28/10/2017
27/10/2017
PENULISAN 8 : LAPORAN MINGGU BAHASA
Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen, Pertandingan Bahas Ala Parlimen,
Deklamasi Puisi, dan Pementasan Drama Komsas antara aktiviti yang dijalankan
sempena Minggu Bahasa di sekolah anda. Sebagai Setiausaha Persatuan Bahasa
Melayu tersebut, anda telah ditugaskan untuk menyediakan laporan tentang
Aktiviti Minggu Bahasa yang telah dijalankan.
Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan
Aktiviti Minggu Bahasa Melayu 2017
Persatuan
Bahasa Melayu SMK Taman Satria, Sungkai telah menganjurkan Minggu Bahasa Melayu
sebagai salah satu daripada aktiviti tahunannya dari 13 hingga 17 Mac 2017 yang
lalu. Pelbagai aktiviti seperti persembahan dan pertandingan telah dijalankan
selama lima hari tersebut. Puan Noor Hayani bt Yahaya selaku Penyelaras
Persatuan Bahasa Melayu bersama dengan guru-guru penasihat yang lain telah
merangka pelbagai aktiviti yang menarik sepanjang minggu Bahasa Melayu ini
berlangsung. Majlis Perasmian Minggu Bahasa Melayu telah dijalankan dengan
begitu meriah sekali pada 13 Mac 2017. Pegawai Pelajaran Daerah Batang Padang
dalam ucapan perasmian beliau telah memuji usaha yang dijalankan oleh Persatuan
Bahasa Melayu SMK Taman Satria kerana telah mengambil langkah proaktif
menganjurkan Minggu Bahasa Melayu sebagai satu usaha untuk memartabatkan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu.
Pada hari
tersebut juga telah diadakan persembahan syair oleh dua orang pelajar tingkatan
lima iaitu Nurul Najwa binti Ali dan Mohd Shauki bin Aflin. Mereka
mendendangkan syair yang telah dipilih sebagai johan Pertandingan Menulis Syair
sempena Hari Kokurikulum 2016. Syair tersebut bertajuk Martabatkan Bahasa
Melayu dan merupakan hasil tinta Anis Kartini binti Azman, pelajar Tingkatan 5.
Selain dendangan syair, majlis perasmian juga diserikan oleh persembahan
mendeklamasikan sajak oleh tiga orang pelajar berbilang kaum iaitu Nurul Sofea
Husin, Preethi a/p Jayaseelan dan Jackiee Loke Jun Kit. Mereka berpadu suara
mendendangkan sajak yang bertajuk Bahasa nukilan penulis
terkenal Abdul Rahman Shaari dan Dirgahayu Bahasaku buah tangan Ahmad Sarju.
Sajak yang didendangkan begitu harmoni dan memaparkan betapa perlunya kita
menggunakan bahasa dengan betul kerana bahasa mempunyai kepentingan yang
tersendiri sebagai medium untuk berkomunikasi.
Pada 14 Mac 2017,
Pertandingan Menulis Esei dan Cerpen kategori menengah rendah dan menengah atas
telah dijalankan. Tema penulisan cerpen dan esei tersebut ialah Bahasa Jiwa
Bangsa. Hakim bagi pertandingan ini ialah Encik Saleh bin Shukur, Cik Petimah
Ibrahim dan Puan Siti Shafiena Ayub. Sebanyak 30 orang peserta mengambil
bahagian dalam kategori masing-masing. Penilaian adalah berdasarkan isi, bahasa
dan pengolahan. Tiga orang pemenang bagi setiap kategori telah dipilih
berdasarkan esei dan cerpen masing-masing. Anis Sophia Zulkafli telah
dipilih sebagai johan kategori menengah rendah dengan eseinya “Langkah-langkah
Memartabatkan Bahasa Melayu” dan Fatin Adila Suraya binti Mohd Kamil pula
muncul sebagai johan kategori menengah atas. Tajuk esei beliau ialah “Bahasa
Melayu Bahasa Ilmu”. Manakala Pertandingan Menulis Cerpen pula dimenangi
oleh Muhammad Ammar bin Azman bagi kategori menengah rendah dan kategori
menengah atas dimenangi oleh Nurul Najwa Mohd Ali. Pertandingan seperti ini dapat
mencungkil bakat para pelajar dalam bidang penulisan di samping melatih mereka
menghasilkan karangan yang baik sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.
Selain itu, karya-karya yang terpilih akan dimuatkan dalam majalah sekolah
untuk tatapan warga SMK Taman Satria.
Pada 15 Mac 2017
iaitu hari ketiga Minggu Bahasa Melayu dilancarkan, Pertandingan Bahas Ala
Parlimen telah dijalankan. Pertandingan yang dijalankan secara kalah mati ini
telah disertai oleh lapan buah pasukan. Sebanyak empat pertandingan telah
dijalankan pada pusingan awal dan empat pasukan telah layak ke peringkat
separuh akhir. Setelah tamat pusingan separuh akhir, pasukan Hang Jebat dan
Hang Tuah telah berjaya mara ke peringkat akhir yang dijalankan pada 17 Mac 2017.
Dalam pertandingan akhir ini, pasukan Hang Jebat sebagai pasukan pembangkang
telah dinobatkan sebagai pemenang dengan menewaskan pasukan
kerajaan yang diwakili oleh pasukan Hang Tuah. Pertandingan bahas sememangnya
boleh dijadikan sarana bagi para pelajar untuk mengasah bakat
berhujah di samping melahirkan idea yang mantap kerana para pelajar perlu
menghujahkan idea-idea bagi mematahkan hujah pihak lawan.
Pertandingan
Kuiz Bahasa Melayu dan Kuiz Sastera Melayu telah dijalankan pada hari keempat
bertarikh 16 Mac 2017. Pertandingan yang terbuka penyertaannya telah mendapat
sambutan begitu menggalakkan daripada para pelajar tingkatan satu hingga
tingkatan lima. Pertandingan ini telah dijalankan di Dewan Seri Kenanga secara
bertulis dan diawasi oleh enam orang Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa Melayu.
