01/05/2019

Dimensi Diri : Pengamalan gaya hidup sihat


1.   Kempen gaya hidup sihat telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang mementingkan kesejahteraan hidup.
Bincangkan amalan yang wajar anda lakukan untuk memastikan kesihatan diri sentiasa terjaga.
Dimensi: Dimensi diri – jawapan perlu rujuk kepada diri sendiri (saya)

Pendahuluan: Kesihatan ialah harga yang paling mahal. Kesihatan ialah anugerah daripada Allah kepada setiap insan setelah semua sistem anatomi dan fisiologi disempurnakan. Kesihatan tidak boleh ditukarkan dengan nilai wang ringgit kerana manusia yang paling kaya dalam dunia pun tidak boleh membeli kesihatan. Demikian juga dengan sepotong ungkapan dalam lima perkara terpenting daripada Hadis Rasulullah yang menyatakan, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”. Oleh itu, alangkah besarnya makna kesihatan dalam kehidupan setiap insan, justeru saya wajar menjadikan kesihatan sebagai agenda terpenting sesuai dengan peribahasa, jimat sementara belum habis, ingat sementara belum kena.

Isi 1 : Saya perlu sentiasa mengawal keseimbangan kesihatan mental dan fizikal – fizikal yang cergas menjaminkan mental yang cerdas serta emosi yang stabil – perlu menjauhi aktiviti yang tidak sihat seperti berlepak, berjaga malam – membendung emosi daripada mengalami tekanan dan kemurungan – emosi yang tidak stabil boleh menjejaskan mental.

Isi 2: Saya perlu teliti tentang cara pemakanan yang sihat – pemakanan menjadi terminologi utama yang menentukan asas kesihatan – peka terhadap piramid makanan – pengambilan makanan yang berzat dan bukan mengambil makanan yang mengikut sedap – mengurangkan makanan bergula dan berlemak yang menjadi punca obesiti, keradangan jantung, komplikasi buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

Isi 3:  Saya harus mementingkan riadah dan latihan jasmani secara teratur dan berjadual – riadah sebagai asbab menjaga pertumbuhan fizikal yang sihat – menyusun jadual yang terancang untuk berehat, beriadah, bersosial dan tidur

Isi 4: Saya harus bijak bersosial dan berkawan – bersosial boleh meluaskan kontaks silaturahim, menjalinkan semangat setia kawan dan menstabilkan emosi – emosi yang stabil akan mempengaruhi minda yang waras serta mengawal tindakan yang bijaksana – perlu memilih kawan yang boleh menunjukkan jalan kebenaran kerana salah pilih terjadi kawan makan kawan

Isi 5: Saya hendaklah mendekati Allah – Allah Tuhan pencipta seluruh makhluk dan isi alam – Allah menguruskan jalan hidup manusia dan isi alam dengan sunnah-Nya – hendaklah patuh kepada ajaran agama seperti bersolat dan sebagainya – insan yang sentiasa patuh kepada ajaran Tuhan akan selamat sama ada di dunia mahupun di akhirat

Kesimpulan: Dalam menguruskan kehidupan yang sihat, sejahtera dan harmoni, saya hendaklah sentiasa berpegang kepada kata-kata bijaksana, “Seseorang yang gagal merancang dia telah merancang untuk gagal”. Kita hidup atas rahmat dan kurniaan daripada Tuhan yang amat besar anugerah-Nya. Oleh hal yang demikian, menjaga kesihatan diri merupakan sebahagian daripada amanah Tuhan kepada kita. Insan yang sihat sentiasa boleh beribadah kepada Allah, memberikan sumbangan kepada negara dan berguna kepada masyarakat. Oleh itu, jagalah kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

No comments: