Showing posts with label PENULISAN SPM. Show all posts
Showing posts with label PENULISAN SPM. Show all posts

16/03/2020

Penulisan 10 : Dimensi Keluarga : Peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran



Ibu bapa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan seseorang.      
Pada pendapat anda, apakah peranan ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam sesebuah keluarga. Sebagai anak, seseorang itu memerlukan bantuan dan sokongan daripada ibu bapa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Dengan bantuan dan doa daripada ibu bapa, anak-anak mampu mencipta kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang amat besar terhadap anak-anak dan rumah tangga. Sekiranya, anak-anak sering diabaikan, mereka pasti berasa dirinya terabai dan akan cenderung melibatkan diri dalam aktiviti sosial yang tidak baik. Oleh hal yang demikian, ibu bapa perlulah bertanggungjawab dan memastikan anak-anaknya  cemerlang dalam pelajaran. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang perlu dilakukan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran?
Peranan pertama yang dapat dimainkan oleh ibu bapa untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang ialah ibu bapa mengutamakan iklim rumah tangga yang dibina dalam situasi  yang aman dan bahagia. Anak kunci keamanan dan kebahagiaan rumah tangga ialah sikap saling memahami, berkasih sayang dan tambatan cinta yang luhur dan abadi.  Keharmonian dan keceriaan rumah tangga menjamin anak-anak membesar dengan selamat dan sihat. Hal ini demikian kerana, kehidupan yang bahagia akan membebaskan anak-anak daripada masalah keluarga seperti pertengkaran antara ibu bapa atau ibu bapa yang berpecah-belah. Perpecahan keluarga boleh mengganggu kesejahteraan dan pelajaran anak-anak. Dalam hal ini, peranan ibu bapa penting dalam mewujudkan rumah tangga yang bahagia agar anak-anak dapat menganggap “rumahku syurgaku”. Anak-anak sudah pasti dapat berusaha bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam pelajaran kerana mereka hidup dalam keadaan gembira tanpa ada tekanan yang berat. Tegasnya, ibu bapa bertanggungjawab memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang harmoni dan ceria sepanjang masa bagi  mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Selain itu, ibu bapa  juga perlulah bertanggungjawab mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya. Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian dan masa depan anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak lebih mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya dalam segala tindakan atau kelakuan kerana remaja mempunyai prinsip, nilai dan identiti yang hampir sama. Anak-anak lebih mempercayai dan meyakini kawan daripada ibu bapa sehingga mereka sukar untuk membezakan antara perkara baik dengan perkara yang buruk. Apabila anak-anak bergaul dengan rakan yang bermasalah seperti ponteng sekolah dan menghisap rokok, mereka juga akan mengikut jejak rakan sebaya itu dan hilang minat untuk belajar. Untuk menangani hal ini, ibu bapa mestilah mengenali latar belakang setiap rakan sebaya anak mereka dan mengenal pasti perubahan yang berlaku kepada anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlulah bertindak lebih awal, bak kata peribahasa beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis kerana anak-anak dapat diselamatkan dan boleh memberikan tumpuan terhadap kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah mengawasi perkembangan dan pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya bagi melahirkan anak-anak yang cemerlang dalam pelajaran.
Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memastikan anak-anak mendapat pendidikan agama dan moral yang secukupnya. Pendidikan agama dan moral ini perlu diberikan sejak kecil lagi, bak kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak ibarat sehelai kain putih, ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain tersebut. Pendidikan agama dan moral yang diberikan oleh ibu bapa mampu menepis segala bentuk kemungkaran yang berlaku. Anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan yang buruk. Mereka juga akan menjadi anak-anak yang lebih bertanggungjawab dan memahami peranan mereka sebagai seorang anak dan tidak akan menghampakan harapan ibu bapa. Hasil didikan agama dan moral yang cukup  ini dapat membantu anak-anak untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Tegasnya, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang secukupnya untuk memastikan anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Seterusnya, ibu bapa juga perlulah menyediakan kemudahan yang lengkap untuk anak-anak belajar supaya anak-anak boleh memberikan tumpuan terhadap pelajaran.  Ibu bapa perlu memberi motivasi dan galakan terhadap anak-anak untuk belajar. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah menjadi contoh teladan yang baik terhadap anak-anak kerana anak-anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka bak kata peribahasa,  bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa perlulah menitikberatkan pelajaran anak-anak dengan menghantar anak-anak ke kelas tambahan atau tuisyen serta menyediakan buku-buku rujukan yang lengkap untuk memudahkan anak-anak mengulang kaji  pelajaran di rumah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah menyediakan bilik yang sesuai dan selesa untuk kemudahan anak-anak belajar. Ibu bapa perlulah menggalakkan anak-anak membaca untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.  Oleh itu,  ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke pameran buku, ke kedai buku atau ke perpustakaan. Langkah ini penting kerana secara tidak langsung anak-anak telah ditanamkan dengan sikap suka membaca. Situasi ini boleh menimbulkan persaingan dalam diri anak-anak untuk membaca buku-buku tersebut. Natijahnya, anak-anak akan mempunyai kesedaran dan keinsafan betapa pentingnya pengetahuan dalam kehidupan mereka sehingga mereka berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Tambahan lagi, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dan berbincang dengan pihak sekolah serta bertukar-tukar pendapat  dengan guru-guru tentang anak-anak. Untuk mengetahui perkembangan pelajaran dan sahsiah anak-anak di sekolah, ibu bapa perlulah sentiasa berhubung dengan pihak sekolah terutama guru kelas dan guru disiplin. Usaha ini penting kerana jika anak-anak menghadapi masalah dalam pelajaran atau masalah disiplin, ibu bapa boleh bertindak segera untuk menangani masalah tersebut. Dalam hal ini, anak-anak pasti dapat diselamatkan daripada dipengaruhi  oleh rakan sebaya yang tidak sihat. Selain itu, ibu bapa juga perlu sentiasa mengambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh anak-anak walaupun dalam kesibukan bekerja.  Ibu bapa mestilah bersedia menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak setiap kali anak-anak meluahkan masalah mereka. Masalah dan kesedihan anak-anak mestilah dikongsi bersama agar perasaan tersebut tidak akan terpendam yang akan  menjadi satu tekanan dalam diri anak-anak. Biasanya, anak-anak yang memendam perasaan, pasti tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran dan akhirnya mereka akan keciciran dalam pelajaran.  Oleh itu, jelaslah bahawa ibu bapa perlu mengambil berat tentang masalah anak-anak mereka dalam pelajaran dan selalu berbincang dengan guru-guru lain agar anak-anak mendapat pedoman dan boleh memberikan tumpuan untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Daripada perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. Ibu bapa hendaklah bertanggungjawab terhadap masa depan anak-anak sebelum nasi menjadi bubur. Sekiranya ibu bapa kurang memberikan perhatian terhadap masa depan anak-anak, anak-anak pasti sukar untuk mencapai kejayaan dan kemungkinan mereka terjebak dalam masalah sosial sehingga sukar untuk diselamatkan. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mencorakkan masa depan anak-anak khususnya untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran.





* sekiranya soalan meminta peranan ahli keluarga, sila nyatakan peranan setiap ahli keluarga [adik-beradik, datuk dsbnya]

11/03/2020

PENULISAN 5 : Gaya Hidup Sihat

Setiap ahli keluarga memainkan peranan penting ke arah melahirkan gaya hidup sihat.  
Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.

     Amalan gaya hidup sihat adalah cara hidup yang boleh mengurangkan pelbagai risiko penyakit pada masa hadapan. Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan. Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya, rakyat Malaysia perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
     Sudah terang lagi bersuluh peri pentingnya peranan ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Peranan utama ibu bapa dalam memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang seimbang bermaksud pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta bernutrien kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli. Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Aktiviti ini bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah dilakukan sekurang-kurangnya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.  Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal, berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja, senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat dapat dipupuk.
     Di samping itu, ibu bapa juga perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat, ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor  untuk mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
     Ibu bapa juga perlu mengajar dan melatih anak-anak mereka  mengutamakan kebersihan diri pada setiap masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi  lalat mahupun memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri anak-anak  agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka dewasa kelak.
     Pada masa yang sama,  selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa  juga seyogia mendidik  ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian, ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak mereka  sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai penyakit.
     Gaya hidup yang sihat juga melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak  atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang sihat ini Peranan ibu bapa  mengamalkan cara  berkomunikasi berkesan dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta  mengamalkan ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
     Pada masa yang sama memiliki sikap atau mentaliti positif penting untuk menangani tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun rakan-rakan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami boleh menjuruskan ibu bapa  pada perlakuan negatif seperti mendera, menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin positif minda ibu bapa  itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga  kelak. Penguasaan diri yang baik dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
     Tambahan pula, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit  itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak, mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
     Akhir sekali, bagi menjalani amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka. Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.

     Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Kemelut yang bersangkut isu peranan ibu bapa telah dikupas dengan mendalam. Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, masalah obesiti dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa yang panjang ini. Dengan kata lain, segala kelemahan perlu ditangani sebelum padi di sawah menjadi lalang, sebelum ayam di reban disambar helang. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang sihat bak kata pepatah hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

Catatan : Boleh ditambah penglibatan dalam aktiviti Hari Sukan Negara (08.10.16) untuk memperlihatkan keluasan idea. 

05/03/2020

PENULISAN 2 : Usaha Mencapai Kecemerlangan dalam Peperiksaan

Latihan 2 (Dimensi Diri)
Setiap murid mempunyai  cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Pendahuluan 1
Permaisuri, Raja, Gajah, Kuda, Kesateria, dan bidak merupakan nama yang tidak asing dalam permainan catur. Pencatur perlu merancang strategi agar kemenangan dapat diperoleh. Menuntut ilmu juga memerlukan perancangan yang teliti ibarat seorang pencatur. Murid-murid sebagai insan yang masih berdenyut, tidak boleh sekadar berdiam diri dan hanya memasang impian untuk mendakap kejayaan. Begitu juga dengan saya, hidup ini mesti dihias dengan harapan, perancangan dan cita-cita barulah sempurna. Tahun demi tahun, rekod kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia telah dapat dicipta dan dipecahkan. Suatu waktu dahulu, ada calon yang berjaya memperoleh 16A1, yakni suatu pencapaian yang belum pernah dicapai. Akan tetapi beberapa tahun kemudian rekod ini telah dapat dipecahkan oleh Saudari Nur Amalina yang berjaya memperoleh 17A1. Pada SPM 2008 pula, Saudara Azli Azlan dapat mencipta rekod dengan memperoleh kesemua 21A1 bagi subjek yang diambil oleh beliau. Sebagai pelajar yang berwawasan, saya perlu mempunyai percaturan untuk mencapai kecemerlangan dalam dunia akademik saya. Persiapan-persiapan awal amatlah mustahak sebagai persediaan untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pendahuluan 2
Saban hari angin perubahan mengetuk-ngetuk pintu kehidupan kita. Segala-galanya terus mengalami perubahan dengan pantas. Yang alpa, yang masih lena dibuai mimpi pasti akan ketinggalan. Setiap murid perlu memperlengkap diri mencari bekal bagi menghadapi perubahan dengan memastikan diri mencapai tahap akademik setinggi yang boleh. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Namun, kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Agar pelajar tidak menyesal pada masa hadapan disebabkan gagal memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, mereka mempersiapkan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Oleh itu, sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah modus operandi dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?
Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Hal ini persis pendapat seorang pakar psikologi yang pernah mengatakan bahawa “lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan oleh mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan”. Ditambah lagi dengan suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria perlu supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang faham kerana berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu langkah dan persediaan yang sedang saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Selain itu, saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan  apabila peperiksaan sudah tiba, hal ini diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa  dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa lalu tidak akan kembali”, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.
Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di sekolah, barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga haruslah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah bak kata pepatah “malas berkayuh perahu hanyut”, “segan bertanya sesat jalan.” Malah, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru di tuisyen. Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan. Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.
Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang-orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan  saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-raba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

04/03/2020

PENULISAN 1 : Perancangan untuk Mencapai Kecemerlangan dalam Peperiksaan

Soalan 1
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Jelaskan perancangan-perancangan anda untuk mencapai matlamat tersebut.

Memulakan kalimah bicara ini, saya ingin meminjam kata-kata hikmat daripada mantan Presiden Indonesia, Seokarno iaitu, “Gantunglah cita-citamu di langit yang tinggi walaupun kakimu menjejaki perlimbahan”. Demikianlah betapa besarnya cita-cita dan wawasan kepada kehidupan seseorang insan yang normal. Hidup tanpa cita-cita, ibarat subur sepohon yang rendang tetapi tidak berbuah. Justeru, cita-cita besar yang sedang saya impikan sekarang adalah untuk menjadi pelajar cemerlang dalam SPM 2015. Demikianlah hasrat yang turut dikongsi bersama oleh ibu bapa serta guru-guru saya juga.  Sungguhpun begitu, cita-cita amatlah ideal untuk diucapkan, sebaliknya terlalu perit untuk diterjemahkan menjadi realiti. Oleh itu, demi memenuhi hasrat murni tersebut, saya hendaklah bersedia dari sekarang dan banyak prakarsa yang harus saya lakukan.
Langkah pertama ialah saya perlulah menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahi Allah SWT kepada saya. Nikmat kesihatan merupakan aset peribadi yang tidak boleh dijual beli. Saya amat bersyukur kerana dilahirkan sempurna dengan wajah dan paras rupa yang baik. Allah mentakdirkan kepada saya kesihatan yang baik, pemikiran yang waras, dan emosi yang stabil. Alangkah bernilainya anugerah tersebut. Benarlah bak kata orang tua-tua, “nikmat sihat itu hanya berada pada seseorang yang sakit”. Dalam usia remaja ini, saya perlu peka terhadap pemilihan makanan dengan memilih makanan yang baik lagi halal dan menjauhi diri daripada mendekati makanan yang berbahaya. Saya amat serius tentang bahaya dadah, arak, dan rokok yang dengan jelas membawa mudarat kepada fizikal dan minda. Pertumbuhan fizikal pun hendaklah saya kawal dengan memastikan rutin harian dan latihan jasmani serta riadah dijalankan mengikut jadual. Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan pesan Nabi SAW dalam sebahagian daripada Hadithnya, “Jagalah nikmat sihat sebelum datang sakit”.
     Sebagai anak muda yang sedang meniti arus perubahan milenium, saya perlu memiliki visi dan hala tuju yang jelas. Hidup tanpa visi ibarat bahtera di tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Hidup akan terumbang-ambing dan tiada masa depan. Visi saya adalah menjadi insan cemerlang merangkumi dunia dan akhirat. Resepinya, saya perlu belajar ketika usia remaja dan mengenal pasti bidang kemahiran yang cocok dengan jiwa saya. Andai dimakbulkan Tuhan, saya berazam untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya dan kompeten dan mampu menggenggam ijazah sihingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D). Walaupun impian itu masih jauh ibarat di seberang lautan, namun kejayaan cemerlang pada peringkat SPM amatlah penting. Sememangnya, semua pihak sudah maklum bahawa SPM menjadi pananda aras untuk seseorang itu menentukan hala tujunya. Insya-Allah sekiranya saya gigih dan digarapi semangat juang, sesungguhnya di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
     Asas utama yang tidak kurang pentingnya untuk mencapai kejayaan ialah strategi belajar yang berkesan. Dalam masa yang sangat suntuk ini, saya perlu lebih bijak merancang strategi pembelajaran agar dapat mengimpakkan hasil. Oleh itu, saya perlu melipatgandakan latihan daripada koleksi soalan tahun-tahun sebelum. Saya perlu memperkukuh daya ingatan yang kadang-kadang memerlukan saya menghafal atau membuat latih tubi. Prakarsa yang efektif yang mampu saya lakukan adalah dengan membuat beberapa nota kecil yang bersaiz poket dan mudah untuk dibawa ke mana-mana sahaja. Konsep belajar secara berkumpulan juga hendaklah saya amalkan sebagai salah satu daripada strategi belajar secara berkesan. Percambahan idea dan sikap saling memberi dan menerima dengan rakan-rakan hendaklah saya utamakan. Pendapat rakan harus diraikan dan tidak pula lokek untuk menyumbangkan idea. Sesungguhnya, inilah sikap saling membantu bak aur dengan tebing.
Meminjamkan sepotong firman dalam al-Quran yang bermaksud, “Bertanyalah kepada yang bijak seandainya kamu tidak tahu” jelas menuntut supaya saya sentiasa berdampingan dengan tokoh-tokoh ilmuwan. Mereka itu pastilah para guru, ikon-ikon yang berjaya dan golongan profesional dalam bidang yang ingin saya ceburi. Sekiranya ingin menjadi tokoh korporat maka golongan peniaga yang harus didekati atau jikalau mahu menjadi pemimpin nescaya tokoh-tokoh politik, pemimpin masyarakat, dan NGO yang wajar saya dekati. Daripada merekalah akan terbina motivasi untuk saya merancang masa depan. Sikap malas belajar dan malu bertanya harus dikikis daripada jiwa dan sanubari, bak kata peribahasa minta pada yang ada, mengaji pada yang tahu dan sentiasa berwaspada sikap malu bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu hanyut.
Kendatipun, sebagai hamba-Nya, sebanyak manapun perancangan yang disusun, Allah SWT tidak boleh saya lupakan sama sekali dalam segala urusan. Allah tahu akan apa-apa yang tersurat dan tersirat di dalam benak sanubari kita. Saya yakin kepada qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Namun, atas sifat pemurah-Nya, doa dan kegigihan tidak pernah menghalang untuk kita berjaya. Saya cukup yakin, hasil ramuan usaha yang gigih dan doa yang tidak putus-putus kepada Allah pasti segala yang dihajati akan menjadi kenyataan. Ibadat solat dan ibadat-ibadat yang lain akan saya implementasikan dengan istiqamah. Saya sangat pasti selangkah kita ke hadapan mahupun selangkah surut ke belakang, Allah pasti bersama-sama kita. Oleh itu, dalam menggapai impian dan wawasan, Allah jangan sama sekali dijauhi.

