20/09/2017

Penulisan 13 : Dimensi Diri : Usaha Menggembirakan Ibu Bapa


Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan.
Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka itu tercapai.

        Setiap ibu bapa mengharapkan anak-anak berjaya dalam kehidupan. Pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa hasrat semua ibu bapa di dunia ini adalah sama. Sesungguhnya, ibu bapa merupakan insan mulia yang melahirkan kita  dan membesarkan kita dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Mereka  merupakan orang yang paling banyak berkorban demi kesejahteraan hidup kita. Ahli bijak pandai pernah berkata bahawa, ”Tiada anugerah yang lebih berharga yang diberikan oleh ibu dan ayah kepada anaknya kecuali tunjuk ajar dan budi pekerti yang mulia”. Ungkapan ini jelas memaparkan betapa besar pengorbanan  ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna.  Sebagai anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan sentiasa bersedia untuk membalas budi mereka agar kita tidak dianggap sebagai anak yang derhaka atau kacang lupakan kulit.. Satu perkara yang amat wajar kita lakukan dalam kehidupan kita ialah memenuhi harapan ibu bapa terhadap kita agar berjaya dalam hidup. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang wajar saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai?
        Usaha pertama yang perlu saya lakukan untuk memastikan harapan ibu bapa tercapai ialah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian  semasa guru sedang mengajar di kelas. Sekiranya terdapat topik yang tidak difahami, saya akan bertanya kepada guru. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik pada zaman ini menentukan keadaan masa hadapan seseorang kerana mereka yang cemerlang dalam akademik biasanya mempunyai masa hadapan yang cerah. Kejayaan yang saya capai ini, sudah pasti dapat membanggakan kedua-dua ibu bapa dan keluarga. Pada era globalisasi yang penuh dengan persaingan ini,  amat penting bagi seseorang  mencapai kecemerlangan akademik untuk bersaing dengan orang lain terutamanya dalam alam pekerjaan. Masyarakat kini menilai seseorang berdasarkan pencapaian akademiknya. Saya akan sentiasa berusaha untuk membolehkan diri saya meraih kejayaan dan kegembiraan setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Oleh itu, saya akan membuat persediaan yang rapi sebelum menduduki peperiksaan agar saya dapat menjawab semua soalan dengan cemerlang kerana di mana ada kemahuan di situ  pasti ada jalan. Pada masa yang sama, saya juga akan memberi perhatian pada perkara yang berkaitan dengan ilmu selain bidang akademik. Hal ini kerana saya sedar bahawa kecemerlangan akademik bukanlah segala-galanya. Seorang insan yang berjaya perlu mahir dalam pelbagai bidang. Tegasnya, saya akan belajar dengan tekun dan berusaha dengan gigih bagi membanggakan ibu bapa.
        Selain itu, saya juga akan sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Saya akan mengamalkan nilai ketabahan, kerajinan, amanah, tidak berputus asa dan berkeyakinan tinggi dalam usaha mencapai kejayaan.  Hal ini demikian kerana saya sedar bahawa orang yang berjaya dalam kehidupan bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik,  malahan perlu menjadi seorang yang cemerlang dari segi akhlak, rohani, intelek dan emosi iaitu mempraktikkan konsep JERI yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sebagai contohnya, saya akan sentiasa bersopan santun dan menghormati ibu bapa, guru-guru,  jiran tetangga  dan orang di sekeliling saya. Amanat ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan saya dengan orang lain malah dapat membina personaliti yang luhur dalam diri saya. Saya juga akan sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan bertegur sapa seperti mengucapkan selamat kepada mereka. Sahsiah yang saya miliki  ini pasti akan menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa saya, bak kata pepatah, “akhlak yang baik seperti madu, sentiasa manis dan berkhasiat”. Saya akan membuang sikap malas dalam diri agar tidak menghampakan harapan ibu bapa saya. Akhlak yang terpuji akan menjadi penghias diri dan berjalan seiring dengan kejayaan yang kita miliki. Kita perlu ingat bahawa sekiranya akhlak seseorang itu buruk, walau betapa cemerlang pun pencapaiannya dalam akademik tidak akan dihormati dan disegani. Jelasnya, amalan berbudi bahasa amat penting dalam menentukan kejayaan seseorang individu.
