Setiap ahli keluarga
bertanggungjawab mengurangkan pengambilan makanan segera, makan secara
berlebihan serta tidak meluangkan masa untuk aktiviti bersenam ke arah
melahirkan gaya hidup sihat.
Jelaskan peranan ibu bapa
dalam usaha memupuk amalan gaya hidup sihat.
Amalan gaya hidup sihat adalah
cara hidup yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung pada masa hadapan.
Namun demikian, ribuan rakyat Malaysia mempunyai berat badan berlebihan, tidak
aktif dan terlalu banyak menghisap rokok. Ribuan rakyat Malaysia mengamalkan
cara hidup yang tidak sihat sejak kecil lagi seperti menggemari makanan yang
mengandungi kolesterol, tidak melakukan senaman dan makan secara berlebihan.
Oleh itu, untuk mengurangkan risiko obesiti serta penyakit berbahaya seperti
sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, dan sebagainya, rakyat Malaysia
perlulah mengamalkan gaya hidup sihat. Secara umumnya, tanggungjawab ini sudah
semestinya jatuh pada bahu ibu bapa yang melahirkan anak-anak serta menjaga
mereka sejak kecil lagi. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dan keluarga
untuk memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka?
Peranan utama ibu bapa dalam
memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak mereka adalah dengan
memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan yang
seimbang adalah pemakanan yang mengandungi ketujuh-tujuh kelas makanan dalam
kadar yang bersesuaian iaitu karbohidrat, protein, vitamin, mineral, lemak, air
serta serat. Ibu bapa perlulah sentiasa menghidangkan makanan yang berzat serta
bernutrisi kepada anak-anak. Selain itu, ibu bapa juga digalakkan untuk makan
di rumah kerana makanan di luar, khususnya gerai-gerai makanan di sepanjang
jalan yang makanannya biasa digoreng dengan penuh minyak. Jika tabiat yang baik
ditanam dalam diri anak-anak, sudah pasti anak-anak akan tahu menjaga pemakanan
mereka apabila dewasa kelak. Ibu bapa juga perlu mengurangkan pengambilan
minuman berkarbonat oleh anak-anak kerana minuman sebegini tidak memberikan
apa-apa kebaikan dan mengandungi kandungan gula yang berlebihan. Anak-anak
perlulah diajar untuk minum air kosong atau jus buah-buahan yang asli.
Jelasnya, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mengamalkan pemakanan seimbang
dalam memupuk amalan gaya hidup sihat.
Selain itu, ibu bapa juga
boleh melakukan aktiviti bersenam dan beriadah bersama anak-anak. Perbuatan ini
bukan sahaja akan menyihatkan badan, malah hubungan antara ibu bapa dengan
anak-anak akan menjadi lebih erat. Aktiviti bersenam mampu mengekalkan gaya
hidup sihat kerana peluh-peluh yang keluar sewaktu melakukan senaman akan
keluar bersama-sama toksin badan. Kesannya, anak-anak mampu membina tahap
imunisasi yang tinggi terhadap serangan penyakit. Aktiviti senaman perlulah
dilakukan sekurang-kurannya 20 minit sehari dan tiga kali seminggu.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah senamrobik, berjoging, berbasikal,
berenang serta mendaki bukit. Disebabkan ramai golongan ibu bapa yang bekerja,
senaman ini boleh dilakukan pada awal pagi ataupun pada waktu petang selepas
ibu bapa pulang dari kerja. Apabila seseorang itu bersenam dan beriadah, mereka
dapat meningkatkan kesihatan diri dari aspek fizikal dan mental bak kata
pepatah, badan cergas otak cerdas. Tegasnya, ibu bapa perlulah melakukan
aktiviti senaman dan riadah bersama anak-anak supaya amalan gaya hidup sihat
dapat dipupuk.
Di samping itu, ibu bapa juga
perlulah membawa anak-anak membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat. Ibu bapa digalakkan untuk membawa anak-anak
menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan sekali ataupun
dua kali setahun. Pemeriksaan kesihatan adalah penting kerana mampu mengesan
sesuatu penyakit ketika masih di peringkat awal dan memudahkan pesakit
menjalani rawatan dengan teknologi moden kini. Bak kata pepatah, mencegah lebih
baik daripada mengubati. Dengan ini, ibu bapa dapat mengenali tubuh badan
anak-anak mereka dengan lebih baik dan mampu menentukan pilihan yang terbaik
untuk anak-anak mereka. Jika ibu bapa mendapati anak-anak mereka tidak sihat,
ibu bapa perlulah segala membawa mereka berjumpa dengan doktor untuk
mendapat ubat serta pengesahan tentang penyakit yang dihidapi. Bukan itu
sahaja, ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mematuhi nasihat doktor dan
mengambil ubat pada masa yang ditetapkan. Jelasnya, pemeriksaan kesihatan
secara berkala oleh anak-anak akan memupuk amalan gaya hidup sihat.
