy, pelajar sekolah sendiri pada masa ini sudah menganggap
rakan-rakan di dalam laman-laman media sosial seperti Facebook dan Twitter
sebagai satu kepentingan selain menggunakan teknologi itu untuk meluahkan
perasaan tanpa berkongsi masalah dengan ibu bapa.
Beliau berkata, kebergantungan kepada digital menyebabkan generasi hari
ini tidak mempunyai gaya hidup yang aktif.
“Di Malaysia juga, seorang anak muda menghabiskan hampir lima jam di
sekolah, lima jam untuk Internet dan telefon, tiga jam untuk menonton dan tujuh
jam untuk tidur. Cabaran ini memberi pelbagai impak negatif lain menyentuh
aspek kesihatan, interaksi sosial dan kemahiran intelek,” katanya.
Katanya, jika tiada kawalan, gejala-gejala yang disebut itu berisiko
membuatkan generasi baharu lebih bersifat individualistik dan tidak mempunyai
sikap belas-kasihan.
Nomofobia jadikan pengguna hamba gajet
Masyarakat hari ini semakin
kurang berinteraksi disebabkan taksub terhadap gajet terutama telefon pintar. – GAMBAR HIASAN
2
TELEFON pintar mahupun gajet lain seperti tablet
kini sudah menjadi satu keperluan manusia di seluruh dunia. Tidak boleh hidup
tanpa telefon bimbit. Itulah perasaan setiap manusia sekiranya tertinggal alat
itu di rumah atau kehilangannya. Perasaan resah dan gelisah melanda. Kini,
ramai yang sudah tidak boleh hidup tanpa telefon bimbit. Tidak hairan jika
perasaan itu seolah-olah boleh disifatkan sebagai satu bentuk ketagihan baharu
yang melanda, bukan sahaja masyarakat Malaysia tetapi juga secara global.
Nomofobia iaitu satu perasaan takut untuk hidup
tanpa telefon atau gajet lain boleh bertukar menjadi masalah kesihatan yang
serius jika tidak ditangani segera. Tidak keterlaluan jika dikatakan nomofobia
ini telah menjadikan seseorang itu ‘hamba’ kepada isi kandungan yang boleh
dinikmati dari kewujudan gajet-gajet ini.
Walaupun penggunaan pelbagai jenis gajet ini
memudahkan kehidupan dalam era teknologi canggih hari ini, ia juga sebenarnya
mampu menjadikan hidup manusia kucar-kacir.
Apabila kita menghabiskan sebahagian besar masa
seharian dengan menghadap telefon sama ada melayan media sosial atau memeriksa
mesej secara berulang kali tanpa henti, itu sebenarnya satu tanda kita perlu
berwaspada.
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Psikologi
dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Jamiah Manap, secara purata
masyarakat Malaysia menghabiskan masa purata dua jam sehari melayan gajet. Antara
kandungan yang menjadi pilihan termasuk Internet, media sosial dan jaringan
sosial, permainan video dan paling buruk, melihat pornografi. Sifat gajet yang
menarik, dinamik, mudah dicapai dan digunakan di mana-mana sahaja serta
multifungsi menyebabkan seseorang itu tertarik dengan penggunaannya.
“Bagi kanak-kanak dan remaja, peranan ibu bapa dan
persekitaran juga memainkan peranan penting. Ini kerana apabila orang
sekeliling menggunakan gajet, secara automatik akan mencetuskan minat anak-anak
kecil untuk turut menggunakan atau memiliki gajet,” katanya.
Sementara itu, menurut data yang dikeluarkan
melalui Laporan Persona Pengguna Telefon Pintar oleh platform data pintar
terkemuka bagi pemasaran dan perniagaan mudah alih, Vserv pada Januari lalu,
mendapati secara purata rakyat Malaysia menghabiskan kira-kira tiga jam sehari
untuk melayan telefon pintar masing-masing.
Kadar pengguna telefon pintar di negara ini pula semakin meningkat dan
dijangka mencecah 11 juta pada penghujung tahun ini. Menurut laporan itu,
peningkatan itu dicetuskan oleh pengguna daripada golongan umur 30-an yang
mewakili 64 peratus, jumlah pengguna keseluruhan.
Walaupun perkembangan itu memberi impak positif kepada industri
telekomunikasi dan lain-lain, namun masyarakat juga terkesan daripadanya
terutama golongan remaja dan kanak-kanak.