Sebanyak 30 soalan objektif Tatabahasa dan 30 soalan struktur Sastera Melayu
telah dikemukakan dalam kuiz tersebut yang memperuntukkan masa selama satu jam.
Pertandingan ini diadakan bertujuan menguji pengetahuan pelajar dalam
tatabahasa Bahasa Melayu dan aspek-aspek Sastera Melayu seperti gaya bahasa,
teknik penceritaan, persoalan dan lain-lain lagi yang biasanya disoal dalam
peperiksaan bagi kertas bahasa Melayu. Pihak penganjur amat berharap agar
aktiviti begini dapat membantu para pelajar menambahkan ilmu pengetahuan di
samping mewujudkan semangat bersaing demi mencapai kegemilangan. Setelah
keputusan pertandingan diumumkan, kemenangan berpihak kepada kumpulan Mawar
yang terdiri daripada tiga orang ahli kumpulan.
Seterusnya,
pada 17 Mac 2017, Majlis Penutupan Rasmi Minggu Bahasa Melayu telah diadakan.
Pada tarikh ini, Persatuan Bahasa Melayu SMK Taman Satria berasa begitu
berbesar hati kerana Tuan Pengarah Pelajaran Negeri Perak telah sudi merasmikan
majlis penutupan ini. Hati setiap ahli Persatuan Bahasa Melayu berbunga
riang mendengar pujian daripada Tuan Pengarah dalam Ucapan Perasmian
Penutupan beliau. Beliau telah melahirkan harapan agar program-program sebegitu
diteruskan pada setiap tahun kerana banyak manfaat yang diperoleh oleh para
pelajar. Beliau juga berharap agar aktiviti begini diteladani dan diikuti oleh
persatuan-persatuan lain di sekolah ini. Selepas ucapan berakhir, persembahan
nyanyian lagu-lagu tradisional dan moden telah dipersembahkan oleh
Persatuan Budaya SMK Taman Satria. Tamat sahaja persembahan nyanyian, upacara
penyampaian hadiah dijalankan. Sekali lagi, Tuan Pengarah telah sudi tampil ke
atas pentas untuk menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang
dengan diiringi oleh Tuan Pengetua. Para pemenang telah menerima trofi, sijil
dan wang tunai. Diharapkan hadiah yang diterima menjadi penyuntik semangat
kepada para pelajar untuk lebih berjaya pada masa akan datang. Selepas
penyampaian hadiah, cenderamata kenang-kenangan telah disampaikan oleh Tuan
Pengetua kepada Pengarah Pelajaran Negeri Perak sebagai penghargaan
kepada beliau yang sanggup meluangkan masa beliau yang begitu berharga untuk
hadir ke majlis ini.
Pada
keseluruhannya, Minggu Bahasa Melayu 2017 telah dapat dijalankan dengan jayanya
hasil paduan tenaga para guru penasihat dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Bahasa
Melayu. Aktiviti ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut telah
berjaya mencapai objektif yang disasarkan iaitu menggalakkan penglibatan
pelajar dalam aktiviti bahasa demi mempertingkatkan kemahiran berbahasa selaras
dengan cogan kata, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Semoga Minggu Bahasa Melayu dapat
diteruskan pada setiap tahun dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik.
Laporan disediakan oleh
20 MAC 2017
Kavitha a
Kavitha Kaur
a/p Manjeet Singh
Setiausaha
Persatuan Bahasa Melayu
SMK Taman
Satria, Sungkai.
26/10/2017
LAPORAN SAMBUTAN BULAN KEMERDEKAAN 2017
Sekolah anda telah mengadakan aktiviti Sepanjang Bulan Kemerdekaan bagi melahirkan semangat cinta akan tanah air kepada para pelajar. Sehubungan dengan itu, anda ditugaskan untuk menyediakan satu laporan lengkap tentang Sambutan Bulan Kemerdekaan yang telah dianjurkan untuk dimuatkan dalam ruangan majalah sekolah. Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan Bulan Kemerdekaan
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, Perak
Sepanjang bulan Ogos 2017, Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai, telah mengadakan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Program tersebut diadakan bertujuan mencetus dan menanamkan semangat cinta akan tanah air dalam kalangan pelajar. Hal ini ditegaskan oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, ketika merasmikan majlis yang bersejarah itu pada 10 Ogos 2017 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Satria Perdana, Sungkai. Tuan pengetua juga mengharapkan aktiviti yang dijalankan dapat meningkatkan jati diri, menanamkan rasa keinsafan dan perasaan bersyukur dalam kalangan pelajar. Mereka sewajarnya menghargai pengorbanan para pejuang tanah air yang berjuang dengan serba kekurangan, tanpa senjata moden, tanpa alat komunikasi canggih dan tanpa kekayaan harta benda. Mereka hanya memiliki tulang empat kerat untuk menggalas perjuangan bak kata pepatah tiada rotan, akar pun berguna.
Upacara perasmian, Sambutan Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, dimulakan dengan menaikkan Jalur Gemilang. Apabila tirai pentas dibuka, kumpulan koir Bulan Kemerdekaan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai, telah bersedia untuk menyanyikan lagu "Bahtera Merdeka" dan "Tanggal 31". Mereka menyanyi dengan penuh semangat. Setelah tamat persembahan koir, pementasan drama patriotik yang bertajuk "Peristiwa Bukit Kepong" nukilan Puan Hasliza Manap seorang guru Sejarah sekolah ini telah dipentaskan. Drama ini mengisahkan tentang serangan pengganas komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang terkenal dalam sejarah Malaysia. Persembahan drama yang bertemakan berpantang mati sebelum ajal begitu menyentuh jiwa dan perasaan guru-guru dan para pelajar.
Selain itu, pihak sekolah juga menjemput seorang tokoh akademik, iaitu Dr. Amira Azman untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk "Perjuangan Pemimpin Menuntut Kemerdekaan dan Implikasinya terhadap Negara". Kehadiran Dr. Amira Azman ibarat sirih pulang ke gagang kerana beliau merupakan bekas murid sekolah ini. Dalam ceramahnya, beliau mengupas senario perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Dato' Maharajalela dan sebagainya. Bagi Dr. Amira, pejuang-pejuang kemerdekaan tersebut umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Beliau menasihatkan para pelajar supaya berusaha gigih dalam pelajaran demi menjadi manusia yang berguna dan menguasai ilmu pengetahuan bagi mengisi kemerdekaan negara. Beliau juga menasihatkan para pelajar supaya tidak menjadi seperti kacang lupakan kulit.