       Seterusnya, saya juga akan sentiasa berpegang teguh  kepada ajaran agama sekiranya ingin berjaya dalam kehidupan. Pegangan agama yang teguh  membolehkan saya mempunyai benteng keimanan yang  kukuh dan ampuh bagi mengelakkan diri saya daripada  pengaruh  negatif yang dapat menjejaskan kehidupan saya. Dengan berpegang teguh kepada ajaran agama, saya akan memiliki jati diri yang utuh untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya ke kancah maksiat. Hal ini demikian kerana Allah sentiasa menyeru hamba-Nya untuk melakukan sesuatu yang baik serta menjauhi perkara yang buruk. Pegangan kepada agama juga dapat meningkatkan keyakinan diri saya dan membolehkan saya mempunyai matlamat yang jelas dalam hidup. Hal ini amat penting dalam menentukan kejayaan saya  pada masa hadapan. Pendidikan agama yang saya peroleh, menjadi pedoman hidup yang boleh membentuk saya menjadi seorang yang positif dalam segala hal. Saya tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan yang tidak baik. Sebaliknya, saya akan sentiasa  menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga.  Tegasnya, saya akan berpegang teguh kepada ajaran agama agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup dan membanggakan kedua-dua ibu bapa saya.
        Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan-rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi  dorongan dan nasihat yang berguna dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stres. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya agar dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa.
      Seterusnya, saya akan meningkatkan keilmuan diri saya dengan pembacaan. Ibnu  Khaldun pernah berkata bahawa “membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara”. Hal ini  jelas menunjukkan bahawa membaca adalah amat penting dalam menentukan kekuatan dan kejayaan seseorang individu. Saya akan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pembinaan kendiri seperti buku-buku motivasi dan sebagainya untuk meningkatkan tahap pemikiran diri saya kerana membaca jambatan ilmu. Langkah ini bagai serampang dua mata kerana selain boleh membantu saya dalam bidang akademik, usaha tersebut juga dapat membentuk diri saya menjadi seorang yang berilmu pengetahuan luas. Secara langsung, kejayaan akan dapat dicapai dalam kehidupan. Saya juga akan cuba memperbaiki kelemahan diri untuk berjaya dalam kehidupan. termasuk mengatasi sikap malas. Saya akan mengubah sikap ini untuk mencapai kejayaan dan berubah menjadi seorang yang rajin kerana rajin dan usaha, tangga kejayaan. Saya berharap agar perubahan yang saya lakukan ini dapat membolehkan diri saya mencapai harapan ibu bapa iaitu berjaya dalam kehidupan. Apabila masuk ke alam pekerjaan kelak, saya akan mencari pekerjaan yang stabil dan membalas budi mereka.
        Akhir sekali,  saya akan sentiasa mendengar nasihat ibu bapa kerana Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa. Saya akan sentiasa patuh kepada arahan ibu bapa tanpa sebarang rungutan kerana saya sedar bahawa syurga terletak di bawah tapak kaki ibu. Saya juga sedar bahawa tanpa doa dan dorongan ibu bapa, betapa tabah dan pandai saya sekali pun, saya tidak mungkin akan mencapai impian serta kejayaan dalam hidup saya. Ibu bapa merupakan insan yang lebih tua dan mereka terlebih dahulu makan garam daripada saya. Oleh itu, ibu bapa mempunyai pengalaman yang kaya dan luas dalam masyarakat dan dunia luar. Maka, wajarlah saya untuk meminta dan menerima pandangan mereka agar diri saya tidak akan menimbulkan kesilapan yang mungkin mengakibatkan saya berasa menyesal buat seumur hidup saya. Mereka merupakan punca tenaga  dan dorongan saya untuk mengejar impian dan cita-cita saya serta memperoleh kejayaan dalam hidup saya. Tanpa mereka, saya tidak mungkin berpeluang untuk mencapai kejayaan dalam hidup saya. Tegasnya, saya akan mematuhi arahan dan mendengar nasihat ibu bapa agar impian saya dapat dicapai dan yang paling penting sekali ialah kisah Si Tanggang tidak akan berlaku ke atas diri saya.