Ramai tidak sedar bahawa pendedahan cahaya daripada telefon pintar boleh
mengurangkan waktu tidur sebanyak dua kali berbanding kesan minum kopi. Dengan
kata lain, cahaya telefon pintar berkeupayaan mengurangkan hormon melatonin
yang selama ini membantu kita untuk tidur dengan lebih nyenyak. Justeru,
sebaiknya-baiknya telefon pintar tidak dibawa ke bilik tidur kerana kesan
radiasi daripada cahaya yang keluar daripada skrin telefon pintar sangat
membimbangkan terutama terhadap kesihatan mata. Letaklah telefon pintar di
bilik lain agar tempoh tidur kita tidak terjejas.
Dalam
pada itu, kesan psikologi kepada pengguna telefon pintar ialah mereka tidak
dapat bersosial dan berinteraksi dengan baik dalam bermasyarakat. Apabila
berlaku ketagihan melampau, pengguna telefon pintar akan tersisih daripada
kegiatan bermasyarakat. Inilah implikasi yang akan berlaku sekiranya ketagihan
menggunakan telefon pintar gagal dibendung.
PROF. MADYA DR. ISMAIL ABDULLAH, USIM
Jangan biarkan diri jadi hamba gajet
25 Ogos 2016 6:10 PM
4
KEMAJUAN pesat teknologi maklumat dan komunikasi
membolehkan pelbagai gajet seperti telefon pintar dan tablet dapat dicipta
secara berterusan untuk kegunaan dan kemudahan manusia. Evolusi peralihan gajet
dilihat cukup drastik dan nampaknya sudah mula mempengaruhi gaya hidup seharian
kita sehingga wujud situasi di mana seolah-olah kita tidak boleh hidup tanpa
gajet.
Memasuki era teknologi maklumat yang serba canggih
ini amat sukar untuk kita elak, lari mahupun tidak mempedulikan kemajuan dunia
teknologi moden. Ini kerana kita akan jauh ketinggalan andai memusuhi kemajuan
teknologi. Ringkasnya, kita tiada pilihan kecuali prihatin segala perkembangan
teknologi baru yang dicipta hampir setiap hari di seluruh pelosok dunia.
Ironinya walaupun kebanyakan teknologi seperti gajet dan tablet ini dicipta
untuk kemajuan umat manusia dari pelbagai aspek namun jangan dilupakan betapa
masih ramai yang turut mengambil kesempatan, menyalah guna dan memanipulasi
kecanggihan gajet yang ada untuk tujuan yang salah dan dengan niat yang tidak
betul.
Bagi Malaysia, kita adalah sebuah masyarakat Timur
yang kaya dengan pelbagai nilai murni yang diamalkan dalam kehidupan seharian.
Antara nilai murni yang boleh kita banggakan adalah hormat pada orang yang
lebih tua, mengutamakan hubungan kekeluargaan dan kasih sayang, berbicara
dengan penuh berhemah serta sopan dan santun, boleh bertolak ansur dan kaya
dengan pelbagai budi bahasa lain. Nilai dan peradaban ini diajar, dididik dan
diasuh sejak kecil lagi. Ia menjadi budaya dan satu amalan yang sangat
signifikan apabila dikaitkan pula dengan tuntutan dan ajaran agama
masing-masing.
Namun sedihnya pada hari ini kita dapat lihat
dengan jelas betapa nilai-nilai murni dan peradaban sebagai masyarakat timur
itu seolah-olah semakin terhakis dari masyarakat kita terutamanya golongan
muda. Ringkasnya, kemajuan teknologi dilihat semakin menghakis nilai-nilai
murni dalam masyarakat kita, malah lebih teruk lagi keadaan menjadi
seolah-olah masyarakat kita terutamanya golongan muda kelihatan semakin
menjadi hamba kepada teknologi ciptaan Barat.
Kemudahan Internet terutamanya media sosial terus
menjadi duri dalam daging dalam masyarakat kita. Walaupun media sosial banyak
kebaikannya namun penyalahgunaan kemudahan ini terus mendatangkan pelbagai
kemudaratan kepada masyarakat. Golongan muda yang dilihat begitu taksub dengan Internet
dan media sosial dilihat mudah hanyut sehingga mengorbankan dan melacurkan jati
diri masing-masing.
Pelbagai kenyataan, gambar, video mahupun
komen-komen yang dimuat naik dalam media sosial pada hari ini dengan jelas
menggambarkan betapa teruknya kesan negatif teknologi moden seperti ini.