Pada 12 Ogos 2017, Pertandingan Deklamasi Sajak Patriotik telah mengisi atur cara sambutan. Pertandingan tersebut melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5. Peserta yang mengambil bahagian ternyata amat bersemangat sewaktu mendeklamasikan sajak mereka. Bakat peserta yang mengambil bahagian tidak kurang hebatnya. Mereka telah menyampaikan sajak dengan pelbagai gaya dan kreativiti. Pelajar-pelajar yang tidak mengambil bahagian dalam pertandingan deklamasi sajak diminta menyiapkan biografi tentang tokoh-tokoh kemerdekaan. Mereka dimestikan mendapat maklumat tentang tokoh-tokoh tersebut dengan melayari Internet. Biografi yang telah dihasilkan oleh para pelajar akan dipertandingkan. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pihak sekolah juga pada 15 dan 16 Ogos 2017 telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah di Muar, Johor. Antara tempat yang dilawati ialah Balai Polis Bukit Kepong, Makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja Pagoh dan Hutan Lipur Gunung Ledang. Lawatan ini bertujuan mendedahkan para pelajar untuk melihat kesan dan bukti sejarah yang terdapat di kawasan sendiri. Balai Polis Bukit Kepong merupakan sebuah balai polis yang pernah melalui detik hitam dalam sejarah negara, iaitu peristiwa pertempuran pasukan polis dengan pengganas komunis. Manakala Makam Sultan Alauddin Riayat Syah merupakan makam salah seorang sultan dalam Kesultanan Melayu Melaka. Gunung Ledang pula merupakan satu tempat yang mempunyai kaitan yang rapat dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka apabila Sultan Mahmud ingin memperisterikan Puteri Gunung Ledang pada suatu ketika dahulu.
Sebagai acara kemuncak, pada 30 Ogos 2017, telah diadakan Majlis Perarakan dan Mengibarkan Jalur Gemilang Peringkat Sekolah. Majlis yang dimulai pada pukul 8.00 pagi itu mendapat sambutan di luar dugaan daripada kalangan warga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Setiap individu yang terlibat diberi Jalur Gemilang bersaiz kecil untuk dikibarkan semasa perarakan. Para pelajar membawa sepanduk yang ditulis dengan kata-kata semangat seperti "Cintai dan Sayangi Malaysia", dan "Malaysia, Di sini Lahirnya Sebuah Cinta" mengikut kreativiti pelajar. Majlis perarakan sejauh 2.5 kilometer itu bermula dari dataran perhimpunan dan berakhir di tempat yang sama. Setelah tamat acara perarakan, program pada pagi tersebut diteruskan dengan ucapan penutupan program oleh Tuan Haji Nasri Abidin, Pengetua Kanan Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai. Dalam ucapannya beliau menyatakan perasaan gembira dan amat berpuas hati dengan perjalanan Sambutan Bulan Kemerdekaan pada kali ini. Beliau mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan majlis yang amat bermakna terutama kepada para pelajar. Selepas itu, Tuan Pengetua menyampaikan hadiah kepada para pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak dan Pertandingan Menulis Biografi Tokoh Kemerdekaan. Majlis yang penuh warna-warni dan bersejarah itu melabuhkan tirainya tepat pukul 11.30 pagi dengan nyanyian lagu "Negaraku".
Laporan disediakan, 10 SEPTEMBER 2017
(NUR NAJWA MOHD ALI)
Tingkatan 5 al-Ghazali,
Sekolah Menengah Satria Perdana, Sungkai.
25/10/2017
RUMUSAN : KELEBIHAN MAKAN BERSAMA-SAMA KELUARGA
Baca
petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kelebihan makan bersama-sama dengan
keluarga dan halangan untuk
mengamalkannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.
Budaya makan bersama-sama dengan keluarga kini semakin
kurang diamalkan. Meluangkan masa makan bersama-sama dengan keluarga
sekurang-kurangnya sekali sehari memberikan kesan besar kepada kesejahteraan
minda dan emosi anak-anak. Malangnya, anak-anak zaman sekarang makan tanpa
mengikut waktu makan yang sepatutnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa amat
sukar untuk mencari masa makan bersama, terutamanya pada waktu siang namun kita
boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.
Ketika makan bersama, ibu bapa dapat menunjukkan tabiat
pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Hal ini
termasuklah makan sayur, buah-buahan dan banyak minum air kosong. Kalau
diperhatikan, adab ketika di meja makan kini semakin hilang, terutamanya dalam
kalangan generasi muda. Anak-anak lebih gemar menikmati makanan ketika menonton
televisyen. Jika menjamu selera di meja makan, ada anak-anak yang tergesa-gesa
menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran ataupun bermain
permainan komputer. Ketika inilah ibu bapa boleh menetapkan disiplin atau adab
di meja makan. Adab-adab berkenaan, termasuklah mengajar anak-anak menyediakan
hidangan, membasuh pinggan mangkuk, makan secara beradab, serta melatih mereka
mengemas meja selepas makan.
Waktu makan ialah masa yang berkualiti, tenang dan
menyeronokkan. Ketika makan, ibu bapa boleh berinteraksi dengan anak-anak.
Antara topik yang boleh dibincangkan ialah peristiwa menarik di sekolah,
perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau rakan-rakan rapat
mereka. Secara tidak langsung, ibu bapa juga dapat mengesan pergerakan harian
anak-anak, terutamanya yang sudah masuk usia remaja. Kajian juga menunjukkan
lebih kerap keluarga makan bersama, lebih rendahlah kemungkinan anak-anak untuk
terbabit dalam gejala sosial seperti merokok, mengambil minuman keras,
penyalahgunaan dadah, dan pergaulan bebas.
