08/03/2020

KERJAYA : FAKTOR UTAMA SEBELUM MEMASUKI ALAM PEKERJAAN

     Kelulusan akademik yang sesuai, kemahiran berkomunikasi dan penguasaan pelbagai bahasa merupakan syarat utama sebelum seseorang memasuki bidang pekerjaan.
      Bincangkan. 


     [Kerjaya seseorang dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti minat, bakat, kemahiran dan pencapaian akademik.
     Ulas pernyataan tersebut]


Pendahuluan 1

Memasuki abad milenium ini persaingan untuk menjawat jawatan yang penting dengan imbuhan pendapatan yang lumayan telah menjadi semakin sengit. Persaingan sengit tersebut berlaku apabila setiap tahun graduan lepasan daripada puluhan IPTA dan IPTS semakin bertambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Kini dianggarkan 80 ribu graduan yang masih menganggur. Dalam kegawatan untuk merebut peluang yang agak terhad itu, kecemerlangan dalam aspek akademik sama ada ijazah atau diploma belum lagi menjadi kriteria utama untuk dipilih. bekerja. Sebaliknya, keterampilan individu dengan pelbagai kemahiran menjadi adik kembar akademik yang baik sudah pasti dapat memenuhi kriteria yang diperlukan oleh para majikan. Oleh hal yang demikian, seseorang pelajar wajarlah memperlengkap dirinya dengan pelbagai kemahiran sama ada keterampilan dalam bidang teknologi, sahsiah, fasih berbahasa dan kebolehan seni kreatif. Inilah aset sebenar yang diperlukan ibarat, hilang dicari, terapung direnangi dan tenggelam diselami.

Pendahuluan 2
Setiap individu mempunyai cita-cita tersendiri yang menjadi impian untuk dicapai suatu ketika nanti.  Kita sedia maklum bahawa setiap peringkat dalam kehidupan seseorang individu berkait rapat dengan keperluan dan kematangan masing-masing dalam menghadapi sesuatu situasi atau konflik. Misalnya peringkat kanak-kanak dan remaja dikaitkan dengan alam persekolahan manakala peringkat dewasa lebih cenderung kepada alam pekerjaan yang pada dasarnya menentukan taraf hidup seseorang individu sama ada mampu menampung keperluan diri, keluarga, dan sebagainya dalam menjalani kehidupan  yang semakin mencabar. Persoalannya, apakah persiapan-persiapan yang wajar dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan. Wacana ini akan merungkai segala persediaan yang perlu dilakukan untuk persiapan menghadapi alam pekerjaan.

Kemahiran prima dan terpenting yang harus dikuasai ialah kemahiran berkomunikasi. Hal ini dikatakan demikian kerana kemahiran berkomunikasi amatlah penting kerana menjadi alat penyambung yang membolehkan seseorang menyampaikan pendapat dan buah fikirannya. Kemahiran berkomunikasi ialah kebolehan istimewa yang menggabungkan kecekapan seperti petah berbicara, matang dalam melontarkan idea dan pendapat serta berani lagi yakin. Apabila berhadapan dengan pelbagai peringkat klien seseorang itu mestilah lebih yakin untuk menyampaikan idea, buah fikiran dan tahu cara-cara berinteraksi secara sopan dan beretika. Seseorang itu hendaklah mahir bertutur, petah berbahasa dan matang berhujah menyamai ikon- ikon hebat seperti Dato Dr Fadhillah Kamsah, Mahathir Lokman, Datuk Ustaz Kazim Elias serta ramai lagi yang telah berjaya membina kerjaya yang lumayan hasil kebijaksanaan berkomunikasi yang dimiliki oleh mereka. Demiklanlah keistimewaan dalam hal kebolehan berkomunikasi, bak kata peribahasa, budi menunjukkan hati, bahasa menunjukkan bangsa.

[Di samping itu, persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah mempunyai kemahiran komunikasi yang baik. Hal ini demikian kerana apabila seseorang itu mempunyai komunikasi yang baik dapat membantunya menyesuaikan diri dengan suasana tempat kerja melalui khidmat nasihat dan pergaulan yang baik sesama rakan sekerja pada masa yang sama mengelakkan perasaan hasad dengki sesama rakan sekerja. Sebagi contohnya, individu yang pandai menjaga tutur kata dan adab sesama rakan akan mudah digauli serta mendapat bimbingan khususnya ketika memasuki alam pekerjaan yang bukan sahaja melibatkan komunikasi sesama rakan sekerja dan majikan, malah para pelanggan, klien, pelabur dan sebagainya bergantung kepada bidang masing-masing. Kesannya, kita dapat memperoleh kepercayaan majikan serta pelanggan dalam memberi komitmen dalam tugasan secara profesional yang dapat dijadikan motivasi atau penggerak untuk berkhidmat dalam sektor yang diceburi. Natijahnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kemahiran berkomunikasi amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.]

