Latihan
3
Lihat
maklumat di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha mengelakkan kejadian tanah
runtuh di negara ini. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.
USAHA-USAHA
MENGELAKKAN
KEJADIAN
TANAH
RUNTUH
{ Penanaman semula
pokok di cerun bukit
{ Mengawal
pembangunan di lereng bukit
{ Sistem
Perparitan yang terancang
{ Penguatkuasaan undang-undang
Jawapan:
Peristiwa tanah
runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember 2008 dan kejadian tanah runtuh
yang meragut nyawa anak-anak yatim di
Hulu Langat, merupakan dua peristiwa yang banyak mengalirkan air mata rakyat
Malaysia. Peristiwa ini menuntut
masyarakat menggunakan akal yang waras untuk mencari
penyelesaian bukan hanya berpolemik di media-media
dan menuding jari berbalah sesama sendiri terhadap peristiwa yang
terjadi. Secara implisitnya, ketidakprihatinan masyarakat negara ini merupakan
punca kemurkaan alam kepada kita. Justeru, adalah wajar
semua pihak membuka mata serta mengorak langkah bagi mengelakkan kejadian ini. Persoalannya,
apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh
di Negara ini?
Usaha pertama untuk mengelakkan kejadian
tanah runtuh di negara ini ialah
kerajaan perlu melaksanakan penanaman semula pokok-pokok di cerun bukit terutama di kawasan yang
telah dibangunkan. Usaha murni tersebut
merupakan langkah terbaik untuk
menjaga cerun-cerun dan kawasan yang dibangunkan daripada terdedah kepada risiko kejadian tanah runtuh. Usaha
tersebut juga dapat menguatkan tanah yang telah melalui proses pembangunan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa
pembangunan yang dijalankan menyebabkan banyak pokok yang ditebang dan bukit
ditarah atas nama pembangunan. Hutan
rimba dan bukit-bukau merupakan pasak kepada ekosistem bumi. Pembalakan dan penebangan
hutan tanpa kawalan telah melonggarkan
ikatan tekstur tanah, menjadikan cerun longgar dan rebah. Di Malaysia, hujan
lebat yang turun akan menyebabkan tanah di lereng bukit menjadi longgar dan
menggelongsor. Oleh itu, pokok-pokok besar yang berakar dalam dan tanaman
tutup bumi perlu ditanam untuk
menyelamatkan kawasan pembangunan yang terdedah kepada cuaca dan hujan lebat. Hal ini dapat membantu
menyekat pergerakan tanah daripada dibawa
aliran air bawah tanah yang
menggelonsorkan cerun yang tidak stabil. Usaha menanam kembali pokok-pokok atau
tumbuh-tumbuhan, dapat memampatkan kembali kelonggaran tanah akibat
pembangunan. Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kondominium Highland Tower
dan Bukit Antarabangsa misalnya, masih lagi menjadi igauan rakyat akibat
tidak mempedulikan cerun yang
lemah berhampiran dengan kediaman. Jelasnya, untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh, kerajaan perlulah menanam semula pokok-pokok di cerun-cerun bukit.
Usaha kedua yang dapat dilakukan
untuk mengelakkan kejadian tanah
runtuh ialah kerajaan membina
sistem perparitan yang terancang. Sistem perparitan yang terancang penting
untuk membolehkan air hujan dari cerun
bukit mengalir dengan baik dan terus ke longkang
atau sungai dan laut. Air tidak akan bertakung di sesuatu kawasan sehingga
menyebabkan berlakunya banjir. Keadaan ini secara tidak langsung boleh
mengelakkan berlakunya hakisan tanah dan
tanah runtuh. Sistem perparitan yang dibina dapat berfungsi sebagai benteng
yang kukuh di lereng bukit. Sistem perparitan yang terancang dapat memadatkan
struktur tanah di lereng bukit. Sekiranya, tidak ada sistem perparitan dibina
di lereng bukit, hujan lebat yang turun di kawasan bukit akan menyebabkan air
bertakung dan menyerap di kawasan lereng bukit melalui tanah sehingga struktur
tanah menjadi longgar dan tidak kukuh. Hal ini boleh mengundang padah seperti
berlakunya banjir kilat, hakisan tanah dan tanah runtuh. Rakyat
Malaysia tidak pernah melupakan peristiwa yang berlaku di Pos Dipang, Perak
yang mengorbankan begitu banyak nyawa akibat banjir lumpur. Kawasan tanah
tinggi yang dibangunkan pembangunan
sangat berisiko dengan kejadian tanah runtuh dan aliran lumpur. Oleh itu.
jelaslah pembinaan sistem perparitan yang terancang dapat mengelakkan kejadian
tanah runtuh.