Ada kalanya anak-anak mempunyai pandangan negatif
terhadap ibu bapa. Oleh yang demikian, ibu bapa boleh menjadikan masa makan
sebagai masa yang terbaik untuk memuji anak-anak. Mereka boleh berterima kasih
kepada perlakuan baik atau kerajinan mereka dalam membantu keluarga dan
belajar. Perbincangan ketika masa makan juga dapat melatih anak-anak berfikir
dan bertutur kerana perbualan panjang antara ibu bapa dengan anak-anak pasti
berlaku. Tamsilnya, anak-anak dapat belajar perkataan baharu yang diperoleh
ketika perbualan di meja makan. Selain itu, keakraban hubungan antara anggota
keluarga akan terjalin. Keakraban hubungan ini memberikan kesan besar kepada
kehidupan anak-anak dan akan mempengaruhi tabiat makan mereka. Tegasnya, makan
bersama-sama dengan keluarga perlu menjadi amalan dalam masyarakat kita. Amalan
ini mampu membentuk adab sopan anak-anak demi menjadikan mereka anggota
masyarakat yang berhemah.
(Dipetik dan diubah suai daripada ‘Amalan Makan Bersama’,
Harian Metro, 21 Mac 2012)
Soalan
2 (a) – Petikan Umum
Berdasarkan petikan Soalan 1, jawab soalan-soalan yang
berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.
(i) Berikan
maksud rangkai kata kesejahteraan minda.
[2
markah]
(ii) Apakah
tabiat buruk yang diamalkan oleh anak-anak ketika makan? [3 markah]
(iii) Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah
untuk menggalakkan amalan makan bersama-sama dengan keluarga? [4
markah]
SKEMA LATIHAN RUMUSAN 2
Soalan 1 :
Pendahuluan:
|
markah
|
|
Petikan membincangkan kebaikan/ kepentingan/ faedah/
manfaat/ kemaslahatan/kesan positif makan bersama-sama dengan keluarga dalam
kalangan masyarakat.
|
2
|
|
Rumusan membincangkan kebaikan/ kepentingan/ faedah/
manfaat/ kemaslahatan/kesan positif makan bersama-sama dengan keluarga dan
halangan untuk mengamalkannya
|
2
|
|
Isi tersurat [4 hingga 12 markah]
Kelebihan makan bersama-sama dengan keluarga:
|
||
S1
|
Dapat menunjukkan tabiat pemakanan yang baik.
|
2
|
S2
|
Ibu bapa boleh menetapkan disiplin atau peraturan di
meja makan.
|
2
|
S3
|
Boleh berinteraksi dengan anak-anak.
|
2
|
S4
|
Dapat mengesan pergerakan harian anak-anak.
|
2
|
S5
|
Kemungkinan anak-anak untuk berbabit dalam gejala
sosial rendah rendah.
|
2
|
S6
|
Boleh menjadikan masa makan sebagai masa yang terbaik
untuk memuji anak-anak.
|
2
|
S7
|
Dapat melatih anak-anak berfikir dan bertutur.
|
2
|
S8
|
Keakraban hubungan antara anggota keluarga akan
terjalin.
|
2
|
S9
|
Mampu membentuk adab sopan anak-anak.
|
2
|
Isi Tersirat [4 hingga 12 markah]
Halangan untuk mengamalkannya:
|
||
T1
|
Ibu bapa sibuk dengan kerjaya / aktiviti
masing-masing.
|
2
|
T2
|
Amalan ini tidak menjadi budaya dalam keluarga.
|
2
|
T3
|
Kurangnya usaha ibu bapa untuk mengamalkannya.
|
2
|
T4
|
Kurangnya kesedaran tentang kepentingan makan bersama
dalam kalangan masyarakat.
|
2
|
T5
|
Anak-anak sibuk dengan aktiviti sekolah /
tuisyen.
|
2
|
T6
|
Tarikan makanan segera / terdapat banyak pilihan
makanan di luar.
|
2
|
T7
|
Ruang makan di rumah tidak kondusif / sesuai /
selesa.
|
2
|
Kesimpulan/Penutup:
|
||
Ibu bapa haruslah membudayakan amalan makan
bersama-sama dengan keluarga supaya dapat membentuk keluarga bahagia.
|
2
|
|
Ibu bapa haruslah membudayakan amalan makan
bersama-sama dengan keluarga
|
1
|
Soalan
2(a) : Petikan Umum
i) Maksud
rangkai kata kesejahteraan minda ialah:
• ketenangan / ketenteraman pemikiran/fikiran/akal - 2
markah
• ketenangan /ketenteraman minda - 1 markah
• kesejahteraan pemikiran/fikiran/akal - 1 markah
[Maksimum: 2 markah]
ii) Tabiat buruk
yang diamalkan ketika makan:
• makan tanpa mengikut waktu makan yang sepatutnya.
• gemar menikmati makanan ketika menonton televisyen.
• makan tergesa-gesa.
[Maksimum: 3 markah]
iii) Langkah-langkah
untuk mengalakkan amalan makan bersama-sama dengan keluarga:
• kempen galakan makan bersama-sama dengan keluarga.
• media massa menguar-uarkan kebaikan amalan makan
bersama-sama dengan keluarga.
• ibu bapa menetapkan waktu makan bersama-sama dengan
keluarga.
• melatih/mengasuh anak anak-anak makan bersama-sama
sejak kecil.
• menyediakan makanan kesukaan/kegemaran keluarga.