    Berburu ke padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
       Bagai bunga kembang tak jadi.

Serangkap pantun di atas mengajari saya bahawa dalam melengkapkan cita-cita, justeru usaha, ilmu, dan keiltizaman hendaklah diolah dengan sebaik mungkin. Adat muda memikul tugas dan muda juga tidak berulang datang, justeru untuk memastikan segala hajat dan impian terlaksana maka usia muda hendaklah saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Sesungguhnya, saya amat yakin apabila segala persediaan diri berada di atas trek yang betul, insya-Allah segala impian pasti menjadi kenyataan.



02/03/2020

PENULISAN 9 : LAPORAN HARI KANTIN

Sekolah anda telah mengadakan Hari Kantin pada minggu lepas. Sebagai setiausaha Hari Kantin, anda telah diminta untuk menulis laporan tentang program-program yang dijalankan pada hari tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.

Laporan Program Hari Kantin
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana

Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana telah mengadakan Hari Kantin pada 9 September 2016 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari Kantin telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin Haji Ramli yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dan tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari tersebut dibuka kepada orang ramai dan kupon-­kupon disediakan untuk melicinkan urus niaga pada hari tersebut. Semua guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin dengan dibantu oleh para pelajar yang dipilih oleh guru-guru berkenaan.
Antara program yang telah dijalankan semasa Hari Kantin ialah pesta jualan makanan dan minuman serta pelbagai cenderamata. Makanan pelbagai kaum disediakan oleh para guru dan pelajar seperti nasi lemak, laksa, capati, mihun, keropok lekor dan kuih bulan. Ada juga gerai yang menjual makanan tradisi pelbagai kaum seperti lemang, wajik, penganan dan sebagainya. Air batu campur, air tebu, ais yang dikisar dan air bergas turut dijual di bahagian gerai minuman. Rata-rata para pengunjung berpuas hati dengan kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari Kantin. Para guru dan pelajar yang berniaga pula tidak menang tangan sentiasa melayan para pelanggan yang membeli makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun ini terdapat banyak cenderamata dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T, alat tulis yang bercetak nama sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga yang berpatutan, kedai-kedai cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun, sambutan paling hebat dilihat di gerai makanan dan minuman kerana keghairahan pengunjung untuk merasai juadah yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini, para pelajar dapat mengenali makanan tradisi kaum lain di negara ini. Justeru, secara tidak langsung Hari Kantin telah berjaya mempromosi makanan tradisional kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu, pada hari ini juga diadakan program pameran hasil kerja para pelajar sekolah. Antara hasil kerja yang dipamerkan ialah model sebatang rokok sempena kempen Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan Teknologi Kejuruteraan. Selain itu, Kelab Pembimbing Rakan Sebaya juga telah mempamerkan hasil kerja mereka seperti carta nilai­-nilai murni dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di samping itu, para pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan seni khat secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang kejayaan sekolah turut dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab Hoki yang telah menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa orang pelajar yang telah menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan sebagainya. Dengan mengadakan pameran, para pengunjung dapat mengetahui perkembangan dan aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2015. Sebagai serampang dua mata, pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi pihak sekolah agar para pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah pada- masa depan. Manakala ibu bapa juga dengan senang hati membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti yang dijalankan oleh pihak sekolah.
Program lain yang diadakan sempena Hari Kantin ialah aktiviti permainan. Sebagai contohnya rumah hantu yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah dan Geografi. Bayaran yang dikenakan untuk masuk ke rumah hantu adalah sebanyak RM2. Banyak pengunjung beratur di luar kelas untuk merasai pengalaman seram apabila berada di dalam rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa mereka berasa seolah-olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan hantu-hantu yang menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing ikan, meneka jumlah berat kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah patung. Kanak-kanak pula mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan di padang sekolah seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah. Di samping itu, belon-belon secara percuma turut diedarkan kepada kanak-kanak oleh badut yang menceriakan suasana pada hari tersebut dengan telatah lucunya ketika mengusik kanak-kanak. Salah satu aktiviti permainan yang paling mendapat perhatian para pengunjung ialah menunggang kuda dengan bayaran RM5 selama 20 minit. Walaupun agak mahal namun aktiviti ini merupakan suatu pengalaman baharu bagi para pengunjung yang tidak pernah merasai menunggang kuda.
Sebagai acara selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik sekolah telah memainkan lagu-lagu mengikut permintaan para pelajar dan pengunjung. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu. Banyak pilihan lagu yang ke udara mengikut permintaan seperti rentak jazz, sentimental, rock, balada dan asli. Para pelajar paling menyukai aktiviti ini kerana nama pembeli dan penerima lagu disebut oleh juruhebah yang bertugas. Dalam segmen ini, banyak guru menerima lagu daripada para pelajar dengan ucapan terima kasih kerana telah membimbing mereka dalam bidang pelajaran. Hakikatnya, acara ini berjaya memupuk sikap menghargai guru dalam kalangan pelajar. Sambil melihat program yang lain, para pengunjung juga memasang telinga untuk mengenal pasti sama ada nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak. Sambutan yang hangat oleh para pelajar menyebabkan sebanyak 600 buah lagu dipasang sepanjang majlis Hari Kantin berlangsung. Sambil menyelam, minum air, sebenarnya satu per tiga hasil kutipan untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah Anak Yatim Bakti yang terletak bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak langsung para pelajar didedahkan dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
Akhir kata, Hari Kantin yang dijalankan berjaya mengutip hasil yang melebihi sasaran yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin adalah sebanyak RM30,000 Pihak sekolah telah menyasarkan kutipan sebanyak RM15,000 Pencapaian ini membanggakan pihak sekolah yang diibaratkan seperti kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para pengunjung yang terdiri daripada masyarakat setempat merupakan sumber sokongan utama kejayaan pihak sekolah. Walaupun warga sekolah terpaksa mengorbankan hari Ahad mereka, namun apabila melihat kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa puas. Pengetua mengumumkan bahawa hari Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah bolehlah berehat pada hari tersebut.

Dilaporkan oleh,                                                     20 SEPTEMBER 2016

   pettym
………………………
(SITI PETIMAH BINTI IBRAHIM)
Setiausaha Hari Kantin,
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana.

03/11/2019

Penulisan Dimensi Diri & Dimensi Keluarga

Bahan Penulisan daripada pelbagai blog yang masih relevan untuk persediaan SPM 2019


Latihan 1 :   Pelbagai masalah yang timbul dalam keluarga seperti masalah kewangan, masalah anak-anak dan masalah yang melibatkan ibu bapa itu sendiri. Keadaan ini menimbulkan stres kepada setiap ahli keluarga.
Huraikan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh setiap ahli keluarga dalam menghadapi tekanan atau stres ke arah melahirkan keluarga yang bahagia.

Pendahuluan : Tragedi-tragedi pelik seperti bapa mencurah asid ke muka anak, suami membunuh isteri di tempat tidur, anak membunuh ahli keluarga dan pelbagai kerenah dalam keluarga bagaikan menjadi suatu fenomena dalam masyarakat moden. Masyarakat yang kononnya semakin bijak telah mula tenggelam punca dan sanggup melakukan tindakan ganas di luar batasan. Pelbagai krisis yang melanda keluarga telah menjadi anasir peledak sehingga keharmonian dalam rumah tangga bertukar menjadi neraka kehidupan. Pelbagai tekanan emosi mula melanda keluarga sehingga boleh menimbulkan kesan kemurungan, halunisasi, dan gila. Memandangkan fenomena ini boleh mengancam kesejahteraan institusi tertua di dunia itu, pelbagai langkah menanganinya harus diambil dengan seberapa segera.