Persiapan yang tidak kurang pentingnya untuk menghadapi alam pekerjaan adalah berkaitan dengan kelayakan akademik yang sesuai dengan pengkhususan pekerjaan. Hal ini dikatakan demikian kerana jika seseorang individu ingin meneceburkan diri dalam sesuatu bidang pekerjaan sudah tentu pihak majikan akan meneliti tentang kemahiran atau kebolehan yang setaraf dengan sektor atau jabatan yang dapat dijawat melalui kelayakan akademiknya. Sebagai contoh, individu yang mempunyai kelayakan akademik dalam bidang perubatan kebiasaannya akan menceburkan diri dalam bidang sama atau berkaitan dengan pengkhususan kemahiran seperti ahli farmasi, doktor pakar, jururawat, pakar bedan dan sebagainya. Kesannya, seseorang individu dapat menumpukan perhatian ketika di bangku sekolah terhadap bidang yang berkaitan dengan pengkhususan pekerjaan yang sesuai dengan cita-citanya agar dapat mengelakkan pengangguran akibat tidak memenuhi kriteria yang sepatutnya ada apabila berkhidmat di bawah sesebuah agensi sama ada kerajaan mahupun swasta. Justeru, jelaslah bahawa kelayakan akademik amat penting bagi seseorang membuat persediaan menempuh alam pekerjaan.

Selain itu, seseorang individu juga hendaklah bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum memasuki alam pekerjaan. Hal ini demikian kerana seseorang pekerja seharusnya mempunyai fizikal dan mental yang kuat untuk membolehkan mereka menghadapi tekanan kerja yang boleh memudaratkan bukan sahaja emosi malah kesihatan sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik. Sebagai contohnya, sekiranya seseorang individu tidak biasa melaksanakan tugasan-tugasan yang berat dan menguji kesabaran secara tidak langsung dapat menggangu emosi dan fikiran yang bercelaru sehingga satu tahap boleh mengundang penyakit serius seperti tekanan darah tinggi, migraine, dan sebagainya. Impaknya, apabila individu itu berkhidmat dalam pekerjaan, akan menyukarnya untuk mengekalkan pretasi dan berkemungkinan besar boleh dipecat oleh majikan. Natijahnya, jelaslah bahawa seseorang individu perlulah bersedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam pekerjaan.

Seterusnya, seseorang individu juga hendaklah mempertimbangkan prospek pekerjaan berkaitan bidang yang diceburi. Hal ini dikatakan demikian kerana apabila seseorang individu membuat pertimbangan awal berkaitan prospek pekerjaannya membolehkan kadar perbelanjaan dan sumber pendapatan alternatif dapat ditentukan untuk mengelakkan pembaziran masa, wang, dan tenaga. Sebagai contohnya, sebelum berkhidmat dalam sesebuah agensi, seseorang individu perlulah menekankan faedah sampingan yang bakal diperoleh selain daripada gaji pokok yang ditawarkan seperti elaun tambahan, bonus, suasana tempat kerja, peluang kenaikan pangkat, jarak ke tempat kerja dan sebagainya agar dapat menjamin kedudukan kewangan yang stabil. Impaknya, individu dapat menyeimbangkan kadar perbelanjaannya sesuai dengan pendapatan yang diperoleh untuk menjamin tabungan dan kejadian luar jangka ketika berkhidmat dalam sesebuah sektor pekerjaan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Tuntasnya, jelaslah bahawa prospek pekerjaan seseorang individu perlu dipertimbangkan sebelum menceburi alam pekerjaan.