23/10/2017
Faedah Kerja Amal @ Sukarela
Maslahat Kerja Amal
KARANGAN MODEL 2
Pada era langit terbuka ini, Malaysia
kian gah di persada dunia. Saban hari kita
diperdengarkan dengan pembangunan mapan baik dari segi fisikal
mahupun dari segi struktur pentadbirannya seperti transformasi dalam bidang
pentadbiran kerajaan. Wawasan 2020 juga semakin hampir juga semakin
hampir dan hal ini menampakkan suatu hari nanti kita mampu seiring
dengan negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan
lain-lain selaras dengan peribahasa berdiri sama tinggi, duduk
sama rendah. Dalam hal ini, pembangunan insan juga tidak
dikesampingkan, malah negara kita terkenal dengan rakyatnya yang prihatin, suka
membantu, penyayang dan ramah mesra. Sikap ini menunjukkan kita berpegang
kepada prinsip Budi Bahasa Budaya Kita. Berlandaskan slogan
ini, mereka rela menghulurkan bantuan dengan kudrat yang ada
untuk menghulurkan bantuan kepada insan malang yang ditimpa musibah. Slogan
seperti hulurkan tangan, ringankan beban itulah antara yang menyebabkan timbul
rasa insaf untuk melibatkan diri dalam kerja amal. Oleh hal yang demikian,
lahirlah persatuan-persatuan seperti MERCY Malaysia, Rakyat Prihatin, Aqsa
Sarif dan lain-lain lagi untuk menyahut seruan menyumbangkan bantuan
kepada golongan yang memerlukan pertolongan. Apakah sebenarnya maslahat yang
kita peroleh di sebalik kerja amal yang dilaksanakan dengan
hati yang penuh ikhlas ini?
Tak kenal maka tak cinta, inilah yang tercetus di atma setiap
yang terlibat dalam kerja amal kerana hubungan kita dengan golongan yang
dibantu pasti akan terjalin erat melalui kerja amal yang
dilakukan. Situasi harmoni dan ceria pasti akan terjelma lantaran berlaku interaksi
antara satu sama lain yang seterusnya mencetuskan hubungan sama ada secara glokal
atau global. Situasi dua hala ini pasti akan memecahkan tembok
penghalang yang selama ini menjadi penghalang untuk kita
mengenali mereka yang dibantu sama ada kerana kekangan tugas atau sikap
tidak prihatin dan tidak ambil berat antara satu sama lain. Saat kita
berkomunikasi dengan banyak orang daripada pelbagai strata sosial dalam
masyarakat sambil melaksanakan aktiviti kerja amal, kita dapat menyelami
perasaan mereka dan paling penting mengenali masyarakat sekeliling dengan lebih
akrab. Kita akan masuk ke dunia kehidupan orang lain dan menyelami
perkara yang tersirat dalam kehidupan mereka. Pada akhirnya, kita tidak
lagi hidup dalam dunia katak bawah tempurung, sebaliknya meneroka
dan mengenali kehidupan orang lain. Tamsilnya, bantuan
yang kita hulurkan melalui kerja amal seperti di rumah anak yatim
atau orang-orang tua membolehkan kita mengenali golongan yang tidak bernasib
baik ini. Situasi ini secara tidak langsung telah memupuk nilai murni
dalam diri yang menjadi elemen utama ke arah melahirkan insan
berhati nurani mulia, bersifat pemurah, empati,
prihatin dengan kesengsaraan insan kurang bernasib baik. Justeru,
pembentukan masyarakat penyayang yang saling mengambil berat dan membantu
antara satu sama lain tanpa mengira warna kulit dan taraf sosial dalam
masyarakat dapat dijana. Mudah-mudahan kelangsungan yang
terbentuk daripada aktiviti kerja amal yang dijadikan budaya dalam masyarakat
akan melahirkan sebuah negara bangsa yang rakyatnya mempunyai akal budi dan
jati diri yang teguh sekeras besi thursani.
Rentetan daripada itu, aktiviti kerja amal juga mampu menjadikan kita insan
yang lebih matang, sentiasa bersyukur dan berfikiran rasional. Mungkin kita
akan lebih mengenali diri dan latar belakang hidup mereka, seterusnya
mengambil iktibar daripada kisah hidup mereka. Selanjutnya,
kita akan berusaha menginsafi kekhilafan dan berusaha
membaiki diri agar menjadi insan yang kamil. Dalam konteks yang
lebih luas, Malaysia telah menghantar sekumpulan sukarelawan untuk
membantu penduduk Gaza di Bumi Palestine dengan memberikan bantuan kewangan,
perubatan, makanan dan bantuan moral serta spiritual kepada golongan mustadaafin ini
yang menderita akibat cengkaman rejim zionis. Semangat yang
ditunjukkan oleh rakyat Malaysia dalam menyokong perjuangan mereka dan bantuan
yang diberikan diharap dapat menaikkan semangat penduduk Islam di Gaza untuk
terus berjihad memperjuangkan hak mereka. Secara tidak langsung,
sekiranya kita terlibat dengan aktiviti kerja amal sebegini, pergaulan kita
dengan mereka akan memberikan kita sudut pandang yang sangat
berbeza tentang konsep keamanan dan kemakmuran. Jika di Malaysia, bumi
kita yang tercinta, tumpah darah yang berpanjangan jarang-jarang benar berlaku
selepas negara bersih daripada ancaman pengganas komunis sekitar tahun 70-an,
namun kita dapat melihat kesan pertumpahan darah akibat sengketa
berpanjangan di bumi anbia tersebut. Rasa syukur ke hadrat
Ilahi dan rasa cinta akan negara akan lebih bersemarak dalam hati
sanubari kita impak sama ada menyaksikan sendiri atau
mendekati kehidupan mereka melalui media natijah kerja
amal yang kita sertai. Tuntasnya, kerja amal mampu membentuk kita menjadi insan
yang lebih bersyukur dan menghargai segala yang kita miliki hari
ini seperti kata mutiara pujangga ‘hargailah apa yang kamu miliki hari
ini sebelum kamu terpaksa melepaskan atau kehilangannya’
Dasawarsa ini, sering terpampang berita tentang kebejatan akhlak
masyarakat di dada akhbar dan media lain. Saban hari gejala negatif
kian menular dan situasi ini mencemaskan pemimpin dan masyarakat kita.
Situasi yang mencetuskan kebimbangan ini akan sirna sekiranya semua
anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan dan usia mencurahkan bakti dalam
kerja amal yang dianjurkan. Hal ini demikian kerana apabila diri
kita sentiasa terikat dengan amal kebajikan dan mencurahkan jasa terhadap
masyarakat yang kurang berkemampuan, pasti diri tidak mudah terdorong untuk
melakukan onar yang mendorong kepada amalan mazmumah.