Isi 1 : Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi sebelum anak-anak mengharungi alam berumah tangga – anak-anak sudah mempunyai persediaan yang cukup – dapat menangani segala masalah dengan tenang

Isi 2 : Ibu bapa hendaklah sedar bahawa tanggungjawab membahagiakan rumah tangga adalah suatu amanah dan ibadah – menjadi motivasi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni dan sejahtera

Isi 3 : Memperlengkap ahli keluarga dengan imu pengetahuan dunia dan akhirat – ilmu dunia sebagai alat untuk kesenangan hidup sementara ilmu agama sebagai pengimbang dan kedamaian batiniah

Isi 4 : Menjalinkan perasaan mesra dan seronok sesama ahli keluarga – mengetepikan perkara-perkara negatif yang boleh mencetuskan perasaan marah – menikmati kehidupan berkeluarga ibarat syurga

Isi 5 : Memilih pihak ketiga sebagai pendamai – langkah penyelesaian terakhir sekiranya masalah terlalu rumit – semua pihak hendaklan mengetepikan ego masing-masing – menerima hakikat bahawa bukan semua masalah harus diselesaikan bersendirian

Kesimpulan : Fenomena semasa yang semakin mencabar secara tidak langsung boleh mempengaruhi mod dan emosi seseorang. Oleh itu, jikalau darah sudah mengalir ke mata, justeru padahnya terlalu besar. Jangan dibiarkan dendam yang membara, sebaliknya setiap masalah hendaklah diselesaikan dengan hemah dan pemikiran yang positif. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan ibarat, hendak seribu daya tidak mau seribu helah.

********

Latihan 2 :   Perasaan saling menyayangi dan hormat-menghormati sesama ahli keluarga dapat membentuk keluarga  yang penyayang.
Berikan pandangan anda tentang peranan ahli keluarga dalam melahirkan keluarga yang harmoni dan penyayang. 

Pendahuluan : Kalangan bijaksana berpendapat bahawa, rumah ialah syurga kepada kehidupan dan ada kalanya menjadi neraka. Pengertian daripada pendapat tersebut menerangkan bahawa, rumahtangga menjadi nukleus utama yang dapat membentuk keluarga yang bahagia mahupun di sebaliknya. Pelopor paling penting untuk melahirkan sebuah keluarga harmoni dan bermawadah tentulah ibu bapa. Elok corak yang dilakari nescaya eloklah keluarga yang dibina. Oleh itu, ibu bapa memainkan peranan yang amat besar demi mencorakkan sebuah rumahtangga yang dilingkungi oleh rahmat dan kasih sayang. Walau bagaimanapun, sokongan daripada anak-anak dan seluruh ahli keluarga amat penting juga dalam melahirkan sebuah  keluarga yang penyayang

Isi 1 : Menjadi insan yang bertakwa dan patuh pada hukum Allah – insan seperti ini sentiasa berfikiran positif dan mengetepikan perihal yang negatif – sentiasa memupuk kecenderungan untuk hidup yang diredai di dunia mahupun akhirat

Isi 2 : Mengutamakan pendidikan kekeluargaan dengan limpahan kasih sayang kepada anak-anak – anak-anak yang diajari erti berkasih sayang lebih cenderung untuk saling hormat dan saling menyokong

Isi 3 : Berkomunikasi secara lembut dan sopan dengan anak-anak – melahirkan persekitaran rumah tangga yang harmoni, sepakat, dan memperoleh berkat

Isi 4 : Anak-anak perlu patuh kepada ibu bapa – ibu bapa senang dengan sikap anak-anak yang mudah ditunjuk ajar – tidak wujud jurang komunikasi

Isi 5 : Memanjangkan jalinan persaudaraan dengan kaum keluarga dan jiran tetangga – mendedahi anak-anak tentang cara hidup yang bermasyarakat dengan jalinan kasih sayang

Kesimpulan : Sesungguhnya keluarga menjadi markas utama untuk membentuk insan penyayang lagi cemerlang. Keluarga yang porak peranda memberi impak negatif kepada masyarakat setempat. Oleh itu, persefahaman yang wujud dalam kalangan ahli keluarga dapat membentuk masyarakat madani yang kompeten dan harmoni.

********
Latihan 3 :    Aktiviti riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga sangat digalakkan kerana dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan selain dapat menyihatkan badan.
Ulas pernyataan di atas.

Pendahuluan :  Kehidupan pada hari ini sungguh mencabar. Pelbagai cabaran yang mewarnai kehidupan kita. Bermula dengan cabaran di dalam rumah tangga hinggalah cabaran di tempat kerja. Pelbagai masalah yang kadang-kadang boleh memisahkan insan-insan tersayang. Memandangkan kesibukan telah menjadi penghalang ikatan kasih sayang dalam keluarga, justeru kesempatan mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi bersama-sama keluarga amatlah digalakkan. Hal demikian bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan keluarga semula, malahan dapat mengekalkan kesihatan dan kecergasan tubuh badan. Oleh hal yang demikian, setiap peluang keemasan untuk bersama-sama keluarga beriadah dan berekreasi hendaklah diisi dengan sebaik mungkin.

Isi 1 :  Dapat mengikat tautan keluarga agar lebih rapat – wujud sikap saling menolong dan saling menyokong.

Isi 2 :  Dapat bertukar-tukar fikiran dan berbincang secara santai – melupakan sejenak masalah dalam rumah tangga dan masalah di tempat kerja – menyihatkan minda dan mengembalikan tenaga

Isi 3 :  Dapat menikmati keindahan dan kesaujanaan alam secara bersama – bersama-sama mensyukuri akan rahmat Tuhan – saling bermuhasabah dan membuat koreksi peribadi

Isi 4 :  Berkongsi pendapat menyelesaikan masalah – apabila berhadapan dengan cabaran dalam masa aktiviti (dalam aktiviti riadah) – saling menguji ketahanan, kekuatan dan ketabahan

Isi 5 :  Aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti hidup – kesihatan fizikal dan mental – ketenangan dan keseimbangan emosi – melahirkan zuriat yang sihat – cergas fizikal dan cerdas minda

Kesimpulan : Keluarga ialah harta dan dalam masa yang sama menjadi teman penghibur serta menyejukkan jiwa yang lara. Oleh itu, kesinambungan keluarga yang sihat, aktif dan harmoni hendaklah dilestarikan agar hidup sentiasa riang dilingkungi oleh keluarga yang bahagia dan harmoni.

********
Latihan 4 :    Peranan membentuk keluarga bahagia tidak hanya terletak di atas bahu ibu bapa sahaja,  sebaliknya menjadi tanggungjawab semua ahli keluarga.
Tulis pendapat anda tentang peranan ahli keluarga untuk membentuk keluarga yang bahagia.

Pendahuluan :  “Air dicencang tidak akan putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan rapat  yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam keluarga.

Isi 1 : Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga - keluarga sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri sendiri – sentiasa bertolak ansur dan bermusyawarah

Isi 2 : Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik - membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran - meletakkan asas akhlak yang terpuji dengan mengamalkan tingkah laku yang baik - mengutamakan prinsip yang muda disayangi dan yang tua dihormati

isi 3 : Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri – membantu meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit - mempererat jalinan kasih dalam kalangan adik-beradik

Isi 4:  Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus silaturahim dengan keluarga - mewujudkan keluarga besar yang harmoni, produktif, dan toleran

Kesimpulan :  Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan berpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya”. Dengan yang demikian, jalinlah kasih syang dan silaturahim demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

*  jika soalan berkaitan peranan anda (dimensi diri),  gunalah kata ganti diri saya.

********
Latihan 5 :    “Ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi”.
Tulis sebuah karangan berhubung dengan peribahasa tersebut.

Pendahuluan :  Kehidupan berkeluarga telah mendominasi dunia sejak dari manusia mula mengenal keperluan terhadap pasangannya. Institusi keluarga merupakan komuniti sosial yang paling tua di dunia dan mampu bertahan hingga ke hari ini. Daripada sebuah keluarga akhirnya berkembanglah zuriat. Zuriat yang lahir akan meneruskan tradisi warisan keluarga dan keturunan. Atas faktor hubungan darah dan baka, anak-anak biasanya akan mewarisi tampang fizikal serta bakat daripada ibu bapa mereka. Daripada pewarisan zuriat yang turun-temurun itulah lahirnya peribahasa yang menyatakan, ke manakah tumpahnya kuah jikalau tidak ke nasi.

