22/03/2019

OBOR HEMAH


Sajak Obor Hemah oleh A. Samad Said, 1988

OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas ilmu.
Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID, 2 APRIL 1988

09/03/2019

BACAAN LUAS : JENIS-JENIS PELANCONGAN DI MALAYSIA


Jenis-jenis Pelancongan di Malaysia
1.     Ekopelancongan:
Kawasan alam semula jadi yang melibatkan kehidupan flora dan fauna.
Contoh:
Taman Negara Kinabalu, Sabah – Reseversi tumbuh-tumbuhan liar tropika dan lokasi Gunung Kinabalu; tertinggi di Malaysia
Kuala Gula, Kerian, Perak – Pusat Reseversi Kuala Gula, pusat migrasi 48 jenis burung dari negara Siberia, Mongolia, Jepun dan China 
2.     Agropelancongan: 
Aktiviti pelancongan yang melibatkan kegiatan pertanian, penternakan dan perikanan
Ladang-ladang buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan; pusat penternakan haiwan tempatan dan akitiviti menangkap dan memancing
Contoh: ladang buah-buahan dan sayur-sayuran di Cameron Highlands, Sawah padi dan Muzium Padi di Alor Star, Kedah
Pertandingan memancing - Rompin Billfish

3.     Inap Desa
Inap desa (bahasa Inggeris: Homestay) ialah rumah orang awam yang menyediakan ruang atau bilik untuk disewakan kepada pelancong. Konsep inap desa ini bertujuan menampung kekurangan bilik hotel di sesetengah tempat. Sesetengah tempat yang kecil dan terpencil tidak mempunyai hotel, resort, chalet dan sebagainya.

Konsep inap desa dapat menambah pendapatan orang kampung tradisional. Kampung-kampung di Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan negeri-negeri lain berpotensi dijadikan kawasan untuk program inap desa bagi menarik pelancong dari luar negara.
Keunikan kampung di Pahang, Perak, Sarawak dan Sabah seperti sistem kemasyarakatan, kehidupan, sosial, keadaan geografi serta sistem ekonomi, boleh menarik perhatian pelancong luar untuk mendekatinya

4.    Pelancongan Kesihatan @ perubatan

APA ITU PELANCONGAN KESIHATAN?
Menurut Kamus Dewan, pelancongan kesihatan bertujuan untuk menarik pelancong berkunjung ke Malaysia atas sebab perawatan dan perubatan di samping melancong. Pelancongan Kesihatan atau Pelancongan Perubatan (Medical Tourism) adalah salah satu daripada industri yang pantas membangun pada ketika ini. Kebanyakan negara menawarkan kemudahan dan perkhidmatan perubatan yang terbaik kepada pengguna mereka. Dengn kata lain, pelancongan kesihatan merupakan pelancongan di mana seseorang akan melawat dari satu negara ke negara lain untuk tujuan rawatan dan penjagaan untuk pembedahan. Banyak orang seperti mereka yang tinggal di Malaysia pun berkemungkinan tidak tahu bahawa Malaysia ialah salah satu destinasi terkenal yang dicari oleh orang asing untuk mendapatkan rawatan.
Kerajaan telah mula menitikberatkan pelancongan perubatan sebagai salah satu cara diversifikasi ekonomi dalam industri kesihatan dan pelancongan semasa krisis kewangan Asia muncul pada 1997. Dalam 2009, Kementerian Kesihatan telah menubuhkan Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) untuk berkhidmat sebagai agensi utama dalam mempromosikan dan membangunkan industri pelancongan perubatan negara. MHTC sedang gigih bekerjasama dengan pembekal perubatan dari peninsula Malaysia untuk membangkitkan kesedaran atas perkhidmatan kesihatan Malaysia yang bertaraf dunia.
Kepakaran perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kebanyakan hospital persendirian di negara ini mempunyai kualiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini termasuk standard MS ISO9002 dan pengiktirafan Kualiti Kesihatan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH). Kesemua pusat perubatan di sini perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan. Dengan berkembangnya reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan, semakin ramai pelawat tiba dari serata dunia mencari penawar untuk pelbagai masalah kesihatan. Antaranya termasuk perkhidmatan perubatan kritikal serta rawatan kosmetik dan pemulihan.