Individu tersebut mampu mengawal diri daripada terikut-ikut untuk
memenuhi nafsu serakah. Bukan setakat itu sahaja, seseorang yang
terlibat dalam kerja amal akan sentiasa rela untuk melaksanakan obligasi
sosial iaitu ke arah menolong insan yang memerlukan tenaga tanpa mengharapkan
balasan dan ganjaran. Apabila individu tersebut dengan rela hati
mencurahkan bakti, mereka sudah tentu akan memastikan nilai positif ataupun
amalan mahmudah sentiasa menjadi amalan mereka. Amalan lepak,
menghisap dadah, peras ugut, lumba haram dan lagi-lagi sudah pasti akan dapat
dielakkan kerana masa senggang mereka sentiasa diisi dengan
kerja-kerja amal. Tambahan pula dengan menyaksikan sendiri kedaifan dan
kesengsaraan orang lain mendorong mereka yang terlibat dengan kerja amal ini
untuk sentiasa berada dalam keadaan insaf dan berhati-hati dalam setiap
perjalanan hidup agar tidak tersasar daripada landasan yang benar iaitu
menjadi insan kamil yang sentiasa memegang amanah
sebagai khalifah di muka bumi ini. Izharnya, lorong
kehidupan yang menyumbang kepada kebobrokan masyarakat dan
kehancuran kemakmuran negara tidak akan menjadi laluan pilihan golongan yang
terlibat dengan kerja-kerja amal ini.
Bertitik tolak daripada penglibatan kita dalam kerja-kerja amal
ini, kita telah menyumbang kepada pelestarian warisan budaya
masyarakat Melayu. Hakikatnya, amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan
oleh generasi terdahulu iaitu para leluhur kita. Seyogianya amalan
ini diteruskan dalam kehidupan hari ini biarpun kehidupan hari ini menuntut
terlalu banyak keperluan material. Ibarat peribahasa tak lekang
dek panas tak lapuk dek hujan, kelangsungan melibatkan
diri dalam kerja-kerja amal ini mesti diteruskan agar sentiasa relevan dan
seterusnya sebati dengan generasi alaf baharu ini. Tepuk
dada, tanyalah selera, berapa ramaikah remaja yang sanggup meninggalkan
keseronokan dan keselesaan menikmati hidup alam remaja untuk terlibat
dalam kerja-kerja amal yang bukan sahaja menjadi warisan budaya bangsa,
malah dituntut oleh agama. Nabi Muhammad S.A.W bersabda ‘tidak sempurna iman
seseorang antara kamu jika kamu tidak mengasihi saudaramu seperti dirimu
sendiri’ yang memberikan penekanan tentang peri pentingnya kita
mengasihi dan membantu saudara semuslim khususnya saat mereka memerlukan
bantuan. Begitu juga dengan hadis nabi ‘tangan yang menghulur di atas
itu lebih baik daripada tangan yang menerima di bawah’ menunjukkan martabat insan
yang sering membantu orang lain dianggap mulia di sisi agama. Tuntasnya,
dengan melibatkan diri dengan kerja-kerja amal kita bukan sahaja dapat
membantu melestarikan warisan budaya masyarakat Melayu malah
turut menyumbang dalam melaksanakan syariat agama bagi yang beragama
Islam.
Akhirulkalam____________,_____________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________
Arahan kepada pelajar.
1. Baca soalan dan buat
analisis kehendak soalan
2. Baca wacana dan senaraikan
isi-isi penting secara ringkas
Masukkan perkataan dan ungkapan menarik berikut dalam perenggan kesimpulan anda.
1. Menggembleng
2. turun padang
3. Siap siaga
4. cakna
5. Kemaslahatan
6. ‘setiap kebaikan yang kita lakukan akan
pasti ada imbuhannya di sisi Tuhan’
7. Bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing.
22/10/2017
Faedah Menyertai Pertubuhan Sukarela
Pertubuhan
sukarela bermaksud badan atau organisasi yang ditubuhkan untuk
menjalankan kerja-kerja sukarela tanpa mengharapkan bayaran atau keuntungan. Kerja-kerja sukarela adalah seperti
membantu membantu mangsa banjir, menjaga kawasan kejiranan dan membantu
golongan kurang upaya atau pesakit. Pertubuhan
sukarela yang terdapat di negara kita adalah seperti Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam [JPAM], Bulan Sabit Merah Malaysia
[BSSM], MERCY Malaysia dan
Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA). Terdapat banyak faedah yang diperoleh oleh individu
yang menyertai pertubuhan sukarela.
Faedah menyertai pertubuhan sukarela ialah seseorang itu dapat mengisi masa lapang
dengan aktiviti yang bermanfaat. Sebagai contoh, seseorang itu dapat mengisi masa lapang dengan melakukan
kerja-kerja membantu mangsa banjir di pusat pemindahan banjir pada masa cuti dengan cara menyertai Sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam [JPAM] atau Bulan Sabit Merah Malaysia [BSSM].
Dengan berbuat demikian, sudah
pastilah individu tersebut dapat
mengelakkan diri daripada melakukanperkara-perkara negatif seperti melepak di pusat beli-belah atau
terlibat dalam kegiatan lumba haram.
Oleh itu, nyatalah bahawa penyertaan dalam pertubuhan
sukarela dapat mengisi masa
sengggang kerana masa itu emas.
Selain itu, kita juga dapat menambahkan
pengetahuan dengan menyertai pertubuhan
sukarela. Sebagai contoh, individu yang menyertai JPAM atau BSSM dapat menambahkan pengetahuan tentang teknik
menyelamat mangsa dan ilmu pertolongan cemas. Pengetahuan tersebut dipelajari oleh sukarelawan yang menyertai
pertubuhan JPAM dan BSSM semasa mereka mengikuti latihan
asas sebelum menjalankan kerja-kerja
sukarela. Pengetahuan ini dapat
menjadi bekalan kepada mereka untuk
menghadapi kehidupan pada masa depan.
Oleh itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa penyertaan dalam pertubuhan sukarela ini dapat menjadi
batu loncatan kepada seseorang individu untuk memperoleh pengetahuan baharu dalam hidup mereka.
