Sekolah anda
telah mengadakan Hari Kantin pada minggu lepas. Sebagai setiausaha Hari Kantin,
anda telah diminta untuk menulis laporan tentang program-program yang
dijalankan pada hari tersebut. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan
Program Hari Kantin
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana
Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana
Sekolah
Menengah Kebangsaan Satria Perdana telah mengadakan Hari Kantin pada 9 September
2016 di Dataran Terbuka sekolah. Majlis Hari Kantin telah dirasmikan oleh Ahli
Dewan Undangan Negeri, iaitu Datuk Ihsan bin Haji Ramli yang juga merupakan
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Satria
Perdana. Majlis Hari Kantin telah dimulakan tepat pada pukul 8.00 pagi dan
tamat pada pukul 2.00 petang. Majlis pada hari tersebut dibuka kepada orang
ramai dan kupon-kupon disediakan untuk melicinkan urus niaga pada hari
tersebut. Semua guru terlibat dalam aktiviti Hari Kantin dengan dibantu oleh
para pelajar yang dipilih oleh guru-guru berkenaan.
Antara program yang
telah dijalankan semasa Hari Kantin ialah pesta jualan makanan dan minuman serta
pelbagai cenderamata. Makanan pelbagai kaum disediakan oleh para guru dan
pelajar seperti nasi lemak, laksa, capati, mihun, keropok lekor dan kuih bulan.
Ada juga gerai yang menjual makanan tradisi pelbagai kaum seperti lemang,
wajik, penganan dan sebagainya. Air batu campur, air tebu, ais yang dikisar dan
air bergas turut dijual di bahagian gerai minuman. Rata-rata para pengunjung
berpuas hati dengan kepelbagaian makanan yang dijual semasa Hari Kantin. Para
guru dan pelajar yang berniaga pula tidak menang tangan sentiasa melayan para
pelanggan yang membeli makanan jualan mereka. Selain itu, pada tahun ini
terdapat banyak cenderamata dijual seperti anak patung, rantai kunci, baju-T,
alat tulis yang bercetak nama sekolah, kad dan pelekat bergambar. Dengan harga
yang berpatutan, kedai-kedai cenderamata ini sentiasa penuh dengan pelanggan
terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan kanak-kanak. Walau bagaimanapun,
sambutan paling hebat dilihat di gerai makanan dan minuman kerana keghairahan
pengunjung untuk merasai juadah yang dijual oleh warga sekolah. Dalam hal ini,
para pelajar dapat mengenali makanan tradisi kaum lain di negara ini. Justeru,
secara tidak langsung Hari Kantin telah berjaya mempromosi makanan tradisional
kaum lain kepada para pelajar.
Selain itu,
pada hari ini juga diadakan program pameran hasil kerja para pelajar sekolah.
Antara hasil kerja yang dipamerkan ialah model sebatang rokok sempena kempen
Tak Nak oleh para pelajar Lukisan dan Teknologi Kejuruteraan. Selain itu, Kelab
Pembimbing Rakan Sebaya juga telah mempamerkan hasil kerja mereka seperti carta
nilai-nilai murni dan tayangan video tentang aktiviti-aktiviti kelab. Di
samping itu, para pengunjung juga dapat melihat para pelajar melukis batik, kaligrafi dan
seni khat secara langsung di dewan sekolah. Pameran dan foto-foto tentang
kejayaan sekolah turut dipamerkan pada Hari Kantin seperti foto kejayaan Kelab
Hoki yang telah menjuarai pertandingan peringkat kebangsaan, foto beberapa
orang pelajar yang telah menyertai perkhemahan peringkat kebangsaan dan
sebagainya. Dengan mengadakan pameran, para pengunjung dapat mengetahui
perkembangan dan aktiviti yang telah dijalankan oleh pihak sekolah sepanjang
tahun 2015. Sebagai serampang dua mata, pameran yang diadakan juga merupakan promosi bagi
pihak sekolah agar para pengunjung menyokong segala aktiviti yang dijalankan
oleh pihak sekolah pada- masa depan. Manakala ibu bapa juga
dengan senang hati membenarkan anak-anak mereka menyertai aktiviti yang
dijalankan oleh pihak sekolah.