AKTIVITI-AKTIVITI PELANCONGAN KESIHATAN
·              Perkhidmatan perubatan kritikal (contoh: penyakit berkaitan kardiovaskular – penyakit
            jantung).
 ·             Rawatan kosmetik dan pemulihan (contoh: rawatan muka dan pelangsingan badan).

KELEBIHAN-KELEBIHANNYA
·                     Caj perubatan dan kos penginapan hospital di Malaysia amat kompetitif berbanding dengan negara maju yang lain dan tahap kepakaran yang ada merupakan antara yang tertinggi di dunia.
·                     Kebanyakan hospital di Malaysia menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan dari yang selesa hingga yang mewah, termasuk bilik persendirian dan bilik serangkai.
·                     Perkara yang paling menarik bagi pelawat yang menerima rawatan perubatan di Malaysia ialah tempoh rehat dan penyembuhan yang dihabiskan di tempat rawatan. Pesakit berpeluang bersiar-siar dan menikmati aktiviti pelancongan sambil mereka menunggu tempoh untuk sembuh. Semua pihak termasuklah agensi kerajaan, agensi swasta, pusat-pusat kesihatan, spa dan pembekal produk kesihatan perlu bekerjasama untuk penambahbaikkan kualiti perkhidmatan dalam memajukan industri pelancongan kesihatan ini. Tidak mustahil industri pelancongan kesihatan akan menjadi sumber pendapatan utama negara di masa akan datang.
Kepakaran perubatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan kebanyakan hospital persendirian di negara ini mempunyai taraf dan kualiti yang diiktiraf antarabangsa. Ini termasuk standard MS ISO9002 dan pengiktirafan Kualiti Kesihatan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MSQH). Kesemua pusat perubatan di sini perlu mendapat kelulusan dan lesen dari Kementerian Kesihatan.
Dengan berkembangnya reputasi Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan, semakin ramai pelawat tiba dari serata dunia mencari penawar untuk pelbagai masalah kesihatan. Antaranya termasuk perkhidmatan perubatan kritikal serta rawatan kosmetik dan pemulihan. Caj perubatan dan kos penginapan hospital di sini amat kompetitif berbanding negara maju yang lain dan tahap kepakaran yang ada merupakan antara yang tertinggi di dunia. Sebagai contoh, kos pembedahan pemintasan jantung (CABG) lazimnya adalah di antara USD6,000 hingga USD7,000.
Terdapat pelbagai pilihan pusat perubatan persendirian yang lengkap dengan peralatan canggih dan pegawai perubatan yang berpengetahuan tinggi. Kesemua pusat perubatan ini dilengkapi kemudahan mengenalpasti dan merawat penyakit, antara lain termasuk bilik endoskopik, pusat haemodialisis, pengkateteran jantung dan MRI. Pakar perubatan di sini terdiri dari para profesional yang mempunyai kelayakan bertaraf antarabangsa dan dibantu oleh kakitangan separa-perubatan yang terlatih.
Kebanyakan hospital di Malaysia menawarkan pelbagai jenis pilihan penginapan dari yang selesa hingga yang mewah, termasuk bilik persendirian dan bilik serangkai. Hidangan makanan disertakan dan kos penginapan hospital adalah berdasarkan tahap perkhidmatan yang diperlukan kerana ada pusat perubatan yang menawarkan khidmat pelayan persendirian dan jururawat sepenuh masa. Kemudahan bermalam juga disediakan untuk pasangan atau teman pesakit. Tambahan lagi, dengan kos perkhidmatan yang rendah serta taraf kehidupan yang tinggi di sini, lawatan jangkamasa panjang menjadi pilihan menarik bagi pelawat asing.
Namun demikian, perkara yang paling menarik bagi pelawat yang menerima rawatan perubatan di Malaysia ialah tempoh rehat dan penyembuhan yang dihabiskan di sini. Pesakit berpeluang bersiar-siar dan menikmati aktiviti pelancongan sambil mereka menunggu tempuh untuk sembuh. Lawatan ke tepi pantai boleh diatur, lebih-lebih lagi kerana terdapat beberapa pusat perubatan di sini yang terletak berhampiran pantai atau kawasan pelancongan yang terkenal. Kemungkinan sesetengah pesakit lebih cepat sembuh jika mereka bersiar-siar atau mengambil masa untuk pergi membeli-belah!