Penyertaan dalam pertubuhan sukarela juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam
sanubari seseorang. Nilai-nilai murni
ini dapat dipupuk kerana kerja-kerja sukarela
dilakukan tanpa mengharapkan balasan dari segi kewangan. Tambahan pula,
kerja-kerja yang dilakukan oleh sukarelawan
dalam pertubuhan seperti MERCY Malaysia
dan JPAM tidak mengira masa. Sebagai
contoh, sukarelawan yang bertugas di
pusat-pusat bantuan bencana seperti pusat pemindahan
banjir terpaksa bersengkang mata mereka untuk bertugas pada waktu tengah malam. Dengan ini, nyatalah
bahawa penglibatan seseorang individu
dalam pertubuhan sukarela dapat
menjadi platform untuk memupuk
nilai-nilai murni seperti baik hati, keikhlasan dan semangat bermasyarakat.
Pendek kata, sunguh banyak faedah yang diperoleh sekiranya
seseorang itu menyertai pertubuhan
sukarela. Oleh itu rakyat Malaysia, khususnya golongan muda perlu melibatkan diri dalam pertubuhan sukarela agar mereka dapat
menimba pengalaman dan pengetahuan daripada penyertaan dalam pertubuhan tersebut. Dengan penyertaan
yang aktif itu, diharapkan rakyat
Malaysia yang memiliki nilai murni
yang mulia akan dapat dilahirkan dalam usaha mewujudkan masyarakat penyayang.
* JPAM kini dikenali sebagai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia
17/10/2017
KESALAHAN PENGGUNAAN KATA/ISTILAH DAN KESALAHAN TATABAHASA
SOALAN 3 (d) :
KESALAHAN PENGGUNAAN KATA/ISTILAH DAN
KESALAHAN TATABAHASA
SPM
dan SPMU [2005-2017]
SPM 2005
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan satu kesalahan tatabahasa.
Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak
boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
(i) Saya mengucapkan berbanyak terima kasih
atas kesudian tuan mengisytiharkan kempen Cintai Sungai Kita peringkat daerah
ini.
(ii)
“Wahai generasi muda, berbaktilah kepada negara yang tercinta ini,” wasiat
pemimpin itu
ketika
berucap dalam perhimpunan belia.
(iii)
Kelawar-kelawar yang bergayutan di dinding Gua Niah menarik perhatian
pelancong.
SPM 2006
(i) Siswazah yang memiliki kemahiran
tertentu selain daripada kelulusan akademik mempunyai peluang yang lebih baik
dalam perlawanan untuk mendapatkan pekerjaan.
(ii) Stesen minyak-stesen minyak di
bandar-bandar utama negara kita mengamalkan konsep layan sendiri.
(iii) Pembabitan golongan wanita di dalam
pelbagai bidang kerjaya telah menambahkan martabat mereka.
SPM 2007
(i) Atur susun perabot di dalam bilik
pameran itu dilakukan oleh sebahagian dari pekerja syarikat tersebut.
(ii) Keseluruhan penduduk-penduduk kampung
itu akan bergotong-royong apabila tiba musim membajak padi.
(iii) Selepas
pilihan raya umum, biasanya terdapat setengah pihak yang membuat spekulasi
tentang pindaan kabinet yang akan dibuat oleh Perdana Menteri.
SPM 2008
(i) Hasrat Aiman supaya menyertai ekspedisi
mendaki Gunung Kinabalu terpaksa dimansuhkan kerana masih belum mendapat
keizinan daripada kedua-dua ibu bapanya.
(ii) Wang gaji yang diperoleh oleh saya
setiap bulan dibelanjakan secara berhemah dan bakinya disimpan dalam bank.
(iii) Jabatan Meteorologi menganggarkan bahawa
cuaca di pantai timur Semenanjung Malaysia mendung, manakala di lain-lain
kawasan cuacanya cerah.
SPM JUN 2009
(i) Selain daripada menahan lukah, nelayan
itu juga menggunakan seutas jala untuk menangkap ikan di sungai.
(ii) Pilih mana jurusan yang sesuai dengan
kebolehan anda dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia semasa memohon
kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
(iii) Dalam konvokesyen itu telah dibentangkan
kertas kerja-kertas kerja tentang usahausaha untuk meningkatkan penguasaan
bahasa Melayu dalam kalangan murid.
SPM 2009
(i) Pencemaran alam sekitar pada tahap besar
akan menyebabkan sesebuah negara mengalami kerugian di dalam jangka masa
panjang.
(ii) Amalan pemakanan lengkap dalam kalangan
masyarakat adalah antara langkah yang berkesan supaya mencegah pelbagai
penyakit.
(iii) Tindakan
tatatertib akan dikenakan pada pegawai yang melakukan silap laku dalam
menjalankan tugas.
SPM JUN 2010
(i) Masalah kekacauan moral dalam kalangan
remaja telah mendapat perhatian kerajaan sejak daripada dahulu lagi.
(ii) Sukan ialah satu wahana yang dapat
mengeratkan penyatuan rakyat yang berbilangbilang kaum di negara kita.
(iii) Di antara matlamat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan adalah untuk mengeluarkan warganegara yang bersahsiah tinggi.
SPM 2010
Dalam petikan di bawah, terdapat tiga kesalahan penggunaan kata atau
istilah dan tiga kesalahan tatabahasa.
Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak
boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan tiga kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
Sederetan rumah-rumah telah musnah dalam
kebakaran di tapak perumahan tersebut. Anggota pasukan bomba telah bergegas ke
tempat kejadian supaya memadamkan api yang sedang mara. Jumlah kerugian yang
pemilik-pemilik rumah alami belum dapat ditafsirkan lagi.
SPM JUN 2011
(i) Pegawai kedoktoran yang dijemput dari
Kuala Lumpur itu menerangkan tentang caracara pencegahan penyakit demam denggi.
(ii) Sebahagian
peserta-peserta dalam pertandingan pidato itu amat becok sekali hingga
menyukarkan para hakim memilih pemenangnya.
(iii) Rakyat Malaysia perlulah saling
bantu-membantu dalam usaha memupuk sikap perpaduan kaum.