Persoalannya kenapa perkara sebegini mudah berlaku? Ini tidak lain kerana pada
hari ini kita mampu mengakses dan melayari Internet pada bila-bila masa dengan
menggunakan pelbagai gajet yang serba canggih.
Dengan kemudahan telefon pintar dan tablet
misalnya, pelbagai komen negatif melalui aplikasi seperti Facebook ataupun
Instagram dilontarkan dengan mudah sehingga memberi gambaran seolah-olah
masyarakat kita terutamanya golongan belia semakin jauh dari nilai-nilai murni
yang menjadi pegangan dan amalan kita selama ini.
Akibatnya pelbagai kontroversi tercipta di alam
maya hingga mencetuskan pergaduhan mahupun fitnah di alam nyata yang akhirnya
boleh mengancam keselamatan, perpaduan dan keamanan rakyat dan negara secara
keseluruhannya.
Justeru, isu ketagihan kepada gajet umpama gian
kepada dadah ini perlu ditangani dengan bijak dan segera sebelum menjadi
semakin kritikal ataupun sukar untuk dikawal. Hal ini kerana kajian terbaharu
pihak UUM dan Iyres terhadap pengaruh televisyen dan media sosial terhadap
golongan belia di negara ini menunjukkan lebih 60 peratus daripada golongan
belia berusia 18 hingga 25 tahun didapati menghabiskan masa lebih lima jam
sehari untuk melayari Internet terutamanya bahan berunsur hiburan. Ini
menunjukkan betapa golongan belia kita ketagih dan terus menjadi hamba kepada
teknologi dan gajet. Maka persoalannya, apakah data ini belum cukup untuk
merisaukan kita semua?
Pada masa sama, dari satu sudut lain pula, dengan
adanya pelbagai gajet baru ini hubungan sesama manusia juga dilihat semakin
renggang dan terjejas. Paling kritikal hubungan kekeluargaan juga didapati
semakin merisaukan kerana aplikasi rangkaian sosial seperti Facebook, WhatsApp,
WeChat, Instagram dan YouTube dilihat sedang melahirkan golongan antisosial di
mana mereka lebih suka menjadi hamba teknologi daripada berkomunikasi mahupun
menjalinkan hubungan dengan rakan dan juga ahli keluarga.
Contoh yang paling kerap kita lihat sekarang adalah
suasana di meja makan di mana-mana kedai makan malah termasuk di rumah juga.
Kalau dulu kita boleh lihat betapa mesranya rakan mahupun ahli keluarga
berborak mesra sehingga kadang-kadang kedengaran bunyi ketawa terbahak-bahak
namun pada hari ini kita akan lihat suasana sunyi sepi kerana masing-masing
menghadap telefon pintar dan tablet untuk melayari pelbagai aplikasi rangkaian
sosial. Adakah fenomena ini sihat untuk membina keluarga yang bahagia?
Secara umumnya teknologi tidak wajar dipersalahkan
sepenuhnya. Sebaliknya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran wajar
menilai mahupun menapis supaya sesuatu teknologi itu agar tidak memudaratkan
kehidupan kita. Hal ini penting kerana keadaan menjadi hamba kepada gajet ini
dikhuatiri juga boleh menyumbang kepada penjajahan moden iaitu penjajahan minda
dan pemikiran melalui teknologi dunia tanpa sepadan.
Dalam konteks ini, apakah kita mahu membiarkan
orang lain menguasai dan menjajah minda dan pemikiran kita? Hakikatnya kita
cukup risau dengan situasi ini kerana golongan muda dilihat semakin hanyut dan
sudah semestinya ini tidak sihat untuk pembangunan dan kemajuan masyarakat dan
juga negara secara keseluruhannya.
Justeru sama-samalah kita ambil iktibar dan membetulkan
situasi ini. Ibu bapa terutamanya perlu memastikan anak-anak tidak hanyut
dengan gajet dan pelbagai teknologi lain yang boleh merosakkan diri, minda
dan kehidupan. Jangan sesekali membiarkan anak kita menjadi hamba kepada gajet
sehingga menghakis segala nilai-nilai murni yang dibanggakan selama ini.
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia.