        Berdasarkan perbincangan di atas,  dapatlah  disimpulkan bahawa untuk mencapai impian dan kejayaan dalam hidup, saya sebagai remaja perlu berusaha bersungguh-sungguh. Saya akan berusaha memastikan agar impian dan cita-cita saya tercapai dan sekali gus,  saya juga dapat memenuhi impian dan harapan ibu bapa saya. Charles Dickens pernah berkata bahawa “kemahuan seperti sebilah pedang yang dapat membuat jalan melalui hutan rimba.” Manusia memang tidak dapat menjangka dan melihat masa hadapan, tetapi manusia boleh meramal masa hadapan mereka dengan merancang masa hadapan mereka sebaik-baiknya. Jelasnya, kita harus memberi peluang kepada diri kita untuk menjadikan impian dan cita-cita  sebagai kenyataan kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

19/09/2017

PENULISAN 12 : Sumbangan kepada ibu bapa

Semua orang berusaha untuk berjaya dalam bidang yang diceburi.
Huraikan sumbangan yang akan anda berikan kepada ibu bapa jika anda telah berjaya dalam kerjaya pada satu masa nanti.  

Pendahuluan 1
       Ketika saya dilahirkan di Hospital Slim pada pukul 11.12 pagi, pada tarikh 07 Ogos 1999, ibu dan bapa saya sudah pasti berada di mercu kebahagiaan dan keterujaan. Begitulah doa dan harapan ibu bapa terhadap setiap anak. Pastinya, saya akan dihantar ke sekolah dengan harapan beroleh kejayaan dan kehidupan saya akan menjadi lebih baik daripada kehidupan mereka. Ibu bapa merupakan orang yang terpenting di sebalik kejayaan anak-anak. Ibu bapa berkorban jiwa raga, masa dan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka berjaya. Ibu bapa jugalah yang memberi panduan kepada anak-anak agar tidak terpesong daripada landasan kejayaan. Persoalannya, bagaimanakah saya boleh mengapresiasikan jasa dan pengorbanan mereka. Apakah sumbangan yang akan saya berikan kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti?

Pendahuluan 2
Kejayaan merupakan satu anugerah bagi orang yang berusaha. Orang tua-tua pernah menyebut bahawa usaha tangga kejayaan. Pakar Motivasi, Dr. Shukri Abdullah berkata bahawa, pemisahan antara orang yang berjaya dengan orang yang gagal adalah sikap rajin. Orang yang rajin akan berjaya manakala orang yang gagal akan kecewa. Kejayaan bukan bergantung kepada nasib tetapi kerjaya akan dapat direalisasikan jika ada usaha yang padu dalam keluarga. Ibu bapa merupakan orang yang terpenting di sebalik kejayaan seseorang. Ibu bapa berkorban jiwa raga, masa dan wang ringgit untuk memastikan anak-anak mereka berjaya. Ibu bapa jugalah yang memberi panduan kepada anak-anak agar tidak terpesong daripada landasan kejayaan. Persoalannya, apakah sumbangan yang akan saya berikan kepada ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti?

Jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan membalas jasa ibu bapa dengan memberikan wang kepada ibu bapa saya setiap bulan tidak kira ibu bapa saya berkedudukan atau berjawatan dan mempunyai pendapatan yang baik. Ibu bapa saya boleh menggunakan wang tersebut untuk keperluan harian dan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan mereka seperti kesihatan. Saya akan memastikan wang yang saya berikan itu mencukupi untuk kegunaan harian dan kebajikan mereka. Saya akan bertanya kepada ibu bapa saya berkaitan jumlah wang yang diperlukan oleh mereka. Sekiranya, pemberian saya tidak memadai dan mencukupi, saya akan sentiasa menambahkan kiriman tersebut sesuai dengan pendapatan yang  saya peroleh. Saya akan menggunakan pelbagai cara untuk memberikan wang kepada mereka. Contohnya, saya akan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank ibu bapa saya secara terus kepada mereka atau pun mengirimkan wang menerusi kiriman wang pos dan sebagainya.  Dengan adanya wang di tangan mereka, hati mereka akan tenang dan kehidupan mereka akan senang. Jadi, pemberian wang merupakan salah satu sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti untuk menggembirakan mereka.