SPM 2011
(i) Album yang baru diterbitkan itu
mengandungi koleksi lagu-lagu lama yang berkuantiti dan diminati oleh orang
ramai.
(ii)
Para pelajar perlu menyiapkan kerja khusus Sejarah dalam tempoh yang telah
guru mereka tetapkan.
(iii) Istana yang terpaling indah itu ialah
tempat sultan tinggal.
SPM JUN 2012
Dalam petikan di bawah, terdapat tiga
kesalahan penggunaan kata atau istilah dan tiga kesalahan tatabahasa.
Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak
boleh menyenaraikan lebih daripada tiga kesalahan penggunaan kata atau istilah
dan tiga kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.
Bumi umpama sebagai rumah besar bagi
segala benda yang merangkumi manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Walau
bagaimanapun, hanya manusia yang dianugerahi akal dan kebijaksanaan untuk
menguruskan bumi ini. Namun begitu, akal dan kebijaksanaan itu sering
disalahertikan termasuklah tindakan manusia melupuskan alam dan melakukan
pembaziran dengan sewenangnya. Perkara ini jelas menunjukkan yang tindakan
tersebut dilakukan tanpa memikirkan kesan baik dan buruknya.
SPM 2012
(i) Suasana pembelajaran yang konklusif
merupakan faktor yang menentukan sama ada murid-murid berasa seronok ketika
belajar dan sebaliknya.
(ii) Kelas Pendidikan Khas memerlukan jasa
pembantu murid kerana kebanyakan muridmurid istimewa ini perlu diberikan
perhatian yang khusus.
(iii) Guru berperanan untuk membentuk generasi
yang memahami inspirasi negara dan seterusnya membawa Malaysia ke mercu kegemilangan
di masa depan.
SPM JUN 2013
(i) Kempen menggalakkan orang ramai memberi
darah perlu dipergiat kerana darah amat diperlukan supaya menyelamatkan nyawa.
(ii) Pemilik kedai emas itu telah memberi
bonus kepada penjaga keselamatan di kedainya kerana berjaya menghalang perompak
dari merompak kedai tersebut.
(iii) Makanan berlemak dan terlalu manis bukan
baik untuk kesihatan kerana boleh menyebabkan kita terbuka kepada risiko
pelbagai penyakit.
SPM 2013
(i) Kerjasama di antara negara rantau ASEAN
dalam bidang ekonomi haruslah diketatkan lagi.
(ii) Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan
tanggungjawab mendidik anak-anak mereka pada guru semata-mata.
(iii) Penceramah terkenal yang dijemput khas
itu telah membacakan ceramahnya dengan begitu berkesan sekali hingga ramai
murid-murid menitiskan air mata.
SPM JUN 2014
(i) Pembentukan siasah yang tinggi perlu
dipupuk dari masa ke semasa agar sesuatu yang dihasratkan dapat dicapai dengan
jayanya.
(ii) Kajian mendapati yang pencemaran sungai
berpunca daripada barang buangan industri dan kediaman serta kerja-kerja
penerokaan tanah.
(iii) Hutan mempunyai berbagai-bagai fungsi
yang bermanfaat kepada masyarakat sejagat selain daripada berperanan sebagai
kawasan teduhan hujan.
SPM 2014
i. Sikap
profesion yang ditunjukkan oleh pegawai itu amat dikagumi oleh saya.
ii. Kerajaan
telah mengambil beberapa langkah-langkah positif untuk memelihara seni muzik
gambus supaya tidak pupus dimakan zaman.
iii. Sungai
Melaka yang menyusur di tengah-tengah Bandar Raya Melaka di suatu masa dahulu
amat kotor tetapi kini telah diperindah supaya menjadi daya tarikan pelancong.
SPM JUN 2015
i. Hidangan
rebus ubi yang empuk itu amat enak dirasai pada waktu petang.
ii. Pengetua
telah mengurniakan sijil pencapaian cemerlang kepada semua murid-murid yang
aktif dalam kegiatan kokurikulum.
iii. Filem
yang dilihat oleh mereka itu berkisar terhadap kepentingan penjagaan alam
sekitar.
SPM 2015
i. Pembakaran
secara terbuka telah mengakibatkan kuantiti udara merosot di berapa kawasan.
ii. Pelbagai
intensif-intensif yang menarik disediakan oleh kerajaan demi menguatkan
produktiviti industri kecil dan sederhana.
iii. Belangkas
ialah haiwan prasejarah yang ditimpa kepupusan yang serius malahan usaha untuk
melindungi haiwan ini kurang dijalankan.
SPM JUN 2016
i. Novel
yang baru dibaca sebentar tadi telah memamerkan tema tentang masalah sosial
yang sering remaja lakukan terutamanya di bandar-bandar.
ii. Dalam
perhimpunan sekolah, pengetua telah menyapa perlakuan murid-muridnya yang agak
kurang sopan bila bercakap dengan orang yang lebih tua.
iii. Kertas-kertas
nampak berserabut di tepi pantai kerana kebanyakan pengunjung gemar duduk
beralaskan dengan kertas surat khabar dan kemudian membiarkannya.
SPM 2016
i. Ibu
rindu akan anaknya yang meningkatkan pelajaran di negara terbit matahari.
ii. Dia
menghadapi pelbagai masalah sejak berpindah di tempat yang baharu kerana belum
dapat merapatkan diri dengan menduduk kampung.
iii. Menteri
Kewangan mengingatkan ketua jabatan-ketua jabatan supaya mengamalkan
perbelanjaan berhemat dalam keadaan ekonomi yang tidak tenteram pada masa ini.
SPM JUN 2017
i. Pelancong
daripada Jepun itu terpegun semasa melihat kemahiran orang buta itu menyulam
bakul rotan dengan pantas.
ii. Kerajaan
seharusnya memberikan pembebasan cukai atas pembelian rumah mampu milik demi
untuk meringankan bebanan rakyat yang berpendapatan rendah.
iii. Kementerian
Pendidikan mengingatkan pentadbiran sekolah yang mereka boleh dikenakan
tindakan tatatertib sekiranya menyimpan kes disiplin yang berlaku di sekolah
masing-masing.
SPM 2017
Subscribe to:
Posts (Atom)