Malaysia
pemilik telefon pintar tertinggi ke-10 dunia
24 Februari 2018 5:00 PM
40
MALAYSIA merupakan antara negara mencatatkan jumlah
penduduk memiliki telefon pintar tertinggi dengan menduduki tempat ke-10 di
dunia. Berdasarkan kaji selidik firma Pew Research Center, Malaysia merupakan
antara negara tertinggi pemilikan gajet dengan mencatatkan kadar penembusan
mencapai 65 peratus.
Korea Selatan menduduki tangga pertama dengan kadar
88 peratus diikuti Australia (77 peratus), Israel (74 peratus), Amerika
Syarikat (72 peratus), Sepanyol di kedudukan kelima dengan 71 peratus. Sementara
itu, pada kedudukan ketujuh adalah Britain (68 peratus) diikuti Kanada (67
peratus), Chile (65 peratus) dan di tempat ke-10 adalah Malaysia.
Dalam pada itu, laporan Newzoo Global Mobile Market
mendedahkan Malaysia menduduki tangga ke-29 bagi penggunaan Internet tertinggi
di dunia. Hasil kaji selidik mendapati terdapat kira-kira 24,572,446 pengguna Internet
di Malaysia. Berdasarkan jumlah itu, 78.7 peratus rakyat Malaysia merupakan
pengguna Internet.
Di samping itu, kaji selidik sebuah firma
penjenamaan dan pemasaran antarabangsa, GFluence, mendapati kegilaan media
sosial dan hiburan digital merupakan faktor utama yang menyumbangkan kepada
ketagihan rakyat Malaysia terhadap telefon pintar. Berpandukan statistik,
rakyat Malaysia merupakan antara pengguna tertinggi telefon pintar di dunia
merangkumi semua peringkat umur, daripada muda sehingga dewasa. Ketika
penjualan telefon pintar melonjak tinggi di negara ini, konsep ketagihan di
Malaysia ini akan turut membawa kepada sedikit kesan negatif,” kata dalam
catatan di laman web rasminya.
Telefon
pintar makanan utama rakyat Malaysia?
24 Februari 2018 5:00 PM
50
KETAKSUBAN rakyat Malaysia untuk memiliki telefon
pintar dan tablet amat mengejutkan apabila rekod mencatatkan jumlah import
gajet berkenaan mencecah kira-kira RM11 bilion pada tahun lalu.
Lebih memeranjatkan, angka tersebut melebihi nilai
import pelbagai produk dan bahan makanan bagi memenuhi permintaan populasi
rakyat negara ini yang sudah mencecah 32.2 juta orang.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd.
Uzir Mahidin berkata, nilai import telefon pintar dan tablet itu meningkat
secara mendadak sejak 2015. Telefon pintar dan tablet seperti iPad merupakan
antara barangan import tertinggi di negara ini. Pada tahun 2015, nilai import
telefon pintar mencecah RM8.33 bilion diikuti RM6.86 bilion (2016) sebelum ia
melonjak kepada RM10.01 bilion bagi 2017.
“Itu tidak termasuk nilai import tablet/iPad iaitu RM1.55 bilion (2015),
RM1.07 (2016) manakala RM1.05 bilion pada tahun lalu,” katanya kepada S2 di
sini baru-baru ini.
Mengulas berhubung senario tersebut, Mohd. Uzir memaklumkan, bahan
makanan yang sepatutnya menjadi keperluan penting kehidupan didapati
mencatatkan nilai import yang jauh lebih rendah berbanding gajet tersebut.
“Sebagai contoh bagi tahun lalu, nilai import daging lembu sejuk beku
dan segar hanya pada kadar RM2.24 bilion, daging-daging lain (RM1.79 bilion),
susu dan produk tenusu ( RM2.93 bilion) dan beras (RM1.49 bilion).
“Pada tahun lalu juga, import buah-buahan dan kekacang juga hanya pada
kadar RM3.06 bilion malah sayur-sayuran segar, beku serta diawet (RM3.85
bilion),” ujarnya.
Jelas beliau, faktor tersebut turut dipengaruhi oleh komposisi penduduk
Malaysia yang berusia 15 hingga 40 tahun kini berjumlah 14.9 juta orang
mewakili 45 peratus daripada populasi rakyat negara ini.
“Malah gajet tersebut bukan dilihat sebagai barangan mewah sebaliknya
sebagai barangan keperluan khususnya bagi golongan yang mempunyai nilai
kreativiti dan inovasi serta berfikiran usahawan dengan menjadikan ia sebagai
medium untuk menjana pendapatan,” katanya.