5    Pelancongan Pendidikan
Pelancong dari negara lain yang mempunyai jangka masa cuti tahunan yang panjang datang melancong ke Malaysia dan mengikuti kursus-kursus jangka pendek yang ditawarkan oleh institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.
Contoh: Cuti musim panas di negara Timur Tengah
Semasa cuti mereka datang dan tinggal di Malaysia selama beberapa bulan dan boleh mengikuti kursus jangka pendek bagi memanafaatkan masa mereka di sini. Pelancong ini akan mempromosikan kursus-kursus pendidikan yang ditawarkan oleh pusat pendidikan tinggi negara ini apabila pulang ke negara asal. Lebih ramai warga asing akan belajar di negara kita.
Malaysia semakin terkenal dalam kalangan pelajar asing sebagai destinasi pilihan utama bagi pengajian tinggi dan lanjutan. Kini, para pelajar dan cerdik pandai dari serata dunia membentuk komuniti pelajar yang menyumbang pelbagai budaya dan bahasa di Malaysia.
Salah satu sebab penting Malaysia menjadi destinasi pengajian pilihan utama ialah kadar sara hidup yang rendah serta tahap kualiti kehidupan yang tinggi. Ini diperkuatkan lagi dengan adanya teknologi dan peralatan bantuan pembelajaran yang canggih di sini. Tambahan lagi, penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan mesra memudahkan pelajar asing untuk mengenali lebih mendalam perihal berkaitan penduduk, tradisi dan budaya yang ada sambil mereka meneruskan pembelajaran mereka.
Malaysia mempunyai lebih dari 600 institusi pengajian awam dan swasta yang menawarkan pengajian di tahap pra-universiti hingga tahap universiti. Ini termasuk institusi pengajian tempatan dengan gabungan pelbagai pusat pengajian luar negara, serta beberapa cawangan kampus universiti luar negara yang tersohor. Kelayakan yang diterima dari cawangan-cawangan seperti ini adalah setaraf dengan kelayakan yang diterima di kampus induk pusat pengajian tersebut.
Terdapat juga beberapa buah institusi pengajian tinggi tempatan yang telah berjaya menempah nama di persada dunia seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Multimedia. Di Malaysia juga terdapat institusi pengajian tinggi berprestij yang telah lama bertapak seperti Universiti Malaya di Kuala Lumpur dan Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Tambahan lagi, beberapa buah pusat pengajian tinggi antarabangsa telah bergabung bagi mewujudkan program berkembar dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia dan kini, institusi seperti Monash, Nottingham dan lain-lain menawarkan pilihan kepada para pelajar untuk memilih samada menyempurnakan seluruh pengajian mereka di Malaysia atau di negara luar seperti Australia, New Zealand dan United Kingdom. Kelebihan yang boleh diperoleh di Malaysia sekiranya mereka ingin menghabiskan tempoh pembelajaran ialah penjimatan kos pengajian tanpa menjejaskan kualiti pengajian.
Malaysia mempunyai pilihan meluas bagi pengajian yang berkualiti tinggi pada kos yang amat berpatutan serta kursus-kursus yang ditawarkan telah diiktiraf antarabangsa. Hasilnya, kini terdapat beribu pelajar dari lebih kurang 100 buah negara yang sedang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Pelajar yang sedang membuat pertimbangan untuk belajar di Malaysia tetapi belum membuat sebarang keputusan berpeluang mengambil bahagian di dalam beberapa program pelancongan pelajar yang akan mendedahkan mereka kepada negara ini, mendekati penduduknya dan pilihan pusat-pusat pengajian tinggi yang ditawarkan. Program ini bukan sahaja berjaya membantu pelajar membuat keputusan mengenai pengajian mereka, tetapi juga memberi peluang kepada mereka untuk menikmati percutian di destinasi yang paling indah dan mempesona di dunia.