Isi 1 :  Anak sudah pasti mewarisi pembawaan serta bentuk rupa paras daripada ibu bapa -
sekiranya ibu bapa memiliki ciri-ciri personaliti yang baik, justeru anak-anak pun demikian - anak-anak dikatakan pancaran daripada ibu bapa - anak-anak perlu menuruti semua acuan yang baik yang ditunjukkan oleh ibu bapa

Isi 2 : Pembentukan sahsiah dan perwatakan anak-anak akan bermula di rumah - anak-anak akan mewarisi segala tingkah laku dan tindak tanduk ibu bapa - budaya dan iklim dalam keluarga bakal mewarnai setiap tindakan anak-anak

Isi 3 : Bakat besar yang ada kepada bapa atau ibu hendaklah diwarisi oleh anak-anak – anak-anak hendaklah menjadi ikon baik ibu bapa – teladan daripada ramai pemimpin dunia yang bakat mereka diwarisi oleh anak-anak – anak-anak mesti mempertahankan imej baik yang telah ditunjukkan oleh ibu bapa

Isi 3 : Anak-anak hendaklah bersikap terbuka untuk menerima segala bimbingan daripada ibu bapa - anak diibaratkan seperti sehelai kain putih semasa lahirnya, terletaklah kepada ibu bapa untuk menentukan corak dan warnanya - amalkan sikap melentur buluh biarlah semasa rebungnya – ibu bapa telah lama hidup dan banyak pengalaman yang sewajarnya dituruti oleh anak-anak

Isi 5 : Turunan bakat yang dimiliki oleh ibu bapa perlu diwarisi oleh anak-anak – anak-anak wajar berbangga kerana bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh ibu bapa – cuba suburkan turunan bakat (seni kraftangan, bidang seni lukis, seni tari. memasak dan ketukangan) yang diwarisi secara turunan generasi – peribahasa ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi

Kesimpulan :  Baka dan keturunan adalah suatu kejadian Allah yang paling unik. Tiada sesiapapun yang mampu mengubah suai ciptaan Tuhan yang sungguh agung itu. Oleh yang demikian, kita sewajarnya menjaga zuriat dan keturunan daripada tercemar daripada pelbagai anasir luar yang boleh merosakkan darah daging sendiri. Wujudkan hubungan yang rapat antara ibu bapa dan anak-anak agar tradisi keluarga dan baka keturunan yang baik terus produktif, ibarat benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau.

********

Latihan 6 :   Harapan ibu bapa terhadap anak-anak amatlah besar. Walau bagaimanapun terdapat kes-kes seperti kacang melupakan kulit.
Pada pendapat anda, mengapakah wujud anak-anak yang bersikap demikian.

Pendahuluan :  Alam berumah tangga menjadi cukup berseri dengan kehadiran cahaya mata. Si ibu dan si ayah akan segera mencapai kematangan dan mula mengambil tanggungjawab untuk menyempurnakan si anugerah daripada Tuhan itu. Itulah anak yang menjadi harapan kepada ibu bapa sama ada di dunia mahupun di akhirat. Berbahagialah kedua-dua ibu bapa sekiranya anak yang dilahirkan menjadi insan soleh, cemerlang dan tidak tersasar daripada asal usul. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga ibu bapa yang terpaksa menempuh hari-hari emas mereka akibat dipinggirkan oleh anak-anak yang tidak berhati perut umpama kacang lupakan kulit. Sebenarnya, banyak faktor yang boleh dijustifikasikan sehingga wujud anak-anak seumpama itu.

Isi 1 :  Anak-anak yang cepat lupa daratan – lupa asal usul lalu menjadi anak derhaka – tidak mahu berkorban untuk ibu bapa yang telah banyak berkorban untuk mereka

Isi 2 :  Anak-anak tidak mempedulikan halal haram – jahil agama – tidak menghayati balasan syurga adalah dengan reda ibu bapa

Isi 3 :  Anak pascamoden yang terlalu leka dengan kebendaan – mengejar keselesaan dunia – menganggap ibu bapa sebagai beban – sengaja membiarkan ibu bapa menderita di desa pedalaman yang daif

Isi 4 :  Sikap ibu bapa sendiri – segelintir ibu bapa yang tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap anak-anak – lalai dengan keseronokan – tidak sedar akan nasib pada hari itua

Isi 5 :  Masalah kebobrokan dan rumah tangga ibu bapa yang berantakan – berlaku perceraian – anak-anak hidup terbiar dan melarat – anak-anak membawa haluan masing-masing – hilang mawaddah terhadap ibu bapa.

Kesimpulan : Sudah menjadi resam dunia, hidup ibarat putaran roda. Demikianlah tentang hubungan ibu bapa dengan anak-anak. Andai ibu bapa melaksanakan tanggungjawab dengan penuh ikhlas terhadap anak-anak, insya-Allah balasnya akan baik juga. Malang sekali keadaan yang berlaku adalah amat berbeza. Oleh itu, antara ibu bapa dan anak-anak seyogia laksanakan tanggungjawab masing-masing semoga hidup memperoleh rahmat daripada Allah SWT. 

********

Soalan 7 :    Ramai remaja pada hari ini yang bertindak di luar batasan sehingga memalukan ibu bapa.  Perbuatan tersebut telah menimbulkan pelbagai kesan buruk kepada ibu bapa.

Bincangkan.

Pendahuluan :  Belakangan ini, pelbagai isu yang melibatkan remaja sering menjadi topik perdebatan utama. Sama ada di dada-dada akhbar mahupun yang terpancar melalui kaca televisyen, isu panas yang berkaitan tingkah laku remaja tetap menjadi sajian yang meloyakan. Cerita-cerita tentang pergaulan bebas, merempit dan melepak, menagih dan jenayah semakin meningkat hari demi hari.  Sementara itu, ibu bapa terpaksa menanggung malu akibat tidak tertahan dengan gelagat anak-anak. Adakah mereka tidak dididik dengan sempurna? Ke manakah pergi ibu bapa mereka? Sebenarnya, soalan-soalan seumpama itu terlalu acap kita dengar. Walau bagaimanapun, amatlah tidak adil untuk menyalahkan ibu bapa semata-mata kerana tindakan keji anak-anak muda hari ini sudah keterlaluan dan turut memalukan induk sendiri.

Isi 1 : Ibu bapa menderita dan sedih kerana menanggung malu – kecewa apabila anak yang dididik dan dibelai semasa kecil telah menconteng arang ke muka mereka – melakukan pelbagai perbuatan keji dan lupa daratan

Isi 2 :  Ibu bapa disisih dan dipandang serong oleh masyarakat – berdepan dengan pelbagai tuduhan (tidak pandai mengajar anak dan menyusahkan masyarakat) – mengalami masalah untuk berinteraksi dan bercampur gaul dalam masyarakat

Isi 3 :  Ibu bapa mengalami kesan trauma dan fobia dengan tindakan ganas oleh anak-anak – berlaku kes anak yang menagih dadah mencekik dan memukul ibu – takut situasi sama berulang

Isi 4 :  Ibu bapa dipanggil ke balai polis – diminta mengikat jamin anak yang terlibat dengan perbuatan jenayah – mengalami tekanan perasaan dan malu

Isi 5 :  Hilang tempat bergantung – menghadapi hari-hari tua yang hambar, takut dan mengecewakan – menghembuskan nafas yang terakhir dalam kekecewaan (ditamsilkan mati pejam tidak rapat)

Kesimpulan :  Alangkah bahagianya bagi seseorang ibu atau bapa yang pada saat-saat akhir perjalanan mereka dikelilingi oleh anak-anak dan cucu. Ada bacaan ayat-ayat suci mahupun doa yang ditiupkan di sisi telinga oleh anak-anak yang soleh. Namun, malang sekali nasib sebilangan ibu bapa yang terpaksa manelan kepahitan akibat perbuatan anak-anak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, wahai para remaja andai sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.

********

Latihan  8 :  Anak-anak remaja hari ini dikatakan sangat liat untuk masuk ke dapur sedangkan amalan ke dapur telah menjadi warisan turun-temurun.
Bincangkan pendapat anda tentang peranan ibu bapa untuk memperkasakan budaya ke dapur dalam kalangan anak-anak.

Pendahuluan : Menghayati lirik lagu klasik yang berbunyi, “Anak dara kalau menyanyi di dapur, alamat mendapat suami tua”. Walaupun kata-kata tersebut agak sinis untuk menasihati anak-anak gadis supaya lebih bersopan, namun di sebalik kata-kata tersebut mengandung hakikat bahawa anak-anak perempuan sangat sinonim dengan kerja-kerja di dapur terutama memasak. Sejak fasa silam lagi nilai diri seseorang turut diukur berdasarkan kecekapannya menguruskan hal-hal di dapur. Sebaliknya, selepas melalui beberapa peringkat pemodenan, anak remaja sama ada perempuan atau lelaki amat liat untuk ke dapur. Fenomena ini jelas menunjukkan gejala ketandusan budaya tradisional. Oleh itu, sebelum warisan turun-temurun ini pupus ditelan arus pemodenan, ibu bapa hendaklah memainkan peranan hakiki untuk melatih anak-anak agar mesra ke dapur.