Tambahnya, keadaan itu turut dipengaruhi oleh peningkatan penggunaan Internet
seperti dilaporkan dalam Laporan Penyiasatan Penggunaan dan Capaian Teknologi
Maklumat (ICT) oleh Individu dan Isi Rumah,
iaitu 57 peratus pada 2013
meningkat kepada 71.1 peratus pada 2015.
“Maklumat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memaklumkan
terdapat sejumlah 34.1 juta langganan jalur lebar mudah
alih bagi suku ketiga
2017,” ujarnya.
Elak ketagihan gajet
14 Disember 2016 6:02 PM
1
SATU kajian yang dijalankan oleh sebuah firma
pemasaran digital mendapati di Britain purata penggunaan telefon pintar sehari
adalah sebanyak 221 kali. Kebiasaannya mereka mula menggunakan telefon pintar
kira-kira pukul 7.31 pagi dan terus menerus menggunakannya sehingga pukul 11.21
pagi.
Secara purata, mata kita terpaku ke telefon pintar
selama tiga jam 15 minit sehari. Berhubung tentang isu ini cuba kita merenung
ungkapan Baroness Susan Greenfield dalam buku beliau, ‘Mind Change’. Dalam buku
tersebut beliau berkata: ”Nilai kemanusiaan kini makin berkurangan, kita jarang
bersemuka.” Beliau mengungkap kata-kata ini bagi menjelaskan bagaimana era
digital telah mengubah pemikiran kita.
Albert Einstein seorang tokoh bidang sains dikatakan telah meramalkan
fenomena ini melalui kata-kata ini: “Saya takut teknologi akan mengatasi
interaksi manusia. Dunia akan mempunyai generasi bodoh.” Soalnya sekarang,
adakah ramalan Einstein betul?
Ramai ahli sejarah mempertikaikan kenyataan
Einstein ini tetapi secara realitinya cuba lihat di sekeliling kita. Di
mana-mana sahaja akan kelihatan manusia asyik menatap telefon pintar sama ada
makan di luar bersama keluarga, di stesen pengangkutan awam mahupun di tempat
kerja. Hampir semua mereka asyik dengan telefon pintar masing-masing.
Tidak kurang anak kecil yang diberikan gajet untuk
membolehkan mereka tidak merengek. Tidak ketinggalan warga tua turut terjebak
dengan aktiviti ini. Dengan kata mudah, sesiapa sahaja tidak terlepas menjadi
mangsa telefon pintar.
Perubahan ini tidak boleh dinafikan dan itulah
hakikat yang berlaku. Sebab itu saya sering terfikir tentang keperluan kita
untuk menatap telefon pintar pada setiap saat? Seolah-olah dunia ini hanya kita
dan gajet.
Cuba perhatikan di mana-mana, manusia seolah-olah
tidak dapat memisahkan diri masing-masing dengan gajet elektronik ini.
Disebabkan keasyikan itu, mereka gagal menikmati keadaan sekeliling dan paling
malang interaksi secara bersemuka semakin berkurangan.
Tidak keterlaluan dikatakan era digital ini
menyebabkan kita menjadi antisosial. Disebabkan terlalu obses dengan gajet ini
juga, kita gagal menghayati kehidupan, seni dan alam semesta. Semuanya ini
bukan lagi menjadi keutamaan.
Dari segi jantina, wanita dikatakan menggunakan
telefon pintar lebih daripada lelaki iaitu secara puratanya 23 minit untuk
tempoh sehari. Dari segi umur pula, pengguna yang berusia di antara 18 hingga
24 tahun akan menghabiskan masa secara purata empat jam 20 minit sehari
menggunakan telefon pintar mereka.
Mereka yang berusia melebihi 55 tahun penggunaan
secara purata ialah selama dua jam 15 minit sehari. Oleh itu tidak hairanlah di
mana-mana sahaja kita berada sama ada bercuti di persekitaran yang paling
mempesonakan atau sedang menikmati hidangan paling lazat bersama keluarga bunyi
‘ping’ untuk memaklumkan isyarat mesej baharu adalah lebih indah daripada
segala-galanya.
Satu perkara lagi, tahukah anda apabila seseorang
itu tidak boleh tidur, sebahagian besar daripada mereka akan mencapai telefon
pintar. Alangkah baik jika di saat itu kita penuhi masa untuk membaca ayat suci
al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah. Bayangkan jika sebahagian daripada jumlah
keseluruhan masa kita menatap telefon pintar ini (dalam tempoh sehari)
digunakan untuk membaca ayat-ayat al-Quran, hadis atau sekurang-kurangnya
berzikir sudah tentu amalan-amalan ini memberi kesan kepada kita terutama dalam
usaha menjadi seorang Muslim yang baik.