Selain memberikan wang tunai secara tetap, saya juga akan membawa ibu bapa saya menunaikan haji atau umrah serta melancong ke tempat-tempat yang disukai mereka jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Selama ini, Ibu bapa saya mungkin  tidak berpeluang untuk menunaikan haji dan umrah atau makan angin serta melancong ke mana-mana kerana pendapatan mereka yang terhad ketika membesarkan saya dan adik-beradik yang lain. Pada hemat saya, inilah masa yang sesuai untuk membawa ibu bapa saya menunaikan umrah dan haji atau melancong sambil menggembirakan mereka. Setiap ibu bapa pasti gembira dan bersyukur seandainya anak-anak dapat memenuhi impian mereka untuk pergi ke Tanah Suci menunaikan rukun Islam yang ke-5. Selain itu, saya juga akan membawa ibu bapa saya melancong dan mengunjungi tempat-tempat bersejarah seperti mengunjungi  Bumi Anbiya’ di Jordan, Syria,  Turki dan Mesir  untuk melihat sendiri kesan peninggalan dan penyebaran Islam di sana. Oleh itu,  menghantar ibu bapa menunaikan haji atau umrah dan melancong bersama ibu bapa merupakan sumbangan saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti.

Di samping itu, saya juga akan membelikan insurans kesihatan kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti. Saya berpendapat bahawa insurans sebegini sangat penting kepada ibu bapa kerana peribahasa Melayu sering menyebut, sediakan payung sebelum hujan. Jika ibu bapa saya menghadapi masalah kesihatan, mereka tidak perlu risau kerana melalui pembelian insurans kesihatan, mereka akan mendapat rawatan terbaik. Sebagai contoh, jika ibu bapa saya sakit, saya akan membawa mereka ke hospital swasta yang terbaik dan merawat mereka segera melalui skim insurans yang di tawarkan. Saya tidak mahu ibu bapa saya menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan untuk dirinya di hospital biasa. Kita faham bahawa nisbah seorang doktor dan pesakit di hospital biasa ialah 1:100. Bilangan rakyat yang memerlukan rawatan di hospital terlalu ramai. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, saya akan menyediakan insurans kesihatan untuk ibu bapa saya agar mereka mendapat rawatan terbaik pada hari tua mereka. Jadi jelaslah bahawa pembelian insurans kesihatan merupakan sumbangan yang dapat saya berikan kepada ibu bapa saya jika saya telah berjaya pada suatu masa nanti.

Seterusnya, jika saya telah berjaya dalam kerjaya pada suatu masa nanti, saya akan membina sebuah rumah yang indah dan lengkap dengan segala kemudahan  untuk kedua-dua ibu bapa saya nanti. Rumah tersebut akan didirikan di kawasan pinggir bandar yang berdekatan dengan masjid atau surau dan pusat beli-belah. Rumah yang disediakan ini mempunyai beberapa buah bilik. Selain bilik tidur yang dilengkapi perabot, saya juga akan menyediakan bilik-bilik khas untuk ibu bapa saya menjalankan aktiviti harian tanpa sebarang gangguan seperti bilik riadah, bilik ibadat, dan bilik bacaan. Dengan adanya bilik-bilik khas ini, ibu bapa saya akan dapat menjalankan aktiviti dalam suasana yang kondusif. Mereka juga dapat melakukan senaman untuk menjaga kesihatan walaupun ketika hujan. Salah satu contoh rumah agam yang menjadi idaman saya untuk disumbangkan kepada ibu bapa saya adalah seperti rumah yang dimiliki oleh  Datuk Yusuf Haslam yang bernilai RM6 juta. Jadi, rumah agam yang lengkap merupakan sumbangan saya kepada ibu bapa jika saya telah berjaya satu masa nanti.