Program lain
yang diadakan sempena Hari Kantin ialah aktiviti permainan. Sebagai contohnya
rumah hantu yang dijalankan oleh Persatuan Sejarah dan Geografi. Bayaran yang
dikenakan untuk masuk ke rumah hantu adalah sebanyak RM2. Banyak pengunjung
beratur di luar kelas untuk merasai pengalaman seram apabila berada di dalam
rumah hantu. Rata-rata pengunjung menyatakan bahawa mereka berasa
seolah-olah berada di dalam sebuah rumah lama yang penuh dengan hantu-hantu
yang menyeramkan. Selain itu, diadakan juga aktiviti memancing ikan, meneka
jumlah berat kacang, memecahkan belon dan membaling bola ke arah patung.
Kanak-kanak pula mereka boleh bergembira dengan permainan tema yang diadakan di
padang sekolah seperti bermain gelongsor, buaian dan memanjat tali sarang lelabah.
Di samping itu, belon-belon secara percuma turut diedarkan kepada
kanak-kanak oleh badut yang menceriakan suasana pada hari tersebut dengan
telatah lucunya ketika mengusik kanak-kanak. Salah satu aktiviti permainan yang
paling mendapat perhatian para pengunjung ialah menunggang kuda dengan bayaran
RM5 selama 20 minit. Walaupun agak mahal namun aktiviti ini merupakan suatu
pengalaman baharu bagi para pengunjung yang tidak pernah merasai menunggang
kuda.
Sebagai acara
selingan pada hari tersebut, Kelab Muzik sekolah telah memainkan lagu-lagu
mengikut permintaan para pelajar dan pengunjung. Bayaran yang dikenakan adalah
sebanyak 50 sen untuk sebuah lagu. Banyak pilihan lagu yang ke udara mengikut
permintaan seperti rentak jazz, sentimental, rock, balada dan asli. Para
pelajar paling menyukai aktiviti ini kerana nama pembeli dan penerima lagu
disebut oleh juruhebah yang bertugas. Dalam segmen ini, banyak guru menerima
lagu daripada para pelajar dengan ucapan terima kasih kerana telah membimbing
mereka dalam bidang pelajaran. Hakikatnya, acara ini berjaya memupuk sikap
menghargai guru dalam kalangan pelajar. Sambil melihat program yang lain, para
pengunjung juga memasang telinga untuk mengenal pasti sama ada
nama mereka dihadiahkan lagu atau tidak. Sambutan yang hangat oleh para pelajar
menyebabkan sebanyak 600 buah lagu dipasang sepanjang majlis Hari Kantin
berlangsung. Sambil menyelam, minum air, sebenarnya satu per tiga hasil kutipan
untuk acara ini akan didermakan kepada Rumah Anak Yatim Bakti yang terletak
bersebelahan dengan sekolah kami. Secara tidak langsung para pelajar didedahkan
dengan sikap masyarakat penyayang dan bantu-membantu antara satu dengan yang
lain.
Akhir kata,
Hari Kantin yang dijalankan berjaya mengutip hasil yang melebihi sasaran yang
ditetapkan oleh pihak sekolah. Keseluruhan kutipan untuk Hari Kantin adalah
sebanyak RM30,000 Pihak sekolah telah menyasarkan kutipan sebanyak RM15,000
Pencapaian ini membanggakan pihak sekolah yang diibaratkan seperti kecil
tapak tangan, nyiru ditadahkan. Para pengunjung yang terdiri daripada
masyarakat setempat merupakan sumber sokongan utama kejayaan pihak sekolah.
Walaupun warga sekolah terpaksa mengorbankan hari Ahad mereka, namun apabila
melihat kejayaan yang diperoleh hati tetap berasa puas. Pengetua mengumumkan
bahawa hari Isnin ialah cuti peristiwa dan warga sekolah bolehlah berehat pada
hari tersebut.
Dilaporkan
oleh,
20 SEPTEMBER 2016
pettym
………………………
(SITI PETIMAH
BINTI IBRAHIM)
Setiausaha
Hari Kantin,
Sekolah Menengah Kebangsaan
Satria Perdana.
4 comments:
Saya dah jadikan krngn ni sebagai rujukan izinkan okkk
Karangan yang sangat menyenangkan saya utk buat rujukan
Thakyou
Cantik dan mantap untuk karangan ini
Terima kasih dengan karangan ini
BYE BYE SEEN YOU LATER
Post a Comment