Sememangnya untuk melakukan perkara-perkara yang
baik adalah sesuatu yang amat sukar berbanding jika kita melakukan perbuatan
buruk serta sia-sia. Dalam perkembangan berkaitan kita tahu bahawa ketagihan
itu adalah satu perkara yang dahsyat tetapi sebelum menjadi lebih teruk lagi,
lebih baik kita kembali kepada fitrah kehidupan seorang manusia.
Berinteraksi dan berbuallah secara bersemuka kerana dengan cara ini
sahaja ikatan silaturahim akan terjalin. Bukan maksud saya untuk melarang
menggunakan telefon pintar tetapi biarlah secara sederhana dan berpada-pada.
AZIZI AHMAD
Segambut Luar, Kuala Lumpur
Gajet ganti fungsi bibik
KETAGIHAN kanak-kanak terhadap gajet bermula dengan
sikap ibu bapa yang malas melayan anak sendiri dan menggunakan teknologi
sebagai jalan mudah mengekang kerenah dan ragam anak kecil. GAMBAR HIASAN/ REUTERS
24 Ogos 2017 12:00 PM
4
Saudara Pengarang,
BEBERAPA tahun lalu, kita semua mengalami era ‘bibik menggantikan ibu bapa’
dalam proses pembesaran anak-anak sehinggakan bahasa dan budaya bibik menjadi
ikutan begitu ramai anak kecil.
Kini, fenomena tersebut agak berbeza sedikit dan bukan sahaja berlaku
dalam masyarakat di Malaysia malah masyarakat di luar negara. Tempat ibu bapa
sebagai contoh dan teladan anak kecil kini diambil alih gajet canggih.
Memang ramai ibu bapa yang mengakui tablet memudahkan mereka melakukan
kerja rumah tanpa gangguan malah mudah mengawal tingkah laku anak jika berada
di luar.
Namun, ramai yang tidak sedar kesan yang boleh memudaratkan anak-anak
kecil ini khususnya rangsangan berlebihan akibat penggunaan gajet boleh
mengecutkan otak kanak-kanak terutamanya yang berumur bawah tiga tahun.
Satu kajian di Malaysia yang dilaporkan baru-baru ini menyatakan bahawa
10 tahun dahulu, kadar masa fokus bagi murid di dalam kelas adalah 13 minit.
Hari ini, kadar masa fokus telah jatuh kepada empat saat sahaja.
Ramai guru yang mengadu tentang permasalahan mengawal anak murid dalam
kelas dan antara punca masalah ini adalah pendedahan berlebihan kepada pelbagai
jenis gajet moden.
Kehidupan kita hari ini sarat dengan perkembangan teknologi dan agak
janggal sekiranya seseorang itu menolak perkembangan terkini misalnya
penggunaan telefon pintar, komputer atau tablet.
Kecanggihan teknologi tidak dapat dinafikan kerana mempunyai banyak
kebaikan dan memudahkan urusan seharian terutama dalam urusan komunikasi,
menyiapkan tugasan, alat pembelajaran atau penghantaran dokumen secara pantas.
Antara kebaikan penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak
termasuklah kanak-kanak lebih mudah faham dan cepat belajar melalui interaksi
imej yang bergerak dan bunyi di samping membantu perkembangan intelektual dan
pemahaman mereka.
Gajet yang memerlukan kanak-kanak berinteraksi melalui sentuhan pada
skrin menjadi antara kaedah terbaik menarik perhatian mereka untuk belajar dan
faham dengan lebih pantas.
Selain itu, aplikasi yang digunakan sebagai alat pembelajaran memberi
kelebihan kepada kanak-kanak kerana selalunya ia lebih menarik, tidak
membosankan dan mudah bagi kanak-kanak untuk belajar secara sendiri.
Bagaimanapun, terdapat juga keburukan pendedahan gajet terlalu awal
kepada kanak-kanak termasuklah menjejaskan pergaulan sosial dan interaksi
dengan individu mahupun persekitaran mereka.
Kanak-kanak perlu bergaul dengan rakan sebaya serta keluarga untuk
membantu perkembangan kemahiran sosial, berinteraksi dan berkomunikasi. Tidak
ada peranti yang dapat menggantikan faedah komunikasi secara langsung dengan
orang lain.