Selain itu, pembangunan yang terancang
juga merupakan usaha yang dapat
dilakukan untuk mengurangkan berlakunya
kejadian tanah runtuh. Kerajaan perlu
mendepani persaingan pembangunan dengan strategik dan bijak. Tindakan strategik
dan sistematik terhadap pembangunan adalah sangat mustahak dipraktikkan bagi
memastikan pembangunan tidak mengundang padah. Pembangunan terancang mestilah
bersifat mesra rakyat, mengambil kira keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Memang
pembangunan tidak dapat dihentikan,
tetapi pembangunan perlu dirancang sebaik-baiknya untuk mengurangkan fenomena
yang membawa bencana kepada pelestarian alam dan manusia. Pembangunan seperti
perumahan, perladangan dan pelancongan perlu dirancang dengan teliti demi
keselamatan dalam jangka panjang. Kawasan ladang di lereng bukit perlu dibina
teres selain menyusun atur tanaman dan
laluan untuk menyelamatkan cerun. Kerajaan atau pemaju perumahan perlu mengkaji
keutuhan tanah di lereng bukit dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kejadian
tanah runtuh yang tidak diingini berlaku. Kerajaan juga perlu menetapkan junlah
kuota untuk melaksanakan pembangunan di lereng-lereng bukit. Selain itu, pihak-pihak tertentu
seperti pemaju perumahan perlu
mewujudkan Pelan Tindakan Kecemasan
untuk bertindak pantas apabila mengesan
tanda-tanda pergerakan cerun berlaku. Perancangan pembangunan perlu melihat
simbiosis alam dengan projek yang bakal dibangunkan. Jelasnya, Pembangunan yang
terancang dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti tanah
runtuh.
Akhirnya sekali, penguatkuasaan undang-undang perlu
dilaksanakan bagi mengelak kejadian yang boleh meragut nyawa. Penguatkuasaan yang tegas dapat mencegah sesetengah pihak yang melaksanakan
projek pembangunan seperti “melepaskan batuk di tangga”. Penguatkuasaan tanpa “pilih bulu”
dapat mencegah perbuatan yang
tidak bertanggungjawab. Kerajaan perlu
mengawal aktiviti pembalakan dan penebangan hutan di negara kita. Dalam hal
ini, kerajaan perlu mengehadkan jumlah lesen yang diluluskan untuk penebangan
hutan. Hanya pokok yang telah cukup tua sahaja dibenarkan untuk ditebang Lesen
dan konsesi pembalakan perlu disemak
semula. Kelulusan Sijil Menduduki Kediaman
dan pembangunan di kawasan tanah tinggi dan cerun perlu diberi perhatian wajar
oleh kementerian yang berkaitan. Mereka yang melanggar peraturan yang
ditetapkan haruslah dikenakan hukuman yang setimpal seperti hukuman penjara
atau denda yang tinggi sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan
tersebut. Penetapan akta seperti Akta Pembangunan, Akta Tanah, dan Akta
Perhutanan dapat menjaga hak dan menyelematkan situasi genting. Jelasnya,
penguatkuasaan yang tegas dapat memberi
kesan kepada pihak yang mementingkan keuntungan tanpa menghiraukan kebajikan
sosial.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia masih
mempunyai ruang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkan kejadian tanah runtuh.
Usaha semua pihak amat diharapkan agar
kejadian tanah runtuh ini dapat dielakkan. Setiap langkah keselamatan dan
peraturan tidak boleh dipandang enteng kerana sikap tersebut boleh mengundang
padah. Rakyat Malaysia diharapkan dapat merenung kata-kata Chief Seattle
bahawa “kita tidak mewarisi bumi ini daripada nenek monyang kita,
sebaliknya kita meminjamnya dari cucu cicit kita”. Oleh itu , kita perlu
menjaga sesuatu yang kita pinjam agar
kita dapat memulangkan dengan keadaan
yang masih baik.