Ibu bapa juga perlu mengajar
dan melatih anak-anak mereka mengutamakan kebersihan diri pada setiap
masa bagi memastikan mereka terhindar daripada sebarang penyakit. Keperluan
asas seperti menggosok gigi, mandi, berpakaian bersih, waktu tidur dan rehat
yang cukup juga perlu dijadikan amalan hidup seharian. Bagi mengelakkan
jangkitan kuman atau penyakit, mereka juga perlulah mengamalkan budaya mendisiplinkan
diri dengan asas-asas kebersihan seperti mencuci tangan dengan bersih sebelum
makan, menutup makanan dengan baik agar tidak dihinggapi lalat mahupun
memilih gerai atau tempat makan yang bersih semasa menjamu selera. Sikap sambil
lewa ibu bapa dalam menitik beratkan aspek berkenaan mungkin boleh membawa
padah. Justeru, amalan sebegini harus dilentur sejak dari rebung dalam diri
anak-anak agar dapat membentuk gaya hidup yang sihat apabila mereka
dewasa kelak.
Pada masa yang sama,
selain mengutamakan kesihatan diri dan makanan, ibu bapa juga seyogia
mendidik ahli keluarga mereka agar menjaga kebersihan persekitaran
mereka. Persekitaran yang bersih perlu dijadikan amalan dan gaya hidup agar
kita terhindar daripada sebarang penyakit. Umpamanya, ibu bapa menggalakkan
anak-anak mengadakan gotong-royong di rumah setiap hujung minggu untuk
membersihkan kawasan rumah bersama ahli keluarga. Ibu bapa juga boleh membawa
anak-anak menyertai kegiatan gotong royong di taman perumahan dengan
membersihkan sampah-sarap atau memastikan kawasan persekitaran mereka sentiasa
bersih. Amalan seperti ini dapat mengelakkan pembiakan agen-agen pembawa
penyakit seperti nyamuk, lipas, lalat dan sebagainya. Tempat-tempat pembiakan
nyamuk di dalam atau di luar rumah seperti pelapik pasu bunga ataupun tempat
takungan air mestilah kerap dibersihkan ataupun ditukar. Dengan cara demikian,
ibu bapa dapat melatih gaya hidup yang positif dalam diri anak-anak
mereka sekali gus akan dapat menjauhkan diri mereka daripada pelbagai
penyakit.
Gaya hidup yang sihat juga
melibatkan aspek psikologi dan sosial seseorang itu. Mereka yang lebih terbuka
dan bersedia untuk berkongsi masalah dengan orang lain didapati lebih bermakna
kehidupannya berbanding dengan individu yang suka bersendirian atau menyimpan
masalah mereka. Sikap berkawan dan menghabiskan masa bersama-sama mereka
menjadikan keperluan psikologi manusia dipenuhi dengan efektif. Ibu bapa
digalakkan menjalin hubungan komunikasi yang mesra bersama-sama anak-anak
atau jiran tetangga. Hubungan baik yang berkekalan biasanya dapat melahirkan
satu bentuk kehidupan yang ceria dan menggembirakan. Sesungguhnya, aspek
psikologi dan sosial manusia perlu dipenuhi bagi memperoleh gaya hidup yang
sihat ini Peranan ibu bapa mengamalkan cara berkomunikasi berkesan
dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran tetangga serta mengamalkan
ibadat mengikut agama masing-masing akan memberi impak psikologi yang positif.