Penggunaan gajet terlalu awal dalam kehidupan mendedahkan kanak-kanak
kepada rangsangan berlebihan seperti bunyi kuat, cahaya terang, warna yang
menyala dan pelbagai gerakan sehingga menimbulkan gejala ‘ketagihan’.
Jika terlalu terdedah dengan begitu banyak rangsangan dalam jangka
panjang mungkin menyebabkan anak kecil meragam sekiranya mereka tidak dapat
menggunakan tablet.
Sebaliknya, hidup mereka perlu diselit dengan aktiviti fizikal seperti
mengayuh basikal, bersukan, membaca buku cerita dan banyak lagi.
Terlalu bergantung kepada teknologi juga akan membuatkan kanak-kanak
mudah bosan apabila berdepan dengan pengajaran tradisional yang diberikan guru
menggunakan papan hitam.
Kanak-kanak yang bergantung kepada teknologi untuk mengisi masa lapang
turut menjadi kurang aktif dari segi fizikal sedangkan pergerakan penting untuk
membantu pertumbuhan badan, membina otot yang kuat dan mengenal pasti kebolehan
fizikal masing-masing.
Kanak-kanak mungkin akan menjadi terlalu obses dan ketagih kepada
teknologi sehinggakan tidak dapat hidup tanpa tablet, komputer mahupun televisyen.
Ini akan menyebabkan mereka menjadi resah, terganggu dan mungkin
melepaskannya dalam cara menangis dan mengamuk.
Oleh itu, ibu bapa haruslah mengambil langkah membantu anak-anak
menyesuaikan diri menggunakan teknologi terkini dengan berhemah khususnya untuk
belajar dan bukan hanya untuk hiburan semata-mata.
Gunakan gajet sebagai ‘bibik moden’ untuk membantu anak belajar membaca,
mengira, menulis serta membina kreativiti dan inovasi dari kecil. Jangan sampai
gajet itu pula yang ‘mengawal’ hidup anak-anak kita.
FATIN AFIRA MD. GHANI
Universiti Sains Islam Malaysia
Kesan buruk beri anak gajet
30 Mac 2017 6:06 PM
33
Saudara Pengarang, TERDAPAT segelintir ibu bapa memberikan gajet kepada
anak-anak bagi mengelakkan mereka merengek ketika memerlukan perhatian. Malah,
ibu bapa mengambil kesempatan ini untuk berehat setelah penat bekerja. Masalah lain
pula timbul apabila budaya ini diamalkan.
Berdasarkan kajian Akademi Pediatrik Amerika dan Persatuan Pediatrik
Kanada berkenaan penggunaan teknologi mengikut umur, kanak-kanak berusia dua
tahun tidak sepatutnya didedahkan dengan gajet, manakala penggunaan selama
sejam sehari sahaja bagi kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun dan dua jam
sehari bagi berusia enam hingga 18 tahun.
Sementara itu, seorang pakar terapi pediatrik, Cris Zone menyarankan
agar larangan penggunaan gajet ke atas kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.
Pada usia itu, kanak-kanak akan sentiasa mencari cara mengembangkan kemampuan
otak untuk mempelajari perkara baharu dan penggunaan gajet dalam tempoh lama
akan memberi kesan buruk terhadap perkembangan otak.
Penggunaan gajet tanpa kawalan akan memberi kesan kepada urat saraf
kanak-kanak kerana terdedah kepada cahaya berterusan. Saraf yang rosak akan
mengakibatkan kesihatan mereka terganggu. Malah terdapat beberapa bukti
pendedahan gajet terlalu awal menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti
pembelajaran terjejas dan perubahan perlakuan.
Secara nisbahnya, seorang daripada tiga kanak-kanak yang memasuki alam
persekolahan dilihat mempunyai kekurangan fungsi dan perhatian dalam melakukan
sesuatu, kognitif lembab, pembelajaran terjejas, peningkatan kepada perlakuan
mengikut emosi dan kurang kebolehan untuk mengawal diri serta cepat mengamuk.
Kanak-kanak ialah masa depan kita, justeru menjadi kewajipan ibu bapa
untuk mendidik mereka dengan cara lebih kreatif biarpun tanpa menggunakan gajet
dan teknologi.
IZZATULWAFA MOHD. KASIM
Bandar Baru Nilai