Isi 1 : Mengamalkan pendidikan bermula di rumah – rumah sebagai paksi membentuk peribadi anak-anak - ibu bapa hendaklah membudayakan amalan tradisional – membiasakan anak-anak dengan latihan memasak, mengemas rumah – ibu bapa hendaklah menjadi role model dan kepimpinan melalui teladan – memanfaatkan cuti sekolah untuk melatih anak-anak

Isi 2 : Kurangkan tabiat suka makan di luar – anak-anak berasa tiada keperluan untuk masuk ke dapur – tiada peluang untuk mendidik anak-anak secara formal

Isi 3 : Mengambil kesempatan cuti hujung minggu dan cuti panjang – ketika semua ahli keluarga bertemu – ibu hendaklah mengajak anak-anak masuk ke dapur – anak-anak perlu belajar dan membantu si ibu di dapur – memberi peluang anak-anak mencuba resipi mereka – anggota keluarga hendaklah memberikan kerjasama dan memberi penghargaan

Isi 4 : Mendidik anak-anak supaya lebih berdisiplin – dengan disiplin anak-anak mudah menerima tunjuk ajar - setiap anak hendaklah diberikan tugas yang sepadan – tidak wajar ada yang terlalu berat tugasan dan ada yang berehat panjang (menunggu makanan terhidang ke lutut

Isi 5 : Memberi motivasi kepada anak-anak – anak-anak perlu diberikan semangat dan dorongan dari awal - menyediakan bahan bacaan yang berkaitan dengan rumah tangga (majalah Anjung Seri, Majalah Laman, Saji, Didik, Muslimah dan pelbagai bentuk perisian CD/DVD) – membuka minda anak-anak mengikuti teladan daripada ikon keluarga yang berjaya

Kesimpulan : Pepatah Melayu yang menyatakan, anak gadis walau setinggi mana sekalipun ilmunya akan ke dapur bukanlah membawa konotasi yang negatif. Sebaliknya, maksud yang tersirat adalah untuk mengilhamkan setiap individu akan kepentingan menghidupkan suasana kekeluargaan yang harmoni dan jannati. Seyogia, sebelum tradisi dan budaya murni ini luput, wajarlah semua pihak terutama ibu bapa mendidik anak-anak semula ke landasan yang betul.

********

Latihan 9 : Keluarga memainkan peranan penting dalam pembentukan amalan gaya hidup sihat.
Beri pendapat anda.

Pendahuluan : Gejala serangan pelbagai penyakit yang menggerunkan dan luar biasa sejak belakangan ini amat dibimbangi oleh warga dunia. Beberapa ancaman wabak seperti SARS, ILI, HINI, Aids dan pelbagai penyakit benar-benar menggemparkan masyarakat dunia pada dekad-dekad belakangan ini. Selain wabak yang berskala besar seperti itu, ancaman kesihatan yang bersifat domestik seperti denggi, barah, dan penyakit kronik masih membelenggu masyarakat. Tidak dinafikan pelbagai usaha telah digemblengkan oleh WHO dan kerajaan-kerajaan di seluruh dunia untuk menangani ancaman gejala penyakit, namun usaha tersebut akan menjadi lebih berkesan apabila semua pihak sentiasa prihatin untuk memilih amalan gaya hidup sihat sebagai keutamaan. Inisiatif  seperti itu hendaklah turut disokong oleh institusi keluarga selaku penggerak utama pembentukan sesebuah masyarakat yang sihat.

Isi-isi cadangan :  (Peranan yang boleh dimainkan oleh keluarga)

Isi 1:  Keluarga perlu menjadikan agenda kesihatan penting setanding dengan keperluan asas yang lain – kesihatan diambil sebagai suatu budaya dalam hidup – dalam konteks mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Isi 2:  Memantapkan kedudukan ekonomi rumah tangga – kesihatan amat berkait rapat dengan kedudukan kewangan untuk menangani segala keperluan asas

Isi 3:  Mengamalkan pendidikan kesihatan dalam keluarga – keutamaan kepada maklumat dan sumber-sumber kesihatan – bahan bacaan, kempen, dan amalan harian

Isi 4:  Mengutamakan makanan untuk kesihatan daripada makan untuk kepuasan – memberi perhatian serius terhadap nasihat dan panduan dalam piramid makanan – memilih makanan yang berkhasiat, bersih dan halal (berpegang kepada falsafah pembentukan peribadi bermula daripada pemakanan yang baik dan berkhasiat)

Isi 5:  Mengamalkan rutin kesihatan – tidur yang cukup. Senaman yang sempurna, amalan kebersihan, dan peka terhadapa segala serangan penyakit.

Isi 6:  Peka terhadap kejahteraan dan kebersihan alam sekitar – berpegang kepada kesejahteraan alam sebagai penjanan hidup sihat.

Isi 7:  Peka terhadap keperluan masyarakat dan negara – masyarakat yang harmoni negara dan jaya dan hidup sejahtera..

Kesimpulan :  Mafhum daripada sepotong Hadith Nabi yang bermaksud, “Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit”  benar-benar menyedarkan kita bahawa kesihatan merupakan aset  besar untuk sesuatu bangsa itu mempertahankan tamadun. Dalam merealisasikan matlamat hidup sihat secara universal, keluarga hendaklah menjadi paksi utama melaksanakan segala program amalan gaya hidup sihat yang sentiasa dicanang-canangkan.

********

Latihan 10 :  Keluarga sepatutnya menjadi institusi yang selamat. Namun begitu kejadian penderaan kanak-kanak oleh ahli keluarga masih berleluasa.
Berikan saranan anda tentang peranan institusi keluarga bagi membanteras gejala ini.

Pendahuluan :  Anak sebagai amanah Allah. Anak juga sebagai anugerah kerana terdapat orang yang tertentu yang terlalu berhajatkan kepada anak tidak diberikan zuriat, sebaliknya ada pula yang memiliki terlalu ramai anak sehingga tidak terjaga. Anak-anak yang dibela jaga dengan baik akan menjadi penyeri dalam kebahagiaan rumah tangga. Anak juga menjadi sumber motivasi untuk ibu dan bapa berusaha dengan lebih gigih untuk membahagiakan rumah tangga yang dibina. Alangkah rukun damainya sesebuah rumah tangga apabila dikurniakan anak. Namun belakangan ini entah apalah yang telah merasuk sebahagian kecil manusia sehingga mereka tergamak mendera, mencederakan, malah ada yang sanggup membunuh darah daging sendiri. Seandainya fenomena ini tidak ditangani segera, dibimbangi banyak lagi insiden yang di luar jangkaan akan berlaku. Dalam hal ini institusi keluargalah yang lebih diberikan peranan untuk membanteras gejala pagan seperti itu agar tidak melarat.

(langkah-langkah membanteras)

Isi 1:  Mengutamakan agenda kasih sayang dalam keluarga – kasih sayang dijadikan kunci dan matlamat membina sesebuah keluarga 

Isi 2:  Membina kesedaran yang tinggi dalam kalangan anggota keluarga bahawa mereka memikul amanah untuk menjaga anak-anak kecil – menjadikan kehadiran seseorang bayi sebagai penambat kasih sayang – setiap anggota dalam keluarga faham akan tanggungjawab masing-masing

Isi 3:  Mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan – setiap pasangan dikehendaki menghayati betul-betul kemahiran tersebut sebelum boleh mendirikan rumahtangga – ilmu yang meliputi persediaan mental, emosi dan psikologi untuk berhadapan dengan insan kecil

Isi 4:  Menghayati ilmu agama dan pendidikan moral yang sempurna – kesedaran terhadap tanggunjawab agama dan ketuhanan boleh mencegah manusia mudah dirasuk syaitan – penghayatan moral membolehkan seseorang menghayati unsur-unsur nilai kemanusiaan dan nilai sejagat

Isi 5:  Mendidik sifat prihatin dan sensitif ahli keluarga terhadap keselamatan kanak-kanak – tidak memberikan kesempatan ahli keluarga yang lain terus menerus mendera – mengambil tindakan pantas mencegah, melapor, dan menyelamatkan kanak-kanak yang didera.

Isi 6:  Memperkukuh jalinan kejiranan – setiap anggota keluarga hendaklah dididik supaya menghormati jiran – jiran yang rapat dapat membantu dalam segala tindakan sama ada susah atau senang.

Kesimpulan :  Sesungguhnya keluarga merupakan nukleus untuk melahirkan insan madani yang mampu memberikan sumbangan berguna kepada masyarakat dan negara. Kejayaan sesebuah negara adalah bergantung penuh kepada modal insan yang cemerlang sama ada dalam aspek mental mahupun fizikal. Oleh yang demikian, keluarga amatlah bertanggungjawab untuk menghalang segala anasir yang mendorong kepada gejala penderaan agar masyarakat terus harmoni dan  negara sejahtera.

********

Latihan 11 :   Anak-anak boleh membantu ibu bapa dalam usaha mengurangkan bebanan ekonomi dalam rumah tangga.
Tulis pendapat anda tentang langkah-langkah hemat berbelanja yang boleh dibantu oleh anak-anak.

Pendahuluan :  Semua pihak telah maklum, bahawa sepanjang tahun 2008 hingga hari ini kos sara hidup keluarga terlalu getir. Kegetiran tersebut berpunca daripada suasana ekonomi dunia yang suram. Peningkatan mendadak harga minyak, perubahan suhu dunia, bencana alam, dan krisis bahan makanan cukup menakutkan banyak pihak. Hingga ke hari ini suasana ekonomi dunia masih dalam suasana yang tidak menentu. Banjir besar yang melanda negara-negara pengeluar pertanian seperti Australia, India, dan Cina amat menakutkan kita. Walaupun Malaysia tidak begitu teruk terjejas, namun amaran seperti itu perlu diambil serius agar dapat menyediakan payung sebelum hujan. Bagi mendepani keadaan darurat seperti itu, setiap ahli keluarga haruslah mempunyai pelan tersendiri untuk menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa krisis seperti itu.

Isi 1 : Mengamalkan latihan berjimat cermat - amalan yang harus dipupuk sejak kecil - memupuk nilai-nilai murni dalam keluarga seperti menyayangi harta benda, berbelanja secara berhemat, dan menjauhi amalan boros

Isi 2 : Mengamalkan latihan menabung dan menyimpan - penyimpanan melalui institusi kewangan dan pelaburan saham - berjimat cermat sewaktu senang dengan memperuntukkan lebihan belanja untuk simpanan – hayati budaya masyarakat silam menyimpan wang di dalam tabung buluh

Isi 3 : Anak-anak hendaklah memahami kemampuan ibu bapa - tidak meminta-minta sesuatu yang berlebih-lebihan - tidak melampau dan meniru cara hidup rakan-rakan di luar

Isi 4 : Tidak terlalu terpengaruh dengan umpan kebendaan dan berbelanja di luar kemampuan - keinginan untuk hidup bergaya melebihi kemampuan - cepat terpengaruh dengan pelbagai iklan dan pujukan atau tawaran jualan

Isi 5 : Tidak terpengaruh dengan sikap ingin bersaing dan menunjuk-nunjuk -elakkan sifat meninggi diri mahu bersaing dengan jiran dan tetangga

Sampel kesimpulan : Pendidikan daripada peribahasa ingat sementara belum kena, jimat sementara belum habis amatlah tepat diamalkan dalam situasi seperti ini. Janganlah disebabkan sikap yang terlalu berkehendakkan sesuatu sehingga di luar kemampuan, kita terpaksa menanggung beban terutama dalam krisis  gawat seperti ini. Janganlah sudah terhantuk baru hendak menengadah. Oleh itu, rancanglah strategi perbelanjaan secara berhemat dalam erti kata hendak kaya berdikit-dikit, hendak papa bertabur urai.

********

Latihan 12 :   Setiap anak menjadi harapan keluarga. Menyedari hakikat tersebut, anak-anak harus mempersiapkan diri untuk menggalas tanggungjawab terhadap keluarga.
Tulis persediaan-persediaan yang perlu anak-anak lakukan.

Pendahuluan :  Anak-anak ialah cahaya mata yang menjadi buah hati pengarang jantung kepada kedua-dua ibu dan ayah. Dengan kelahiran seseorang anak, kehidupan ibu dan bapa menjadi lengkap dan sempurna. Apatah lagi apabila anak yang dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta menjadi insan yang berguna. Sebagai anak-anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka hendaklah bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung. Elakkan daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa kerana dosa yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap anak dituntut membuat persediaan sama ada mental, fizikal dan sahsiah yang baik agar harapan ibu bapa terutama apabila menjelang usia  emas mereka tidak dikecewakan.

Isi 1 :  Menjadi anak yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT – insan yang bertakwa sentiasa melakukan kerja-kerja yang baik seperti menghormati ibu bapa – tidak melakukan kerja-kerja yang terkutuk yang boleh menjejaskan maruah ibu bapa

Isi 2 :  Menjadi anak yang luhur pekerti dan bermoral tinggi – pekerti dan moral menjadi piawai seseorang itu dipandang mulia – tidak mudah terjebak dalam angkara yang merosakkan masa depan – menjadi imej (pancaran) hati nurani ibu bapa

Isi 3 :  Berusaha dengan gigih demi jaminan masa depan – mengisi dada dengan ilmu, mempelajari pelbagai kemahiran sebagai jaminan memperoleh kerjaya yang baik – bercita-cita membalas budi ibu bapa

Isi 4 :  Menjalinkan hubungan mesra dan mawaddah dengan adik-beradik dan kaum keluarga – mewujudkan keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek material mahupun moral

Isi 5 :  Bercita-cita menjaga ibu bapa apabila tiba saat-saat akhir mereka – maksud daripada firman Allah, “Akan gugur dosa seseorang anak apabila dia dengan ikhlas menjaga ibu dan bapanya hingga ke akhir hayat” -  tindakan membalas budi ibu bapa yang amat besar nilainya di sisi Tuhan.

Kesimpulan :  Meminjam kata-kata daripada orang-orang lama bahawa, betapa kasihnya seseorang ibu kepada anaknya hatta seekor lalat pun tidak dibenarkan hinggap ke tubuh si anak. Demikianlah pengorbanan besar ibu bapa terhadap seseorang anak. Oleh itu, sikap yang sama wajar dikembalikan oleh anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang gantinya sebatang sungai emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah untuk menjadi seorang anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat mereka bergantung.

********

Latihan 13 :  Sokongan daripada anak-anak amat penting dalam usaha mewujudkan persekitaran keluarga yang bersih, sihat, dan ceria.
Bincangkan pendapat anda tentang sumbangan yang boleh anak-anak berikan untuk mencapai matlamat di atas.

Pendahuluan :  Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua ibu bapa. Namun demikian, tidak semua hasrat tersebut mencapai matlamat. Ada yang kecundang dan terbentur di tengah-tengah gelora samudera. Semua orang sentiasa menyimpan hasrat yang amat tinggi agar anak-anak menjadi insan mulia yang tahu membalas budi dan jasa induk mereka. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang bersih, sihat, dan ceria anak-anak hendaklah berperanan penting untuk menyuburkan persekitaran rumah tangga yang bahagia dan kondusif.

Isi 1 :   Patuh dan hormat kepada kedua-dua ibu bapa – tidak melawan dan menyanggah cakap ibu bapa – tunaikan dan penuhi segala hasrat mereka – tidak melakukan aktiviti yang boleh menyekitkan hati ibu bapa

Isi 2 :  Menjalinkan hubungan yang akrab sesama anggota keluarga – bercakap secara hormat dan lemah lembut sesama saudara mara – tidak bersikap ego dan mementingkan diri sendiri

Isi 3 :  Merancangkan perjumpaan keluarga secara berkala – bersama-sama pulang ke induk – kesempatan pada cuti hujung minggu, cuti am, dan musim perayaan – menganjurkan aktiviti mesra keluarga seperti makan bersama-sama

Isi 4 :  Mengadakan program fizikal dan kerohanian secara bersama – aktiviti riadah, gotong royong dan solat berjemaah – ziarah

Isi 5 :  Menjalinkan hubungan persaudaraan dengan sanak saudara sama ada di sebelah ibu mahupun bapa – memperluas rangkaian kaum keluarga – membantu yang memerlukan dan menyokong usaha memajukan tabung ekonomi keluarga

Kesimpulan :  Keluarga bahagia merupakan teras masyarakat yang maju dan harmoni. Masyarakat yang harmoni dan dinamik bermula daripada sistem keluarga yang teratur dan sejahtera. Oleh itu, setiap keluarga sama ada keluarga nukleus mahupun keluarga besar hendaklah menjalinkan kehidupan yang saling menyokong dan bertoleransi.


********

Latihan 14 :  Anda telah memenangi peraduan menulis esei yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di tempat anda. Tajuk esei yang anda pilih ialah, “Permata Hatiku Sayang”.
Tulis esei tentang siapakah anak yang dikatakan Permata Hati?