Pada masa yang sama sikap atau
mentaliti positif penting untuk dimiliki oleh seseorang itu bagi menangani
tekanan kehidupan dalam era moden ini. Pemikiran yang positif menjadikan
seseorang itu mampu menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda kehidupannya
dengan baik tanpa tertekan. Kehidupan zaman moden yang penuh cabaran terutama
tekanan di pejabat, kekangan di tempat kerja memerlukan satu persepsi positif
daripada ahli masyarakat kita. Para ibu bapa perlu bijak menghadapi tekanan
hidup, mereka mungkin boleh mendapatkan bantuan daripada pakar motivasi ataupun
rakan-taulan di sekeliling mereka. Hal ini perlu kerana tekanan yang dialami
boleh menjuruskan ibu bapa pada perlakuan negatif seperti mendera,
menagih dadah atau melakukan sesuatu perkara di luar jangkaan. Jadi, semakin
positif minda ibu bapa itu maka semakin tinggilah gaya hidup sihat yang
mampu dicapai oleh dirinya dan keluarga kelak. Penguasaan diri yang baik
dan pesanan yang sering merangsang anak-anak ke arah positif menangani cabaran
merupakan asuhan yang amat dicontohi oleh anak-anak sehingga mereka dewasa.
Tambahan pula, untuk memupuk
amalan gaya hidup sihat dalam anak-anak, ibu bapa perlulah membawa mereka
menziarahi orang sakit sama ada saudara-mara, jiran tetangga ataupun
rakan-rakan. Hari ini kita sihat, tetapi bagaimana pula dengan hari esok? Jika
ibu bapa sering melawat orang yang sedang sakit, nescaya anak-anak mereka juga
akan berbuat demikian kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Anak-anak tidak
seharusnya merasakan bahawa perbuatan sebegini hanya membuang masa dan
merugikan diri kerana ianya sesuatu amalan yang mulia. Apabila kita menziarahi
orang yang sakit, secara tidak langsung kehadiran kita dapat melahirkan
perasaan gembira kepada pesakit dan memberi kekuatan kepada diri pesakit
itu untuk melawan kesakitan yang ditanggung. Perbuatan menziarahi orang yang
sakit akan sedikit sebanyak melahirkan rasa simpati terhadap nasib orang lain
dan pada masa yang sama anak-anak akan bersyukur atas kurniaan sebuah badan
yang sihat. Kehadiran kita menunjukkan bahawa kita, khususnya anak-anak,
mengambil berat tentang diri pesakit dan dapat mengurangkan perasaan sedih
pesakit walaupun pepatah menyatakan bahawa berat mata memandang, berat lagi
bahu yang memikul. Tegasnya, amalan menziarahi orang yang sakit oleh ibu bapa
dan anak-anak mampu menanamkan amalan gaya hidup yang sihat.
Akhir sekali, bagi menjalani
amalan gaya hidup sihat, ibu bapa perlu memastikan agar anak-anak mendapat
rehat dan tidur yang secukupnya. Tubuh badan anak-anak juga perlu direhatkan
dengan kadar yang diperlukan untuk mengecas semula organ-organ dalam badan mereka.
Bagi anak-anak yang telah mencapai usia remaja, mereka memerlukan
sekurang-kurangnya lapan jam sehari untuk tidur dengan selesa. Namun, ramai
anak-anak muda pada masa ini yang lebih suka tidur selepas tengah malam
walaupun keesokan merupakan hari persekolahan. Kesannya, mereka tidak akan
berasa cergas dan badan akan lesu dan tidak bermaya. Malahan, pelajaran
anak-anak juga diganggu dan lama-kelamaan prestasi mereka dalam peperiksaan
semakin merosot. Salah satu langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa adalah
menetapkan satu masa yang spesifik untuk anak-anak masuk tidur dan mestilah
dipatuhi dengan sepenuhnya. Tegasnya, untuk memupuk amalan gaya hidup sihat,
ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapat rehat yang secukupnya.
Berdasarkan perbincangan di
atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang besar untuk
memupuk amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Amalan ini adalah
penting untuk dilaksanakan agar kesihatan rakyat dalam negara ini sentiasa
dalam keadaan yang baik. Oleh itu, langkah-langkah di atas perlulah diamalkan
oleh anak-anak yang menjadi pemimpin generasi akan datang bak kata pepatah
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Semua rakyat Malaysia haruslah
mengamalkan gaya hidup sihat supaya penyakit seperti kencing manis, obesiti,
darah tinggi, sakit jantung dan sebagainya dapat dikurangkan dalam jangka masa
yang panjang ini. Jelasnya, jika hal-hal yang dinyatakan di atas itu kita
laksanakan, sudah pasti kita memiliki ciri-ciri manusia yang berjaya bak kata pepatah
hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.
No comments:
Post a Comment