Akhir sekali, saya akan menyumbangkan sebuah dusun seluas beberapa ekar kepada ibu bapa  jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti. Ibu bapa saya telah bersusah payah mengerjakan tanah yang tidak sampai suku ekar sewaktu membesarkan saya. Mereka sanggup membanting tulang berbakti kepada tanah untuk mencari rezeki dalam membesarkan saya adik-beradik. Sebagai cara untuk membalas jasa mereka, saya akan menyediakan dusun bersama-sama pembantu khas. Tempat menjadi pilihan saya mestilah kawasan yang mempunyai sungai kecil yang berbatu-batu dan sesuai menjadi tempat beristirahat seperti di Janda Baik, Pahang. Di dusun tersebut juga, saya akan menanam pokok buah-buahan seperti durian, pulasan dan manggis yang menjadi kegemaran ibu bapa saya. Dusun tersebut merupakan contoh dusun yang akan saya sumbangkan agar mereka dapat menikmati keindahan alam semula jadi. Saya yakin bahawa sumbangan ini akan menyebabkan ibu bapa saya ceria dan gembira. Sebagai orang tua yang sudah lama tinggal di kampung, saya faham tentang jiwa ibu bapa saya yang tidak akan meninggalkan rumah dan tanah tempat kelahiran mereka. Sudah terang lagikan bersuluh, sumbangan  dusun seluas beberapa ekar akan saya sempurnakan untuk ibu bapa saya nanti jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti.

Berdasarkan huraian berkaitan sumbangan saya terhadap ibu bapa jika saya telah berjaya dalam kerjaya suatu masa nanti, saya yakin impian ini akan terlaksana dalam tempoh sepuluh tahun lagi. Hal ini demikian kerana pencapaian saya dalam bidang akademik sangat terserlah. Kejayaan dalam bidang akademik akan membolehkan saya membina kerjaya yang cemerlang. Kecemerlangan dalam kerjaya akan membolehkan saya memberikan sumbangan yang bermakna kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah bersusah payah memelihara, mengasuh dan mendidik  saya tanpa jemu. Jika ditakdirkan saya kurang berjaya sekalipun, saya akan tetap memberikan sumbangan mengikut kemampuan saya. Kata-kata hikmah yang sering diucap, harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Kesimpulannya, saya perlu belajar bersungguh-sungguh agar impian untuk memberi sumbangan kepada ibu bapa akan  terlaksana.

sumber asal : http://ishakmdshah.blogspot.my/

18/09/2017

PENULISAN 11 : Langkah-langkah menjaga nama baik ibu bapa

LATIHAN 3 (DIMENSI DIRI)
Salah satu cara yang boleh dilakukan oleh anak-anak untuk menggembirakan ibu bapa adalah dengan menjaga nama baik mereka.
Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa anda.

Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anaknya. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat. Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga malam semata-mata untuk menjaga terutamanya ketika anak-anak sakit. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak membesar sebagai seorang yang berguna dan berjaya dalam hidup. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, kita perlu sentiasa ingat akan pengorbanan ibu bapa kita dan membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada kita. Sebagai seorang anak, saya bertanggungjawab menggembirakan ibu bapa saya dan menjaga nama baik mereka kerana saya sedar bahawa tiada ibu bapa, tiadalah saya. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya lakukan untuk menjaga nama baik mereka?
Langkah utama yang akan saya lakukan untuk menjaga nama baik ibu bapa saya adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu, saya akan mengulang kaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara sistematik dan efisien. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya siapkan mengikut ketetapan masa  yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan mengulang kaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini tentulah akan menaikkan nama baik ibu bapa saya. Reputasi ibu bapa saya sebagai contoh dalam kalangan masyarakat akan terserlah dan nama baik mereka juga akan terbina. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.
Selain itu, untuk menjaga nama baik ibu bapa, saya akan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak, ponteng sekolah, melakukan vandalisme dan melibatkan diri dalam penagihan najis dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada pepatah yang menyatakan bahawa “jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik.  Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Jelasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak baik agar saya tidak tersilap langkah demi menjaga nama baik ibu bapa saya.
Di samping itu, bagi menjaga nama baik ibu bapa, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula, saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng kelas, tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia.
Tambahan lagi, saya akan menjaga nama baik ibu bapa dengan menjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan kekeluargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contoh, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan  dan mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung. Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah,  “hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.”
Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi menjaga nama baik ibu bapa saya. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya, kerana saya sedar, “siapalah saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri , saya akan menghadiri kelas-kelas agam a atau kelas fardu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya ke arah melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik. Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya  dapat membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa saya.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menjaga nama baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab anak-anak yang  hidup di dunia. Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

sumber asal : http://ishakmdshah.blogspot.my/