Dalam era globalisasi ini juga, prakarsa penguasaan pelbagai bahasa adalah sangat signifikan kepada setiap individu sebagai persediaan untuk bersaing di pentas global. Kini bahasa-bahasa utama dunia seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin mendapat tempat di hati masyarakat global. Keupayaan seseorang menguasai pelbagai bahasa memberikan ruang yang luas untuknya menjalinkan jaringan komunikasi dan seterusnya menghidu pelbagai peluang kerjaya. Sebagai anak muda Malaysia, kita hendaklah berani menyahut pelbagai cabaran yang antara lainnya bersedia untuk mempelajari pelbagai bahasa dengan cara mengikuti pelbagai kelas bahasa asing yang banyak ditawarkan sama ada di IPTA mahupun IPTS. Ingatlah kegagalan menguasai bahasa-bahasa yang mendominasi dunia tanpa sempadan, nescaya kita akan terus tertinggal dan terperap bagaikan katak di bawah tempurung dan menjadi masyarakat terpinggir walaupun di bumi sendiri bak kata peribahasa, sepuluh jong masuk kuala anjing tetap bercawat ekor. Oleh itu, sebagai prasyarat utama sebelum melamar sesuatu pekerjaan pelajarilah pelbagai bahasa kerana air banyak ikan pun tidak mati.

      Selain itu, kemahiran teknologi adalah antara cabaran terbesar yang mesti dikuasai oleh setiap graduan sebagai persediaan untuk memasuki pasaran kerja.  Hal tersebut dikatakan demikian kerana kemahiran teknologi merupakan pemudah cara atau tangan ajaib yang mampu mengubah landskap dunia daripada belantara kepada menara pencakar langit. Sejajar dengan wawasan tersebut, bidang kepakaran dan teknologi amatlah selari dengan matlamat Malaysia dalam menganjak transformasi dan hendaklah dijadikan landasan Transformasi 2050. Oleh sebab itu, kemahiran yang berkaitan dengan kepakaran dan teknologi seperti kejuruteraan mekanikal, elektronik, pengendalian mesin, dan reka bentuk animasi hendaklah dijadikan keutamaan kerana bidang-bidang tersebut amat laris bagaikan pisang goreng panas. Transformasi ini amatlah pragmatik sebagai prakarsa menangani krisis graduan menganggur yang telah mencecah hingga puluhan ribu orang kerana kegagalan menguasai kemahiran teknologi yang mengakibatkan mereka tidak relevan dan tidak mesra majikan. Oleh hal yang demikian, kewujudan pelbagai institusi kemahiran seperti politeknik, ILP dan Kolej Kemahiran Tinggi serta IPT yang berorientasikan teknologi hendaklah direbut dengan segera kerana perahu sudah di air dan pendayung sudah di tangan, ke tengah-tengah samudera menyahut cabaran.

Sementelahan pula, persediaan-persediaan yang perlu dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan ialah bijak membahagikan masa. Hal ini demikian kerana seseorang yang dapat membahagikan masa dengan baik dapat mengurangkan risiko menghadapi masalah tekanan akibat prestasi kerja yang tidak selari dengan dengan kitaran biologi seseorang. Misalnya, jika seseorang gagal membahagikan masa kerja dan masa tidur akan menyebabkan produktivitinya menurun berpunca daripada gejala kekurangan tidur semata mata untuk menyiapkan tugasan yang tertangguh. Kesannya, seseorang itu akan sukar untuk melengkapi keperluan hidup yang sihat dari segi rohani, jasmani, emosi, dan sebagainya jika tidak membahagi waktu dengan baik kerana pepatah Arab pernah menyebut waktu bagaikan pedang, sekiranya kita tidak memotongnya dia akan memotong kita.  Justeru jelaslah bahawa pengurusan masa amat penting sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.


   Jika mendaki menuju ke puncaknya, jika berbicara menuju ke noktahnya. Terdapat pelbagai persediaan yang boleh dilakukan untuk menghadapi alam pekerjaan. Sehubungan dengan itu, semua pihak khususnya individu seharusnya berganding bahu bagai aur dengan tebing dalam usaha bagi melahirkan generasi yang professional dan syumul dalam pelbagai sektor pekerjaan. Oleh hal yang demikian, diharapkan pelbagai program dan bengkel dapat terus dijalankan untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak muda tentang pelbagai bidang pekerjaan untuk menjana taraf hidup dan pertumbuhan ekonomi negara.

Catatan.
Ubah suai jika soalan berkaitan syarat-syarat atau kekuatan yang perlu anda miliki sebelum memasuki alam pekerjaan. Pastikan ada tajuk dan nama penulis jika soalan berkaitan dengan penulisan rencana.

No comments: