Soalan
1
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang
dalam peperiksaan tersebut.
Jelaskan perancangan-perancangan anda
untuk mencapai matlamat tersebut.
Memulakan kalimah bicara ini, saya
ingin meminjam kata-kata hikmat daripada mantan Presiden Indonesia, Seokarno
iaitu, “Gantunglah cita-citamu di langit yang tinggi walaupun kakimu menjejaki
perlimbahan”. Demikianlah betapa besarnya cita-cita dan wawasan kepada
kehidupan seseorang insan yang normal. Hidup tanpa cita-cita, ibarat subur
sepohon yang rendang tetapi tidak berbuah. Justeru, cita-cita besar yang sedang
saya impikan sekarang adalah untuk menjadi pelajar cemerlang dalam SPM 2015.
Demikianlah hasrat yang turut dikongsi bersama oleh ibu bapa serta guru-guru
saya juga. Sungguhpun begitu, cita-cita amatlah ideal untuk
diucapkan, sebaliknya terlalu perit untuk diterjemahkan menjadi realiti. Oleh
itu, demi memenuhi hasrat murni tersebut, saya hendaklah bersedia dari sekarang
dan banyak prakarsa yang harus saya lakukan.
Langkah pertama ialah saya perlulah
menghargai nikmat kesihatan yang dianugerahi Allah SWT kepada saya. Nikmat
kesihatan merupakan aset peribadi yang tidak boleh dijual beli. Saya amat
bersyukur kerana dilahirkan sempurna dengan wajah dan paras rupa yang baik.
Allah mentakdirkan kepada saya kesihatan yang baik, pemikiran yang waras, dan
emosi yang stabil. Alangkah bernilainya anugerah tersebut. Benarlah bak kata orang tua-tua, “nikmat
sihat itu hanya berada pada seseorang yang sakit”. Dalam usia remaja
ini, saya perlu peka terhadap pemilihan makanan dengan memilih makanan yang
baik lagi halal dan menjauhi diri daripada mendekati makanan yang berbahaya.
Saya amat serius tentang bahaya dadah, arak, dan rokok yang dengan jelas
membawa mudarat kepada fizikal dan minda. Pertumbuhan fizikal pun hendaklah
saya kawal dengan memastikan rutin harian dan latihan jasmani serta riadah
dijalankan mengikut jadual. Dalam hal ini, saya amat tertarik dengan pesan Nabi
SAW dalam sebahagian daripada Hadithnya, “Jagalah nikmat sihat sebelum
datang sakit”.
Sebagai
anak muda yang sedang meniti arus perubahan milenium, saya perlu memiliki visi
dan hala tuju yang jelas. Hidup tanpa visi ibarat bahtera di
tengah-tengah samudera tanpa nakhoda. Hidup akan terumbang-ambing dan tiada
masa depan. Visi saya adalah menjadi insan cemerlang merangkumi dunia dan
akhirat. Resepinya, saya perlu belajar ketika usia remaja dan mengenal pasti
bidang kemahiran yang cocok dengan jiwa saya. Andai dimakbulkan Tuhan, saya
berazam untuk menjadi seorang pendidik yang berjaya dan kompeten dan mampu
menggenggam ijazah sihingga ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D). Walaupun
impian itu masih jauh ibarat di seberang lautan, namun kejayaan cemerlang pada
peringkat SPM amatlah penting. Sememangnya, semua pihak sudah maklum bahawa SPM
menjadi pananda aras untuk seseorang itu menentukan hala tujunya. Insya-Allah
sekiranya saya gigih dan digarapi semangat juang, sesungguhnya di mana ada
kemahuan di situ ada jalan.
Asas
utama yang tidak kurang pentingnya untuk mencapai kejayaan ialah strategi
belajar yang berkesan. Dalam
masa yang sangat suntuk ini, saya perlu lebih bijak merancang strategi
pembelajaran agar dapat mengimpakkan hasil. Oleh itu, saya perlu
melipatgandakan latihan daripada koleksi soalan tahun-tahun sebelum. Saya perlu
memperkukuh daya ingatan yang kadang-kadang memerlukan saya menghafal atau
membuat latih tubi. Prakarsa yang efektif yang mampu saya lakukan adalah dengan
membuat beberapa nota kecil yang bersaiz poket dan mudah untuk dibawa ke
mana-mana sahaja. Konsep belajar secara berkumpulan juga hendaklah saya amalkan
sebagai salah satu daripada strategi belajar secara berkesan. Percambahan idea
dan sikap saling memberi dan menerima dengan rakan-rakan hendaklah saya utamakan.
Pendapat rakan harus diraikan dan tidak pula lokek untuk menyumbangkan idea.
Sesungguhnya, inilah sikap saling membantu bak aur dengan tebing.
Meminjamkan sepotong firman dalam al-Quran
yang bermaksud, “Bertanyalah kepada yang bijak seandainya kamu tidak
tahu” jelas menuntut supaya saya sentiasa berdampingan dengan
tokoh-tokoh ilmuwan. Mereka itu pastilah para guru, ikon-ikon yang
berjaya dan golongan profesional dalam bidang yang ingin saya ceburi. Sekiranya
ingin menjadi tokoh korporat maka golongan peniaga yang harus didekati atau
jikalau mahu menjadi pemimpin nescaya tokoh-tokoh politik, pemimpin masyarakat,
dan NGO yang wajar saya dekati. Daripada merekalah akan terbina motivasi untuk
saya merancang masa depan. Sikap malas belajar dan malu bertanya harus dikikis
daripada jiwa dan sanubari, bak kata peribahasa minta pada yang ada, mengaji pada yang
tahu dan sentiasa berwaspada sikap malu
bertanya sesat jalan, malas berkayuh perahu hanyut.
Kendatipun, sebagai hamba-Nya,
sebanyak manapun perancangan yang disusun, Allah SWT tidak boleh saya lupakan
sama sekali dalam segala urusan. Allah
tahu akan apa-apa yang tersurat dan tersirat di dalam benak sanubari kita. Saya
yakin kepada qada dan qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Namun, atas sifat
pemurah-Nya, doa dan kegigihan tidak pernah menghalang untuk kita berjaya. Saya
cukup yakin, hasil ramuan usaha yang gigih dan doa yang tidak putus-putus
kepada Allah pasti segala yang dihajati akan menjadi kenyataan. Ibadat solat
dan ibadat-ibadat yang lain akan saya implementasikan dengan istiqamah. Saya
sangat pasti selangkah kita ke hadapan mahupun selangkah surut ke belakang,
Allah pasti bersama-sama kita. Oleh itu, dalam menggapai impian dan wawasan,
Allah jangan sama sekali dijauhi.
Berburu ke
padang datar,
Dapat rusa berbelang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai
bunga kembang tak jadi.
Serangkap pantun di atas mengajari
saya bahawa dalam melengkapkan cita-cita, justeru usaha, ilmu, dan keiltizaman
hendaklah diolah dengan sebaik mungkin. Adat muda memikul tugas dan muda juga
tidak berulang datang, justeru untuk memastikan segala hajat dan impian
terlaksana maka usia muda hendaklah saya manfaatkan dengan sebaik mungkin.
Sesungguhnya, saya amat yakin apabila segala persediaan diri berada di atas trek
yang betul, insya-Allah segala impian pasti menjadi kenyataan.
Sumber : http://ishakmdshah.blogspot.my/
No comments:
Post a Comment