Pendahuluan :  Anak adalah menjadi buah hati pengarang jantung kepada ibu bapa. Anak sebagai anugerah yang bakal menyerikan kehidupan berumah tangga. Disebabkan kehadiran mereka terlalu bermakna kepada kedua-dua ibu bapa, justeru anak digelar cahaya mata. Anak yang dibelai dengan penuh kasih sayang serta diberikan ilmu pengetahuan mampu menjadi insan yang berguna. Mereka pasti menjadi anak-anak yang pandai membalas budi ibu bapa. Sebenarnya, inilah anak-anak yang menjadi impian ibu bapa dan disebut permata hati.

Isi 1 : Anak yang patuh akan perintah Allah SWT dan menyayangi ibu bapa - sentiasa taat akan perintah Allah – meninggalkan perkara-perkara yang dilarang  dan melaksanakan segala perintah yang baik – sntiasa berbakti kepada kedua-dua ibu bapa

Isi 2 : Anak-anak yang bermotivasi tinggi – berazam mahu mencapai kejayaan di hari muka – gigih berusaha dan belajar – ingin membalas jasa ibu bapa dengan menghadiahi mereka kejayaan

Isi 3 : Anak yang cemerlang akhlak dan moralnya – sentiasa menjaga nama baik keluarga – berhati-hati dalam sebarang tindakan dan kelakuan – tidak mahu maruah ibu bapa tercemar – hormat akan orang tua, kaum keluarga dan jiran tetangga

Isi 4 : Anak yang ikhlas mahu mengambil tanggungjawab menjaga ibu bapa yang telah tua dan uzur -  mengambil peluang untuk membalas jasa ibu bapa ketika mereka sangat memerlukan kehadiran anak-anak – faham akan tuntutan bahawa semua dosa anak terhadap ibu bapanya akan terhapus apabila si ibu atau bapa mati di bawah jagaan anak tersebut

Kesimpulan :  Mafhum daripada sepotong Hadith Rasulullah dengan maksudnya, “Apabila mati seseorang anak Adam itu, justeru terputuslah segala amal baiknya, kecuali tiga yang masih tinggal. Ketiga-tiga yang tersebut ialah sedekah kepada golongan yang memerlukan, ilmu yang bermanfaat yang diajarkan, dan anak-anak yang baik yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka”. Demikianlah betapa besarnya erti kehadiran anak-anak sama ada semasa hidup mahupun setelah mati.

********

Latihan 15 : Keharmonian dalam rumah tangga dapat diwujudkan daripada sikap yang baik dalam kalangan anak-anak.
Bincangkan sikap yang perlu ada kepada anak-anak bagi melahirkan sebuah keluarga yang harmoni

ISI-ISI UTAMA (IU)
·         Anak-anak yang mulia budi pekerti dan bermoral tinggi
·         Anak-anak yang bersikap ringan tulang
·         Anak-anak yang patuh kepada perintah agama dan taat kepada ibu bapa
·         Anak-anak yang bersedia mengambil tanggungjawab
·         Anak-anak yang saling bertoleransi

Keluarga bahagia adalah menjadi impian semua orang. Matlamat “Rumahku Syurgaku” menjadi hasrat semua keluarga. Mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni memanglah lunak dan muluk, namun tidak semudah seperti yang dihasratkan. Realitinya, banyak institusi keluarga yang kecundang dan terbentur ditelan gelombang. Oleh itu, selain ibu bapa, anak-anak turut berperanan untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga.  Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat keluarga yang harmoni, anak-anak haruslah bersikap positif dan turut memainkan peranan agar keluarga yang dibina menjadi keluarga progresif, harmoni, dan sejahtera.

Prakarsa yang paling prima ialah anak-anak hendaklah menjadi seorang insan yang patuh kepada agama dan taat kepada ibu bapa. Hal ini demikian kerana sikap tersebut amat dituntut sama ada di sisi agama mahu pun budaya. Oleh itu, jadilah anak-anak penawar hati dan pelunak perasaan kepada ibu dan ayah. Hormati dan taatilah ibu bapa kerana kesejahteraan dunia dan akhirat adalah atas redha ibu bapa. Apabila ibu bapa dipatuhi manakala perintah Tuhan ditaati nescaya lahirlah insan sempurna sama ada peribadi mahupun nurani . Sesungguhnya, inilah watak yang menjadi resepi lengkap untuk mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga selaras dengan slogan “Rumahku Syurgaku”.

Selain itu, anak-anak yang baik adalah yang mulia budi pekerti dan bermoral tinggi. Budi pekerti dan moral sentiasa menjadi pakaian peribadi. Elok pekerti nescaya terserlah nilai insani. Sewajarnya, anak-anak haruslah mencerminkan diri dengan akhlak dan sopan santun, bak kata Imam al Ghazali, “Hendak mengenal diri  lihatlah pada cermin, hendak mengenal peribadi bercerminlah pada wajah”. Oleh itu, hiasilah diri dengan kelembutan hati dan kesederhanaan sikap sebagai penyuluh pekerti kita. Hormatilah setiap ahli keluarga dengan yang tua dihormati, manakala yang muda disayangi. Seandainya, karektor seperti ini kekal diperkasakan, insya-Allah lahirlah sebuah keluarga yang harmoni, ibarat di air yang bening terpancar bayang yang jernih.

Sikap ringan tulang dan keletah yang ada pada sesetengah anak merupakan kriteria yang amat baik untuk membentuk keluarga yang harmoni. Anak-anak seperti ini tidak pernah berkira sama ada tenaga mahupun penat lelah dalam memberi khidmat kepada keluarga. Mereka mudah mesra dan cepat peka terhadap segala kerenah dalam keluarga. Ketiadaan mereka di rumah amat dirasa oleh semua ahli keluarga. Malahan ada ketika wujud salah faham apabila anak-anak seperti ini dianggap anak emas pula. Sepatutnya inilah sikap yang wajar ditunjukkan oleh anak-anak sebagai tanda membalas budi ibu bapa di samping mengikat hubungan mawaddah dengan ahli keluarga yang lain. Sebagai anak, ingatlah akan kelahiran kita ke dunia adalah atas limpahan darah, peluh dan air mata seorang ibu. Dengan hal yang demikian, balasi ibu bapa dengan sikap ringan tulang demi sebuah keluarga yang harmoni dan prihatin.

Resam hidup, patah tumbuh hilang berganti. Sampai waktu ibu bapa akan berlalu pergi, justeru anak-anak pula yang mengambil giliran. Memahami situasi hukum alam itu, anak-anak wajar bersedia untuk mengambil tanggungjawab. Tanggungjawab seperti menjaga rumah tangga, menghubungkan silaturahim dengan adik beradik dan menjaga maruah serta nama keluarga amatlah dituntut oleh mana-mana masyarakat pun. Seandainya, nilai-nilai murni ini boleh diperkasakan sudah pasti keharmonian dalam rumah tangga akan terbentuk. Anak-anak seyogia perlu berpandangan jauh kerana segala sikap mereka menjadi cermin kepada ibu bapa kerana mengenal batang (perdu) lihatlah pada daunnya. Janganlah terjadi seperti segelintir anak-anak yang lupa diri ibarat buah melayang jauh, tampuk dilupakan. Oleh itu, sebagai anak yang baik bersedialah untuk mengambil tanggungjawab untuk mengharmonikan keluarga.

Bertolak ansur dan saling memahami menjadi sebahagian resipi untuk melahirkan sebuah keluarga yang harmoni. Oleh hal yang demikian, dalam kalangan anak-anak wujudkan sikap saling bertoleransi supaya keluarga lebih aman dan tenteram. Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling menghargai antara satu sama lain. Tiada masalah salah faham dan salah anggap kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir. Sesama adik-beradik jalinan hormat dan kasih ibarat isi dengan kuku. Sebarang perbuatan yang boleh menyakiti darah daging sendiri tidak lebih daripada cubit paha kiri paha kanan pun sakit juga. Seandainya wujud salah faham pun, carilah jalan penyelesaian kerana perselisihan dalam kalangan adik-beradik ibarat air dicencang tidak akan putus. Oleh itu, setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk menjaga dan memupuk institusi yang tertua dalam sejarah manusia ini agar terus subur dengan sifat kasih sayang, harmoni dan penuh mawaddah.

Sesungguhnya, keluarga yang harmoni menjadi teras kepada masyarakat yang dinamik. Sikap penyayang ibu bapa dan tingkah laku yang positif dalam kalangan anak-anak menjadi wadah utama untuk membina keluarga yang harmoni. Oleh itu, sebagai anak, berilah sumbangan yang terbaik agar keluarga memperoleh kebahagiaan. Ingatlah pada pesanan, “Keluarga bahagia penjana kecemerlangan ummah”.

  

Catatan:
* Sumber bahan daripada blog http://ishakmdshah.blogspot.com/ (Terima kasih)
*  Dimensi keluarga di atas boleh juga diubah suai menjadi dimensi diri